Tuesday, October 6, 2009

SELCAT... baka kucing Selangor

SELCAT - Kebelakangan ini, kucing yang berasal dari Selangor ini semakin glamor seperti adik-beradiknya yang lain... Thundercats dan Catwomen serta sepupunya, Caterpillar. Ya, kucing kacukan PKR, PAS dan DAP. Kucing yang dikatakan jinak ini rupa-rupanya telah menunjukkan taring dan cakarannya. Kucing ini juga dikatakan sentiasa memerhatikan ikan sepat Sabak Bernam yang masih belum lagi dapat dibahamnya... mula mencakar-cakar apa sahaja yang lalu di hadapannya.

Tapi ini bukan cerita kucing. Ini adalah cerita jalanan rakyat Selangor yang sempat saya dengar di pasar, kedai makan dan kebanyakan tempat-tempat awam... cerita-cerita Pengundi Selangor. Rata-rata mereka bersetuju dengan penubuhan SELCAT ini, setidak-tidaknya ada 'check & balance'. Biar orang buat kerja betul kata mereka. Terkejut juga mereka kerana tidak menyangka Selangor yang maju ini rupa-rupanya pernah diuruskan dengan teruk sekali. Namun mereka tidak terkejut apabila membaca tentang salahlaku yang didakwa dilakukan oleh YB-YB BN dulu... biasalah ahli politik, kata mereka.

Cuma ada satu perkara yang agak pelik bagi mereka, terutamanya orang Melayu ialah kenapa tiap-tiap kali YB Dato' Hassan Ali bersuara, seolah-olah YB yang satu ini digambarkan oleh rakan-rakan Pakatan Rakyat (PR) sebagai 'jahat sungguh mulut dia'. Samada Hassan Ali ini sekadar bercakap, mengutarakan pandangan atau memberi teguran maka riuh semua ahli PR menghentam YB yang seorang ini. Mereka fikir kalau YB-YB BN yang bersuara memang patutlah YB-YB PR melawan balik tapi ini... Hassan Ali. Kemaruk sangat ke Hassan Ali ni nak mengglamorkan dirinya agar dapat jadi Menteri Besar (MB) nanti.

Saya sendiri melihat seolah-olah Kerajaan Selangor sekarang tidak suka ditegur atau dibantah. Oleh kerana marahnya mereka terhadap pimpinan negeri yang dahulu, bukan sahaja BN Selangor dianggap sebagai 'tak boleh pakai', malahan kakitangan awam, kakitangan anak syarikat negeri malahan rakyat Selangor juga 'tak boleh pakai' dan 'tidak boleh dipercayai'. Rakyat Selangor dimanipulasikan agar bekerjasama dan memberi maklumat kepada mereka agar ianya boleh digunakan sebagai modal serta senjata politik untuk lawan. Benarkah begitu? Oleh itu, mereka akan memimpin dan merangka apa sahaja dasar serta polisi... rakyat Selangor hanya perlu ikut sahaja, samada rela atau terpaksa... kerana mereka adalah utusan Tuhan yang dihantar sebagai penyelamat.

Saya boleh faham sekiranya mereka mendakwa ada sebahagian tindakan rakyat Selangor telah didorong oleh BN sehingga menimbulkan ketegangan kaum. Sudah tabiat parti politik yang akan sentiasa cuba menjatuhkan lawan masing-masing walau apapun caranya. Tetapi apabila ada kakitangan awam yang meluahkan isi hati dan perasaan mereka melalui YB mereka sendiri iaitu Hassan Ali, mereka suruh Hasaan Ali letak jawatan. Macam-macam dituduhnya Hassan Ali secara terbuka. Hairan sungguh... rakyat Selangor protes dituduhnya tidak berhemah. Mengadu nasib pun tidak boleh rupanya di Selangor.

Apabila abang yang sulung naik angin terhadap adik-adik di bawah, kepada siapa lagi adik-adik itu hendak mengadu nasib. Sudah tentulah mereka cari abang ngah atau abang uda supaya bercakap dengan abang sulung. Adik-adik di bawah bukannya orang jahat, juga bukannya musuh. Cuma berasa hati dengan cara teguran yang mungkin agak kasar, apalagi dibuat depan orang ramai... malulah mereka kan. Sepupu-sepupu yang tinggal di negeri lain pun sibuk bersuara... lebih lantang pulak dari orang Selangor... haissss!!

Suka saya ingatkan kembali kenapa pengundi-pengundi Melayu Selangor dahulu berubah citarasa... kerana mereka tidak puashati, marah dan berkecil hati. Suara mereka diperlekehkan dan wujud mereka seolah-olah hanya untuk menanti mati. Sebahagian besar rakyat Selangor adalah kakitangan kerajaan disebabkan Lembah Klang merupakan tumpuan pentadbiran pelbagai agensi negeri dan negara sejak kemerdekaan. Mereka bekerja di sini dan kampung halaman juga di sini, paling jauh pun hanya satu jam perjalanan. Apa sahaja tindakan kerajaan negeri, ianya akan memberikan tindakbalas yang drastik... samada fizikal atau perasaan. Janganlah bercekak pinggang dan berkata 'ini adalah undang-undang' kerana undang-undang tidak mempunyai perasaan. PR sendiri ada melanggar undang-undang dan juga pernah tidak menghormati undang-undang. Janganlah keras sangat suara tu sebab kadang-kadang ianya menjengkelkan.

Kasihan sungguh rakan-rakan kakitangan kerajaan yang saya kenali sejak berbelas tahun yang lalu. Macam-macam gelaran yang diberikan kepada mereka walaupun mereka bekerja tidak kira masa... kuli, orang suruhan, macai, yang menurut perintah, hamba politik. Harapan mereka apabila bertukar kerajaan, reda sedikit kot kemarahan mereka terhadap kerajaan lama. Rupa-rupanya, macam dulu juga layanan yang diterima.

Mungkinkah sebahagian besar pengundi Melayu akan berubah fikiran pada pilihanraya akan datang di Selangor? Apakah kaedah soal siasat yang dikatakan mengaibkan kakitangan kerajaan sama tarafnya seperti kakitangan kerajaan terima penyapu dahulu kerana ianya dilakukan secara terbuka, kononnya demi ketelusan dan menzahirkan kejujuran?

Janganlah layan sebahagian rakyat Selangor sepertimana melayan YB-YB BN Selangor. Dengarlah luahan rakyat Selangor melalui YB-YB PR yang ada dan bertindaklah secara berhemah. Janganlah bercekak pinggang dan meninggi suara mengatakan 'kami tahu apa yang terbaik untuk Selangor' hinggakan rakyat Selangor terpaksa memanjat mahkamah bagi menuntut hak kerana kaedah meminta bantuan YB PR sendiri telah menyebabkan YB tersebut disuruh meletak jawatan, hanya kerana menyampaikan suara rakyat.

Mudah-mudahan Selangor tidak menjadi sebuah Kem Tahanan Perang.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...