Friday, February 4, 2011

DUIT, DUIT... DI MANA KAU DUIT





Berkali-kali saya belek kedua-dua jenis nota bank ini yang bernilai RM50 dan RM1 setiap satu. Memang agak ketara juga perbezaan kedua-duanya terutama dari segi saiz. Namun, percaya atau tidak... bukan sedikit kali kedua-dua nota bank ini menyebabkan perselisihan faham di antara penjual dan pembeli malahan ianya telah beberapa kali berlaku di depan mata saya.

Hari ini, di pasar basah Seksyen 6, Shah Alam... penjual dan pembeli di sebuah gerai menjual suratkhabar berbalah kerana si pembeli mendakwa dia beri RM50 kepada penjual dan penjual kata dia menerima RM1 dari si pembeli. Beberapa minggu sudah, ianya berlaku di gerai menjual ikan dan tahun lepas di gerai menjual sayur serta buah.

Saya sempat belek-belek kedua-dua nota bank tersebut... kalau dalam keadaan santai, memang kita boleh membezakan dengan jelas kedua-duanya. Hairan juga kenapa orang boleh tersilap dan apabila saya 'browse' beberapa forum di internet... bukan kecil rupanya isu nota bank ni. Saya juga sebenarnya, dalam keadaan kelam-kabut dan semasa fikiran tengah melayang memikirkan hal lain... beberapa kali telah tersalah memberikan nota bank. Mujur si penjual menegur saya... 'duit kecik takde bang?'.

Terfikir juga kenapa Bank Negara mengambil keputusan mengeluarkan kedua-dua nota bank ini dalam warna yang hampir sama dan boleh pula keluarkan nota RM5 dan RM10 dalam warna yang amat jelas berlainan kategori warnanya. Dan saya fikir Bank Negara juga harus mengambilkira bahawa di Malaysia memang ada orang yang 'color blind'. Jika mereka menafikannya, kenapa pula ada beberapa organisasi meletakkan syarat pekerjaan... 'Tidak Buta Warna'.

Saya juga pernah melihat satu video di Youtube adegan di sebuah stesen minyak apabila berlaku 'satu penipuan ala magik show' apabila si pelanggan dengan pantas menukar nota RM50 dengan nota RM1 dan memberitahu si penjaga kaunter bahawa beliau tersalah beri nota bank. Sudah tentu enggan berlakunya pertengkaran dengan pelanggan... si penjaga kaunter terus tukar nota tersebut dengan RM50 dalam keadaan yang terpinga-pinga.

Apa kata Bank Negara tukar warna nota bank RM1 tersebut dengan warna PINK?

1 comment:

  1. ... wa pun pernah kena ma, cilaka itu orang kata wa rabun warna

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...