Monday, September 10, 2012

CERITA KEPALA

Pada hujung 70-an dulu, agak kecoh di Bandar Klang apabila cerita orang dibunuh dan KEPALAnya dipenggal untuk tujuan 'penyembahan' bagi membina jambatan baru Klang yang terletak betul-betul bersebelahan dengan Jambatan Kota, Klang.  Kononnya banyak KEPALA diperlukan untuk ditanam bersama-sama dengan cerucuk tiang jambatan... jika tidak, jambatan akan roboh. Sungguh tidak saya ketahuan hingga hari ini... siapa punya angkara yang 'mensensasikan cerita ini. Memang rasa takut masa tu... nak ke mana-mana mesti ajak kawan, hantu betul. Tak tahu la kot sebab orang tua-tua tak suka kami selalu balik rumah hampir waktu Maghrib atau selalu keluar merayau-rayau. Sehingga sekarang apabila saya bertanyakan beberapa orang... masih ada juga cuba 'memejamkan mata sungguh-sungguh' mengiyakan bahawa perkara tersebut 'mungkin' berlaku. Pengalaman saya bekerja di bidang pembinaan dan hartanah selama lebih berbelas tahun... menidakkan 'dongeng' tersebut. Temberang je diaorang nih... walaupun kadang-kadang cuak tengok tokpekong kecil warna merah yang didirikan di tapak-tapak pembinaan tertentu... cheh.

Tak percaya...? Sudahlah korang... memang perkara ni tak pernah berlaku dalam sejarah peradaban manusia yang telah berkurun membina berbagai bangunan. Tapi ada juga dengar cerita dari beberapa pekerja tapak binaan yang mengatakan ada pokok atau bukit yang susah hendak dipotong atau diratakan... lepas 'semayang semelih ayam' baru boleh... katanya la.

KEPALA juga berada di tempat tertinggi dalam struktur tubuh manusia... di situ juga terletaknya otak manusia. Itu sebab bila ada orang yang melakukan sesuatu yang di luar adab... 'otak ko letak kat lutut apa ke'. KEPALA juga diberikan beberapa 'kemuliaan' dalam beberapa situasi...

KEPALA yang membawa maksud ketua. 

KEPALA surat yang menjadi posisi tanda nama sesebuah syarikat, didahulukan di bahagian paling atas mana-mana urusan surat-menyurat.

KEPALA yang dicukur rambutnya apabila selesai melakukan ibadat umrah atau haji.

Rambut yang dikatakan sebagai mahkota wanita juga terletak di KEPALA...

Tanjak atau destar yang dipakai oleh Sultan, Pembesar Negeri atau Panglima... juga dipakai di KEPALA. Arwah abah saya memang terkenal di istana dulu dalam kemahirannya mengikat tanjak. Beliau amat memandang tinggi seni tersebut hinggakan akan menegur sesiapa juga yang 'salah ikatan' atau 'lekuk' tanjak tersebut. Saya sendiri pernah mendengar beliau menegur seseorang... 'maafkan saya, ikatan dan lekuk tanjak tu salah... itu tanjak panglima hendak pergi perang sedangkan encik hendak menghadap untuk terima pingat kebesaran dari Sultan' Boleh kita bayangkan kalau tanjak dipakai di perut... kan dah macam bengkung rupanya, hodohkan?

Cuba kita tidur lunjur kaki hala ke KEPALA orang lain... dulu-dulu, boleh kena libas dengan mak bapak. Tak payah nak tunggu orang lain tegur dan ajar betapa biadapnya perlakuan sedemikian.

Kadang-kadang kita tidak perlu berkata sepatah perkataan pun untuk menyatakan rasa hormat kepada orang lain. Kita cuma perlu menundukkan sedikit KEPALA kepada seseorang dan kita akan perasan wajah gembira mereka apabila diberikan pernghormatan sedemikian.

Dan semulia-mulia merendahkan kedudukan KEPALA kita ialah apabila kita merapatkan dahi sujud kepada Yang Maha Mencipta... tanda kita mengakui bahawa kita makhluk dicipta yang mempunyai 'expiry date'. Ada tarikh kelahiran dan sentiasa bersifat sementara... jangan percaya cerita omputeh tentang manusia boleh hidup selamanya tu, pembohong taik kucing.

Demikianlah kita orang Melayu Islam... diajar tentang nilai, adab dan budi-bahasa. Kita patut merasa amat marah apabila ada orang meletakkan gambar seseorang... yang ada muka dan KEPALA... dicampak ke atas jalan, dipijak-pijak sambil menunjukkan rasa kepuasan, ditunjukkan punggung yang dilondehkan seluar ke gambar tersebut. Walau apa jua alasan yang diberikan... perbuatan itu amat biadab. Kita boleh gunakan akal sendiri dan tak perlu nak tunggu mana-mana ustaz keluarkan berbagai ayat untuk buat ulasan.

Bagaimana jika gambar itu gambar bapa atau ibu kita... orang tua yang menyuapkan makanan ke mulut kita semasa kita belum kenal apa itu hidup. Sungguh benar politik sekarang ini... sesat lagi menyesatkan dengan prinsip matlamat menghalalkan segalanya.

Saya fikir kita ada KEPALA yang sihat dan cukup matang untuk buat pilihan... 

dan SAYA PILIH MENGUNDI
Read more

Sunday, September 9, 2012

JAUH PERJALANAN LUAS PENGALAMAN

Tepat pada 8hb September 2012... meningkat lagi angka usia saya. Merenung ke belakang bilangan tahun yang telah saya tinggalkan... betapa jauh sudah perjalanan saya di dunia ini walaupun hati sentiasa merasa muda hahaha. Kata orang tua-tua dalam bahasa ibunda... Life begins at 40. Sepatutnya fikiran dan geraklaku sudah begitu matang untuk sesiapa jua pada usia ini... mereka mula mengira sisa hidup yang tinggal yang seharusnya diisi dengan perkara-perkara yang baik.

Memang benar... persepsi banyak berubah apabila seseorang mula melepasi 40. Mungkin disebabkan faktor pengalaman yang dilalui... banyak makan garam barangkali, bak kata pepatah Melayu. Kadangkala ketawa sendirian bahkan menggelengkan kepala apabila terkenang perkara-perkara yang pernah dilakukan dulu... sesekali kenangan bertindak seperti 'pembangkang' di dalam minda sedangkan akal hendak melupakan dan teruskan hidup ke hadapan. Biar sahaja kenangan itu dijadikan sandaran agar laluan di hadapan ditempuhi dengan penuh hemah dan matang.

Adakalanya juga 'iklan minda' menerjah secara tiba-tiba... 'kan bagus kalau kita tidak menjadi dewasa dan kekal sebagai kanak-kanak'. Harap tiada mana-mana 'ustaz online' sekolahkan saya tentang hal ini... nanti dituduh pula saya menolak hukum Allah tentang 'sifat kekal'.

Suatu masa dahulu, pada tarikh ini... saya membelek sebuah kamera kompak KODAK. Hadiah dari arwah abah semasa saya di Tingkatan 3 ingat-ingat lupa. Pada masa itu, semua kamera menggunakan filem... 200, 400... 24, 36... bagi sesiapa yang biasa 'bermain' dengan kamera tentu faham angka-angka tersebut. 200 atau 400 mewakili ISO filem tersebut manakala 24 atau 36 adalah jumlah gambar yang dapat diambil dengan filem tersebut... kadang-kadang dapat lebih sekeping dua. Agak 'mahal' hobi ini dan terpaksa dimanipulasikan dengan mengambil gambar rakan-rakan yang kemudiannya akan membeli gambar-gambar yang saya ambil. Sekeping antara RM1-RM2... haha, balik modal dan ada lebih lagi. Alhamdulillah, mak juga memberikan sokongan penuh... mungkin lebih rela anaknya yang agak 'kreatif tak bertempat' ini bermain dengan kamera dari berbuat perkara-perkara yang tak masuk dek 'akal tinggi moral' golongan dewasa hahaha. Ya, hobi ini berterusan hingga ke hari ini dan sekiranya arwah abah masih ada... beliau pasti menggelengkan kepala jika mengetahui harga kamera digital sekarang ini... setahun gaji beliau.

Suatu masa dahulu, pada tarikh ini... saya mendapat 'teman' baru. Sebuah radio 'mini-compo dengan equalizer'... mungkin agak panjang deskripsi betul ke ejaan ni radio ni tapi pada masa tu... COOL giler. Radio saya yang pertama adalah sebuah mini-transistor berwarna putih yang dibeli oleh arwah abah semasa kunjungan kerja beliau ke Sabah. Mini-compo ini menjadi teman setia setiap hari ketika belajar atau duduk termenung tak tau nak buat apa sementara tunggu pukul 5 petang nak main bola. Pada masa ini jugalah saya kenal maksud 'cetak rompak' hahaha. Ye la mana mampu beli kaset original beb... student. Jadi, kaset di pasar malam yang berharga RM3-RM5 menjadi pilihan... seriously, memang berkualiti juga dan tahan bertahun-tahun. Mini-compo ini masih saya simpan hingga sekarang dan masih boleh digunakan. Untunglah korang sekarang ni... bila-bila boleh muat turun lagu dari laman sesawang.

Suatu masa dahulu, pada tarikh ini... saya masih mempunyai seorang datuk yang begitu banyak ilmunya. Beliau selalu bercerita tentang salasilah keluarga yang berasal dari Bugis... moyang-moyang yang bergelar ulama... pendekar-pendekar... dan kepandaian mereka. Datuk seorang yang begitu mahir membuat keris dan barang perhiasan khusus untuk Kesultanan Selangor. Dalam perjalanan ke rumahnya... saya kerap mengutip buah-buah pinang untuk pelbagai kegunaannya. Ajaib sungguh apabila beliau dapat membuat tongkat yang diperbuat dari buah pinang. Pada tarikh ini juga... di kala ini... terasa sedikit kesal kerana tidak belajar sungguh-sungguh skil membuat keris yang diajarnya dahulu.

Suatu masa dahulu, pada tarikh ini... saya berjaga malam menolong mak tolong menyemak dan mengacau membuat sendiri kuih-kuih raya. Yup... semuanya gara-gara biskut Ovaltine yang memang sentiasa ditunggu setiap kali hari raya. Berjaga malam hingga ke subuh... menguli dan menggelek tepung lalu ditekap dengan berbagai bentuk rangka kuih untuk persiapan hari raya. Tiada dapur gas... hanya dapur minyak tanah dan oven hitam cap Butterfly untuk memasak biskut raya. Siang harinya pula setelah kena jerit dan marah tugasan wajib setiap tahun... basuh tingkap kayu yang berbilah-bilah yang berkeledak dek debu. Cuci setahun sekali... itupun komplen bagai nak rak. Bulan puasa beb... alasan letih adalah yang paling konkrit sekali hahaha. Sesungguhnya istiqamah dan ketekunan mak menjaga hal-hal rumah dan keluarga... amat sukar untuk diikuti oleh kaum lelaki. Korang tersengih kan... korang ingat korang rajin sangat ke... pigidah!!

Pada tarikh ini... sekarang dan pada masa akan datang, saya memohon kepada Allah agar dikurniakan akal yang sihat dan minda yang matang. Semoga perjalanan hidup mendatang dilalui dengan petunjuk dan hidayahNya jua... bersama-sama isteri tercinta dan keluarga. Bersyukur di atas segala kurniaanNya dan mudah-mudahan dibekalkan dengan kekuatan rohani dan jasmani.

Pada tarikh ini juga, saya memohon agar Allah permudahkan segala urusan sahabat sekalian. Dikurniakan ketabahan akal dan fizikal sebagai 'gadgets' dalam mengharungi kehidupan yang semakin mencabar dewasa ini. Dan kepada semua umat Islam... agar kita mengenali satu sama lain sebagai bersaudara.

Dan harapan juga agar... Malaysia menjadi tempat hidup yang molek untuk kita semua.

Selamat harijadi kepada diri sendiri... :)
Read more
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...