Tuesday, October 20, 2009

Masjidku Surauku

Cuba park kereta dekat Extreme Park, Seksyen 13, Shah Alam... lepas tu jenguk seberang jalan... ada sebuah surau @masjid sebelah traffic light tu. Start enjin.. cuba drive hala ke mana-mana taman perumahan sekitar bandar Shah Alam yang jaraknya cuma 10-15 minit perjalanan... akan jumpa juga surau dan masjid. Dan akhir sekali park kereta dekat Masjid Shah Alam... ada berbelas ekar tanah lapang dalam masjid ni dan begitu juga di surau dan masjid yang tadi kita lalu. Sambil-sambil drive tu cubalah isi minyak kat mana-mana stesen minyak... gerenti jumpa budak-budak yang sepatutnya duduk di sekolah atau rumah untuk belajar... tapi sedang jual produk minyak angin dan kalendar atas nama rumah anak-anak yatim. Last sekali... pergi cucuk duit dekat mana-mana ATM... gerenti ada orang tercongok depan teller machine tu dengan satu bakul... mintak derma untuk berbagai sekolah anak yatim dan pembinaan surau @ masjid.

Memang benar saya agak terganggu dengan situasi di atas... tentang tanah lapang masjid, tentang anak-anak kecil tu dan yang terconggok depan ATM dengan bakul 'laundry'. Saya telah didedahkan dengan dunia perniagaan sejak usia kecil dan banyak kali saya dengar ustaz-ustaz bagi ceramah... 2/3 rezeki datangnya dari perniagaan. Tanah lapang kosong = anak-anak kecil kutip derma = mamat pakai kopiah duduk depan ATM. Yang saya nampak... tanah lapang yang boleh diusahakan oleh mamat pakai kopiah sambil mengajar anak-anak kecil cara bertani dan berniaga di samping beri pendapatan sewa tanah kepada masjid dan hasilnya boleh digunakan untuk mana-mana pertubuhan tanpa perlu kutip derma. Apa... tak boleh buat? Saya akan terangkan secara ringkat selepas ini untuk renungan bersama. Tak payahlah tunggu 'political will' untuk buat semua ni.

Memang kita boleh manfaatkan tanah lapang di masjid untuk menjana pendapatan berterusan kepada banyak pihak selain dari menyewakan lot-lot kosong untuk peniaga menjual barangan Industri Kecil Sederhana. Kalau pihak masjid pergi ke jabatan pertanian atau mana-mana agensi pertanian... saya pasti agensi tersebut mempunyai teknologi memanfaatkan tanah-tanah lapang samada berukuran besar atau kecil untuk diusahakan sebagai kawasan pertanian. Bukan sedikit teknologi pertanian yang telah dicipta sekarang ni... banyak, kalau kita rajin membaca dan bertanya. Tak payahlah bagi alasan bau busuklah nanti... kotorlah... kalau nak buat untuk manfaat ummah... itu bukan halangan. Kita orang Islam... kenalah buktikan segala suruhan yang menyatu dan menguatkan umat... bukan mengimarahkan segala macam 'tak boleh' kononnya itu adalah larangan agama.

Saya yakin ramai yang boleh dibabitkan dalam perniagaan di masjid ini. Dan saya juga amat yakin... hasilnya dapat dimanfaatkan oleh semua orang. Bayangkan... 'Sunday Market' di masjid Shah Alam... ada orang jual sayur, jual barangan pertanian dan bermacam-macam lagi. Itu kalau satu masjid... bayangkan kalau dibuat di hampir 380 buah masjid yang melata di Selangor... belum lagi surau-surau. Kalau dikumpulkan semua hasil pertanian dalam sebulan dari semua masjid ini... banyak tu. Panggillah semua orang yang boleh dibabitkan untuk mengusahakan program ni... kalau tak dimulakan, memang takkan berjaya langsung... tapi kalau dah mula... setidak-tidaknya 50% kejayaan pasti ada. Gerenti imam-imam yang ada akan buat solat hajat sebaiknya bagi mendoakan kejayaan... takde la asyik-asyik solat hajat tolak bala je.

Saya sebenarmya tidak nampak kenapa semua masjid yang ada di Malaysia ni tidak boleh menjadi tumpuan ramai dalam berbagai perkara... dan bukannya suram dan kelam je macam 'rumah tinggal' dalam cerita Antara Dua Darjat. Bayangkan Masjid Shah Alam jadi tumpuan macam Masjid Makkah Al-Mukarramah atau Masjid Nabawi, Madinah Al-Munawwarah. Semua pembangunan dan aktiviti akan berpusat di sekeliling masjid tersebut dek kerana aktifnya masjid tersebut. Ini tidak... masjid penuh sebab ada makam keramat la... sejadah berdiri la... kubur wali la... Islam dikenali dengan benda-benda mistik dan perkara misteri.

Saya akui... memang susah nak buat perkara yang baik... ada je yang bagi macam-macam hujah membangkang dan itu belum lagi ahli-ahli politik (yang mengaku mereka ahli politik... haprak) yang kerjanya asyik membantah je tapi tak pernah buat apa-apa. Tapi... kena cuba la... kita pun tak pernah disuruh solat dengan niat je... makan pun kena bersuap beb, kalau niat je mau kebulur.

Kita boleh ambil mana-mana pertubuhan yang ingin meminta derma agar menukar pendekatan mereka... 'suruh mereka berniaga'. Besar bidang pertanian ni... membajak, menanam, menjaga, memetik, menyimpan, menjual, memasar... macam-macam bidang kerja boleh diagihkan dan semuanya boleh dibuat oleh banyak pihak. Lembaga Zakat juga pasti boleh membantu dalam bentuk kewangan dan tidak lama lagi takde la Lembaga Zakat asyik bagi ikan je... sekarang mereka boleh mula bagi pancing. Barulah la sedap sikit dengar ustaz-ustaz berkopiah bagi ceramah... 'bekerjalah dan berusahalah'... takde la terasa kosong hambar je kata-kata tu. Bukan ke kerajaan dok canang dengan iklan bagai siap ada muka ahli politik sekali kat billboard... 'PERTANIAN ITU ADALAH PERNIAGAAN'. Tunggu apa lagi para Menteri Besar sekalian... buat je la... takkan nak kata pulak masjid tu bidang kuasa bawah Sultan pulak. Kalau tak disembahkan pada Sultan... mana Sultan nak tau.

Dari asyik bergaduh tuding jari je... baik la kita berniaga kan. Silap-silap esok ada orang buat parti baru... parti yang tak berpolitik... PARTI RINGGIT MALAYSIA... haisssssss.
Read more

Sunday, October 18, 2009

Cuti Politik... Hek Eleh

'Zaid Ibrahim umum cuti enam bulan dari PKR'. Saya tak tau ada pulak cuti sebegini wujud kerana ahli politik kerja 24 jam... tak pernah cuti kerana kerjanya berkhidmat untuk rakyat. Ketua Wanita PKR kata... dia bercuti untuk tunai haji kerana ada sedikit perkara yang harus dilakukan bagi menguruskan tujuan itu. Maksudnya, Zaid hendak 'menyucikan diri' la sebelum ke tanah suci... kalau ikut pemahaman saya la. Tapi kenapa pulak Timbalan Presiden PKR kata... masih belum buat keputusan berkenaan permohonan 'cuti politik' tersebut. Bermakna kalau tak diluluskan... tak boleh tunai haji la? Siapa nak bayar ganti rugi pada Zaid... kos penerbangan, kos penginapan... siapa? Orang kalau nak tunai haji... bukan lagi sebulan nak berangkat baru nak buat keputusan... ini tidak... Timbalan Presiden dia terkejut keputusan Zaid. Esok-esok ramailah pulak YB yang mintak cuti politik sebab... anak nak periksa, anak nak bersunat, nak tengok final EPL kat England... isi je borang cuti. Kalau nak cepat sangat kelulusan... buat je 'media press conference'... tak payah bagitau pejabat... hek eleh.

Tak silap saya mereka juga yang buat ceramah sana-sini dulu... 'berkata benarlah walaupun ianya menyakitkan'. Tiap-tiap hari mereka 'berkata benar' tentang kesalahan orang lain yang kebetulan memang ada pulak buat salah macam-macam. Bila isu cuti politik ini timbul, mereka tuding lagi jari kat muka orang... 'tidak timbul isu Zaid tidak sebulu dengan salah seorang pemimpin parti. Ini hanyalah mainan pihak tertentu yang memiliki agenda tersendiri untuk menjatuhkan PKR'... macam tu pulak ek. Kita yang diluar ni tak tahu pun Zaid ni ada masalah dengan orang dalam sebab tak pernah keluar kat media pun atau cerita dari kawan-kawan. Sekarang ni barulah kita tahu sebab... mereka sendiri bagitau... hek eleh... style sama je macam BN dulu. Elok la tu... tipu la rakyat atas nama sahsiah politik kononnya... esok orang muak dan menyampah... jangan tuding jari kat rakyat kata rakyat tak tau bersyukur sebab dah diberi subsidi air... cuma bayar RM0.65 je sebulan.

Semua orang tahu... Zaid ni memang terkenal dengan 'kelancaran' mulutnya... deras semacam je. Bila dia masuk PKR, memang akan ada yang 'irihati'... lebih-lebih lagi kalau dapat berurusan terus dengan Penasihat PKR. Mana boleh macam tu kan... orang baru kena la ikut 'q'... duduk belakang dulu. Jangan nak memandai... angguk je... ikut je... awak orang baru. Kena bagi orang yang berjuang sejak reformasi dulu naik ke atas. Nampaknya sejarah pangkas-memangkas akan berlaku seperti biasa... seperti dulu... tiada yang berubah.

Tinggi sebenarnya harapan rakyat kepada Pakatan Rakyat ni... rakyat mahu perubahan yang positif dan harmoni. Rakyat marahkan keangkuhan dan kesombongan BN yang dulu hinggakan mereka mengundi 'sebab marah sangat dah sampai takmo tengok muka'. Sebelum mereka nak bercakap perkara-perkara yang besar... mengutip ayat-ayat 'power' dari buku-buku yang mereka baca atau inspirasi dari Penasihat parti... saya rasa mereka patut buat seminar dan kursus untuk YB-YB mereka... 'Bagaimana hendak mentadbir dan menguruskan negeri'. Bukan mudah merealisasikan sesuatu polisi atas kertas dan diterjemahkan dalam bentuk yang praktikal kepada rakyat. Sayang rasanya... bertahun-tahun berjuang atas jalan, terjerit-jerit, kena 'tear gas', kena simbah 'air cili', kena belasah, keluar masuk lokap... lepas tu tersungkur sebab sikap diri sendiri.

Saya menjangkakan setahun dua ini, bilangan blog yang mula memprotes secara halus atau terang-terangan terhadap PR akan semakin bertambah... sama seperti banyaknya blog yang menyokong mereka dahulu... jika dilihat dari perkembangan isu-isu yang melibatkan PR. Mereka tidak boleh selamanya bergantung kepada sentimen perasaan rakyat yang bencikan ketidakadilan dan rasuah... nampak berlebihan mereka mengambil kesempatan atas isu-isu seperti ini... 'menunjukkan mereka itu baik dan 'angelic' hasil dari menuding jari dan membuka pekung orang lain'... helo brader, tunjuklah yang kamu tu boleh buat lebih dari itu... 'honeymoon season is so over yob'.

Kompom semua jabatan sumber manusia pening lepas ni... sekarang ni ada cuti sakit, cuti bersalin, cuti kecemasan, cuti rehat... lepas ni nak kena buat resolusi pengarah baru untuk tambah alasan cuti... CUTI POLITIK.

Hek eleh... sengal.
Read more

Saturday, October 17, 2009

Kemahiran Yang Hilang...

Jangan terkeliru dengan tajuk tulisan saya kali ini kerana ianya seakan-akan tajuk sebuah buku yang amat popular suatu ketika dahulu... Permata Yang Hilang. Buku tersebut amat sesuai untuk mereka yang akan melangsungkan perkahwinan kerana membicarakan secara terperinci tentang hubungan seksual di antara suami isteri. Namun demikian, buku tersebut juga telah berjaya mendokumentasikan kemahiran dan pengetahuan hubungan seksual yang sememangnya agak janggal untuk dibicarakan secara terbuka pada masa itu, tak silap saya sekitar awal tahun 90-an.

Saya hidup di zaman pembangunan hartanah dan fizikal yang sedang membangun di Malaysia. Bangunan dan taman perumahan dibina bak cendawan tumbuh... pesat membangun. Semasa usia saya belasan tahun dahulu, banyak juga saya membantu kerja-kerja pertukangan kerana sedikit minat terhadap seni pertukangan dan mungkin juga segan kalau tak tolong orang. Pada masa itu tidak ramai pekerja asing di Malaysia... boleh dibilang dengan jari. Beberapa orang bapa kepada rakan-rakan berbangsa Cina kebetulan bekerja sebagai kontraktor binaan dan juga mandur. Ramai juga orang Melayu yang bekerja di sektor pembinaan pada masa itu... sehinggalah kilang-kilang elektronik tumbuh melata di sekitar Lembah Klang. Ramai orang Melayu lebih berminat bekerja kilang... makan gaji mengendalikan mesin yang sememangnya tidak memerlukan banyak kemahiran... cukup sekadar ikut arahan 'line leader' dan 'kerja overtime bagai nak mampus' (istilah mereka)... bagi mendapatkan gaji tetap dan 'OT'.

Oleh kerana pembangunan yang pesat dan kekurangan pekerja... saudara serumpun Indonesia kita telah dibawa masuk sedikit demi sedikit dan bekerja di bawah penyeliaan mandur-mandur Cina ini. Memang ramai yang memandang rendah taraf pekerja ini... tinggal di kolong buruk, tidak terurus, kotor dan berpindah-rendah mengikut jadual kerja. Namun ramai yang tidak sedar... sedikit demi sedikit kemahiran seni binaan kita hilang. Pengalaman saya selama 15 tahun di sektor hartanah telah memungkinkan saya melihat perkara ini. Sedikit demi sedikit pekerja Indonesia ini mempelajari kemahiran dan pengalaman dari mandur ini. Apabila berlalunya satu dekad... ramai di antara mandur-mandur ini telah berhenti atau bersara kerana faktor usia. Apa yang terjadi selepas itu... banyak bidang kerja telah di'sub'kan kepada pekerja-pekerja Indonesia ini kerana kemahiran yang mereka miliki sehingga mereka mampu memperolehi pendapatan yang lumayan. Salah siapa? Jangan dituding jari kepada mereka yang rajin belajar kemahiran. Tidak seperti sektor elektronik... walau sehebat mana pun teknologi dan peralatan yang diperkenalkan oleh sektor pembinaan... ianya amat memerlukan skil kemahiran pekerja... iya, saya maksudkan KEMAHIRAN SENI MEMBINA. Telah terbukti selepas itu, banyak pemilik di sektor elektronik dan pembuatan mengurangkan pekerja dalam angka yang besar kerana teknologi robotik tetapi tidak di dalam sektor pembinaan. Kos pembinaan satu projek perumahan boleh mencecah puluhan juta ringgit... katakanlah RM100 juta. Kerja-kerja yang di'sub'kan kepada 'kongsi pekerja asing' boleh mencecah di antara 3%-5% dari kos... bermakna setiap projek, 'kongsi-kongsi' ini boleh memperolehi di antara RM3 juta - RM5 juta... semata-mata kerana kemahiran mereka yang amat diperlukan oleh pemaju bagi memastikan projek siap mengikut jadual dan berkualiti. Walaupun kadang-kadang kerja di'sub'kan kepada orang Melayu... kebanyakan mereka hanya 'makan persen' dan sebahagian besar terpaksa dibayar kepada pekerja asing yang mereka upah. Kenapa kita tidak buat sendiri... kerana kita mengabaikan dan menidakkan peri pentingnya... KEMAHIRAN.

Begitu juga kisahnya dalam hal Bahasa Inggeris. Saya agak tersinggung apabila isu ini diperhebatkan sehingga terpaksa diselesaikan di jalanan. Secara peribadi, saya menganggap malahan percaya... mempelajari bahasa lain dengan baik samada kemahiran menulis atau bertutur amat penting kerana ianya membuka jalan kepada sebuah pintu... pintu ilmu, pintu persahabatan dan pintu kemahiran. Baru-baru ini saya ada mengambil kursus singkat Bahasa Mandarin dan sungguh saya amat menyesal... kerana tidak mempelajarinya sejak kecil. Malahan saya amat menyesal kerana tidak mempunyai kemahiran bertutur di dalam bahasa Tamil, Punjab, Arab dan lain-lain bahasa. Kemahiran ini tidak boleh diganti dengan apa juga peralatan kerana keindahan sesuatu bahasa itu terserlah melalui tutur kata yang teratur bersama intonasi dan ekspresi muka... sesuatu yang sememangnya tidak boleh diganti dengan mesin atau robot. Malahan terdapat beberapa rakan saya dicari oleh syarikat swasta, kedutaan dan orang perseorangan kerana kemahiran mereka bertutur dalam berbagai bahasa... boleh buat duit juga tu.

Mungkin belum terlambat bagi kita untuk menambah kemahiran sediada. Jangan pula suatu hari nanti, kita terpaksa bergelap sepanjang malam akibat mentol-mentol yang terbakar... semata-mata kerana kita tidak memiliki pengetahuan dan kemahiran memasang mentol sehingga terpaksa memanggil tukang letrik.

Selamat malam Shah Alam.
Read more

Thursday, October 15, 2009

Bahasaku Nan Indah

Beberapa bulan yang lalu saya berpeluang bergambar dengan A. Samad Said yang kebetulan terserempak di depan toko buku Borders, Pavillion Mid-Valley. Terkenang saya bagaimana beliau dan rakan-rakan berjuang untuk memperkasakan Bahasa Melayu di Malaysia hinggakan sanggup berdemonstrasi di jalanan. Tapi bukanlah tujuan saya untuk berdiskusi tentang demonstrasi tersebut mahupun tentang pihak-pihak yang cuba mengambil kesempatan di atas isu ini dalam tulisan saya kali ini. Saya ingin bercerita tentang bahasa yang saya tidak pasti bagaimana ianya mula dituturkan namun sebilangannya masih diterimapakai sehingga hari ini.

Bahasa Melayu kita memang telah lama tercemar, dicemari dan akan sentiasa tercemar sampai bila-bila. Ianya semakin ketara sejak teknologi penghantaran pesanan melalui SMS diperkenalkan di Malaysia. Perkataan singkatan menjadi pilihan kerana bilangan perkataan yang dihadkan untuk sekali SMS bagi menjimatkan kos SMS.

Sengaja saya gunakan permulaan tulisan ni dengan bahasa skema di atas... nanti orang kata cakap tak serupa bikin pulak, cerita tentang bahasa tapi pakai bahasa pasar. Tapi apa ada hal kan... takkan orang nak saman pulak. Sebab bahasa yang nak saya ceritakan selepas ni adalah perkataan yang entah dari mana dan bila munculnya... tau-tau dah ada. Nak kata salah, ramai pulak orang gunakannya... tapi sebilangan perkataan itu masih digunakan hingga sekarang. Kadang-kadang perkataan tersebut boleh juga beri maksud yang berlainan... ikut ayat la. Mungkin juga boleh dikatakan perkataan-perkataan itu satu bentuk 'slanga' yang kadang-kadang pelik sungguh bunyinya.

GOSTAN

Cara menyebutnya... 'Go Stun'. Maksudnya... undur atau berundur. Perkataan ni ditujukan jika kita bawak kereta... terlajak... dan perlu berundur. Ada je la yang terpekik... 'Oi, gostan la keta tu'.

GOHEAD

'Go head'... begitulah sebutannya. Tapi perkataan ni ada la bunyi-bunyi sikit macam 'Go Ahead'... memang itulah pun maksudnya... atau dalam Bahasa Melayu... 'teruskan'. Tapi jangan terkejut... ada jugak orang tua-tua dulu kalau bercakap... 'gohead la basikal tu betul-betul'... maksud gohead tu adalah... kayuh. Tak percaya? Pergi la jumpa orang tua-tua di Klang atau belah-belah Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

BERLENGGING

Maksud perkataan ni... tak pakai baju atau tak berbaju. Selalunya ditujukan pada budak-budak kecik yang main merata-rata siang buta tengah-tengah panas.

GOBOK

Almari di dapur tempat menyimpan makanan... orang Bugis kata 'gerobok.

REMAH

Cara menyebutnya... 'g(r)hey mah'. Perkara atau hal kecik yang dianggap leceh atau walaupun kecil tapi perlu juga diberi perhatian.

TITIK BENGIK

Saya pun tak pasti maksud perkataan ni tapi boleh juga membawa maksud... hal-hal yang remeh temeh. Contohnya... 'benda-benda yang titik bengik pun nak ambil hati'... macam tu la lebih kurang.

GEBOR

Bermaksud selimut

TOKAK

Perkataan ni membawa maksud... gigit atau menggigit.

MENGULOR

Perkataan yang amat terkenal di kalangan kakitangan kerajaan... jangan marah. Membawa maksud... hilang entah ke mana, tak buat kerja.

MENGELAT

Lari dari tugas atau kerja. Juga bermaksud curi tulang atau mencari peluang untuk tidak melakukan sesuatu suruhan kerja.

HEMPOK

'Aku hempok ko kang'... macam nak pukul la kononnya.

KELEPET

'Dikelepetnya aku...' maksudnya menipu atau temberang. Ahli politik biasa la dengan perkataan ni sebab... diaorang pun ramai yang kaki kelepet... hahaha. Kadang-kadang perkataan ini ditukar ganti dengan perkataan 'selebet' yang juga membawa maksud yang sama.

BINGAI

Kurang sedap sikit maksud perkataan ni... 'bodoh atau lembab'.

HAPRAK

Seseorang yang berperangai buruk dan tidak boleh dipercayai. Jika disebut... 'tah budak haprak mana tah'... maksudnya budak yang teruk zahirnya dan tidak diketahui asal-usul keluarganya.

Begitulah lebih-kurang beberapa perkataan yang dapat saya ingat secara spontan dan mudah-mudahan zaman tidak akan menelan bahasa kita yang indah. Janganlah pulak nanti dek kerana nak jimat SMS... lama-lama cara kita berbahasa pun makin pelik bunyinya... 'aq nk msk t'do dlu, sok smbg'... 'aku nak masuk tido dulu, esok sambung'.

...... alahai bahasaku nan indah.
Read more

Wednesday, October 14, 2009

Cerita Kenduri Kahwin

Agak lama juga saya bercadang untuk bercerita tentang kenduri kahwin ni... terutamanya yang dibuat di kawasan perumahan. Semasa kecil dulu, setiap kali ada kenduri kahwin di quarters kediaman saya, boleh dikatakan hampir seluruh penduduk akan terbabit. Bukan sehari dua malah persediaannya memang meriah sejak sebulan sebelum berlangsungnya majlis perkahwinan.

Apa yang menarik perhatian saya setiap kali adanya orang nak kahwin adalah pada hari berlangsungnya kenduri tersebut... kata orang-orang tua, hari jadinya. Gelagat orang yang ada di bawah khemah, dalam rumah, belakang rumah dan tuan rumah benar-benar membuatkan saya sering tersenyum seorang.

Saya pun tak tau dari mana datangnya pantang yang mengatakan mak pengantin tak boleh duduk bawah khemah, mak pengantin tak boleh tengok pengantin bersiap dan bermacam-macam pantang lagi. Selalunya yang bagi arahan pantang ni... makcik-makcik pengantin. Jadi, terconggok je la mak pengantin tu depan pelamin tengok orang lalu-lalang buat kerja. Dan pada hari itulah, suara makcik-makcik pengantin lebih kuat dari speaker box band boy... riuh.

Ayah pengantin pulak memang 'semat' hari tu... lengkap berbaju melayu, segak, kemas... tapi sampai tengahari je. Belum pun pukul satu, sampin dah londeh. Baju pun jatuh labuh ke bawah sebab poket dah penuh dengan sampul surat berisi duit. Kerjanya hanya menyambut tetamu tapi ke hulu ke hilir juga sebab risau tengok lauk tak bertukar hidang... orang pun sibuk memanggil datang ke meja. Sampin yang dia pakai asalnya labuh... lama-lama jadi skirt pendek sebab tak perasan dok gulung lipatan sampin tu... mana tidaknya, risau pun ada takut lauk tak cukup.

Masa ini jugaklah adik-beradik yang ada selisih faham sikit nak tunjuk protes tak puashati. Kadang-kadang tu cerita yang 10 tahun dulu pun boleh jadi isu balik... time majlis tengah sibuk, time tu jugaklah dia tunjuk protes. Tarik muka la, tinggi suara la, merajuk la.... tapi, time ni la. Taik punya hal pun mau gaduh... haisssss.

Paling steady budak-budak penanggah... Jaworld kata... rewang. Pakaian wajib... seluar jeans lipat sampai tulang kering, towel good morning kat leher... tapi mesti gaya rock. Diaorang ni suruhlah kerja sampai malam... janji supply rokok tak putus. Diaorang ni jugaklah naik pentas... nyanyi dengan band boy. Asal pegang je mikrofon... mesti pakai spek hitam.

Tukang masak semua dekat belakang bawah satu khemah. Macam mana lajunya tangan diaorang buat kerja, macam tu jugaklah lajunya mulut diaorang bercakap. Semua topik sekaligus... dari hal pengantin sampailah hal jiran. Tuan rumah pun tak kisah... janji lauk siap on time dan cukup.

Tapi ada satu kumpulan yang saya tengok agak tertib penampilan diaorang. Pakai 'semat'... baju 'masuk dalam seluar'... spek hitam wajib. Time makan diaorang makan tapi lepas tu diaorang ni akan berdiri atau duduk-duduk sebelah khemah... lama pulak tu, terutamanya waktu puncak orang datang nak makan. Macam SB... asyik perati orang sana-sini tapi diaorang sama-sama diaorang jarang bercakap. Asal melintas je anak dara... macam radar, serentak je kepala diaorang tengok anak dara tu berjalan. Tahun-tahun 80an dulu diaorang ni anak-anak muda yang biasa dikenali sebagai... mat rock, mat diskang, mat belia. Berlainan falsafah musik tetapi bila ada majlis kahwin... diaorang akan bersatu dengan satu tujuan... 'usha anak dara'. Diaorang terpaksa kumpul ramai-ramai satu group sebab bila diaorang berseorangan masa tu... hilang 'macho' diaorang.

Memang tak susah saya hendak mendekati golongan semua ini... lebih-lebih lagi bila saya pegang kamera. Apapun kehadiran dan gelagat mereka benar-benar menambah keceriaan majlis kenduri kahwin. Semoga tradisi mengadakan kenduri kahwin di rumah sendiri dan secara gotong-royong akan kembali seperti dahulu.
Read more

Monday, October 12, 2009

PRK Bagan Pinang

Tahniah saya ucapkan kepada BN dan Bro Isa Samad kerana memenangi PRK Bagan Pinang dengan majoriti yang bukan kepalang banyaknya... lima ribu lebih. Tahniah juga kepada gurkha-gurkha kempen yang tentunya berjaga siang dan malam bagi memastikan kemenangan BN. Oleh kerana bulan Syawal belum lagi berakhir, tentu makin meriah 'open house' pada minggu terakhir ini... kot-kot ada lagi duit raya. Kepada PAS, tahniah juga kerana bekerja keras, memang anda tidak dijangkakan menang pun... jadi janganlah kecewa sangat. Saya ada juga menonton di TV, sampai bergaduh-gaduh, baling-baling objek oleh kedua-dua pihak. Hari pengundian ni pun sama macam perlawanan bola di stadium... 'temperature' mudah naik, ringan je mulut memaki dan tangan menghayun. Tahniah jugalah kepada yang bergaduh ni sebab sekali lagi anda berjaya menonjolkan kebadutan anda di mata dunia... zaman internet ni, sekejap je insiden sensasi seperti ini masuk Youtube. Kepada Ahli Parlimen Teluk Kemang, Dato Kamarul, janganlah kecewa. Kita pergi minum teh nanti di Bangsar sambil sembang-sembang.

Pada hari penamaan calon yang lalu, timbul pandangan menyatakan bahawa keputusan di Bagan Pinang ini bakal menjadi indikator kepada PRU Ke-13 kelak... begitulah kata sebilangan pemerhati politik negara. Namun fikiran nakal saya agak sukar untuk dinasihatkan dengan kenyataan ini. Come on Bro... Bagan Pinang ada hampir lima ribu lebih pengundi pos, kebanyakannya askar. Mungkin agak lama hendak tunggu PRU 13 tetapi saya juga terfikir... jika sedemikian kukuhnya kenyataan pemerhati politik tentang sokongan rakyat terhadap BN... apa kata, ini cadangan nakal saya... apa kata cuba bubarkan DUN Perak esok dan kita lihat keputusannya. DUN Perak akan menjadi satu 'sampling' yang lebih signifikan dan relevan sebagai indikator PRU 13... ada berani?

Saya juga berharap selepas ini Bro Isa akan memajukan lagi Port Dickson. Memang tidak dinafikan BN banyak membawa pembangunan di PD sejak dahulu. Semoga PD menjadi lebih bersih, pantainya dijaga, projek terbengkalai swasta diselamatkan dan PD menjadi pusat tarikan peranginan terbaik di Asia Tenggara. Kepada rakan-rakan politik, baik di kem BN atau kem PR, berbaik-baiklah seperti biasa selepas tempoh kempen ini. Bukan besar sangat pun Malaysia ni... balik-balik kita akan bertembung di tempat biasa... kedai mamak, pusat beli-belah, stadium bola. Tak payahlah tarik muka masing-masing, nanti cepat tua.

Kerisauan saya bukanlah tentang PRK Bagan Pinang ini sebab kalah menang adalah adat pertandingan. Saya cuma menjangkakan PRU 13 kelak akan menjadi PRU yang paling buruk dan sengketa dalam sejarah Malaysia. Saya cuma berharap rakan-rakan saya tidak saling bertelagah semata-mata kerana fahaman politik masing-masing. Cubalah bertolak-ansur dan bertimbang-rasa sedikit atas nama persahabatan. Kadangkala... 'a person called friend worth's populations'.

Kita jumpa di padang golf nanti... start practising swings guys... kalah nanti, banyak pulak kalimahnya sampai berbulan-bulan terngiang-ngiang.
Read more

Apa Yang Akan Anda Buat Jika Ada USD$25,000,000

Ramai rakan-rakan saya beritahu ada menerima email yang memaklumkan mereka memenangi loteri, cabutan email khas, permintaan pemindahan dana dan berbagai lagi bentuk email yang seperti itu. Jumlah yang mereka sepatutnya terima bukan kepalang angkanya... berbelas juta USD. Naik jenuh saya terangkan berkali-kali dan ada juga yang sanggup bertegang urat semata-mata ingin memenuhi naluri bakal jutawan mereka... mana tidaknya, berjuta ringgit... ada enam angka kosong di belakang.

Jadi, biarlah saya terangkan di sini untuk tatapan masing-masing. Mungkin mereka merujuk saya kerana kebetulan saya seorang Akauntan. Renungkanlah perkara di bawah yang mungkin boleh memberi sedikit panduan dan ingatan bukan sahaja untuk mereka tetapi juga untuk saya sendiri:-

  1. Untuk yang beragama Islam, loteri itu adalah haram. Jadi tidak usahlah layan langsung email yang kata anda menang loteri.

  2. Mengikut rekod, terdapat puluhan juta penduduk dunia yang mempunyai email termasuk anda. Kenapa dan bagaiamana anda dipilih, adalah berdasarkan 'science of probabilities and chances'... penipu itu hanya pilih rawak secara 'copy and paste', kebetulan terpilih email anda. Dan janganlah terfikir bahawa ini adalah rezeki yang ditakdirkan untuk anda.

  3. Tiada siapa pun di dunia ini yang sanggup membahagikan duit yang mereka ada kepada orang yang tidak dikenali dengan peratusan 70%:30% atau sebagainya. Sejarah telah membuktikan, sedangkan orang yang dikenali juga tidak menerima sebarang pembahagian harta yang tidak sebanyak mana, inikan pula hendak membahagikan puluhan juta kepada orang yang langsung tidak dikenali.

  4. Tak payahlah berangan... kalau hendak harta... BERKERJALAH RAJIN-RAJIN.

Kepada rakan-rakan sekalian, semoga dimurahkan rezeki yang halal dan kesihatan yang baik... amin

Read more

Saturday, October 10, 2009

Satu Detik Yang Amat Berharga

'A ringgit worth's millions, a second worth's lifetime, a friend worth's populations... just don't waste your time collecting enemies, envy, hate and anger'... itulah antara ungkapan yang kerap saya ucapkan kepada kawan-kawan semata-mata sebagai ingatan untuk diri sendiri. Walaupun usia saya baru mengenal hidup (... life begins at forty), perjalanan hidup saya telah menempuh berbagai golongan masyarakat... dari golongan buruh hingga ke golongan aristokrat, dari pengundi hingga para memanda menteri. Setiap detik yang berlalu sepanjang perjalanan hidup ini amat mengujakan apatah lagi dengan corak pemikiran saya berbentuk potret... pemikiran bergambar. Gambaran kehidupan yang pernah saya saksikan adakalanya mendebarkan walaupun ianya telah berlalu belasan tahun yang lalu. Dan semua itu menyedarkan saya bahawa... satu detik itu nilainya sama seperti seumur hidup. Jadi kenapa perlu dibazirkan buat perkara bodoh. Dan aliran pemikiran seperti ini yang menyebabkan saya amat meminati kamera... merakamkan setiap detik kehidupan untuk tatapan masa hadapan.

Peristiwa gempa bumi baru-baru ini di Padang, Sumatera amat mengusik hati saya. Pada tahun 2006, saya pernah berkunjung ke sana bersama lawatan Kerajaan Negeri Selangor. Suasana kehidupan di sana mengingatkan saya di zaman 70an dan 80an di Malaysia... bangunan lama, kenderaan lama, kehidupan kebanyakan penduduk yang agak sederhana... malahan udaranya pun saya rasa seperti era 70an... amat menyenangkan. Saya juga berkesempatan berkenalan dengan Gabenornya, Bapak Gamawan Fauzi berserta pegawai-pegawainya. Namun, gambar-gambar selepas gempa bumi yang saya saksikan baru-baru ini... amat menyayat hati sehingga saya merasakan semasa saya berada di sana dahulu... ianya merupakan satu detik yang amat berharga. Bagaimana agaknya jika gempa tersebut berlaku semasa saya berada di sana?

Begitu juga apabila berlakunya kejadian Tsunami pada Disember 2004. 6 bulan sebelum berlakunya tsunami tersebut, saya bercuti di Phuket bersama isteri. Sempat juga berjalan ke beberapa tempat menarik di sana dan tidak pernah terfikir langsung sesuatu yang buruk bakal berlaku di Phuket. Namun gempa bumi yang berlaku di Sumatera telah menyebabkan Phuket dilanda Tsunami dan hotel tempat kami pernah menginap telah ditenggelami air laut. Saya terbayang pada masa itu bagaimana agaknya keadaan kami jika tsunami tersebut berlaku semasa kami berada di sana. Sungguh saya merasakan detik aman yang saya nikmati sekarang terlalu amat berharga.

Pengeboman Hotel JW Marriot, Jakarta juga telah menyebabkan saya tersentak kerana beberapa tahun yang lalu saya pernah menginap beberapa hari di sana atas urusan kerja. Pada masa tersebut juga kawalan keselamatan agak ketat di mana kakitangan keselamatan dilengkapi dengan peralatan mengesan bom. Malahan Hardrock Cafe Jakarta juga dilengkapi gandar 'metal detector' di pintu masuk dan setiap pengunjung diperiksa. Tidak dapat saya bayangkan sekiranya bom meletup semasa saya berada di sana. Alhamdulillah, saya selamat dan detik semasa berada di sana sesungguhnya amat berharga bagi saya.

Janganlah dibazirkan satu detik tersebut semata-mata ingin menikmati saat-saat yang sebenarnya hanya merugikan kita kerana siapa tahu... detik tersebut adalah satu-satunya detik yang amat berharga buat kita.
Read more

Tuesday, October 6, 2009

SELCAT... baka kucing Selangor

SELCAT - Kebelakangan ini, kucing yang berasal dari Selangor ini semakin glamor seperti adik-beradiknya yang lain... Thundercats dan Catwomen serta sepupunya, Caterpillar. Ya, kucing kacukan PKR, PAS dan DAP. Kucing yang dikatakan jinak ini rupa-rupanya telah menunjukkan taring dan cakarannya. Kucing ini juga dikatakan sentiasa memerhatikan ikan sepat Sabak Bernam yang masih belum lagi dapat dibahamnya... mula mencakar-cakar apa sahaja yang lalu di hadapannya.

Tapi ini bukan cerita kucing. Ini adalah cerita jalanan rakyat Selangor yang sempat saya dengar di pasar, kedai makan dan kebanyakan tempat-tempat awam... cerita-cerita Pengundi Selangor. Rata-rata mereka bersetuju dengan penubuhan SELCAT ini, setidak-tidaknya ada 'check & balance'. Biar orang buat kerja betul kata mereka. Terkejut juga mereka kerana tidak menyangka Selangor yang maju ini rupa-rupanya pernah diuruskan dengan teruk sekali. Namun mereka tidak terkejut apabila membaca tentang salahlaku yang didakwa dilakukan oleh YB-YB BN dulu... biasalah ahli politik, kata mereka.

Cuma ada satu perkara yang agak pelik bagi mereka, terutamanya orang Melayu ialah kenapa tiap-tiap kali YB Dato' Hassan Ali bersuara, seolah-olah YB yang satu ini digambarkan oleh rakan-rakan Pakatan Rakyat (PR) sebagai 'jahat sungguh mulut dia'. Samada Hassan Ali ini sekadar bercakap, mengutarakan pandangan atau memberi teguran maka riuh semua ahli PR menghentam YB yang seorang ini. Mereka fikir kalau YB-YB BN yang bersuara memang patutlah YB-YB PR melawan balik tapi ini... Hassan Ali. Kemaruk sangat ke Hassan Ali ni nak mengglamorkan dirinya agar dapat jadi Menteri Besar (MB) nanti.

Saya sendiri melihat seolah-olah Kerajaan Selangor sekarang tidak suka ditegur atau dibantah. Oleh kerana marahnya mereka terhadap pimpinan negeri yang dahulu, bukan sahaja BN Selangor dianggap sebagai 'tak boleh pakai', malahan kakitangan awam, kakitangan anak syarikat negeri malahan rakyat Selangor juga 'tak boleh pakai' dan 'tidak boleh dipercayai'. Rakyat Selangor dimanipulasikan agar bekerjasama dan memberi maklumat kepada mereka agar ianya boleh digunakan sebagai modal serta senjata politik untuk lawan. Benarkah begitu? Oleh itu, mereka akan memimpin dan merangka apa sahaja dasar serta polisi... rakyat Selangor hanya perlu ikut sahaja, samada rela atau terpaksa... kerana mereka adalah utusan Tuhan yang dihantar sebagai penyelamat.

Saya boleh faham sekiranya mereka mendakwa ada sebahagian tindakan rakyat Selangor telah didorong oleh BN sehingga menimbulkan ketegangan kaum. Sudah tabiat parti politik yang akan sentiasa cuba menjatuhkan lawan masing-masing walau apapun caranya. Tetapi apabila ada kakitangan awam yang meluahkan isi hati dan perasaan mereka melalui YB mereka sendiri iaitu Hassan Ali, mereka suruh Hasaan Ali letak jawatan. Macam-macam dituduhnya Hassan Ali secara terbuka. Hairan sungguh... rakyat Selangor protes dituduhnya tidak berhemah. Mengadu nasib pun tidak boleh rupanya di Selangor.

Apabila abang yang sulung naik angin terhadap adik-adik di bawah, kepada siapa lagi adik-adik itu hendak mengadu nasib. Sudah tentulah mereka cari abang ngah atau abang uda supaya bercakap dengan abang sulung. Adik-adik di bawah bukannya orang jahat, juga bukannya musuh. Cuma berasa hati dengan cara teguran yang mungkin agak kasar, apalagi dibuat depan orang ramai... malulah mereka kan. Sepupu-sepupu yang tinggal di negeri lain pun sibuk bersuara... lebih lantang pulak dari orang Selangor... haissss!!

Suka saya ingatkan kembali kenapa pengundi-pengundi Melayu Selangor dahulu berubah citarasa... kerana mereka tidak puashati, marah dan berkecil hati. Suara mereka diperlekehkan dan wujud mereka seolah-olah hanya untuk menanti mati. Sebahagian besar rakyat Selangor adalah kakitangan kerajaan disebabkan Lembah Klang merupakan tumpuan pentadbiran pelbagai agensi negeri dan negara sejak kemerdekaan. Mereka bekerja di sini dan kampung halaman juga di sini, paling jauh pun hanya satu jam perjalanan. Apa sahaja tindakan kerajaan negeri, ianya akan memberikan tindakbalas yang drastik... samada fizikal atau perasaan. Janganlah bercekak pinggang dan berkata 'ini adalah undang-undang' kerana undang-undang tidak mempunyai perasaan. PR sendiri ada melanggar undang-undang dan juga pernah tidak menghormati undang-undang. Janganlah keras sangat suara tu sebab kadang-kadang ianya menjengkelkan.

Kasihan sungguh rakan-rakan kakitangan kerajaan yang saya kenali sejak berbelas tahun yang lalu. Macam-macam gelaran yang diberikan kepada mereka walaupun mereka bekerja tidak kira masa... kuli, orang suruhan, macai, yang menurut perintah, hamba politik. Harapan mereka apabila bertukar kerajaan, reda sedikit kot kemarahan mereka terhadap kerajaan lama. Rupa-rupanya, macam dulu juga layanan yang diterima.

Mungkinkah sebahagian besar pengundi Melayu akan berubah fikiran pada pilihanraya akan datang di Selangor? Apakah kaedah soal siasat yang dikatakan mengaibkan kakitangan kerajaan sama tarafnya seperti kakitangan kerajaan terima penyapu dahulu kerana ianya dilakukan secara terbuka, kononnya demi ketelusan dan menzahirkan kejujuran?

Janganlah layan sebahagian rakyat Selangor sepertimana melayan YB-YB BN Selangor. Dengarlah luahan rakyat Selangor melalui YB-YB PR yang ada dan bertindaklah secara berhemah. Janganlah bercekak pinggang dan meninggi suara mengatakan 'kami tahu apa yang terbaik untuk Selangor' hinggakan rakyat Selangor terpaksa memanjat mahkamah bagi menuntut hak kerana kaedah meminta bantuan YB PR sendiri telah menyebabkan YB tersebut disuruh meletak jawatan, hanya kerana menyampaikan suara rakyat.

Mudah-mudahan Selangor tidak menjadi sebuah Kem Tahanan Perang.
Read more

Thursday, October 1, 2009

Pilihanraya Kecil Bagan Pinang

Pilihanraya kecil lagi...

Kali ini di Bagan Pinang, Negeri Sembilan. Umum juga telah tahu siapa calon-calon yang bertanding. PAS meletakkan Pesuruhjaya Negeri manakala BN meletakkan otai... Isa Samad. Walaupun mendapat tentangan dan kritikan namun UMNO tetap istiqamah dengan keputusan meletakkan Isa Samad. Tak payahlah saya ungkitkan kisah Isa ini semasa pemilihan UMNO yang lalu sebab semua orang dah tau.

Saya cuma tertarik dengan pengundi-pengundi di Bagan Pinang. Dikatakan bahawa terdapat 5,000 pengundi pos. Satu jumlah yang amat signifikan dalam menentukan majoriti undi nanti. Apakah Isa benar-benar sepatutnya jadi calon atau pola pengundi yang menentukan pemilihan Isa? PR telah memenangi kesemua PRK yang lalu kecuali satu tempat dan BN tiada pilihan kecuali membuktikan bahawa mereka mesti memenangi PRK ini dengan majoriti yang AMAT BESAR bagi menarik perhatian rakyat bahawa BN masih lagi signifikan.

Jadi kenapa pilih ISA. Jawapannya saya rasa adalah... PENGUNDI POS. Rekod telah menunjukkan bahawa di mana sahaja tempat yang ada undi pos... BN akan menang besar. Sekiranya BN meletakkan calon biasa dan menang besar, sudah tentu PR akan menuduh habis-habisan bahawa undi pos telah dimanipulasi. Tapi sekiranya Isa menang besar maka orang akan berkata ianya adalah kerana populariti Isa.

Sudah tentu PR juga sedang menjalankan rencana untuk berkempen di kem-kem askar kerana mereka yang akan menentukan siapa akan menang. Apakah gurkha-gurkha PR bISA menembusi kem-kem yang dikawal ketat ini. Apakah ahli-ahli PKR akan memberikan kerjasama penuh membantu calon PAS? Kenapa pula ada seorang mamat PKR ini tiba-tiba menjadi calon Bebas?

Kita tunggu saja keputusannya nanti. Entah apa pula bahan kempen yang akan digunakan kali ini, maklumlah bulan Ramadhan dah berlalu, setan-setan pun dah bebas. Rasanya segala perkataaan akan keluar dan pastinya serangan peribadi akan dilakukan secara berhemah... seperti biasa.
Read more
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...