Friday, December 25, 2009

2010... Tahun Mencari Calon YB Untuk Pilihanraya Ke-13

Ramai juga rakan-rakan yang bertanya kepada saya azam tahun hadapan 2010. Sambil tu sempat juga mereka tanya apakah azam tahun ni telah tercapai. Lalu saya sekadar menjawab, tahun 2008 dan 2009 bukanlah tahun-tahun yang menggembirakan buat saya namun tidaklah saya terangkan secara terperinci kepada mereka. Cuma cukuplah saya sekadar menjawab, tahun 2010 adalah tahun mencari rezeki sebanyak mungkin dan semoga saya sentiasa hampir kepada Allah dalam apa jua tindakan saya. 'Ko nak jadi ustaz ke?' tanya mereka, dan saya sekadar tersenyum lalu berkata... 'susah jadi ustaz, nak bercakap pun kena ada permit'.

Saya tinggalkan dulu tentang azam saya. Melalui pengamatan saya dari perbualan dan tindak-tanduk rakan-rakan yang aktif dengan politik, tahun 2010 adalah umpama tahun dunia realiti 'Calon Pilihanraya Ke-13'. Dua pakatan yang mendominasi gabungan parti-parti sedang merangka strategi meletakkan calon yang pasti boleh memberikan kemenangan kepada mereka. Kesilapan meletakkan calon yang mempunyai imej tercalar pasti akan memberi kesan kepada kemenangan bukan sahaja di satu kawasan malahan reaksi spontan pengundi boleh melarat dalam jangkamasa yang amat singkat ke kawasan yang lain berikutan dari kecanggihan teknologi maklumat.

Namun timbul juga persoalan di benak hati pengundi seperti saya. Apakah mereka ada calon yang bersesuaian dan berkelayakan? Lihat saja apabila Pakatan Rakyat menang di beberapa negeri, mereka menghadapi masalah yang amat ketara menguruskan pentadbiran negeri apabila menang pilihanraya yang lalu. Mereka kekurangan ilmu pengurusan dan kecekapan mentadbir secara bekerjasama di antara satu sama lain. Ramai juga ahli mereka yang tidak puashati apabila 'harta peperangan yang sepatutnya mereka nikmati setelah bertahun berjuang, dilapah oleh orang lain'. Memang benar abang-abang besar mereka menafikan semua ini namun apa yang kita dengar dan lihat sendiri memberikan indikator yang berbeza.

Begitu juga di pihak Barisan Nasional, juga menghadapi masalah yang sama. Suara-suara di peringkat cawangan dan bahagian juga jelas menunjukkan mereka bergaduh sesama sendiri. Masing-masing mencalonkan diri sendiri sebagai calon paling layak dengan berbagai alasan tersendiri. Berebut mereka hendak menghadap Perdana Menteri bagi menunjukkan betapa pentingnya mereka di mata rakyat. Namun apakah benar rakyat memandang mereka? Apakah mereka benar-benar bersama rakyat?

Ramai juga anak muda yang saya temui mengatakan mereka tidak begitu peduli kerana baik dulu atau sekarang... tak pernah seorang pun YB yang datang berjumpa mereka. Tanya khabar pun tidak, datang ke kawasan perumahan mereka pun tak pernah. Agak menarik juga jawapan mereka apabila saya tanya tentang isu kehilangan enjin F-5E, apakah menteri yang bertanggungjawab harus meletakkan jawatan. Mereka kata bukan setakat menteri tersebut tapi jika ada seorang penduduk di satu kawasan hidup susah dan tidak dibantu maka YB kawasan tersebut harus bertanggungjawab dan neraka la tempat tinggal mereka kelak. Saya kata la mungkin YB tersebut sibuk dan mereka kata itu YB tu punya pasal... kami undi dia untuk jaga kawasan kami baik-baik, bukan duduk dekat pejabat berhawa dingin hari-hari pergi mesyuarat.

Dan saya amat pasti keluhan anak-anak muda ni memang takkan ke mana pun sebab memang dah tabiat YB ni... sibuk dengan lain-lain hal. Masa kempen dulu, hari-hari keluar jumpa penduduk, lepas menang... lain cerita, mengurus hal negeri katanya.

Apakah pengundi akan melihat calon yang diletakkan sebagai kriteria mengundi pada pilihanraya akan datang? Kita lihat saja nanti... adakalanya sesuatu yang tidak disangka boleh berlaku dan semoga calonnya nanti seorang yang boleh berkhidmat... bukan seorang yang berhormat.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...