Monday, December 28, 2009

'Wishlist' Tahun 2010 - Tidak Mahu Tengok

Beberapa hari lagi tahun 2009 akan menutup tirai dan terbuka la jendela tahun 2010. Apa istimewa sangatnya tahun 2010 ini... yang saya nampak hanyalah ramai bakal pengantin baru berebut-rebut memilih tarikh 10.10.10 sebagai tarikh melangsungkan perkahwinan. Bayangkan kalau kita terpaksa memenuhi 10 undangan perkahwinan untuk hari itu sahaja... gerenti ada yang merajuk sebab kita tak sempat nak hadir... hais. Bayangkan jugak berapa banyak cerek letrik kita kena beli sebab tu je hadiah yang murah dan senang dibeli... haha. Kalau beli set pinggan mangkuk kat Jaya Jusco, rasanya ramai dah pakai taktik tu dan dengar khabarnya ada juga orang recycle balik hadiah tu dibungkus semula untuk dihadiahkan kepada bakal pengantin lain. Ye la, sapa pulak nak pakai cerek letrik sampai 10 buah kalau dah semua orang bagi hadiah tu... dari membazir tak digunakan.

Sekarang saya bercerita tentang 'pemandangan' yang tak mau saya lihat pada tahun hadapan. Buat masa ini saya takkan cerita secara terperinci kenapa saya tak mau lihat semua ini, cuma sekadar hasrat agar ianya tidak lagi kelihatan. Pertama, saya tak mau lagi lihat adik-adik dan anak-anak kecil berjalan dari kereta ke kereta di stesyen minyak, merayu agar saya membeli (... sedekah?) minyak angin atau kalendar atau buku di waktu siang dan malam atas nama sekolah anak yatim padahal sepatutnya pada waktu itu mereka harus berada di sekolah atau rumah menuntut ilmu.

Ke-2, saya tak tau lihat abang-abang dan pakcik-pakcik duduk di depan pintu kaca mesin ATM di bank-bank dengan berbagai bekas, surat dan sijil setiap minggu terakhir orang dapat gaji, setiap bulan, sepanjang tahun... dan telah bertahun-tahun lamanya saya menyaksikan pemandangan ini sedangkan saya jumpa ramai lagi kakak-kakak dan makcik-makcik yang bangun awal subuh buat kuih untuk dijual.

Ke-3, saya tak mau lagi lihat kereta-kereta 'size S' pakai ekzos treler 'size XL', masuk enjin 'size L' dengan bunyi 'size Altec Lansing' dok merayap membesit atas jalan sambil pemandunya berangan-angan cam selebriti 'size Fast & Furious'.

Ke-4, saya tak mau lihat anak-anak kecil yang rambut pun baru nak lebat kat ubun-ubun... buat rambut stail lotong kat Bukit Kuala Selangor sambil dok kepit beromen pasangan masing-masing sedangkan duit poket pun mak-bapak yang 'top-up'.

Ke-5, saya tak mau tengok muka hero dan heroin yang sama keluar dalam beberapa siri drama TV yang berlainan dan drama-drama tu semua dimainkan sekaligus dengan waktu dan hari yang berbeza sampai orang pun naik konfius dengan watak dia dalam satu-satu cerita.

Ke-6, saya tak mau tengok bila nak hari raya je, balik-balik keluar cerita sedih bagai nak rak sampai orang rasa bila nak raya je mesti rasa sedih.

Ke-7, saya tak mau tengok lagi orang penuhkan wall saya dengan status dia dok asyik main game je dan asyik keluar notifications invitie orang main game... haha. Weh, beli playstation la kalau nak main game.

Ke-8, saya tak mau lagi isi borang tiap-tiap kali saya 'renew membership' kad MPH, Jaya Jusco dan macam-macam lagi kad yang sewaktu dengannya padahal maklumat saya memang dah ada 'database' komputer mereka. Punya canggih pakai macam-macam sistem 'database' pun suruh orang isi lagi borang... hais.

Ke-9, saya tak mau lagi tersangkut di mana-mana 'highway' semata-mata ada eksiden dekat jalan sebelah. Bayangkan sampai 3,4 lane jalan tu siap ada 'emergency lane' lagi pun boleh jem lagi sebab kena tunggu belakang keta orang yang dok sibuk nak tengok apa jadi kat jalan sebelah.

Dan yang terakhir... ke-10. Saya tak mau tengok orang Melayu kutuk orang Melayu lain demi cita-cita politik atau apa saja.
Read more

Seorang Wanita Yang Hebat



'Untuk mendapat anak pertama, saya terpaksa membuat IVF sebanyak 16 kali terutama selepas percubaan awal berakhir dengan kegagalan'... begitulah kata-kata YM Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar. Dan beliau juga merupakan pengasas Tabung Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) yang telah begitu bermurah hati membiayai kos rawatan fertiliti IVF untuk 48 pasangan di seluruh negara bagi mendapatkan cahaya mata.


Apa lagi yang lebih hebat dari kisah ini? Pertama, Tunku Azizah begitu sabar dan tekun berusaha bagi mendapatkan cahaya mata melalui kaedah IVF... saya ulangi... sebanyak 16 KALI PERCUBAAN. Kalau dikira satu hingga enam belas... memang la sekejap je tapi cuba fikirkan berapa tahun beliau begitu sabar berusaha. Kedua, dugaan yang beliau hadapi dahulu telah beliau terjemahkan melalui penubuhan TAFF dan beliau begitu bangga mendabik dada untuk memberitahu dunia bahawa... beliau sekarang adalah nenek kepada 58 orang bayi.

Saya tidak meneliti dengan pasti tentang penubuhan TAFF ni tapi bila ianya ditubuhkan dengan inisiatif seorang individu apatah lagi seorang wanita... ianya benar-benar 'menampar' ramai pihak yang asyik menjerit-jerit ke sana dan ke sini tentang berbagai usaha membantu rakyat tapi... habuk pun tarak. Balik-balik cerita yang kita dengar setiap kali usaha membantu rakyat dilakukan... orang ni buat duit dengan program baru, orang tu dapat 'political mileage' dari program tu, ada udang sebalik mee la dan bermacam-macam lagi 'ayat-ayat cinta' orang politik. Yang pastinya... rakyat kekal susah dan terus menadah tangan mengharapkan buah yang tak gugur-gugur. Sampai sekarang saya pun tak tau apa status Tabung Penyakit Kronik malahan nak keluarkan duit KWSP untuk biaya perubatan pun... hanya terpakai kepada penyakit tertentu je.

... malu la beb, betul-betul malu. Habis duit kita hantar orang belajar tinggi-tinggi kat 'obersea'. Hasilnya... banyak bercakap je, tindakannya haram. Harap je la... harappppp, haissss!!
Read more

Saturday, December 26, 2009

Cakap Betul.... Tapi Di Tempat Yang Salah

Orang berbudi kita berbahasa... begitulah ayat orang tua-tua yang biasa kita dengar. Selain dari dua sifat yang dimiliki oleh orang Melayu iaitu melatah dan mengamuk... kita semua sudah sedia maklum orang Melayu amat mementingkan sifat berbudi bahasa. Malahan orang Melayu dahulu juga amat suka berpantun bagi meluahkan isi hati mereka.

Ada seorang kawan pesan saya jangan tulis tajuk ini kerana ianya adalah perbualan di antara saya dan dia namun jari saya tidak dapat menahan untuk mengetuk butang-butang di keyboard ini. Terpaksa juga saya lakarkan sedikit pengalaman agar menjadi 'ingatan' buat diri sendiri dan juga untuk kawan-kawan yang lain.

Apabila kita terlalu 'engrossed' dengan sesuatu keadaan, suasana atau apa saja... secara tidak langsung kita membina peta dan 'timeline' di dalam benak kepala kita yang lama kelamaan akan membentuk pemikiran yang dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Cakap kasarnya... makin pandai la nak menyusun kata-kata yang berfakta dan mendalam. Tapi cuma terpakai pada orang yang beringat la... kalau dah jenis 'selenge' tu, takkan jadi apa pun. Dan ada juga kawan-kawan saya yang terpinga-pinga bila makin banyak dia bercakap... orang semakin menjauhkan diri atau bertindak 'hostile' terhadap dia. Dan dia amat merasakan bahawa apa yang dia cakap adalah betul dan ikhlas... cakap ustaz la kiranya.

Respon dari saya... cakap dia betul tapi di tempat yang salah. Bukan la salah pada pandangan mata dia tapi salah di pandangan mata orang yang ditujukan kata-katanya itu. Contohnya lihat la dalam cerita 3 Abdul apabila Ismet Ulam Raja dok acah Abdul Wahab dan Abdul Wahib dengan perkataan dan perbuatan hingga terkeluar ayat dari mulut Abdul Wahab... 'ini boleh mendatangkan marah!!'... salah di mata 2 Abdul tu tapi benar perbuatan Tuan Ismet sebab ada perjanjian.

Begitu jugalah nasihat saya kepada kawan-kawan... berhati-hati la bila berkata benar. Saya bukan hendak menakutkan atau melarang mereka dari berkata benar namun terdapat dalam beberapa suasana, berkata benar itu memerlukan hati yang teguh seperti sahabat Rasulullah s.a.w iaitu Bilal B. Rabah. Kalau tidak... diam la buat sementara waktu dan luahkan la apa yang terbuku tu dalam suasana yang berlainan misalnya bukan di depan orang ramai. Kata-kata benar kita adakalanya menjadi tombak dan panah terhadap orang lain. Begitu jugalah pesan arwah ayah saya... berhati-hati la dengan perkataan yang keluar dari mulut sebab kita hidup di akhir zaman... waktu di mana kejahatan amat luarbiasa sifatnya dan tidak terfikir dek akal rasional. Jangan terkejut apabila kawan-kawan sendiri akan menjauhkan diri dari kita apabila kata-kata kita 'mendatangkan marah' orang yang mempunyai kuasa dan jawatan... kerana masing-masing juga ingin menjaga sedikit periuk nasi demi keluarga.

Kepada kawan-kawan saya yang 'suka berkata benar dan berani' di mana saja... saya berani katakan juga bahawa anda adalah orang yang istimewa... amat istimewa sebenar-benarnya. Saya tau akan sampai ketikanya anda akan merasa amat sunyi kerana... seolah-olah tiada siapa sebenarnya yang memahami maksud perkataan anda, tiada siapa yang mahu bercakap seperti anda... seolah-olah anda tinggal di planet asing. Jangan terlalu bimbang dengan hal tu... baca la Sirah Nabawi, kisah para sahabat Rasulullah s.a.w, buku biografi orang terkenal di dunia.

... saya pasti dan amat pasti... anda akan jumpa 'dunia anda'. Suatu dunia yang lebih indah... walaupun tanpa kata-kata... insyAllah.
Read more

Friday, December 25, 2009

2010... Tahun Mencari Calon YB Untuk Pilihanraya Ke-13

Ramai juga rakan-rakan yang bertanya kepada saya azam tahun hadapan 2010. Sambil tu sempat juga mereka tanya apakah azam tahun ni telah tercapai. Lalu saya sekadar menjawab, tahun 2008 dan 2009 bukanlah tahun-tahun yang menggembirakan buat saya namun tidaklah saya terangkan secara terperinci kepada mereka. Cuma cukuplah saya sekadar menjawab, tahun 2010 adalah tahun mencari rezeki sebanyak mungkin dan semoga saya sentiasa hampir kepada Allah dalam apa jua tindakan saya. 'Ko nak jadi ustaz ke?' tanya mereka, dan saya sekadar tersenyum lalu berkata... 'susah jadi ustaz, nak bercakap pun kena ada permit'.

Saya tinggalkan dulu tentang azam saya. Melalui pengamatan saya dari perbualan dan tindak-tanduk rakan-rakan yang aktif dengan politik, tahun 2010 adalah umpama tahun dunia realiti 'Calon Pilihanraya Ke-13'. Dua pakatan yang mendominasi gabungan parti-parti sedang merangka strategi meletakkan calon yang pasti boleh memberikan kemenangan kepada mereka. Kesilapan meletakkan calon yang mempunyai imej tercalar pasti akan memberi kesan kepada kemenangan bukan sahaja di satu kawasan malahan reaksi spontan pengundi boleh melarat dalam jangkamasa yang amat singkat ke kawasan yang lain berikutan dari kecanggihan teknologi maklumat.

Namun timbul juga persoalan di benak hati pengundi seperti saya. Apakah mereka ada calon yang bersesuaian dan berkelayakan? Lihat saja apabila Pakatan Rakyat menang di beberapa negeri, mereka menghadapi masalah yang amat ketara menguruskan pentadbiran negeri apabila menang pilihanraya yang lalu. Mereka kekurangan ilmu pengurusan dan kecekapan mentadbir secara bekerjasama di antara satu sama lain. Ramai juga ahli mereka yang tidak puashati apabila 'harta peperangan yang sepatutnya mereka nikmati setelah bertahun berjuang, dilapah oleh orang lain'. Memang benar abang-abang besar mereka menafikan semua ini namun apa yang kita dengar dan lihat sendiri memberikan indikator yang berbeza.

Begitu juga di pihak Barisan Nasional, juga menghadapi masalah yang sama. Suara-suara di peringkat cawangan dan bahagian juga jelas menunjukkan mereka bergaduh sesama sendiri. Masing-masing mencalonkan diri sendiri sebagai calon paling layak dengan berbagai alasan tersendiri. Berebut mereka hendak menghadap Perdana Menteri bagi menunjukkan betapa pentingnya mereka di mata rakyat. Namun apakah benar rakyat memandang mereka? Apakah mereka benar-benar bersama rakyat?

Ramai juga anak muda yang saya temui mengatakan mereka tidak begitu peduli kerana baik dulu atau sekarang... tak pernah seorang pun YB yang datang berjumpa mereka. Tanya khabar pun tidak, datang ke kawasan perumahan mereka pun tak pernah. Agak menarik juga jawapan mereka apabila saya tanya tentang isu kehilangan enjin F-5E, apakah menteri yang bertanggungjawab harus meletakkan jawatan. Mereka kata bukan setakat menteri tersebut tapi jika ada seorang penduduk di satu kawasan hidup susah dan tidak dibantu maka YB kawasan tersebut harus bertanggungjawab dan neraka la tempat tinggal mereka kelak. Saya kata la mungkin YB tersebut sibuk dan mereka kata itu YB tu punya pasal... kami undi dia untuk jaga kawasan kami baik-baik, bukan duduk dekat pejabat berhawa dingin hari-hari pergi mesyuarat.

Dan saya amat pasti keluhan anak-anak muda ni memang takkan ke mana pun sebab memang dah tabiat YB ni... sibuk dengan lain-lain hal. Masa kempen dulu, hari-hari keluar jumpa penduduk, lepas menang... lain cerita, mengurus hal negeri katanya.

Apakah pengundi akan melihat calon yang diletakkan sebagai kriteria mengundi pada pilihanraya akan datang? Kita lihat saja nanti... adakalanya sesuatu yang tidak disangka boleh berlaku dan semoga calonnya nanti seorang yang boleh berkhidmat... bukan seorang yang berhormat.
Read more

Thursday, December 24, 2009

Appadaa... Box-Office Malaysia Yang Mengalahkan Avatar

Kalau la cerita kehilangan enjin pesawat F-5E Malaysia difilemkan... saya amat pasti ianya akan mengalahkan cerita Avatar. Elok la kalau diberi tajuk... APPADAA!! Nak jadi tragisnya pulak lagi cerita tu, kebetulan la pulak hangar TUDM tu betul-betul di belakang rumah saya... dalam 2km je jaraknya... kot la memang enjin tu ada kat hangar tu. Haru beb... memang betul-betul haru. Baru beberapa bulan dulu saya dok sindir sorang kawan (... nama rahsia) pasal pesawat yang terhempas dekat Perak... pesawat ringan yang sedang diuji. Bila dengar cerita dia bagaimana pesawat tu dibuat dan enjin apa yang digunakan... memang patut pun la pesawat tu terhempas. Tapi cerita ni lagi hebat.... enjin F-5E hilang... RM50 juta tu harga second hand dia. Bukan satu.... bukan satu tapi DUA enjin hilang.

Bayangkan kalau Malaysia diserang oleh negara asing... kononnya la kan. Start-start enjin tak berbunyi... rupanya takde enjin. Kapalterbang mainan kat shopping mall tu pun kalau kita letak RM2, boleh bergerak... siap ada muzik lagi. Dulu dah sekali kecoh bila Malaysia kena gangguan tenaga elektrik hinggakan terpaksa guna 'ground satelitte' Singapura untuk awasi lalulintas udara Malaysia... haru ni beb. Nasib baik masa Air Show di hangar TUDM Subang beberapa bulan lepas... Sukhoi tu boleh terbang. Dibuatnya show nak mula, orang ramai dah berlonggok atas trek... enjin Sukhoi hilang... masak.

Kerajaan kata dah lapor polis... elok la. PM dan Menteri Pertahanan dah beri jaminan akan siasat... Jabatan Peguam Negara pun keluar dah kenyataan akan siasat habis-habisan hingga pengkhianat negara dibawa ke muka pengadilan... elok la. Tapi bila dengar mereka kata pegawai atasan tidak terlibat tapi pegawai lain-lain pangkat... rasa tak sedap hati la pulak. Orang bawah gak kena ke? Bila jadi hal je dalam negara ni... orang bawah gak kena dulu. Dah la kena jadi kuli sepanjang masa... kena herdik... kena maki... bila dah jadi hal macam ni, laju je tuding jari kat orang bawah. Kata masih dalam siasatan tapi dah ada pulak orang bersalah... kesian orang yang takde suara macam kita ni... kesian sungguh. Takpe la... mereka pun kata dah nak siasatan, kita tunggu je la cam biasa. Komen lebih-lebih kang disamannya pulak kita kang... tak pasal-pasal nak kena duduk dalam balai bersoal-jawab dengan inspektor sahab.

Yang tak bestnya, kawan-kawan Facebook kita dari negara luar dok perli-perli... macam mana boleh hilang enjin pesawat ni? Adoiii... pilu nak menjawabnya.

Ni baru kita tau pasal enjin kapalterbang hilang. Ada berapa banyak lagi jenis-jenis kenderaan dan peralatan tentera dalam Malaysia ni yang belum diperiksa. Berapa banyak kapal di laut tu... kereta kebal lagi, meriam, mesin gun, peluru... dah buat 'stock take' tahunan ke? Risau gak ni sebab Laporan Audit Negara tahun lepas tak sebut langsung pasal kehilangan enjin pesawat tu... kalau ikut laporan akhbar la. Apa cerrr?

Sampai hari ni takde sorang pun 'orang atas' yang berani tampil meletak jawatan... bahagian logistik senyap, ketua jabatan senyap. Kalau kita yang kat bawah ni buat salah sikit... tersilap kata pun... dah keluar dah surat tunjuk sebab... sama la macam suruh letak jawatan. Walaupun yang menyuruh kita buat kerja tu bos atasan... tapi sebab kita orang suruhan, orang bawahan... orang yang takde hak dan suara... kena gak la letak jawatan.

... baru nak buat azam baru tahun depan ni, bila keluar cerita macam ni... betul-betul potong stim la. Ni kalau dikumpul-kumpul dengan risau pasal rezab Petronas yang tinggal sikit, duit KWSP pun dengar khabar ada kemungkinan nak kena ambil untuk pembangunan negara (?), ekonomi yang sedap cerita dari realitinya... sama je kot tahun 2010 dengan tahun-tahun yang sudah. Berjimat-cermat la kita nampaknya... sebab jalan hadapan makin kabur.
Read more

Wednesday, December 23, 2009

2012... Malaysia Tanpa 'Malay'?

Sengaja saya pilih tajuk yang nampak agak radikal ni... Malaysia tanpa Melayu? Tapi tulisan ini bukanlah berbentuk perkauman, jauh sekali sebagai hasutan. Idea tulisan ini timbul setelah saya duduk minum bersama-sama kawan lama yang aktif dalam pembangunan modal insan dan antara topik yang timbul adalah apakah yang akan terjadi kepada 'competitiveness level' pelajar-pelajar Melayu pada masa akan datang sekiranya MARA kehabisan duit untuk menghantar pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Apakah pelajar Melayu akan datang, boleh berdiri sama tinggi dengan pelajar lain dalam persaingan mendapatkan peluang pekerjaan selaras dengan berbagai usaha kerajaan untuk meletakkan Malaysia lebih kompetitif sebagai sebuah negara yang bisa menarik minat pelabur asing?

Mungkin ada yang kurang senang jika saya mengambil Singapura sebagai contoh. Namun hakikatnya, Singapura mempunyai polisi menarik sebanyak mungkin 'good brains' untuk menabur khidmat di negara mereka demi meletakkan Singapura sebagai negara mesra pelabur. Mereka amat terkenal dengan 'value added services' dan berbagai teknologi terkini. Dari mana mereka perolehinya? Itulah hasil dari penghijrahan pelajar mereka ke serata pelusuk dunia bagi mendapatkan ilmu yang terbaik. Mereka amat menghargai ilmu pengetahuan demi kesinambungan pembangunan negara mereka. Memang la ada antara bijak pandai sosial di Malaysia akan 'argue' tentang keruntuhan moral orang Melayu di sana namun komen-komen sedemikian tidak sedikit pun menjejaskan Singapura malahan tidak menjadikan Malaysia lebih mulia.

Saya rasa agak tersinggung sedikit mengenangkan nasib orang bijak pandai di Malaysia. Selalunya mereka ini kurang bercakap tapi boleh bekerja dengan baik. Tapi lihatlah nasib sebahagian dari mereka... nak masuk jadi ahli parti politik pun susah. Saya dengar borang yang mereka isi tidak pernah diproses kerana ada yang bimbang peluang sedia ada menjadi terbatas... jadi mereka ini perlu dicantas... macam tu pulak kisahnya. Jadi siapa nanti yang akan tinggal di dalam sesebuah parti politik? Apakah parti itu bisa berdiri gah di masa hadapan tanpa kehadiran bijak pandai ini? Kalau nak berdebat isu ni dengan orang politik... sampai kiamat 2012 pun takkan habis. Yang lagi menghairankan... bila ramai profesional muda belia masuk jadi ahli parti lain, habis melatah pulak parti satu lagi ni tuduh orang muda tu semua tak mengenang budi... haiss.

Masa depan Malaysia adalah jauh lebih penting dari apa jua cita-cita politik seseorang. Malaysia memerlukan pemimpin 'super-genius' di masa hadapan agar pemimpin itu boleh berkomunikasi secara berkesan dan bersesuaian dengan taraf intelektual pelajar-pelajar yang semakin tinggi pemikirannya. Tidak ada gunanya kita mengindoktrinasikan satu bentuk pemikiran terhadap mereka agar mundur ke belakang agar dapat disesuaikan dengan 'pemimpin yang rendah kualiti pemikirannya'. Dan kita juga harus sedar, kita amat memerlukan anak-anak muda ini sebagai pemimpin masa hadapan Malaysia... dan kita mahukan yang terbaik untuk Malaysia.

... cukuplah dengan bebanan sediada pelajar-pelajar yang kembali dari luar negara yang berstatus 'penghutang segera', jangan pula kita bebankan mereka dengan percanggahan politik sempit dan kolot, kerana kita orang dewasa yang hidup sekarang ni hanya meneruskan sisa-sisa hidup demi kehidupan anak-anak muda di masa hadapan... masa depan kita adalah mati di dalam sebuah rumah sempit bernama kubur.
Read more

Tuesday, December 22, 2009

Apabila Idola Bukan Lagi Seorang Manusia

Saya agak tertarik dengan tulisan di beberapa blog... 'di saat BN memerlukan sokongan bagi meluluskan Bajet 2010, ada Ahli Parlimen yang sedang sibuk bercinta...'. Sungguh memang tergelak saya baca tulisan tu... nampak sinis tapi itulah dia politik Malaysia... cukup berwarna-warni. Esoknya sibuk keluar berita kata... 'PM ambil berat tentang kehadiran ahli parlimen di Dewan Rakyat'... walhal pada masa tu PM pun takde kat Parlimen.

Sedikit dari perkara yang saya pelajari dalam kursus BTN... sahsiah dan penampilan diri amatlah penting bagi mempopularkan diri agar rakyat tahu... 'we are available and important in marketplace'. Saya tahu apabila ahli politik mula menceburkan diri dalam arena politik... mereka akan menghabiskan banyak masa dan duit bagi membentuk serta mempromosikan diri mereka sebagai... 'manusia pilihan' yang sama kononnya macam 'the chosen one'. Mahu dikenali sebagai seorang yang mampu buat perubahan atau setidak-tidaknya bercita-cita besar melakukan perubahan signifikan demi kebolehterusan survival sesebuah bangsa. Mereka mahu dikenali dan diterima sebagai IDOLA.

Saya juga tidak pasti samada ada di antara ahli politik sekarang yang telah berjaya meletakkan diri mereka sebagai idola. Pada mata kasar yang saya nampak ada pengikut 'keras teras'... Tun Mahathir, Anwar Ibrahim dan Nik Aziz. Mereka bukan sahaja diminati oleh ahli parti masing-masing... malahan 'pengundi-pengundi di atas pagar' yang tidak berparti. Yang lain semuanya umpama artis baru yang buat satu album... lepas tu senyap. Kalau ada pun... sesekali muncul sebab ada skandal... hehe jangan marah YB sekalian, ini hanya pandangan seorang pengundi biasa.

Adakalanya kaedah berpolitik idola ni boleh memakan diri apatah lagi jika terlalu banyak sangat berita buruk yang 'sinonim' dengan sesuatu watak idola seseorang... ianya akan kekal di memori pengundi untuk suatu jangkamasa yang lama. Itulah kesan dari kuasa media zaman ini... terlalu banyak grafik dan media disumbatkan ke minda pembaca dalam satu jangkamasa yang singkat sehingga menimbulkan 'perasaan meluat' yang amat sepontan.

Mungkin juga sekarang ini memang benar rakyat amat bosan dengan watak-watak pemain politik yang ada, ada juga yang tidak mahu langsung mengingati watak-watak itu. Rakyat lebih selesa dengan watak-watak lain yang lebih 'berhati perut dan berperasaan' walaupun ianya hanya la rekaan media. Lihat sahaja berapa juta rakyat yang meminati watak seperti vampire dalam cerita Twillight atau 'mandroid or humanoid' seperti cerita Avatar. Mungkin tidak lama lagi rakyat benar-benar mengharapkan munculnya seorang watak 'superhero' yang bukan dari kalangan manusia... satu benda yang tidak mempunyai perasaan pentingkan diri sendiri. Kita tahu perkara ini mustahil akan berlaku tapi bagi beberapa orang... adakalanya berilusi seketika bagi menyenangkan diri sendiri adalah lebih baik dari melayan kerenah seorang ahli politik yang perasan mereka adalah IDOLA pujaan ramai.

.... patut-patut la pun kalau nak bercakap tu... come on beb, walk the talk.
Read more

Kecoh... Kursus Biro Tata Negara (BTN)

Mungkin sudah agak lama saya tidak menulis dalam blog ni. Sejak kepulangan ayahanda saya ke rahmatullah pada 1 Zulhijjah yang lalu, saya lebih banyak menumpukan kepada perkara-perkara lain terutamanya terhadap kerja-kerja fotografi saya. Namun saya juga ada mengikuti berita mengenai satu bentuk kursus yang dikatakan 'perkauman' dan 'kaedah indoktrinasi' yang telah begitu lama dikendalikan oleh BTN.

Apa sebenarnya dan siapakah BTN ini? Sepintas baca macam jahat sungguh bunyi BTN ni... menerapkan unsur-unsur perkauman dan mengindoktrinasikan 'sifat benci terhadap kaum lain' melalui kursus-kursus yang dijalankan oleh BTN. Saya juga tidak terlepas dari mengikuti kursus-kursus yang dijalankan oleh BTN apatah lagi saya merupakan pelajar ITM pada masa itu... kadang-kadang wajib dihadiri. Dan saya tidak begitu ingat berapa banyak dah saya hadiri kursus-kursus itu. Malahan setelah saya memenangi pilihanraya kampus semasa di ITM, bermacam-macam lagi kursus BTN yang saya hadiri.

Saya tidak pasti samada pengisian kursus tersebut berunsur perkauman kerana saya tidak merasakan sedemikian. Zaman sekolah saya berlatarbelakangkan suasana persekolahan di mana 'Melayu bukanlah majoriti'... sebuah sekolah Methodist dari jenis Anglo Chinese School. Saya boleh katakan... 'kami kadang-kadang terpaksa berjuang di sekolah untuk mendapatkan sedikit hak', bayangkan kami terpaksa bergaduh dan bertegang leher dengan pejabat Guru Besar semata-mata hendak menggunakan kemudahan surau di sekolah. Tiada seorang pun ahli politik yang berminat membantu kami... TIADA. Tapi itu cerita dulu... di sekolah.

Melalui kursus-kursus BTN yang pernah saya lalui... hanya satu yang benar-benar mengajar saya tentang perjuangan iaitu saya harus meyakini kemampuan diri sendiri walaupun seluruh dunia menentang saya. Dan jika saya kalah sekalipun, tidak mengapa kerana... saya akan kembali kepada Allah... Pencipta saya. Kesimpulannya, terpulang kepada diri sendiri bagaimana kita mahu menerima sesuatu perkara. Yang menjadi masalah hanyalah... apabila orang politik mahu kita percaya apa yang mereka mahukan kita percaya. Kebanyakan orang politik yang saya kenal.... hanyalah seorang penganut agama fahaman diri sendiri.

Bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila Kerajaan Selangor membantah kursus BTN di Selangor, ramai yang ada di dalam Kerajaan Selangor sekarang merupakan 'trainer' atau abang besar BTN dulu. Mereka tentu lebih memahami isikandung kursus itu kerana mereka la yang merekabentuk modul latihan yang merupakan 'kitab' kepada 'junior trainer'. Sesuatu yang mereka buat dahulu, indoktrinasi pemikiran anak muda dengan idea-idea mereka yang kadangkala radikal... sekarang mereka kata salah dan perlu diperbetulkan. Saya hanya mampu tersenyum dengan telatah mereka... sudah insaf rupanya mereka dan mahu rakyat 'forgive & forget' tindakan mereka dulu. Jadi tak payahlah susah-susah korek kesalahan orang dulu untuk menaikkan imej politik mereka kerana mereka harus berbuat sama... 'forgive & forget'... steady la beb... walk the talk.

Saya tidak ingin mengulas panjang tentang kursus BTN ni... kerana saya yakin sekiranya sebarang bentuk kursus yang akan diperkenalkan sekarang ini bagi menggantikan kursus BTN... ianya pasti berbentuk indoktrinasi dasar, polisi dan halatuju berpihak... sudah pasti 100%. Perkiraannya cukup mudah... BN sekarang berada dalam keadaan tertekan manakala PR pula akan menggunakan segala kelebihan yang ada untuk menawan Putrajaya... oleh itu, masing-masing amat terdesak untuk mengekalkan serta meningkat sokongan walau apa pun caranya.

Kepada orang Melayu, janganlah banyak mengeluh. Sudah jadi tabiat orang Melayu kita... apabila ada isu, mereka akan menjauhkan diri... kononnya tak mau campur, tak mau terbabit dan tak mau jaga tepi kain orang. Saya amat berharap... tolonglah daftar diri sebagai pengundi agar bilangan orang Melayu yang pergi mengundi pada pilihanraya akan datang adalah 100%... siapa yang akan anda undi, itu adalah hak masing-masing. Sudah cukup rasanya orang Melayu ni terkenal dengan dua jenis sifat yang jarang dimiliki oleh bangsa lain iaitu AMUK dan MELATAH.
Read more
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...