Sunday, September 9, 2012

JAUH PERJALANAN LUAS PENGALAMAN

Tepat pada 8hb September 2012... meningkat lagi angka usia saya. Merenung ke belakang bilangan tahun yang telah saya tinggalkan... betapa jauh sudah perjalanan saya di dunia ini walaupun hati sentiasa merasa muda hahaha. Kata orang tua-tua dalam bahasa ibunda... Life begins at 40. Sepatutnya fikiran dan geraklaku sudah begitu matang untuk sesiapa jua pada usia ini... mereka mula mengira sisa hidup yang tinggal yang seharusnya diisi dengan perkara-perkara yang baik.

Memang benar... persepsi banyak berubah apabila seseorang mula melepasi 40. Mungkin disebabkan faktor pengalaman yang dilalui... banyak makan garam barangkali, bak kata pepatah Melayu. Kadangkala ketawa sendirian bahkan menggelengkan kepala apabila terkenang perkara-perkara yang pernah dilakukan dulu... sesekali kenangan bertindak seperti 'pembangkang' di dalam minda sedangkan akal hendak melupakan dan teruskan hidup ke hadapan. Biar sahaja kenangan itu dijadikan sandaran agar laluan di hadapan ditempuhi dengan penuh hemah dan matang.

Adakalanya juga 'iklan minda' menerjah secara tiba-tiba... 'kan bagus kalau kita tidak menjadi dewasa dan kekal sebagai kanak-kanak'. Harap tiada mana-mana 'ustaz online' sekolahkan saya tentang hal ini... nanti dituduh pula saya menolak hukum Allah tentang 'sifat kekal'.

Suatu masa dahulu, pada tarikh ini... saya membelek sebuah kamera kompak KODAK. Hadiah dari arwah abah semasa saya di Tingkatan 3 ingat-ingat lupa. Pada masa itu, semua kamera menggunakan filem... 200, 400... 24, 36... bagi sesiapa yang biasa 'bermain' dengan kamera tentu faham angka-angka tersebut. 200 atau 400 mewakili ISO filem tersebut manakala 24 atau 36 adalah jumlah gambar yang dapat diambil dengan filem tersebut... kadang-kadang dapat lebih sekeping dua. Agak 'mahal' hobi ini dan terpaksa dimanipulasikan dengan mengambil gambar rakan-rakan yang kemudiannya akan membeli gambar-gambar yang saya ambil. Sekeping antara RM1-RM2... haha, balik modal dan ada lebih lagi. Alhamdulillah, mak juga memberikan sokongan penuh... mungkin lebih rela anaknya yang agak 'kreatif tak bertempat' ini bermain dengan kamera dari berbuat perkara-perkara yang tak masuk dek 'akal tinggi moral' golongan dewasa hahaha. Ya, hobi ini berterusan hingga ke hari ini dan sekiranya arwah abah masih ada... beliau pasti menggelengkan kepala jika mengetahui harga kamera digital sekarang ini... setahun gaji beliau.

Suatu masa dahulu, pada tarikh ini... saya mendapat 'teman' baru. Sebuah radio 'mini-compo dengan equalizer'... mungkin agak panjang deskripsi betul ke ejaan ni radio ni tapi pada masa tu... COOL giler. Radio saya yang pertama adalah sebuah mini-transistor berwarna putih yang dibeli oleh arwah abah semasa kunjungan kerja beliau ke Sabah. Mini-compo ini menjadi teman setia setiap hari ketika belajar atau duduk termenung tak tau nak buat apa sementara tunggu pukul 5 petang nak main bola. Pada masa ini jugalah saya kenal maksud 'cetak rompak' hahaha. Ye la mana mampu beli kaset original beb... student. Jadi, kaset di pasar malam yang berharga RM3-RM5 menjadi pilihan... seriously, memang berkualiti juga dan tahan bertahun-tahun. Mini-compo ini masih saya simpan hingga sekarang dan masih boleh digunakan. Untunglah korang sekarang ni... bila-bila boleh muat turun lagu dari laman sesawang.

Suatu masa dahulu, pada tarikh ini... saya masih mempunyai seorang datuk yang begitu banyak ilmunya. Beliau selalu bercerita tentang salasilah keluarga yang berasal dari Bugis... moyang-moyang yang bergelar ulama... pendekar-pendekar... dan kepandaian mereka. Datuk seorang yang begitu mahir membuat keris dan barang perhiasan khusus untuk Kesultanan Selangor. Dalam perjalanan ke rumahnya... saya kerap mengutip buah-buah pinang untuk pelbagai kegunaannya. Ajaib sungguh apabila beliau dapat membuat tongkat yang diperbuat dari buah pinang. Pada tarikh ini juga... di kala ini... terasa sedikit kesal kerana tidak belajar sungguh-sungguh skil membuat keris yang diajarnya dahulu.

Suatu masa dahulu, pada tarikh ini... saya berjaga malam menolong mak tolong menyemak dan mengacau membuat sendiri kuih-kuih raya. Yup... semuanya gara-gara biskut Ovaltine yang memang sentiasa ditunggu setiap kali hari raya. Berjaga malam hingga ke subuh... menguli dan menggelek tepung lalu ditekap dengan berbagai bentuk rangka kuih untuk persiapan hari raya. Tiada dapur gas... hanya dapur minyak tanah dan oven hitam cap Butterfly untuk memasak biskut raya. Siang harinya pula setelah kena jerit dan marah tugasan wajib setiap tahun... basuh tingkap kayu yang berbilah-bilah yang berkeledak dek debu. Cuci setahun sekali... itupun komplen bagai nak rak. Bulan puasa beb... alasan letih adalah yang paling konkrit sekali hahaha. Sesungguhnya istiqamah dan ketekunan mak menjaga hal-hal rumah dan keluarga... amat sukar untuk diikuti oleh kaum lelaki. Korang tersengih kan... korang ingat korang rajin sangat ke... pigidah!!

Pada tarikh ini... sekarang dan pada masa akan datang, saya memohon kepada Allah agar dikurniakan akal yang sihat dan minda yang matang. Semoga perjalanan hidup mendatang dilalui dengan petunjuk dan hidayahNya jua... bersama-sama isteri tercinta dan keluarga. Bersyukur di atas segala kurniaanNya dan mudah-mudahan dibekalkan dengan kekuatan rohani dan jasmani.

Pada tarikh ini juga, saya memohon agar Allah permudahkan segala urusan sahabat sekalian. Dikurniakan ketabahan akal dan fizikal sebagai 'gadgets' dalam mengharungi kehidupan yang semakin mencabar dewasa ini. Dan kepada semua umat Islam... agar kita mengenali satu sama lain sebagai bersaudara.

Dan harapan juga agar... Malaysia menjadi tempat hidup yang molek untuk kita semua.

Selamat harijadi kepada diri sendiri... :)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...