Saturday, October 17, 2009

Kemahiran Yang Hilang...

Jangan terkeliru dengan tajuk tulisan saya kali ini kerana ianya seakan-akan tajuk sebuah buku yang amat popular suatu ketika dahulu... Permata Yang Hilang. Buku tersebut amat sesuai untuk mereka yang akan melangsungkan perkahwinan kerana membicarakan secara terperinci tentang hubungan seksual di antara suami isteri. Namun demikian, buku tersebut juga telah berjaya mendokumentasikan kemahiran dan pengetahuan hubungan seksual yang sememangnya agak janggal untuk dibicarakan secara terbuka pada masa itu, tak silap saya sekitar awal tahun 90-an.

Saya hidup di zaman pembangunan hartanah dan fizikal yang sedang membangun di Malaysia. Bangunan dan taman perumahan dibina bak cendawan tumbuh... pesat membangun. Semasa usia saya belasan tahun dahulu, banyak juga saya membantu kerja-kerja pertukangan kerana sedikit minat terhadap seni pertukangan dan mungkin juga segan kalau tak tolong orang. Pada masa itu tidak ramai pekerja asing di Malaysia... boleh dibilang dengan jari. Beberapa orang bapa kepada rakan-rakan berbangsa Cina kebetulan bekerja sebagai kontraktor binaan dan juga mandur. Ramai juga orang Melayu yang bekerja di sektor pembinaan pada masa itu... sehinggalah kilang-kilang elektronik tumbuh melata di sekitar Lembah Klang. Ramai orang Melayu lebih berminat bekerja kilang... makan gaji mengendalikan mesin yang sememangnya tidak memerlukan banyak kemahiran... cukup sekadar ikut arahan 'line leader' dan 'kerja overtime bagai nak mampus' (istilah mereka)... bagi mendapatkan gaji tetap dan 'OT'.

Oleh kerana pembangunan yang pesat dan kekurangan pekerja... saudara serumpun Indonesia kita telah dibawa masuk sedikit demi sedikit dan bekerja di bawah penyeliaan mandur-mandur Cina ini. Memang ramai yang memandang rendah taraf pekerja ini... tinggal di kolong buruk, tidak terurus, kotor dan berpindah-rendah mengikut jadual kerja. Namun ramai yang tidak sedar... sedikit demi sedikit kemahiran seni binaan kita hilang. Pengalaman saya selama 15 tahun di sektor hartanah telah memungkinkan saya melihat perkara ini. Sedikit demi sedikit pekerja Indonesia ini mempelajari kemahiran dan pengalaman dari mandur ini. Apabila berlalunya satu dekad... ramai di antara mandur-mandur ini telah berhenti atau bersara kerana faktor usia. Apa yang terjadi selepas itu... banyak bidang kerja telah di'sub'kan kepada pekerja-pekerja Indonesia ini kerana kemahiran yang mereka miliki sehingga mereka mampu memperolehi pendapatan yang lumayan. Salah siapa? Jangan dituding jari kepada mereka yang rajin belajar kemahiran. Tidak seperti sektor elektronik... walau sehebat mana pun teknologi dan peralatan yang diperkenalkan oleh sektor pembinaan... ianya amat memerlukan skil kemahiran pekerja... iya, saya maksudkan KEMAHIRAN SENI MEMBINA. Telah terbukti selepas itu, banyak pemilik di sektor elektronik dan pembuatan mengurangkan pekerja dalam angka yang besar kerana teknologi robotik tetapi tidak di dalam sektor pembinaan. Kos pembinaan satu projek perumahan boleh mencecah puluhan juta ringgit... katakanlah RM100 juta. Kerja-kerja yang di'sub'kan kepada 'kongsi pekerja asing' boleh mencecah di antara 3%-5% dari kos... bermakna setiap projek, 'kongsi-kongsi' ini boleh memperolehi di antara RM3 juta - RM5 juta... semata-mata kerana kemahiran mereka yang amat diperlukan oleh pemaju bagi memastikan projek siap mengikut jadual dan berkualiti. Walaupun kadang-kadang kerja di'sub'kan kepada orang Melayu... kebanyakan mereka hanya 'makan persen' dan sebahagian besar terpaksa dibayar kepada pekerja asing yang mereka upah. Kenapa kita tidak buat sendiri... kerana kita mengabaikan dan menidakkan peri pentingnya... KEMAHIRAN.

Begitu juga kisahnya dalam hal Bahasa Inggeris. Saya agak tersinggung apabila isu ini diperhebatkan sehingga terpaksa diselesaikan di jalanan. Secara peribadi, saya menganggap malahan percaya... mempelajari bahasa lain dengan baik samada kemahiran menulis atau bertutur amat penting kerana ianya membuka jalan kepada sebuah pintu... pintu ilmu, pintu persahabatan dan pintu kemahiran. Baru-baru ini saya ada mengambil kursus singkat Bahasa Mandarin dan sungguh saya amat menyesal... kerana tidak mempelajarinya sejak kecil. Malahan saya amat menyesal kerana tidak mempunyai kemahiran bertutur di dalam bahasa Tamil, Punjab, Arab dan lain-lain bahasa. Kemahiran ini tidak boleh diganti dengan apa juga peralatan kerana keindahan sesuatu bahasa itu terserlah melalui tutur kata yang teratur bersama intonasi dan ekspresi muka... sesuatu yang sememangnya tidak boleh diganti dengan mesin atau robot. Malahan terdapat beberapa rakan saya dicari oleh syarikat swasta, kedutaan dan orang perseorangan kerana kemahiran mereka bertutur dalam berbagai bahasa... boleh buat duit juga tu.

Mungkin belum terlambat bagi kita untuk menambah kemahiran sediada. Jangan pula suatu hari nanti, kita terpaksa bergelap sepanjang malam akibat mentol-mentol yang terbakar... semata-mata kerana kita tidak memiliki pengetahuan dan kemahiran memasang mentol sehingga terpaksa memanggil tukang letrik.

Selamat malam Shah Alam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...