Saturday, October 19, 2013

MERAKYATKAN WAKIL RAKYAT DAN AHLI MAJLIS

Semasa kempen PRU atau pemilihan parti, saya biasa dengar para pemimpin bercerita bagaimana mereka akan jadi pemimpin kepada rakyat... MARHAEN... DEMI RAKYAT! Sehinggalah mereka dipilih dan keadaan akan kembali seperti sediakala... dia jadi YB dan kita tetap jadi rakyat... kehidupan pun berjalan seperti biasa selepas itu.

Selepas PRU13 yang lalu, saya luangkan sedikit masa di perhentian bas awam, perhentian teksi, hospital awam, klinik kesihatan, gerai-gerai makan dan perhentian komuter. Menakjubkan kerana keadaan adalah seperti biasa... seperti belasan tahun yang lalu walaupun PRU bersilih ganti.

Saya lihat jalanraya perbandaran, taman-taman rekreasi awam, landskap jalan, padang-padang awam dan ruang awam di jabatan-jabatan kerajaan... amat menakjubkan kerana keadaannya juga seperti belasan tahun yang lalu.

YB bersilih ganti... semua mengaku wakil rakyat.

YB tukar kereta baru, pakaian mereka lebih kemas sedikit dari selekeh dulu, memakai kot dan tali leher yang cantik, kawan baru dari sektor perniagaan bertambah, dikelilingi oleh orang sibuk berniaga... mereka nampak DIVA. Saya kurang pasti perkataan yang sesuai untuk 'nampak tak macam rakyat marhaen'... mungkin yang tinggal cuma perkataan-perkataan mereka yang sentiasa tidak kering menyebut 'rakyat marhaen'.

YB patut pertimbangkan untuk buat pejabat di Tingkat 8, Hospital awam... kongsi bilik air dengan pelawat dan pesakit bila nak kencing, kongsi kantin di LG ketika makan, kongsi tempat letak kereta ketika datang awal pagi, kongsi lif bila ke pejabat atau sama-sama naik tangga bila lif rosak. Saya rasa YB patut berperangai marhaen untuk memahami ucapan-ucapan marhaen yang sering YB jeritkan di pentas-pentas ceramah.

YB tahu tak menaiki tangga hospital ke tingkat 8 adalah lebih pantas dari menaiki lif... para doktor dan jururawat kerap melakukannya. Jika YB buka pejabat di sini, inshaAllah YB berjemaah dengan mereka setiap hari.

YB patut gunakan segala elaun kenderaan untuk naik pengangkutan awam. Seperti rakyat lain, keluar awal pagi kerana bimbang terlepas komuter, menahan kencing kerana tandas sering rosak, berdiri dalam bas atau komuter dari Pelabuhan Klang ke KL, berhimpit-himpit dengan pekerja asing ketika pulang kerja, mendengar 50 lagu di Ipod sambil menunggu komuter yang dah satu jam lambat. Mungkin selepas bersara nanti, YB boleh menulis buku berkenaan ini... David Teoh pasti inginkan bahan cerita untuk filem-filem dia... HANTU YB NAIK KOMUTER.

YB patut gunakan segala elaun makan untuk menjamu selera di kedai makan biasa seperti kami... seriously YB, bukan sedap pun makanan di coffee house hotel tu. Saya tau kerana situ tempat makan saya dan kawan-kawan yang berniaga. Kami kena makan di situ kerana perbelanjaan di situ ada resit dan kami boleh buat tuntutan tolakan cukai... ya, cukai yang bayar elaun YB. Takkan tak tau pulak... tiap-tiap tahun lulus dalam Bajet di Parlimen... duit kami la tu.

Kalau YB tak tahan lauk di kantin hospital, minta tolong isteri bekalkan lauk... bolehlah makan sama-sama dengan kami semua di taman di tengah-tengah hospital sambil melihat tikus-tikus sebesar kucing riang-ria berlari ke sana ke mari. YB pasti terhibur... cubalah, kerana kami terhibur bila lihat makcik dan kakak melompat dek geli. Kelakar YB... sungguh hahaha.

YB tau tak, makan nasi lemak di gerai biasa tepi longkang yang banyak lalat tu... memang sedap. Sambal sotong itu tidak ada di cafe hotel... saya tau. YB tau tak, warga asing dah pandai masak asam pedas sekarang, sampai saya tak perasan... ingatkan asam pedas Melaka. Tapi kami dah kurangkan minum teh tarik... kadang-kadang minum air suam je sebab harga dah naik. Gaji kawan-kawan saya macam tu juga... mereka juga pakai motor cup EX5 macam belasan tahun yang lalu. Hisap rokok tu biasa la yb... doktor kata, lagi stress hidup... maka lagi kuatlah merokok. Doktor kata macam tu kat kawan-kawan saya YB... kena bayar pulak RM50 ambil ubat setiap kali pergi klinik swasta. Mereka rushing nak ke tempat kerja YB, tak sempat pergi klinik awam... sebab warga asing dah beratur penuh pagi-pagi ambil ubat. Mereka pun sakit YB, maklumlah semua kerja di Malaysia mereka buat... takkan YB tak perasan pulak bila sesekali pergi klinik awam ambil ubat darah tinggi dan kencing manis.

Lupa pulak saya nak tanya YB... 'rakyat' yang YB selalu sebut atas pentas tu, siapa ya?

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...