Tuesday, December 22, 2009

Kecoh... Kursus Biro Tata Negara (BTN)

Mungkin sudah agak lama saya tidak menulis dalam blog ni. Sejak kepulangan ayahanda saya ke rahmatullah pada 1 Zulhijjah yang lalu, saya lebih banyak menumpukan kepada perkara-perkara lain terutamanya terhadap kerja-kerja fotografi saya. Namun saya juga ada mengikuti berita mengenai satu bentuk kursus yang dikatakan 'perkauman' dan 'kaedah indoktrinasi' yang telah begitu lama dikendalikan oleh BTN.

Apa sebenarnya dan siapakah BTN ini? Sepintas baca macam jahat sungguh bunyi BTN ni... menerapkan unsur-unsur perkauman dan mengindoktrinasikan 'sifat benci terhadap kaum lain' melalui kursus-kursus yang dijalankan oleh BTN. Saya juga tidak terlepas dari mengikuti kursus-kursus yang dijalankan oleh BTN apatah lagi saya merupakan pelajar ITM pada masa itu... kadang-kadang wajib dihadiri. Dan saya tidak begitu ingat berapa banyak dah saya hadiri kursus-kursus itu. Malahan setelah saya memenangi pilihanraya kampus semasa di ITM, bermacam-macam lagi kursus BTN yang saya hadiri.

Saya tidak pasti samada pengisian kursus tersebut berunsur perkauman kerana saya tidak merasakan sedemikian. Zaman sekolah saya berlatarbelakangkan suasana persekolahan di mana 'Melayu bukanlah majoriti'... sebuah sekolah Methodist dari jenis Anglo Chinese School. Saya boleh katakan... 'kami kadang-kadang terpaksa berjuang di sekolah untuk mendapatkan sedikit hak', bayangkan kami terpaksa bergaduh dan bertegang leher dengan pejabat Guru Besar semata-mata hendak menggunakan kemudahan surau di sekolah. Tiada seorang pun ahli politik yang berminat membantu kami... TIADA. Tapi itu cerita dulu... di sekolah.

Melalui kursus-kursus BTN yang pernah saya lalui... hanya satu yang benar-benar mengajar saya tentang perjuangan iaitu saya harus meyakini kemampuan diri sendiri walaupun seluruh dunia menentang saya. Dan jika saya kalah sekalipun, tidak mengapa kerana... saya akan kembali kepada Allah... Pencipta saya. Kesimpulannya, terpulang kepada diri sendiri bagaimana kita mahu menerima sesuatu perkara. Yang menjadi masalah hanyalah... apabila orang politik mahu kita percaya apa yang mereka mahukan kita percaya. Kebanyakan orang politik yang saya kenal.... hanyalah seorang penganut agama fahaman diri sendiri.

Bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila Kerajaan Selangor membantah kursus BTN di Selangor, ramai yang ada di dalam Kerajaan Selangor sekarang merupakan 'trainer' atau abang besar BTN dulu. Mereka tentu lebih memahami isikandung kursus itu kerana mereka la yang merekabentuk modul latihan yang merupakan 'kitab' kepada 'junior trainer'. Sesuatu yang mereka buat dahulu, indoktrinasi pemikiran anak muda dengan idea-idea mereka yang kadangkala radikal... sekarang mereka kata salah dan perlu diperbetulkan. Saya hanya mampu tersenyum dengan telatah mereka... sudah insaf rupanya mereka dan mahu rakyat 'forgive & forget' tindakan mereka dulu. Jadi tak payahlah susah-susah korek kesalahan orang dulu untuk menaikkan imej politik mereka kerana mereka harus berbuat sama... 'forgive & forget'... steady la beb... walk the talk.

Saya tidak ingin mengulas panjang tentang kursus BTN ni... kerana saya yakin sekiranya sebarang bentuk kursus yang akan diperkenalkan sekarang ini bagi menggantikan kursus BTN... ianya pasti berbentuk indoktrinasi dasar, polisi dan halatuju berpihak... sudah pasti 100%. Perkiraannya cukup mudah... BN sekarang berada dalam keadaan tertekan manakala PR pula akan menggunakan segala kelebihan yang ada untuk menawan Putrajaya... oleh itu, masing-masing amat terdesak untuk mengekalkan serta meningkat sokongan walau apa pun caranya.

Kepada orang Melayu, janganlah banyak mengeluh. Sudah jadi tabiat orang Melayu kita... apabila ada isu, mereka akan menjauhkan diri... kononnya tak mau campur, tak mau terbabit dan tak mau jaga tepi kain orang. Saya amat berharap... tolonglah daftar diri sebagai pengundi agar bilangan orang Melayu yang pergi mengundi pada pilihanraya akan datang adalah 100%... siapa yang akan anda undi, itu adalah hak masing-masing. Sudah cukup rasanya orang Melayu ni terkenal dengan dua jenis sifat yang jarang dimiliki oleh bangsa lain iaitu AMUK dan MELATAH.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...