Saturday, July 2, 2011

KISMIS OH KISMIS


Dah hampir 6 bulan berlalu di tahun 2011, cepat sungguh masa berlalu. Sedar tak sedar, lagi sebulan... umat Islam di Malaysia akan menjalankan ibadah puasa di bulan Ramadhan Al-Mubarak. Semoga Allah perkenankan hasrat untuk menjalani ibadah tersebut dengan penuh rasa syukur dan tawadhu'. Jika tak silap, hari ini mungkin telah masuk bulan Syaaban kot... yang dikatakan sebagai bulan Rasulullah s.a.w., junjungan besar Rasul umat Islam.

Agak terlewat saya makan 'lunch' hari ni... hampir pukul 3pm baru berkesempatan. Tekak tiba-tiba terasa nak makan di JM Bariani... nasi briyani kambing memang menjadi kegemaran saya. Agak lengang suasana di TESCO Shah Alam... mungkin kebanyakan orang telah pun kembali bertugas di tempat kerja masing-masing, jadi takde la bersesak sangat nak makan di situ yang sememangnya sentiasa penuh waktu 'lunch'.

Semasa hendak masuk, saya perasan ada seorang budak lelaki dalam lingkungan umur 12-14 tahun (kanak-kanak?) sedang berdiri bersandar di dinding pintu masuk laluan... beruniform dan bersongkok sambil memegang kotak yang menjual produk kismis di atas.  Pemandangan sebegini sememangnya biasa di Shah Alam terutamanya di pusat beli-belah dan stesen minyak. Terdetik juga di hati saya... 'budak ni dah makan ke belum?'. Saya tinggalkan beliau sebentar di situ dan terus masuk ke dalam.

Makan sebentar di JM Bariani dan kemudian naik ke tingkat atas untuk membeli beberapa barangan keperluan rumah... dan fikiran saya masih teringatkan budak tadi. Apabila selesai segala urusan, lebih kurang sejam kot saya di situ... saya bergerak ke tempat letak kereta dan melalui pintu masuk tadi. MasyAllah... budak itu masih berdiri bersandar di situ, memegang kotak dan dalam posisi yang sama semasa saya mula-mula sampai tadi.  Saya keluarkan duit beberapa ringgit dan beli kismis tersebut.

... sungguh sayu muka budak tersebut memandang saya
......................
......................
......................
... memang saya tak tau bagaimana nak gambarkan perasaan melihat raut muka budak tersebut.
... 'budak ni dah makan ke belum?'

Dalam kotak fikiran saya... anak kecil semuda ini sepatutnya berada di sekolah, bersama kawan-kawan atau mungkin di padang bola. Muda benar rasanya untuk menjadi seorang 'usahawan'... namun saya tidak fikir beliau ada pilihan. Lebih-lebih lagi berstatus anak yatim atau yatim-piatu dan tinggal di mana-mana pusat anak-anak yatim. Beliau mungkin harus keluar 'mencari rezeki' untuk diserahkan kepada 'sekolahnya'... kerana beliau tiada pilihan.





........ memang amat meresahkan fikiran





Saya pernah buat program keluarga termiskin di Selangor, bantuan duit pelajaran dan bantuan makanan... hanya kerana saya mahu keluarga atau anak-anak seperti ini merasakan mereka ada keluarga yang lebih besar yang akan mengambil berat tentang mereka... tanpa perlu mereka 'menjadi usahawan kismis'. Namun, sebesar mana la bantuan yang dapat saya hulurkan... dan agak mustahil untuk saya membantu semua orang.



.......... namun pemandangan seperti ini memang amat meresahkan fikiran saya



Kadang-kadang hairan juga apabila ada orang yang sanggup dipenjara atau mati... semata-mata kerana politik atau 'bos'. Semata-mata mahu dikenali sebagai 'pembela dan pemimpin masyarakat' yang boleh menunjukkan jalan demokrasi atau syurga. Malahan ramai juga yang sanggup berkarya demi pegangan politik.



.......... anak-anak seperti ini bagaimana? Siapa yang hendak 'berdemo atau berani mati' untuk mereka. Walhal mungkin mereka ini 'future talent' Malaysia.



Mungkin juga yang dikatakan membela rakyat tu ialah apabila perjuangannya besar, ada liputan media, mendapat perhatian... dan mungkin juga 'tunjuk kuat' sesama bangsa sendiri... itu adalah perjuangan suci. Mudah-mudahan mereka dapat apa yang mereka idamkan dek kerana perjuangan dan falsafah mereka... bukankah Allah itu Maha Pemurah.



........ saya cuma boleh berkata 'i've been there and done that'.

Hingga sekarang saya tidak nampak apa pun usaha bersungguh-sungguh mana-mana pihak untuk memberikan perhatian serious dalam hal ni... tak penting kot kerana tiada nilai politik Putrajaya. Setakat memberikan peruntukan kepada pusat-pusat anak yatim dan membiarkan aktiviti bebas dilakukan... sudahnya mereka direkrut untuk menjadi pengikut golongan tertentu. Walhal pada masa saya, mereka mungkin 'future talent' Malaysia.

... tak tau bila keadaan ini akan lenyap dari pandangan mata... kelibat kanak-kanak ke sana ke mari menjual kismis, minyak angin, poster atau kalendar.




........... tak tau bila keadaan ini akan menjadi agenda besar negara. Dan saya hanya mampu berdoa buat masa ini... insyAllah suatu hari nanti kita akan bertemu adik-adik sekalian... dalam suasana yang berlainan.

Semoga Allah melindungi anak-anak yatim ini... amen.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...