Monday, October 12, 2009

PRK Bagan Pinang

Tahniah saya ucapkan kepada BN dan Bro Isa Samad kerana memenangi PRK Bagan Pinang dengan majoriti yang bukan kepalang banyaknya... lima ribu lebih. Tahniah juga kepada gurkha-gurkha kempen yang tentunya berjaga siang dan malam bagi memastikan kemenangan BN. Oleh kerana bulan Syawal belum lagi berakhir, tentu makin meriah 'open house' pada minggu terakhir ini... kot-kot ada lagi duit raya. Kepada PAS, tahniah juga kerana bekerja keras, memang anda tidak dijangkakan menang pun... jadi janganlah kecewa sangat. Saya ada juga menonton di TV, sampai bergaduh-gaduh, baling-baling objek oleh kedua-dua pihak. Hari pengundian ni pun sama macam perlawanan bola di stadium... 'temperature' mudah naik, ringan je mulut memaki dan tangan menghayun. Tahniah jugalah kepada yang bergaduh ni sebab sekali lagi anda berjaya menonjolkan kebadutan anda di mata dunia... zaman internet ni, sekejap je insiden sensasi seperti ini masuk Youtube. Kepada Ahli Parlimen Teluk Kemang, Dato Kamarul, janganlah kecewa. Kita pergi minum teh nanti di Bangsar sambil sembang-sembang.

Pada hari penamaan calon yang lalu, timbul pandangan menyatakan bahawa keputusan di Bagan Pinang ini bakal menjadi indikator kepada PRU Ke-13 kelak... begitulah kata sebilangan pemerhati politik negara. Namun fikiran nakal saya agak sukar untuk dinasihatkan dengan kenyataan ini. Come on Bro... Bagan Pinang ada hampir lima ribu lebih pengundi pos, kebanyakannya askar. Mungkin agak lama hendak tunggu PRU 13 tetapi saya juga terfikir... jika sedemikian kukuhnya kenyataan pemerhati politik tentang sokongan rakyat terhadap BN... apa kata, ini cadangan nakal saya... apa kata cuba bubarkan DUN Perak esok dan kita lihat keputusannya. DUN Perak akan menjadi satu 'sampling' yang lebih signifikan dan relevan sebagai indikator PRU 13... ada berani?

Saya juga berharap selepas ini Bro Isa akan memajukan lagi Port Dickson. Memang tidak dinafikan BN banyak membawa pembangunan di PD sejak dahulu. Semoga PD menjadi lebih bersih, pantainya dijaga, projek terbengkalai swasta diselamatkan dan PD menjadi pusat tarikan peranginan terbaik di Asia Tenggara. Kepada rakan-rakan politik, baik di kem BN atau kem PR, berbaik-baiklah seperti biasa selepas tempoh kempen ini. Bukan besar sangat pun Malaysia ni... balik-balik kita akan bertembung di tempat biasa... kedai mamak, pusat beli-belah, stadium bola. Tak payahlah tarik muka masing-masing, nanti cepat tua.

Kerisauan saya bukanlah tentang PRK Bagan Pinang ini sebab kalah menang adalah adat pertandingan. Saya cuma menjangkakan PRU 13 kelak akan menjadi PRU yang paling buruk dan sengketa dalam sejarah Malaysia. Saya cuma berharap rakan-rakan saya tidak saling bertelagah semata-mata kerana fahaman politik masing-masing. Cubalah bertolak-ansur dan bertimbang-rasa sedikit atas nama persahabatan. Kadangkala... 'a person called friend worth's populations'.

Kita jumpa di padang golf nanti... start practising swings guys... kalah nanti, banyak pulak kalimahnya sampai berbulan-bulan terngiang-ngiang.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...