Sunday, July 24, 2011

RAMADHAN DATANG LAGI

Tahun ini adalah tahun kedua saya menyambut Ramadhan tanpa arwah bapa saya, Haji Ibrahim B. Sulaiman. Semoga Allah merahmati beliau dan mengurniakan Ar-Raudhah kepadanya bersama-sama dengan dua orang abang saya yang jauh lebih awal mendahului beliau... dan tidak lupa juga kepada kedua ibubapa mertua saya. Sesungguhnya Ramadhan kerap meletakkan mereka semua begitu hampir dengan saya dan membuatkan saya lebih menginsafi perjalanan hidup sementara ini... insyAllah.

Banyak kenangan indah Ramadhan bersama mereka... kecuali kedua-dua abang saya la, mereka pergi sebelum saya dilahirkan lagi. Yang saya kenal cuma nama mereka... Zainal Abidin dan Mohamed Razif. Sekiranya panjang umur mereka, keluarga kami akan menjadi seramai 7 lelaki dan 2 perempuan. Tentu meriah... dan bertambah pening kepala la mak saya melayan kerenah anak-anak jantannya. Arwah abah selalu mengingatkan saya dahulu... kenangan itu sebenarnya tidak begitu penting kerana adakalanya ia membuatkan kita terbuai mimpi dan berkhayal. Ingatan yang berpanjangan la yang lebih utama kerana itu akan membuatkan kita lebih berdoa terhadap orang yang pergi terlebih dahulu. Dan ingatan orang terhadap kita la yang membuatkan kita dihargai walaupun kita tidak punya harta bertimbun. Jadi berbuat baiklah agar orang sentiasa mengingati kita dan ingatlah untuk berdoa untuk mereka yang telah pergi... selagi sisa nafas kita masih ada, tak tau bila masa kita akan menyusul.

... namun kenangan lalu tidak pernah hilang dan seharusnya ia dijadikan ingatan untuk menempuhi hidup akan datang. Yang baik kita jadikan teladan... yang buruk kita jadikan sempadan.

Kurang lebih seminggu lagi kita akan berpuasa... sepertimana yang umat Islam lakukan sejak 1,400 tahun yang lalu. Cuma saya terasa suasananya ada sedikit 'kurang' sekarang ni... dahulu kita umat Islam tidak begitu berpecah-belah walaupun ada perbezaan pendapat dan politik... masih utuh bersatu. Sekarang ini kita semakin resah dan gelisah akibat 'permainan dan percaturan' segelintir pemimpin yang nampaknya seperti orang Islam tapi ucapan, ceramah malahan khutbah mereka... semakin membuatkan umat Islam saling bermusuhan satu sama lain.

... terbabas pulak cerita politik, hahaha... kena delete pulak posting ni nanti kalau link kat mana-mana mukabuku nanti... kita tinggalkan dulu politik.

Kami budak-budak dulu apabila Ramadhan hampir menjelang... rasa gembira pun ada, rasa gelisah pun ada. Seronok sebab mengenangkan dapat main bungapi malam 7 likur nanti, baju dan seluar raya, kasut raya... dan cuti sekolah yang kadang-kadang sampai seminggu. Dok terbayang pasang pelita... bukan rumah saya sahaja malahan hampir keseluruhan rumah di kawasan kuarters tempat kami tinggal. Pemandangan itu memang amat meriah... time tu juga la budak-budak memang tak lekat kat rumah lepas solat tarawikh. Kadang-kadang tak pergi solat tarawikh pun... aksi je dengan baju melayu bagai. Capai basikal merewang keliling kuarters. Maklum la, bulan Ramadhan ni keberanian tu meningkat pada paras maksima... setan semua kena ikat beb, apa mau takut... hahaha.

Last-last minit nak puasa ni gak la... orang pompuan pun sibuk nak ganti puasa tahun lepas haha. So, mood memasak diaorang pun agak kurang dan lauk pun paham-paham je la rasanya. Tapi masa tu budak-budak kan... kitaorang belasah je, tak banyak komplen. Mak kita ni pun memang sentiasa bijak nak mendidik anak-anak... macam-macam tugasan la kena buat. Kemas rumah, cuci tingkap dan macam-macam lagi... kami ikut je, walaupun kalau ada peluang ngelat... zuppp memang lesap kalau ada peluang. Mana boleh buat keje lebih pukul 5 beb... time tu la nak main bola atau takraw. Tapi macam mana licik pun, takleh lawan taktik mak nih... kadang-kadang dia didik kita dengan cara yang kita tak sangka... bila dah besar panjang baru nak paham kenapa dia buat macam tu kat kita... hahaha. Biar jadi orang katanya.

Namun dalam keadaan gembira kami hendak menyambut Ramadhan... adakalanya saya perasan juga riak gelisah mak dan abah. Dalam senyum tawa mereka... Ramadhan juga bermakna Hari Raya akan menjelang selepas itu. Dan budak-budak seperti kami hanya fikirkan baju raya, duit raya dan kasut raya... mesti nak baru sebab pada sebilangan keluarga seperti kami, itulah masanya pun kami hendak merasa pakaian baru dan chanteq... setahun sekali. Adakalanya memang terpancar wajah berkerut arwah abah yang mungkin memikirkan tentang perbelanjaan... maklumlah pada awal 80an, gajinya cuma RM450... dengan anak-anak yang ramai yang masih bersekolah... apa agaknya yang boleh dibeli dengan duit sebanyak itu.

Satu perkara yang membuatkan saya begitu mengagumi arwah abah saya ialah beliau sentiasa ada cara menyelesaikan masalah... dan itulah yang selalu diajarnya kepada saya dengan motto yang pada saya agak kejam masa tu hahaha... 'KALAU TAK TAU ATAU TAK BOLEH BUAT... JANGAN HIDUP'. Beliau mungkin takde ijazah seperti kebanyakan pemimpin sekarang... jauh sekali jawatan, namun hebatnya Allah Maha Besar ni, Dia selalu buat seorang bapa menjadi pemimpin tanpa jawatan... dan ianya memang terbukti sentiasa benar. Dan selalu pula dilengkapi oleh seorang emak... yang juga merangkap Pengawal Kewangan. Memang heran la sebab emak selalu je ada duit lebih dalam simpanannya yang dikumpul sedikit-sedikit baki belanja dapur yang diberi oleh arwah abah.

... dan atas sifat itulah juga, kami tidak pernah sekali pun dalam setahun tidak memakai baju dan kasut raya baru. Memang hari raya adalah perayaan yang amat diraikan. Dan Ramadhan memang sentiasa meriah.

Kadang-kadang emak lebih peningnya tima Ramadhan nih... mana taknya, nak memasak tengah-tengah malam, mengejutkan anak-anak yang memang kental degilnya bangun sahur, nak menyiapkan lagi untuk ke sekolah dan pukul 4pm dah mula bersiap-siap menyediakan lauk berbuka. Pada masa tu kami tak beli langsung lauk di luar... mak akan sentiasa masak sendiri. Mungkin mudah kot sebab surirumah... ada la masa nak buat persediaan. Dan seminggu sebelum puasa ni la pun beliau dah mula sibuk cari kain untuk langsir rumah... kain ela untuk baju melayu kami adik-beradik. Semua beliau jahit sendiri... dan saya masih lagi simpan sehelai baju yang beliau jahitkan dulu.

Teruja dan khusyuk untuk melalui Ramadhan pada masa tu... maklumlah, sumber hiburan juga tidak banyak... saluran tv cuma ada TV1 dan TV2 yang memulakan siaran pada pukul 3pm dan akan tamat siarannya pada pukul 11pm. Pada masa tu pun, siaran TV dimulai dengan bacaan Al-Quran, begitu juga penutupnya. Jadi tak banyaklah gangguan... hahaha. Selebihnya kalau ada masa terluang... TIDUR. Nak jaga kang, perut pulak dok bunyi... budak-budak la katakan, iman goyah lebih sikit.

Berpuasa semasa bersekolah memang tidak menjadi masalah... tak ingat berpuasa sebab leka dengan kelas. Dan bila balik sekolah pun, dah separuh hari. Yang harunya bila hari cuti... nak bangun awal sangat pun, tak tau nak buat apa. Kalau layan sangat buat kerja mengemas kang... tengahari dah jenguk-jenguk dapur hahaha. TV pun takde siaran lagi... yang ada cuma siaran TV pendidikan. Nak tak nak... capai basikal, roger member-member kamceng... cari la port mana boleh lepak sampai dekat-dekat pukul 3pm nanti, sementara nak menunggu siaran TV mula.

Bunyinya macam tak best je masa tu kan... tapi setiap zaman itu ada keseronokan yang tersendiri, dalam apa jua keadaan sekalipun. 

Semoga Ramadhan tahun ini memberikan seribu kali ganda keseronokan dan kerahmatan kepada kita semua. Semoga Allah menenangkan hati yang resah dan gelisah... dan yang paling penting agar Ramadhan ini menyatukan kita umat Islam semua... insyAllah.

Ahlan wasahlan ya Ramadhan Al-Mubarak

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...