Thursday, July 14, 2011

MARI KITA BERKARNIVAL... MAKAN BOLA, TIDUR BOLA

Yehaaa... Karnival Bolasepak Merdeka PNSB 2011 datang lagi. Saya pernah menulis tentang ini beberapa minggu yang lalu... dan hari Sabtu ini bermula la karnival tersebut yang akan berlangsung selama 2 hari. Yup, memang takde artis... juga bukan seperti Konsert GIG TV9 baru-baru ni di I-City malahan jauh sekali hendak dibandingkan dengan MTV World Stage yang akan diadakan beberapa hari sebelum Ramadhan. Ini adalah BOLASEPAK semata-mata... aktiviti riadah yang paling meletop di dunia. Sama la meriahnya macam game Arsenal vs Malaysia semalam... hahaha. Kita ada future Fabregas, Van Persie dan.... Safee Sali.


Tu dia... belon udara sudah pasang tadi biasalah beb, bajet kecik, bagi memeriahkan suasana dan sekadar memberitahu penduduk Shah Alam bahawa karnival bolasepak akan berlangsung pada Sabtu dan Ahad nih... 16 dan 17 Julai 2011. Banner pun dah pasang di pintu masuk Stadium Mini malahan ada tiang-tiang bendera berwarni-warni serious bro, wa mati-mati ingat lu orang buat opera... macam dalam cerita Shaolin Temple tu bila tengok tiang bendera tu bagi merancakkan suasana. Tapi kalau ada sapa-sapa harap bendera diaorang yang naik... sori bro, ini bukan aktiviti politik... heja betul-betul...

B
O
L
A
S
E
P
A
K

Semua rakan-rakan yang terbabit dengan karnival ini sedang rancak membuat berbagai persiapan minggu ni... pentas dah siap, line putih padang dah cat, rumput sudah dipangkas... macam nak kenduri kahwin la.



Aktiviti menukar jaring gawang gol ni sahaja serancak orang nak buat lemang... kata orang, berat sama dipikul... ringan kita jinjing bersama. Diam tak diam sambil-sambil gelak bagai nak rak... jaring tersebut telah berjaya dipasang walaupun terdapat berbagai perbezaan pendapat tentang bagaimana jaring tersebut harus diikat. Beza macam mana pun... diaorang ni takde la macam segelintir ahli politik tu, beza sikit je... dah bawak orang kat jalan. Hahaha... jangan marah ayahanda, nanti kena jual. Gambar di atas terpaksa di'retro'kan kerana tujuan ianya diambil hanya la untuk 'punch card'... hahaha.



Ini la gambar sebenarnya diaorang masa tengah buat kerja... tadi yang kat atas tu, ada 'aksi' sket. Nampak macam mudah je nak pasang jaring ni... tapi sebenar memang remeh la kerja ni, silap pasang boleh terbalik. Serious beb... kesilapan ni boleh membuatkan pengadil perlawanan membatalkan perlawanan kerana kesilapan teknikal. Dan jangan terkejut... yang pasang ni bukannya calang-calang orang bro... semua ada jawatan nih dalam kelab.


Saya rasa mereka ni semua harus dihantar ke kelas... bagaimana hendak beraksi di depan kamera... 

S
K
E
M
A

G
I
L
E
R

Ni la aksi terbaik yang dapat diberikan oleh otai-otai zaman rock kangkang siapa yang tahan napas ni, aksi zaman kamera pakai filem ni... hahaha.

Kelab juga telah menyediakan bola yang baru untuk perlawanan... ADIDAS. So, budak-budak semua... mainlah bersungguh-sungguh di Stadium Mini ini... tempat di mana pasukan Arsenal yang always the bestest in the world berlatih selama 2 hari sebelum menentang pasukan Malaysia semalam. Saya ulangi... ARSENAL BERLATIH DI SINI. Ni dia bola baru tu...



Bagi yang beragama Islam... jangan bimbang jika masuk waktu solat nanti, surau yang boleh memuatkan jemaah seramai 20 orang sekaligus juga ada di Kompleks Stadium Mini... sebelah kanan belakang ada tempat untuk orang pompuan. So tak perlulah nak pandu kereta keluar untuk cari tempat solat... konfem selesa surau nih. Bilik air berasingan yang mencukupi juga ada.




Sekarang mari kita lihat hadiah...


Ini adalah piala pusingan dan piala iringan untuk pemenang... ada beberapa ikut kategori umur. Cuma saya tidak begitu pasti samada ada hadiah wang tunai atau tidak. Bajet kecik beb... yang penting, aktiviti bolasepak ini harus disemarakkan.

Dan tak lengkap kalau takde hadiah kalung kat leher kan... macam kita sekolah-sekolah dulu la, bangga sungguh pakai dari sekolah sampai la ke rumah. Tidur pun letak kat sebelah bantal...



Sepang Gold Coast... syarikat yang memajukan resort di Bagan Lalang juga telah bermurah hati untuk menyumbangkan beberapa hadiah seperti yang mereka lakukan pada tahun-tahun yang lalu semasa karnival ini berlangsung. Diucapkan terimakasih di atas sumbangan mereka yang tidak pernah putus-putus...


Bagi sesiapa yang tidak pernah berkunjung ke resort atas air seumpama pokok palm ini... boleh la klik di website SEPANG GOLDCOAST, BAGAN LALANG untuk melihat sendiri keindahan resort ini.

Akhir kata... selamat majujaya kepada semua kelab dan akademi bolasepak yang terbabit. Main bola bukan lawan bola... semoga ada yang berjaya bermain di peringkat dunia nanti. Kepada kelab yang tidak dapat bermain kali ini... saya difahamkan, permohonan untuk penyertaan begitu memberangsangkan hingga tidak dapat memenuhi kesemua kelab yang berhasrat untuk turut serta. Ini mungkin disebabkan faktor bilangan padang yang terhad dan masa kejohanan yang cuma 2 hari... mungkin di lain kali... insyAllah.


MAJULAH SUKAN UNTUK SELANGOR DAN NEGARA
Read more

Friday, July 8, 2011

DAHULU KAMI BELA AYAM


Harga daging ayam di pasaran sekarang dengar khabarnya dah RM12/ekor. Saya pun tak pasti sebab tak pernah beli sekor di pasar basah. Selalunya saya beli yang dah siap potong bahagian dada di Pasar Seksyen 6, Shah Alam. Jarang makan daging ayam... hari-hari bedal ikan je. Cuma kadang-kadang tu bila terasa... KayHepSee je la yang paling cepat. Budak-budak sekarang ni bila saya cerita... 'dulu kami bela ayam sendiri'... diaorang nampak macam 'cool' sangat bela ayam kat rumah.

Mana boleh bela ayam kat Shah Alam nih... report dek jiran, esok lusa MBSA dah datang angkut. Kalau ikut undang-undang kecil Perbandaran... membela ayam dikira salah. Bukan la sebab ayam tu tapi tahi ayam tu bukan saja berbau tapi 'invite' banyak lalat nanti. So, tak payah nak argue dengan Majlis... kita tak payah la bela. Sedangkan kucing pun boleh menyebabkan jiran bergaduh beb... kencing berak merata sebelah rumah... haha, itu boleh mendatangkan marah.

Yup, sejak kecil hinggalah dewasa semasa saya menetap di Bandaraya DiRaja Klang... kami bela ayam kampung... di belakang rumah. Allahyarham abah buat kandang dan ada la beberapa ekor ayam yang memang tak pernah susut bilangannya sebab asyik bertelur. Rumah arwah atuk di Kampung Jawa, Klang juga ada bela ayam... jiran-jiran saya malahan rakan-rakan di sekolah. Hampir semua orang membela ayam untuk dagingnya dan telur.

............. best ke bela ayam ni? Asyik berak je, berbau... kadang-kadang berketuk dan berkokok tak henti-henti?

{.... ayam, bermacam ayam... begitulah antara lirik lagu nyanyian Jalil Hamid yang tiba-tiba datang kat kepala saya masa tengah menulis nih}

Iklan: jangan blog kena banned sudah sebab guna tulisan kuning hahaha... sori Dato' KP, usaha Dato' memang saya hargai... terima kasih kerana menjaga keamanan negara

Pada masa tu, apa saja yang dilakukan oleh keluarga kami... kami ikut dan patuh. Dan sememangnya ada keseronokan membela ayam. Aktiviti itu dilakukan bersama... abah membuat reban, kami ikut memperkemasnya dan bina secantik mungkin. Ada saja jiran yang luhur hati memberikan beberapa ekor anak ayam kepada kami. Malahan pasti ada jiran yang menjenguk semasa kami membina reban dan mereka sentiasa  menghulurkan tenaga.

... tidak ada sesiapa yang menyindir atau berkata tidak elok apabila ada orang hendak membela ayam.

.... reban dah siap, ayam pun ada 5-6 ekor.... tugas untuk membela pula datang.

Makanan ayam takde la mahal macam makanan kucing sekarang ni. Apa saja lebihan nasi yang ada... kami akan berikan kepada ayam. Kalau nasi habis... kami berikan beras. Inilah waktunya keseronokan tiba... kadang-kadang ayam itu mematuk makanan dari beras yang kami letakkan di tapak tangan. Kami akan duduk di dalam reban bersama ayam hahaha. Dan lebih meriah suasana apabila berbelas-belas telur yang dieram menetas... memang terhibur bila lihat begitu banyak anak ayam yang gebu dan jinak. Tapi masa ni kena jaga-jaga sikit la... ibu ayam ganas sket. Dia attack tak hingat punya... apatah lagi bila kita 'kidnap' anak dia masuk kotak untuk dibawa masuk ke dalam rumah buat 'pet'.

.... hahaha, anak ayam buat pet. I tell you... it was fun like can't remember the world. Korang pernah buat ke?

Pagar reban tu memang kena check selalu... kadang-kadang rabak dek binatang lain yang cuba masuk nak makan ayam. Musang, anjing, ular... itulah antara beberapa binatang yang pernah datang ke belakang rumah. Memang bising la ayam tu tengah-tengah malam kalau kena ganggu tapi banyak kali juga ayam tu bising sebab bagi 'early alert' samada cuaca buruk nak datang atau 'benda tak berkenaan' lalu kat belakang rumah... hehehe.

Jadi apabila hati susah atau lepas penat buat apa-apa kerja rumah atau selepas balik sekolah... duduk di belakang rumah sambil menghadap reban ayam tu, memang memberikan suatu ketenangan yang sukar digambarkan. Seolah-olah kita dan alam adalah satu... keseronokan yang tiada sekarang dan berdiri di depan reban ayam di Zoo Negara bukanlah alternatif tersebut haha.

Namun ada juga masa sedihnya bela ayam nih. Suatu hari arwah Abah ke belakang rumah dan tangkap beberapa ekor ayam. Hari raya nak dekat dan beberapa ekor ayam harus disembelih... mak nak buat rendang ayam. Nangis beb... wa habaq mai kat lu, bergenang gak la airmata. Ayam yang kita bela dari kecik sampai besar, kena sembelih depan mata... kita pulak yang pegang tu sambil arwah Abah sembelih.

.... sekejap je sedihnya, lepas mak buat rendang atau goreng... ditambah pulak dengan lagu raya yang tak putus-putus sambil membelek kasut sukan raya... hilang semua bab sembelih tadi.

..... sungguh, mak abah kadang-kadang memperlihatkan kasih-sayang mereka dengan cara yang kita tidak sangka namun amat berkesan di hati. Kita tak suka dia sembelih ayam kita namun kita gembira dengan kasih sayang mereka. Allah sesungguhnya Maha Besar.

Semoga Allah berikan Ar-Raudhah kepada kedua ibubapa kami... ameen. Dan thank you Allah sebab berikan kami pengalaman ini.
Read more

Tuesday, July 5, 2011

KARNIVAL BOLASEPAK MERDEKA PNSB 2011

Yup, Karnival Bolasepak Merdeka PNSB 2011 datang lagi... satu acara tahunan yang dijayakan oleh Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) bagi mengasah bakat-bakat remaja melalui kelab-kelab bolasepak masing-masing. Bertempat di Stadium Mini, Seksyen 13, Shah Alam (sebelah Stadium Shah Alam) dan akan berlangsung selama dua hari iaitu pada 16hb dan 17hb Julai 2011... minggu depan beb.



Saya pun tidak begitu pasti ini anjuran kali ke berapa... kali ke 5 kot. Ianya juga sebagai salah satu cara PNSB menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan negara... dan bolasepak yang sememangnya sukan yang paling diminati di Malaysia adalah salah satu cara PNSB menzahirkan rasa kesyukuran terhadap kenikmatan kemerdekaan yang dirasai oleh rakyat selama ini. Mungkin nampak kecil pada sebilangan orang tapi jika penyertaan dan kehadiran diambilkira... angka ribu bukanlah satu angka yang kecil. Saya juga dimaklumkan, pihak penganjur juga terpaksa menolak beberapa penyertaan dari banyak kelab bolasepak remaja kerana bilangan tempat yang terhad.


.............. best sangat ke karnival bolasepak ni... artis takde, bungapi takde... hanya semata-mata bolasepak.

Apabila anak-anak kecil dari berbagai bilang bangsa dan lapisan masyarakat yang begitu berbakat menunjukkan skil dan kebolehan mereka di padang... saya tak nampak apa yang lebih hebat dari itu, so kehadiran artis berbayar tidak diperlukan rasanya buat masa ini.

Benar, bukan sahaja anak-anak 1Malaysia... malahan anak-anak mat saleh dan Jepun pun ramai yang menyertainya.



Jangan terkejut beb, suatu hari nanti semasa Piala Dunia akan datang... apabila kita duduk di depan TV, kita mungkin akan menyaksikan anak remaja yang pernah beraksi di karnival ini, bermain untuk negara mereka. Kalau lihat bakat mereka di usia semuda 8 tahun... yup, saya yakin beberapa orang dari mereka akan bermain di peringkat dunia.

Mari kita saksikan beberapa aksi mereka dalam karnival yang lalu... jangan copy gambar ni beb, wa punya copyright. Korang photographer kalau nak ambil gambar mereka... amat dipersilakan hadir dan ambil la gambar sebanyak yang mungkin. Cuma sebut sahaja korang dapat 'invitation' ni dari blog ni... yang dulu juga merupakan Naib Presiden Kelab Bolasepak PNSB... hehe, jemput la datang dan ambil gambar... takde fee pun, boleh prektis skill beb.







Sori la tak boleh nak load banyak sangat gambar... ada beribu beb, so ni kira teaser je la... kena datang.

Dan sudah tentu, ramai kawan-kawan yang terbabit bagi menjayakan karnival ni... mereka juga la coach kepada Akademi Bolasepak PNSB yang tidak kenal jemu untuk melatih anak-anak remaja ni. Dan juga beberapa AJK yang hampir setiap hari turun ke padang bagi memberikan sokongan moral dan tunjuk ajar.



Abg Izman Farif kita ni... paling sibuk beb. Sebelum karnival bermula, semasa karnival dan selepas karnival... kira anchor AJK la ni tengok badan la bro. Tapi khabarnya sekarang badannya dah susut sket... sket la kata kawan-kawan lain. Mana nak cari brader dedikasi camni, tolak la ke mana pun... kerjasama dia memang tak terjejas punya.



Yang kiri baju merah tu... Pengetua Akademi Bolasepak PNSB, Capt Faizal. Pilot kapalterbang jadi pengetua atas darat... class. Sentiasa ada bersama budak-budak akademi sepanjang masa semasa latihan... ni kalau nak letak calon PRU akan datang... boleh timbang nih.


Brader Jamal (kiri) dan Head Coach Zainal.  Ni pun orang kuat akademi ni... dan juga tonggak utama pasukan PNSB Warisan team otai. Ok, korang pernah tengok kan Amirul Hadi Zainal yang main dengan Harimau Malaya sekarang ni... Coach Zainal ni bapak dia la beb. Size memang la ada sikit musykil sebab Amirul tu tinggi... tapi Zainal dah terangkan Amirul tu dulu banyak makan beras padi Malinja... tu sebab tinggi.



Yang ni pulak, Coach Mandonna @Razman Abdul Rahim... bekas pemain negeri Ralat: sebelum ni tertulis negara pulak gak dulu ni dan dengar khabornya anak didik Allahyarham Mokhtar Dahari. Sekarang merupakan salah seorang coach Akademi Bolasepak PNSB.


Ni pun actually pemain-pemain akademi dan untuk beberapa sesi yang memerlukan khidmat mereka... pembantu-pembantu khas kejohanan karnival. Rasanya sekarang ni ada yang dah masuk universiti kot... so, takde la masa karnival minggu depan.


Pengadil dah confirm la tak banyak rehat masa karnival tu... game sampai 4 padang beb. Kejap terlari ke sana... kejap ke sini tapi diaorang memang class... mana taknya, kebanyakan mereka dah biasa jadi pengadil di kejohanan negeri dan negara. So, selamat majujaya bro.


Hehe, ok... wide lens lupa bawak masa ni, so dapat la ambil gambar sebahagian dari mereka dan ini baru separuh yang ada di padang. Tu belum lagi yang duduk di grandstand dan atas trek.


Inilah antara wajah-wajah yang bakal menggegarkan arena bolasepak negara beberapa tahun lagi... adakah ianya mustahil? We'll see... they will.


Yup, inilah tempat di masa karnival akan berlangsung... sebelah Stadium Shah Alam hehe. Bila game terpaksa dilanjutkan hingga ke waktu malam... stadium ni ada lampu.

So, jemputlah datang beramai-ramai ke Stadium Mini, Seksyen 13 Shah Alam pada 16hb dan 17hb Julai nanti... minggu depan. Datang awal beb, tempat parking terhad sikit, lambut kalu parking jauh.

.... kepada semua pasukan yang akan bertanding... selamat bersukan

Majulah sukan untuk Selangor dan negara... 1Malaysia Boleh.
Read more

Monday, July 4, 2011

NAK TAU BETAPA UNTUNGNYA KITA, LIHATLAH MEREKA DI BAWAH

Itulah pesan Allahyarham abah saya suatu ketika dulu ketika kaki saya baru menginjak ke usia belasan tahun. Tahun-tahun di mana remaja seperti saya amat menggilai bolasepak, zaman di mana belum adanya internet, PSP malahan Astro. Yang ada hanyalah game Tetris, Donkey Kong dan game kereta kebal menggunakan tape yang dimainkan di tv. Selain dari itu, yang saya kenal hanyalah bolasepak, badminton, sepaktakraw, kriket dan marathon.

... ya, pada masa itu anak remaja seperti kami banyak menghabiskan masa di luar rumah. Berlari, menjerit, berpeluh dan sentiasa bergerak... dan kesemua aktiviti itu amat memerlukan satu benda..

..... KASUT.

Pernah beberapa kali saya merungut kepada abah saya... saya perlukan beberapa pasang kasut yang berlainan untuk aktiviti sukan yang berlainan. Beliau hanya senyum dan diam. Dek kerana banyak kali tanya dan hanya dapat jawaban yang sama... saya tidak bertanya lagi. Tidak ada banyak pilihan pada masa itu kecuali menggunakan kasut sekolah. Saya pun tidak begitu pasti samada keluarga saya pada masa itu susah atau senang... perhatian dan kasih-sayang yang diberikan oleh keluarga saya membuatkan soal status dan kewangan menjadi tidak penting... apatah lagi apabila ianya membabitkan soal makanan... saya yakin kami memang selalu 'mewah' apatah lagi emak saya memang amat pandai masak.

... so, kasut sukan takde tapi aktiviti sukan harus diteruskan... apa nak buat...

... kena fikir kreatif la sikit beb.

... f
... i
... k
... i
... r

Kebiasaannya keluarga saya hanya akan belikan kasut untuk dua perkara sahaja...

................. kasut untuk ke sekolah setiap awal tahun.
................. kasut raya.
----------- > so, kasut raya sudah semestinya jenis kasut sukan juga :)

Pada masa tu, jarang sekali kami adik beradik merungut... terima apa jua seadanya. Yang penting, kami tidak pernah kekurangan MAKAN hehehe.

So........................................ dah boleh agak la kan apa rupa kasut saya apabila tiba setengah tahun.


.....
.........
............ namun saya tidak pernah merungut atau berkecil hati. Namun hati orang tua, mereka tahu apa isi hati anaknya.

Pernah sekali apabila saya sedang kapur kasut sekolah, abah baru pulang dari kerja dan duduk sebelah saya sambil melihat saya membelek-belek kasut yang dah nipis tapaknya akibat terlalu kerap digunakan untuk semua jenis sukan....

.... 'kalau hendak tahu betapa beruntungnya hidup kita, setiap hari apabila pergi dan balik sekolah... lihat2 la mereka yang tidur di tepi kedai'. Dan malam itu, saya tidur dengan linangan airmata dan sememangnya abah saya sentiasa berusaha menyediakan segala yang terbaik untuk kami sekeluarga.

................. walaupun telah hampir 2 tahun beliau meninggalkan kami, ilmu yang beliau wasiatkan memang sentiasa tiada tandingnya.

|
|
|
|
|
... sekarang

Apa cerita sekarang ni... saya ada hampir berbelas pasang kasut, mengalahkan pompuan hahaha. Yup, memang saya seorang yang agak 'gila'kan kasut. Hingga ada beberapa kasut yang reput tapaknya begitu sahaja.

... kalau arwah ada lagi tentu dia kata... hmm, membazir. Tapi alhamdulillah, sempat juga saya membelikan beliau kasut yang baik kualitinya. Dan pada masa saya belikan, beliau sempat memuncungkan bibirnya... '... apehal kasut sampai dekat RM300 nih'. Saya capai dan terus bayar di kaunter. Namun saya masih terkilan kerana beliau begitu teringin hendak menaiki kereta seperti yang saya gunakan sekarang ini.

.......... nostalgia beb

.......... walaupun saya telah memandu kenderaan idaman beliau, saya masih lagi menjenguk keluar cermin dan melihat keluar... masih ramai yang tidur di kaki lima kedai. Alhamdulillah, dari pesanan ini jua, saya telah membina beratus rumah untuk keluarga termiskin, menyediakan bantuan makanan untuk keluarga termiskin, memberi bantuan kewangan pelajaran dan berbagai aktiviti kemasyarakatan lain.

........... ya, kadang-kadang saya berhentikan kereta saya dan makan di warung makanan tepi jalan.

Memang benar kata arwah... '... lihatlah mereka yang di bawah kita'. Bukan lama pun hidup di dunia ni kan untuk kita 'berhidung tinggi'... hidung pun dah memang tak mancung pulak tu hahaha.

Semoga Allah mengurniakan Ar-Raudhah kepada kedua ibubapa dan ibubapa mertua saya... amen.

... apa yang boleh saya buat lagi selepas ini, agak lama juga duduk 'sideline' je.
Read more

Saturday, July 2, 2011

KISMIS OH KISMIS


Dah hampir 6 bulan berlalu di tahun 2011, cepat sungguh masa berlalu. Sedar tak sedar, lagi sebulan... umat Islam di Malaysia akan menjalankan ibadah puasa di bulan Ramadhan Al-Mubarak. Semoga Allah perkenankan hasrat untuk menjalani ibadah tersebut dengan penuh rasa syukur dan tawadhu'. Jika tak silap, hari ini mungkin telah masuk bulan Syaaban kot... yang dikatakan sebagai bulan Rasulullah s.a.w., junjungan besar Rasul umat Islam.

Agak terlewat saya makan 'lunch' hari ni... hampir pukul 3pm baru berkesempatan. Tekak tiba-tiba terasa nak makan di JM Bariani... nasi briyani kambing memang menjadi kegemaran saya. Agak lengang suasana di TESCO Shah Alam... mungkin kebanyakan orang telah pun kembali bertugas di tempat kerja masing-masing, jadi takde la bersesak sangat nak makan di situ yang sememangnya sentiasa penuh waktu 'lunch'.

Semasa hendak masuk, saya perasan ada seorang budak lelaki dalam lingkungan umur 12-14 tahun (kanak-kanak?) sedang berdiri bersandar di dinding pintu masuk laluan... beruniform dan bersongkok sambil memegang kotak yang menjual produk kismis di atas.  Pemandangan sebegini sememangnya biasa di Shah Alam terutamanya di pusat beli-belah dan stesen minyak. Terdetik juga di hati saya... 'budak ni dah makan ke belum?'. Saya tinggalkan beliau sebentar di situ dan terus masuk ke dalam.

Makan sebentar di JM Bariani dan kemudian naik ke tingkat atas untuk membeli beberapa barangan keperluan rumah... dan fikiran saya masih teringatkan budak tadi. Apabila selesai segala urusan, lebih kurang sejam kot saya di situ... saya bergerak ke tempat letak kereta dan melalui pintu masuk tadi. MasyAllah... budak itu masih berdiri bersandar di situ, memegang kotak dan dalam posisi yang sama semasa saya mula-mula sampai tadi.  Saya keluarkan duit beberapa ringgit dan beli kismis tersebut.

... sungguh sayu muka budak tersebut memandang saya
......................
......................
......................
... memang saya tak tau bagaimana nak gambarkan perasaan melihat raut muka budak tersebut.
... 'budak ni dah makan ke belum?'

Dalam kotak fikiran saya... anak kecil semuda ini sepatutnya berada di sekolah, bersama kawan-kawan atau mungkin di padang bola. Muda benar rasanya untuk menjadi seorang 'usahawan'... namun saya tidak fikir beliau ada pilihan. Lebih-lebih lagi berstatus anak yatim atau yatim-piatu dan tinggal di mana-mana pusat anak-anak yatim. Beliau mungkin harus keluar 'mencari rezeki' untuk diserahkan kepada 'sekolahnya'... kerana beliau tiada pilihan.





........ memang amat meresahkan fikiran





Saya pernah buat program keluarga termiskin di Selangor, bantuan duit pelajaran dan bantuan makanan... hanya kerana saya mahu keluarga atau anak-anak seperti ini merasakan mereka ada keluarga yang lebih besar yang akan mengambil berat tentang mereka... tanpa perlu mereka 'menjadi usahawan kismis'. Namun, sebesar mana la bantuan yang dapat saya hulurkan... dan agak mustahil untuk saya membantu semua orang.



.......... namun pemandangan seperti ini memang amat meresahkan fikiran saya



Kadang-kadang hairan juga apabila ada orang yang sanggup dipenjara atau mati... semata-mata kerana politik atau 'bos'. Semata-mata mahu dikenali sebagai 'pembela dan pemimpin masyarakat' yang boleh menunjukkan jalan demokrasi atau syurga. Malahan ramai juga yang sanggup berkarya demi pegangan politik.



.......... anak-anak seperti ini bagaimana? Siapa yang hendak 'berdemo atau berani mati' untuk mereka. Walhal mungkin mereka ini 'future talent' Malaysia.



Mungkin juga yang dikatakan membela rakyat tu ialah apabila perjuangannya besar, ada liputan media, mendapat perhatian... dan mungkin juga 'tunjuk kuat' sesama bangsa sendiri... itu adalah perjuangan suci. Mudah-mudahan mereka dapat apa yang mereka idamkan dek kerana perjuangan dan falsafah mereka... bukankah Allah itu Maha Pemurah.



........ saya cuma boleh berkata 'i've been there and done that'.

Hingga sekarang saya tidak nampak apa pun usaha bersungguh-sungguh mana-mana pihak untuk memberikan perhatian serious dalam hal ni... tak penting kot kerana tiada nilai politik Putrajaya. Setakat memberikan peruntukan kepada pusat-pusat anak yatim dan membiarkan aktiviti bebas dilakukan... sudahnya mereka direkrut untuk menjadi pengikut golongan tertentu. Walhal pada masa saya, mereka mungkin 'future talent' Malaysia.

... tak tau bila keadaan ini akan lenyap dari pandangan mata... kelibat kanak-kanak ke sana ke mari menjual kismis, minyak angin, poster atau kalendar.




........... tak tau bila keadaan ini akan menjadi agenda besar negara. Dan saya hanya mampu berdoa buat masa ini... insyAllah suatu hari nanti kita akan bertemu adik-adik sekalian... dalam suasana yang berlainan.

Semoga Allah melindungi anak-anak yatim ini... amen.
Read more

Saturday, June 25, 2011

MALAYSIA DAN MEGI MEE BERPISAH TIADA


Tajuk macam takbleh blah... hahaha. Hari ni saya nak bercerita pasal makanan segera yang boleh dikatakan menjadi kegemaran ramai penduduk Malaysia... mungkin kot, tiada statistik yang dibuat tentang ini tapi saya andaikan sedemikian la berdasarkan kawan-kawan di sekeliling saya yang kedengarannya pernah makan... setidak-tidaknya sekali. Saya sendiri akui menggemari makanan segera ini terutamanya perisa kari dan asam laksa, terutamanya bila dah lapar sangat tengah-tengah malam.

Lemme see, bila saya mula mengenali makanan ini. Kalau tak silap di hujung tahun 70-an kot. Masa tu ada 3 jenis kilang yang dibuka di Shah Alam berskala besar... Nestle, Motorola dan National. Nestle dengan produk makanannya dan National ialah kilang elektronik dari Jepun. Manakala Motorola pula lebih kepada sistem telekomunikasi... kalau tak silap saya masa tu produk telefon sebesar beg sekolah... ATUR. Ramai anak-anak jiran saya yang bekerja di ketiga-tiga kilang ini kerana gaji yang ditawarkan agak lumayan berbanding kakitangan kerajaan.

Hampir setiap bulan, jiran saya yang bekerja di Nestle akan membawa balik berkotak-kotak Maggi Mee (kami panggil Megi) berperisa kari. Amat murah pada masa tu, kalau tak silap antara RM0.40-RM0.50 sebungkus. Sekarang seringgit lebih beb sebungkus. Pertama kali saya cuba, terus jatuh cinta. Cuma masa tu saya gemar memakannya dengan meletakkan sedikit kicap dan kadang-kadang dicampurkan dengan telur. Jadi, apabila tiba hari gaji, ada juga yang mengirim beli terus dari kilang... dan kebanyakannya akan beli berkotak-kotak sebab memang murah. Kalau tak silap masa ni cuma ada perisa kari dan ayam... selepas tu ada perisa udang.

Takde la kerap sangat makan Megi masa tu... kadang-kadang je. Mak lebih gemar sekiranya kami semua makan masakannya... yang sememangnya sentiasa berzat dan sedap. Tapi dah nama pun budak-budak kan... bila berduit sikit, beli la sebungkus dua Megi. Bukan susah pun nak masak... katanya cuma 2 minit la tapi cuba la buat macam tu... memang keras la Megi tu hahaha. Selalunya dengan 5 minit juga la atas dapur, barulah lembut sikit Megi tu.

Apabila saya sambung pelajaran ke ITM dan berkesempatan tinggal di Kolej Jati (sepenuh masa dan kadang-kadang jadi setinggan hahaha), Megi ni memang jadi stok makanan tetap la untuk hanpir kesemua pelajar. Mana taknya, Kolej tutup pagar pukul 11pm dan masa tu la perut lapar nak giler... Megi la jadi mangsa. Tapi macam mana budak-budak kolej ni masak Megi... pakai heater air tu je yang digantung dalam bekas apa pun... asalkan boleh masak Megi tu. Tapi ada juga yang dah desperate sangat lapar... perisa kari Megi tu diaorang bukak dan campur je dalam Megi tu... makan mentah-mentah. Habis beb... hahaha, kadang-kadang sampai 2 bungkus. Cuma pengalaman paling 'menakutkan'... hahaha... bila kawan-kawan mintak saya masak sampai 5 bungkus Megi sekaligus sebab semua dah lapar sangat dan leceh nak masak satu-satu. Saya suruh diaorang cuci baldi yang selalu diaorang buat basuh baju tu bersih-bersih... takung air dan saya gantung heater. Memang la macam geli... baldi buat basuh baju tu hahaha. Tapi dah letak telur, buat air kopi kaw-kaw, biskut satu tin... esoknya diaorang request satu round lagi beb... hahaha.

Sekarang ni masih layan lagi Megi ni... terutamanya Megi kari. Tapi rasanya Megi perasa udang memang dah takde lagi kot... maybe la takde sambutan sangat berbanding perisa kari, ayam dan tomyam. Takut la juga nak makan selalu sebab banyak cerita yang kurang enak tentang Megi ni. Paling sensasi bahan perisa tu boleh buat rambut gugur. Kalau saya jadi spesimen, mungkin betul kot... hahaha tapi saya tengok ramai gak kawan-kawan makan... lebat semacam je rambut cam muda-muda dulu. Cuma ada dua cerita la yang saya rasa patut diambil perhatian... Megi ni kenyal dan keras sebab ada sejenis bahan yang dikatakan seperti plastik yang menyaluti Megi tu. So bila masak, air yang pertama tu buang dan ganti dengan air yang baru... then masak balik. Memang ada perbezaan rasa... dulu mana sempat nak buang air tu dan ganti... nak cepat. Bimbang beb bahan plastik masuk usus... lambat nak hancur tu, bahaya. Dan satu lagi, jangan makan Megi sebelum beriadah... angin banyak, memang senak perut nanti dan stamina boleh berkurangan. Lemau kang asyik sendawa angin je bila main besi kat gym.

Saya dengar ada juga orang masak Megi yang dicampur-campur seperti kari dan asam laksa... sedap katanya tapi saya belum pernah cuba la. Ada yang buat Megi goreng... kat kedai mamak cukup famous nih. Yang paling biasa... Megi kari campur sayur dan telur. Pernah juga sorang kawan sekolah saya buat bekal ke sekolah... masak Megi dari rumah. Bila tiba waktu rehat, Megi tu dah sebesar mee kuning dan kuah pun takde... sejat tapi habis gak dibedalnya. Sekarang ni mudah, dah ada Megi dalam mangkuk... cari air panas je curah, tunggu dalam 5 minit dan soru. Mahal la sikit tapi kalau boleh alas perut... apa ada hal kan bila dah takde benda nak gasak.

Tak tau la samada Megi ni boleh dikategorikan sebagai makanan berkhasiat atau tidak. Apa pun jenis makanan, saya rasa berpada-pada la bila makan tu... takkan la nak makan hari-hari macam zaman student dulu.... hahaha. Rajin-rajin la belajar masak makanan Melayu... rasanya ada banyak juga jenis masakan Melayu yang boleh dihidangkan dalam masa satu jam (satu hari nanti insyAllah saya akan tulis pasal nih).

... sekarang ni memang banyak jenis jenama mee segera namun kerapkali bila orang nak makan, dia sebut... nak makan Megi. Memang susah nak pisahkan Malaysia dan Megi.
Read more

Saturday, June 18, 2011

SAHAM WAKAF SELANGOR... HARTA DUNIA BERMANFAAT

Gambar: internet

Pada Jumaat lepas, khutbah di Masjid Negeri Shah Alam berkisar tentang wakaf dan sumbangannya kepada ekonomi umat Islam di Selangor. Elok juga khutbah ni, tahu juga la ada program seumpama ini di Selangor... daripada minggu sebelumnya, tak habis-habis soal Qazaf yang nampaknya seolah-olah 'nak cover' isu video. Pada saya, lantak la pasal hal video tu... hal peribadi yang terlalu dimanipulasikan oleh ramai pihak hinggakan rakyat biasa seperti kita ni ikut terkena tempias pertengkaran politik yang tidak kesudahan.

Sori la beb, emo sket... hahaha. Berbalik kepada Saham Wakaf Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menawarkan unit-unit saham wakaf pada kadar minimum RM10 seunit. Tiada jumlah maksima ditetapkan. Bezanya dengan saham-saham amanah yang lain, peserta saham tidak akan menerima sebarang bentuk dividen atau keuntungan kerana ianya bersifat wakaf kekal. Sesiapa jua boleh 'melabur' bagi pihak atau mana-mana individu yang telah meninggal dunia. MAIS akan bertindak sebagai pemegang amanah dan mewakafkan unit-unit saham tersebut selama-lamanya kerana Allah s.w.t dengan tujuan demi kepentingan dan kebajikan ummah.

Kurang lebih macam ni la, kata la kita melabur sebanyak RM1000 (Ringgit Malaysia: Satu Ribu Sahaja). Duit ini akan dikumpulkan dengan pelaburan yang lain dalam satu tabungan wakaf. Kononnya la kan, ada keperluan di Selangor untuk menubuhkan sebuah pusat tahfiz... MAIS boleh samada membiayai sepenuhnya atau sebahagian dari pembangunan pusat tahfiz tersebut dan duit tabungan wakaf akan digunakan. So, secara logiknya... insyAllah saham wakaf yang kita lakukan juga akan turut terbabit. Bayangkan... pusat tahfiz tu beb, tempat anak-anak belajar Al-Quran. Nak harap kita baca Al-Quran hari-hari... harap je la kan. Setidak-tidaknya kita tumpang la sekaki kat budak-budak tahfiz tu bila mereka baca Al-Quran dan gunakan lain-lain kemudahan di pusat tahfiz tersebut... bagitau saya beb, apa yang lebih baik dari itu.

Secara spesifiknya, Saham Wakaf Selangor ini akan disalurkan untuk program pembangunan tanah-tanah wakaf yang berdaya maju... pembelian hartanah yang berpotensi bagi manfaat masyarakat Islam seperti lot hartanah, komersial, perumahan dan sebagainya... untuk pembangunan perladangan, ternakan dan perkilangan... untuk pembiayaan pembinaan dan penyelenggaraan pembangunan prasarana ibadah dan institusi keagamaan seperti masjid, surau, sekolah agama dan sebagainya. Best tu beb... kita ada 'saham' dalam pembinaan surau yang hari-hari orang datang beribadat... pahala freeflow sampai kiamat.

So... macam mana nak participate nih. Ada banyak cara beb... pergi kaunter Baitulmal MAIS, pejabat agama Islam daerah, kaunter Lembaga Zakat Selangor, skim potongan gaji (ni kena bincang la dengan majikan), E-MAIS (www.mais.gov.my)... online tu sheikh, di Bank Simpanan Nasional pun boleh. Dan semua sumbangan kita boleh tuntut pengecualian cukai pendapatan di bawah Seksyen 44(6). Kalau nak lebih kepastian dan penerangan, boleh hubungi Unit Wakaf, Bahagian MAL MAIS di talian 03-55143600 atau masuk website www.mais.gov.my dan buat carian Pejabat Agama Islam daerah.

Selepas sahaja saya dengar khutbah tersebut, rasa macam bertuah pun ada... setidak-tidaknya seruan sampai kepada saya tentang peluang membuat pahala yang Allah hendak berikan kepada hambaNya. Dan yang penting, Allah berikan saya kekuatan untuk memulakan tapak pertama... berkunjung ke kaunter wakaf dan buat sumbangan... hahaha, langkah besar untuk orang yang tak berapa rajin seperti saya... insyAllah. Dan begitu jualah doa saya buat kawan-kawan... semoga Allah permudahkan usaha semua untuk beramal jariah dengan memberikan rezeki yang melimpah-ruah.

... siapa yang tidak mahu syurga.... kan.
Read more

Thursday, June 16, 2011

MAKAN-MAKAN DI BANDAR KLANG... RESTORAN MAS MERAH

Nama restoran ni agak retro sedikit... macam nama watak dalam filem 60an, walaupun kadang-kadang konpius sikit apakah ianya ada kena mengena dengan Mas Joko. Haha... untuk pengetahuan, restoran milik penuh orang Melayu Muslim ini memang amat dikenali di bandar Meru dan kawasan yang berdekatan dengannya... some say Shah Alam too... Mohd Haizulim 'Mas Joko' Jarkasi. Bangga beb, seorang kawan yang berani membuka sebuah restoran makanan Melayu Johor dan Selangor di bandar Klang. Jika tak silap... hampir tiada restoran milik orang Melayu tapi kalau kedai dan gerai kecil memang ada. Usaha anak muda yang tak berapa muda lagi nih memang sesuatu yang patut dibanggakan... dan harus DISOKONG.

Jadi mari kita lihat dulu exterior kedai nih. Memang chanteq dan terletak di corner lot, terletak di hujung blok selepas simpang Jalan Taiping... jalan di mana semua orang Klang suka shopping sebelum Hari Raya.






Tempat letak kereta agak terhad di kawasan ini sebab terlalu banyak kenderaan yang lalu di kawasan tumpuan perniagaan ni. Kawasan ini juga memang dikenali antara kawasan perniagaan paling sibuk di Bandar Klang. Di belakang blok kedai ini ialah pesisir Sungai Klang  di mana terletaknya Masjid di atas tebing sungai dan Jambatan Kota Klang yang terkenal itu. Tempat letak kereta di sini menggunakan sistem tiket... kena isi duit la kat meter beb dan beli tiket untuk display di dashboard kereta. Takmo bayar pun boleh tapi kalau kena saman... jangan pulak merapu-rapu kat Facebook kutuk gomen. Kerusi meja mencukupi tapi rasanya bila ada duit lebih sikit... tukar la pinggan gelas tu bro... hahaha... nanti-nanti la kan.

Sekarang mari kita lihat lauk... ye, fakta yang paling penting yang membezakan status kedai makan.


Brader ni dikhabarkan sebagai pembakar ikan terhebat...  so, kalau nak makan ikan bakar, time lunch ke dinner ke... this is the place, panas-panas beb dengan air asam dan kicap pedas.


Err... ini bukan pulut panggang dan saya pun tak pasti ikan apa dalam tu sebab tak sempat nak tengok. Ambil gambar sambil pilih lauk... lapor beb. Tapi ikan kembung kot...


Pelanggan bernama Zul Mael Lambung ni bukan nama sebenar enggan membenarkan saya menemuduganya bagi menanyakan samada lauk di sini sedap atau tidak.  Dia kata takut lauk habis nanti kalau lambat ambil, so dia minta saya tanya kemudian selepas makan... dan selepas habis makan, pun saya tak sempat nak temuduga sebab dia nak pergi tengok seluar Wrangler di kedai depan.


Kami sampai tepat pukul satu... dan asam pedas Muar ni dah tinggal suku. Saya dah try, memang sedap kalau layan panas-panas beb. Jadi kalau sesiapa ke Klang dan ingin singgah di restoran ni... sila datang awal.


Mee goreng, mee hun... lontong pun ada beb dengan bergedil sekali. Tapi tak sempat nak makan sebab datang time lunch... kena cari nasi gak.


Beberapa jenis sayur, sambal belacan, air asam, kicap pedas dan ulam... apa lagi mau.


Ni dia... ayam goreng kampung berempah... memang sedap dan maintain panas.


Ni pun tak sempat nak merasa... maybe next round nanti.


Soto dan bakso... pun tak sempat try.


Roti canai pun ada... sepanjang hari. Dan dengar khabarnya tokeh Mas Merah akan jual satay muar... dalam masa beberapa minggu lagi kot. So, jika ada sesiapa nak minta kerja sebagai tukang bakar... sila hubungi saya. Tokeh nak pakai sorang... dan juga orang jaga kaunter waktu malam. Gerai ini dibuka dari pukul 7 pagi - 12 malam.

Nak tengok ramai ke tidak orang datang time lunch... ni dia. Orang datang silih berganti.


Inilah tetamu kehormat time lunch tadi dan juga seorang lagi di belakang kamera... yang dibawa khas dari bandaraya Shah Alam. Membukit beb nasi dan lauk diaorang bedal.




... dan ada big screen beb

Akhir kalam... bagi sesiapa yang berkunjung ke Bandar Klang dan ingin mencari restoran Melayu... inilah tempatnya... Jalan Nanas.

... selamat menjamu selera.
Read more

Wednesday, June 15, 2011

KADANG-KADANG KITA BUAT PERKARA YANG TIDAK DIDUGA

Sudah agak lama juga saya tidak menulis... sibuk beb. Banyak benda keje nak kena follow up, kawan-kawan pun ramai pulak yang ajak jumpa teh tarik. So, hari ni tiba-tiba teringin nak menulis, selepas borak-borak dengan kawan tadi yang meriah sungguh cerita pasal aktiviti outdoor. Teringat pulak beberapa tahun yang lalu, pernah organized satu 'troop' daki Gunung Bunga Buah... gunung macam bukit je yang terletak sebelah Genting Highlands dan di situ juga la helikopter terhempas setelah beberapa bulan kami daki.


Niat untuk mendaki gunung ni agak lama juga dipendam tapi pada masa itu saya tidak berani untuk memulakan kerana bilangan yang hendak turut serta agak ramai dan hampir kesemuanya tidak mempunyai pengalaman mendaki gunung yang mengambil masa berjam-jam lamanya kecuali seorang kawan. Jadi setelah kami lakukan beberapa siri jungle trekking jarak berskala kecil dan sederhana... barulah saya berani untuk memulakannya walaupun dalam kepala, macam-macam perkara yang saya risaukan. Apa nak buat kalau ada yang terseliuh nanti, atau pitam sebab udara agak nipis di puncak, tercedera, patah semangat separuh jalan... kerana saya jangkakan masa tu perjalanan ke puncak tentu mencabar dan perlu berjalan berjam-jam lamanya. Apatah lagi saya tidak begitu pasti apakah kami sempat untuk turun semula sebelum matahari tenggelam. Tapi disebabkan semuanya begitu bersemangat... saya nekad juga untuk melakukannya.

Kami sampai di pinggir bukit agak awal pagi. Namun saya tidak jangkakan bahawa, perjalanan dari tempat parking kereta hingga ke laluan masuk pertama bukit mengambil masa hampir satu jam... mak ai, jauh tu beb dan sebenarnya kami belum pun mula mendaki. Sampai di kaki bukit itulah baru kawan saya beritahu... 'kita akan daki gunung yang pertama'. Rupanya kami akan mendaki 2 gunung... gunung pertama agak rendah tapi curam... dan gunung kedua tidak begitu curam tapi sayup tinggi.


Gambar di atas baru separuh perjalanan dari tempat letak kereta ke laluan masuk gunung pertama... dan tempat kami bergambar ini masih lagi jauh dari laluan masuk tersebut. Masa pergi memang la semangat beb, tenaga tengah full lagi. Dan pemandangan memang amat menarik. Laluannya takde la bersemak sangat kerana dah ramai yang daki gunung ini sebelumnya... kami yang lambat sket... hahaha.

Laluan di gunung pertama agak basah... kebanyakannya laluan tanah. Saya hampir-hampir terjatuh kerana kasut mendaki yang saya gunakan agak keras, jadi tidak begitu terasa tanah yang kita pijak tu samada tanah atau akar kayu. Di gunung pertama ini kami harus mendaki dan kemudiannya harus menuruni curam... agak tinggi curamnya, hampir 70% tegak. Penat beb bila sampai bawah... rehat sebentar dan kawan saya beritahu... 'sekarang kita akan daki Gunung Bunga Buah yang tingginya hampir 2 kali ganda gunung yang kita baru lepas tadi'. Serious beb... luruh jantung masa tu gak. Tiba-tiba boleh terfikir... 'apesal la aku buat aktiviti bodoh nih. Dok rumah tengok tv lagi best'... mental memang pecah. Tapi bila difikirkan dah separuh jalan... teruskan jugalah.

Masa mendaki ni, memang banyak kali berhenti... beg berat pulak tu ada macam-macam benda. Peha jangan cakap la... panjat 5-7 meter, berhenti rehat. Macam tu la gayanya sampai la ke puncak... mental macam nak pecah, lutut sakit, peha tegang, tumit perit... macam-macam. Nak komplen malu... pompuan pun ada ikut daki sama... hahaha aksi macho je la. Kalau tak silap, dekat 3 jam baru sampai atas kot... amatur beb, camtu la. Terhegeh-hegeh berjalan. Dan di beberapa laluan kalau tak silap saya, kami berjalan di atas rimbunan akar-akar pokok yang silang menyilang. Saya perasan sebab kayu yang saya pegang kadang-kadang menerobos ke bawah seolah-olah ianya lompong... memang nampak lubang yang gelap je... suspen betul. Tak tau la kalau terjatuh ke dalam, entah apa ada kat dalam tu dan berapa dalam lompong tu. Beberapa orang kawan saya telah jauh ke hadapan dan di belakang juga ramai lagi yang perlahan-lahan berjalan. Laluannya agak mudah dilalui... seolah-olah denai yang dibuat.


Yes... kami pernah sampai di sini. Dengan bangganya saya boleh katakan demikian kerana hanya sebilangan kecil penduduk Malaysia yang pernah sampai di sini. Saya diberitahu banyak juga kumpulan pendaki sebelum ini yang bermalam di sini... mengikut kata trackers yang guide kami. Masing-masing ingin merasai tidur di puncak yang sejuk ini. Tapi saya tak berani la nak buat demikian... kebanyakannya tidak mahu bermalam kerana soal keluarga. Apabila sampai di puncak ni... segala rasa menyesal, pecah mental, penat... hilang begitu sahaja. Memang susah hendak digambarkan betapa bangga dan gembiranya saya. Kami berehat tidak lama... kurang dari sejam kot kerana saya tidak mahu terlewat untuk turun nanti, bimbang hari gelap dan takut tersesat jalan nanti. Terlalu banyak pokok-pokok di atas ni, jadi pemandangan sekeliling tidak begitu menarik kerana terlindung.

Namun dalam perjalanan turun, kami sempat juga mengambil gambar di beberapa laluan yang memang amat menarik pemandangannya. Tidak ada bunyi bising manusia dan kenderaan... yang ada hanya bunyi angin menderu ke arah pokok-pokok dan bau udara yang amat segar. Malahan binatang juga sukar ditemui di atas ni sebab tak banyak sumber makanan kot.


Inilah satu daripada pemandangan yang ada... di beberapa kedudukan, kami berada di atas awan dan ianya memang amat menyegarkan. Sambil bergambar, sambil menghilangkan lelah berjalan. Namun disebabkan berkobar-kobar hendak pulang, agak laju juga kami berjalan.


Inilah wajah-wajah lega dan gembira dalam kepenatan, apabila kami telah berjaya sampai ke laluan masuk sebelum hari gelap. Sempat berehat agak lama di sini kerana menunggu beberapa rakan yang masih di belakang. Puas dan bangga... namun dari sini ke tempat letak kereta... masih ada hampir 1 jam perjalanan yang memang amat memenatkan walaupun laluannya landai. Cuma sesekali berjalan mendaki... tapi memang letih.


Hahaha... yes, tepat pukul 7pm dan hari hampir senja... kami telah berjaya sampai dan masanya untuk pulang. Puas tapi saya putuskan... selepas ini tiada lagi pendakian seperti ini. Rasa bersyukur kerana semuanya selamat, tiada yang tercedera atau 'tersampuk' hahaha. Semua rasa penat tapi gembira dan bangga. Cuma saya tidak pasti, setelah saya meninggalkan syarikat lama... apakah kelab ada membuat aktiviti lagi seperti ini. Namun yang pasti, aktiviti seperti ini mengeratkan lagi persahabatan yang sekian lama terjalin.

... terima kasih kepada semua kawan-kawan terutamanya Bro Yousman kerana memberikan pengalaman yang tidak boleh dibeli ini. Semoga Allah merahmati rakan-rakan semua dan sentiasa dipandang dengan kasih sayangNya.
Read more

Wednesday, June 1, 2011

BAHASA MALAYSIA, BAHASA DUNIA


Sekiranya saya berpeluang untuk putar masa ke belakang ke era umur saya belum mencecah 12 tahun... salah satu keinginan saya ialah belajar berbagai jenis bahasa. Setidak-tidaknya saya tahu berbahasa Mandarin, Cantonese, Arab dan French. Memang amat rugi rasanya tak mahir berbagai jenis bahasa... bayangkan sekarang ni Malaysia semakin maju, pengangkutan udara semakin murah, industri pelancongan semakin galak dan hubungan penduduk dunia semakin erat hasil dari kemajuan teknologi... kelebihan mengetahui lebih dari Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris amatlah berguna dan menyeronokkan.

Saya pernah berjumpa dengan seorang kawan dulu, pada masa itu beliau masih belajar di UIA. Dan sungguh menakjubkan apabila beliau mahir dalam hampir 12 jenis bahasa termasuk Bahasa Rusia dan Urdu. Saya yang belajar bahasa Mandarin dan Cantonese ni pun terkial-kial. Kalau lama tak bukak buku... lupa balik. Cuma mungkin dapat mahir Cantonese dengan lebih baik kot sebab environment kerja.

Saya pernah berkunjung ke China tahun lepas, penduduk Mainland ini bertutur dalam bahasa Mandarin... saya tahu la sedikit sedikit bahasa ni dan mereka suka bila saya bertutur dalam bahasa ini dan dapatlah harga barang kurang sedikit apabila kita bargain dalam Mandarin. Dan tahukah anda Mandarin adalah bahasa yang dituturkan oleh hampir 1.2 bilion penduduk dunia. Dan berdasarkan kekuatan ekonomi China, saya jangkakan dalam beberapa tahun lagi bahasa ini mampu mengatasi Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di kebanyakan negara terutama negara yang banyak urusan ekonomi dengan China.

Mandarin adalah salah satu dari enam bahasa yang diiktirafkan penggunaannya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu selain dari Bahasa Inggeris, Arab, Perancis, Rusia dan Spanish. Minta maaf, Bahasa Malaysia atau Bahasa Indonesia tidak ada... mungkin suatu hari nanti. Secara peribadi saya kira mungkin Malaysia patut jadikan pelajaran bahasa ini sebagai matapelajaran pilihan atau tambahan. Berguna suatu hari nanti... saya sendiri seperti saya katakan tadi, andaikata saya boleh putar masa... saya akan pelajari, insyAllah.

Sebut pasal bahasa juga, saya agak terkejut juga apabila masih ada rakyat Malaysia yang tidak mahir atau hampir tidak tahu bertutur dalam Bahasa Malaysia. Walaupun dah duduk hampir berpuluh tahun di Malaysia dan bergelar warganegara... bijik butir Bahasa Malaysia memang kelam kabut. Dan agak menyedihkan menyampah accelli juga apabila ada orang Melayu sendiri yang tidak begitu lancar pertuturan bahasa sendiri... tak tau la mungkin tak 'cool' agaknya bertutur dan dikenali sebagai orang Melayu. Bunyi seperti prejudice kan tapi... saya kira sesiapa jua pernah bertemu dengan orang Melayu seperti ini. Tapi mungkin la kot dia nak mahirkan skil Bahasa Inggeris... kot.

Saya berpeluang juga menonton beberapa video Youtube yang memaparkan kepetahan rakyat Amerika, UK dan Australia bertutur dalam bahasa Melayu. Walaupun dibuat dalam suasana bernyanyi dan santai, namun saya harus berterimakasih kepada mereka kerana sudi mempelajari Bahasa Malaysia. Malahan kemunculan banyak pemuzik dan penyanyi yang memartabatkan Bahasa Malaysia dalam muzik moden Barat sedikit sebanyak mempromosikan lagi bahasa kita. Mereka nampak memang Barat-stylo dengan fesyen pakaian namun tebal jatidiri Bahasa Malaysia... terimakasih juga.

... bahasa kita, budaya kita.


Read more
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...