Saturday, February 5, 2011

MESIR... TANAH FIRAUN

 
Sejak beberapa hari yang lalu saya menerima beberapa kiriman ringkas dari rakan-rakan yang memaklumkan bahawa satu perhimpunan aman akan diadakan selepas solat Jumaat semalam dan akan berarak ke Kedutaan Amerika. Ianya diadakan khusus untuk menyatakan sokongan segelintir rakyat Malaysia terhadap revolusi rakyat di Mesir. Ada juga yang bersungguh-sungguh minta saya hadir bagi menyatakan sokongan... sokongan untuk perubahan di Malaysia!!

Saya tinggalkan dulu cerita propaganda politik cara demo ni... ada beberapa perkara yang 'mengganggu' benak fikiran saya apabila munculnya revolusi seperti ini. Persoalan samada saya bersetuju atau tidak dengan revolusi (katanya la) ini, adalah satu cerita lain.

Pada tahun 2010, saya telah berkunjung ke Mesir. Memang sejak kecil saya teringin sangat hendak ke negara yang dikenali sebagai 'Land of Paraohs' ni, apatah lagi kerana telah dididik sejak dari kecil betapa jahatnya firaun ni sehingga kisah mereka disebut di dalam Al-Quran. Selain dari peninggalah sejarah, Sungai Nil dan Terusan Suez... tidak ada apa yang menarik tentang Mesir ni. Dalam lawatan yang saya ikuti... ramai warga emas je, yang muda-muda tak minat berkunjung ke tempat-tempat sejarah sebegini... tak happening kata mereka. 
 
Rata-rata saya lihat, ramai rakyat Mesir terlibat dengan industri pelancongan samada secara langsung atau tidak. Factsheets CIA tentang Mesir yang saya baca juga menyatakan industri pelancongan dan perkhidmatan menyumbangkan pendapatan terbesar kepada Mesir hampir setiap tahun... bilion angkanya. Walaupun Firaun itu amat dibenci hampir oleh semua orang namun dari satu sudut ekonomi... kerana nama dan peninggalan Firaun inilah, berjuta pelancong datang ke Mesir membelanjakan berbilion duit setiap tahun. Dan faktor keamanan juga memungkinkan industri pelancongan ini begitu maju. Cuba ingat semasa militan Islam (dakwaan) melakukan pengeboman di Luxor suatu ketika dulu... sektor pelancongan jatuh merudum dan ramai penduduk mengalami kesannya.

Begitu juga di dalam industri pendidikan... di Mesir inilah terletaknya Universiti Al Azhar yang begitu terkenal di dunia Islam. Sejak puluhan tahun yang lalu, saya agak puluhan ribu kalau tidak pun ratusan ribu... rakyat Malaysia yang telah ke Mesir menuntut ilmu di universiti ini tanpa sebarang masalah besar... dan tanpa gangguan dari pihak pemerintah. Hampir kesemua ustaz yang berceramah di Malaysia jika sebut saja dari Al-Azhar... pasti agak dipandang tinggi oleh masyarakat. Dan faktor ini jugalah yang menarik rakyat Malaysia untuk melancong ke Mesir.

Sekarang telah berlaku pula satu gerakan yang dikatakan revolusi rakyat. Saya tidak begitu pasti berapa jumlah sebenar yang turun ke jalanraya atau adakah jumlah tersebut mewakili penduduk Mesir secara keseluruhan. Dan sekali lagi, saya tidak berminat membicarakan hal politik Mesir dan apa jua penilaian yang diberikan oleh rakan-rakan tentang ini... saya minta maaf, saya tidak berminat dengan penilaian bersifat sesumpah politik... kaler mereka sering bertukar mengikut kehendak dan nafsu.

Saya yakin sektor pelancongan akan menjadi teruk... kasihan kepada jutaaan penduduk Mesir yang hidup bergantung dengan hasil pendapatan dari pelancong. Satu harus akui Mesir amat menjaga pelancong, bukti ringkasnya... setiap tempat pelancong pasti menyediakan laluan dan tempat khas untuk pelancong luar siap dengan polis pelancongnya... hinggakan rakyat tempatan tidak dibenarkan letak kereta di tempat pelancong. Sampai begitu sekali mereka menghormati pelancong dan kita pun dengan rela hati berbelanja di sana. Tak tahulah berapa tahun agaknya Mesir harus berusaha selepas ini untuk memastikan bahawa melancong ke negara mereka adalah selamat.

Dan jika saya la seorang bekas pelajar Al-Azhar dan dapat belajar di sana dengan aman dan damai... dapat menguasai bahasa Arab... dapat berkawan dengan penduduk di sana... dapat pulang ke Malaysia dengan tanda 'bekas Al-Azhar' di dahi hinggakan dipandang mulia oleh rakyat Malaysia... saya tidak akan sekali-sekali meludah mereka dengan apa cara sekalipun. Apatah lagi memikirkan sebahagian penduduk mereka yang telah berpuluh tahun bergantung hidup di sektor perkhidmatan seperti pelancongan. Terfikir juga apabila pihak yang memberontak sekarang memegang kuasa kelak, apakah pihak yang sebelah lagi tidak akan melakukan perkara yang serupa di masa akan datang? Keadilan ditunjukkan dengan mempengaruhi penduduk menggunakan kekerasan di jalanraya apabila kematangan politik mereka gagal di meja perbincangan... rakyat mati, pemimpin angkat sumpah jadi Presiden... dan juak-juak Presiden muncul merata-rata menuntut ghanimah.

Memang benar, sifat paling sukar untuk kita lihat di kalangan pemimpin sekarang ini adalah IKHLAS. Sedang satu pihak bergelut tenaga, duit, masa, tenaga dan nyawa untuk memastikan kesemua rakyat Malaysia selamat di Mesir... muncul pula satu pihak lain yang sibuk memanipulasi keadaan tersebut di sini. Dan pemandangan tersebut amatlah menyedihkan hati seolah-olah nyawa rakyat Malaysia di Mesir adalah kurang bernilai berbanding 'berjuang menukar Presiden Mesir' dan itulah yang kita pertontonkan kepada dunia bahawa INILAH ISLAM SEBENAR. Sungguh saya amat hairan apabila dua pihak yang sama pegangan agamanya iaitu ISLAM tidak boleh langsung berganding tangan memastikan rakyat Malaysia semua selamat... mereka tak boleh langsung 'bercuti barang sebulan dua' sehingga kesemua rakyat Malaysia selamat dipindahkan keluar dari Mesir. Yang hairannya dulu masa berlaku Tsunami dan gempa di Indonesia... berebut-rebut orang nak ke sana. Begitu juga halnya di Palestine... masing-masing nak ada cop imigresen Palestine di paspot sebagai souvenir. Tapi apabila bala membabitkan orang kita sendiri... kita bergaduh tak habis-habis dan dengan tidak malunya memberitahu orang lain bahawa kita ni orang Islam.
 
... mudah-mudahan Allah menunjukkan kita jalan yang benar dan memudahkan segala urusan kita.

1 comment:

  1. ... mudah2an semua selamat. Malaysia to be like Egypt... i don't think so when we can do it peacefully... right bro?

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...