Friday, February 11, 2011

USAHAWAN MUDA MINYAK ANGIN

Hari Selasa, 14hb Februari minggu hadapan adalah hari yang sangat-sangat tidak disukai oleh para ulama di Malaysia... Hari Valentine atau Hari Memperingati Kekasih. Dan pada keesokkan harinya adalah Maulidur Rasul. Sejak dua tiga hari yang lalu, kes buang bayi dimainkan kembali oleh media utama negara samada di TV atau suratkhabar... menaikkan kembali kemarahan sebilangan rakyat Malaysia yang memang dah 'hangin' dengan fenomena yang menjijikkan ini yang nampaknya tidak pernah surut tahun demi tahun. Dan pada minggu ini juga saya ada terbaca tentang hasrat beberapa pihak yang hendak mengadakan program anti-zina, arak dan pergaulan bebas khusus untuk orang Muslim sempena Hari Valentine yang bakal menjelang tiba.

sumber: kktm.edu.my
Beberapa rakan saya ada juga membincangkan perkara ni yang nampaknya bersungguh-sungguh menyokong usaha anti Hari Valentine. Secara peribadi saya menyokong usaha murni ni... bukan kerana sempena Hari Valentine tetapi ianya adalah suruhan Islam... agama suci yang kita anuti. Cuma saya ini mungkin seorang yang agak... 'terlalu berfikir' yang menyebabkan sukar bagi saya menerima apa jua perkara 'sekali telan'.

Saya sebenarnya lebih gemar jika program ini dijalankan sepanjang tahun atau 'lifetime learning'... dan saya agak kurang senang apabila program ini lebih diutamakan sedangkan Maulidur Rasul itu lebih penting untuk kita bincangkan, hayati dan semarakkan... lebih elok jika sebulan sebelum hari Maulidur Rasul. Tetapi perkara itu tidak berlaku kerana semua pemimpin lebih berminat membuat program politik yang menguntungkan dari segi sokongan.

Saya juga sempat menarik perhatian rakan-rakan saya tentang satu perkara yang tidak kurang penting... yang amat mengganggu fikiran saya setiap kali saya ke stesen minyak atau kedai makan di Shah Alam atau di tempat letak kereta di Giant Shah Alam. Dan saya harap para ustaz yang begitu bersemangat ini... samada dalam parti politik atau kerajaan... lihat dan amati... sanggupkah kita lihat anak-anak yang sepatutnya berada di sekolah atau menelaah di rumah... berjalan ke sana-sini membawa kalendar dan minyak angin sambil merintih sayu memohon belas kasihan orang ramai memberikan 'sumbangan' kepada mereka sebagai tukaran barangan seperti minyak angin dan kalendar. Mereka itu dikatakan anak yatim... dan terpaksa berbuat demikian atas 'suruhan bos' barangkali. Sebab kalau dilihat dari raut wajah... mereka enggan melakukannya tapi terpaksa.

Tapi saya lihat perkara ni seperti tidak dipedulikan... kerajaan lebih berminat membelanjakan duit untuk hal-hal lain. Malahan harga 'demokrasi dan kebebasan bersuara' seorang ahli politik adalah lebih penting dari masa hadapan anak-anak bergelandangan seperti ini. Begitu juga dengan berbagai lagi perbelanjaan yang lain dalam jutaan harganya. Kadang-kadang terfikir juga di benak hati saya... apakah membeli kad dan bunga di Hari Valentine adalah lebih besar dosanya dari membiarkan anak-anak kecil ini dieksploitasi? Sekiranya fikiran saya ini salah... moga-moga Allah mengampunkan saya dan sesungguhnya Allah Maha Memberi Petunjuk.

Saya selalu memberitahu rakan-rakan... bayangkan jika ditakdirkan mereka meninggal dunia awal sedangkan anak-anak mereka masih terlalu kecil dan tiada saudara-mara terdekat yang boleh menjaga... sudah tentu anak-anak itu dihantar ke mana-mana rumah anak yatim. Dan selepas besar sedikit... anak-anak itu diberikan uniform dan beg.... menjual minyak angin, kalendar dan resit. Mudah-mudahan Allah jauhkan dugaan sedemikian rupa dari sesiapa jua... kerana reaksi muka rakan-rakan saya memang tidak gembira.

Tapi... kita masih lagi lihat anak-anak kecil ini di hampir semua stesen minyak di Shah Alam... hingga ke hari ini. Entah bila mereka makan... mana mereka nak lelap mata apabila hampir seharian suntuk hingga 10 malam masih lagi bergelandangan di luar. Mungkin juga ada budak-budak nakal curi hasil 'kutipan' mereka... siapa tahu. Tarik nafas panjang nih... marah pun ada bila lihat masih ramai pemimpin yang nampak macam orang Islam berdiri di atas pentas berucap tentang moral. Kalau dah semua bercakap je... siapa nak buat?

... apa nak buat nih... sekiranya ada peluang, insyAllah saya akan mengajak rakan-rakan berbuat sesuatu dan moga-moga Allah memudahkan urusan sesiapa jua yang melakukannya dengan tulang empat kerat... bukan dengan air liur sahaja.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...