Saturday, October 10, 2009

Satu Detik Yang Amat Berharga

'A ringgit worth's millions, a second worth's lifetime, a friend worth's populations... just don't waste your time collecting enemies, envy, hate and anger'... itulah antara ungkapan yang kerap saya ucapkan kepada kawan-kawan semata-mata sebagai ingatan untuk diri sendiri. Walaupun usia saya baru mengenal hidup (... life begins at forty), perjalanan hidup saya telah menempuh berbagai golongan masyarakat... dari golongan buruh hingga ke golongan aristokrat, dari pengundi hingga para memanda menteri. Setiap detik yang berlalu sepanjang perjalanan hidup ini amat mengujakan apatah lagi dengan corak pemikiran saya berbentuk potret... pemikiran bergambar. Gambaran kehidupan yang pernah saya saksikan adakalanya mendebarkan walaupun ianya telah berlalu belasan tahun yang lalu. Dan semua itu menyedarkan saya bahawa... satu detik itu nilainya sama seperti seumur hidup. Jadi kenapa perlu dibazirkan buat perkara bodoh. Dan aliran pemikiran seperti ini yang menyebabkan saya amat meminati kamera... merakamkan setiap detik kehidupan untuk tatapan masa hadapan.

Peristiwa gempa bumi baru-baru ini di Padang, Sumatera amat mengusik hati saya. Pada tahun 2006, saya pernah berkunjung ke sana bersama lawatan Kerajaan Negeri Selangor. Suasana kehidupan di sana mengingatkan saya di zaman 70an dan 80an di Malaysia... bangunan lama, kenderaan lama, kehidupan kebanyakan penduduk yang agak sederhana... malahan udaranya pun saya rasa seperti era 70an... amat menyenangkan. Saya juga berkesempatan berkenalan dengan Gabenornya, Bapak Gamawan Fauzi berserta pegawai-pegawainya. Namun, gambar-gambar selepas gempa bumi yang saya saksikan baru-baru ini... amat menyayat hati sehingga saya merasakan semasa saya berada di sana dahulu... ianya merupakan satu detik yang amat berharga. Bagaimana agaknya jika gempa tersebut berlaku semasa saya berada di sana?

Begitu juga apabila berlakunya kejadian Tsunami pada Disember 2004. 6 bulan sebelum berlakunya tsunami tersebut, saya bercuti di Phuket bersama isteri. Sempat juga berjalan ke beberapa tempat menarik di sana dan tidak pernah terfikir langsung sesuatu yang buruk bakal berlaku di Phuket. Namun gempa bumi yang berlaku di Sumatera telah menyebabkan Phuket dilanda Tsunami dan hotel tempat kami pernah menginap telah ditenggelami air laut. Saya terbayang pada masa itu bagaimana agaknya keadaan kami jika tsunami tersebut berlaku semasa kami berada di sana. Sungguh saya merasakan detik aman yang saya nikmati sekarang terlalu amat berharga.

Pengeboman Hotel JW Marriot, Jakarta juga telah menyebabkan saya tersentak kerana beberapa tahun yang lalu saya pernah menginap beberapa hari di sana atas urusan kerja. Pada masa tersebut juga kawalan keselamatan agak ketat di mana kakitangan keselamatan dilengkapi dengan peralatan mengesan bom. Malahan Hardrock Cafe Jakarta juga dilengkapi gandar 'metal detector' di pintu masuk dan setiap pengunjung diperiksa. Tidak dapat saya bayangkan sekiranya bom meletup semasa saya berada di sana. Alhamdulillah, saya selamat dan detik semasa berada di sana sesungguhnya amat berharga bagi saya.

Janganlah dibazirkan satu detik tersebut semata-mata ingin menikmati saat-saat yang sebenarnya hanya merugikan kita kerana siapa tahu... detik tersebut adalah satu-satunya detik yang amat berharga buat kita.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...