Saturday, June 18, 2011

SAHAM WAKAF SELANGOR... HARTA DUNIA BERMANFAAT

Gambar: internet

Pada Jumaat lepas, khutbah di Masjid Negeri Shah Alam berkisar tentang wakaf dan sumbangannya kepada ekonomi umat Islam di Selangor. Elok juga khutbah ni, tahu juga la ada program seumpama ini di Selangor... daripada minggu sebelumnya, tak habis-habis soal Qazaf yang nampaknya seolah-olah 'nak cover' isu video. Pada saya, lantak la pasal hal video tu... hal peribadi yang terlalu dimanipulasikan oleh ramai pihak hinggakan rakyat biasa seperti kita ni ikut terkena tempias pertengkaran politik yang tidak kesudahan.

Sori la beb, emo sket... hahaha. Berbalik kepada Saham Wakaf Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menawarkan unit-unit saham wakaf pada kadar minimum RM10 seunit. Tiada jumlah maksima ditetapkan. Bezanya dengan saham-saham amanah yang lain, peserta saham tidak akan menerima sebarang bentuk dividen atau keuntungan kerana ianya bersifat wakaf kekal. Sesiapa jua boleh 'melabur' bagi pihak atau mana-mana individu yang telah meninggal dunia. MAIS akan bertindak sebagai pemegang amanah dan mewakafkan unit-unit saham tersebut selama-lamanya kerana Allah s.w.t dengan tujuan demi kepentingan dan kebajikan ummah.

Kurang lebih macam ni la, kata la kita melabur sebanyak RM1000 (Ringgit Malaysia: Satu Ribu Sahaja). Duit ini akan dikumpulkan dengan pelaburan yang lain dalam satu tabungan wakaf. Kononnya la kan, ada keperluan di Selangor untuk menubuhkan sebuah pusat tahfiz... MAIS boleh samada membiayai sepenuhnya atau sebahagian dari pembangunan pusat tahfiz tersebut dan duit tabungan wakaf akan digunakan. So, secara logiknya... insyAllah saham wakaf yang kita lakukan juga akan turut terbabit. Bayangkan... pusat tahfiz tu beb, tempat anak-anak belajar Al-Quran. Nak harap kita baca Al-Quran hari-hari... harap je la kan. Setidak-tidaknya kita tumpang la sekaki kat budak-budak tahfiz tu bila mereka baca Al-Quran dan gunakan lain-lain kemudahan di pusat tahfiz tersebut... bagitau saya beb, apa yang lebih baik dari itu.

Secara spesifiknya, Saham Wakaf Selangor ini akan disalurkan untuk program pembangunan tanah-tanah wakaf yang berdaya maju... pembelian hartanah yang berpotensi bagi manfaat masyarakat Islam seperti lot hartanah, komersial, perumahan dan sebagainya... untuk pembangunan perladangan, ternakan dan perkilangan... untuk pembiayaan pembinaan dan penyelenggaraan pembangunan prasarana ibadah dan institusi keagamaan seperti masjid, surau, sekolah agama dan sebagainya. Best tu beb... kita ada 'saham' dalam pembinaan surau yang hari-hari orang datang beribadat... pahala freeflow sampai kiamat.

So... macam mana nak participate nih. Ada banyak cara beb... pergi kaunter Baitulmal MAIS, pejabat agama Islam daerah, kaunter Lembaga Zakat Selangor, skim potongan gaji (ni kena bincang la dengan majikan), E-MAIS (www.mais.gov.my)... online tu sheikh, di Bank Simpanan Nasional pun boleh. Dan semua sumbangan kita boleh tuntut pengecualian cukai pendapatan di bawah Seksyen 44(6). Kalau nak lebih kepastian dan penerangan, boleh hubungi Unit Wakaf, Bahagian MAL MAIS di talian 03-55143600 atau masuk website www.mais.gov.my dan buat carian Pejabat Agama Islam daerah.

Selepas sahaja saya dengar khutbah tersebut, rasa macam bertuah pun ada... setidak-tidaknya seruan sampai kepada saya tentang peluang membuat pahala yang Allah hendak berikan kepada hambaNya. Dan yang penting, Allah berikan saya kekuatan untuk memulakan tapak pertama... berkunjung ke kaunter wakaf dan buat sumbangan... hahaha, langkah besar untuk orang yang tak berapa rajin seperti saya... insyAllah. Dan begitu jualah doa saya buat kawan-kawan... semoga Allah permudahkan usaha semua untuk beramal jariah dengan memberikan rezeki yang melimpah-ruah.

... siapa yang tidak mahu syurga.... kan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...