Wednesday, March 2, 2011

SUATU MASA DULU... SEKARANG BARU NAK BISING.

Agak santai masa saya hari ni... bebanan kerja tidak begitu banyak. Jadi dapat saya luangkan masa bersama beberapa pengarah syarikat saya... jalan-jalan cari lokasi sesuai untuk projek pembangunan hartanah. Saya agak tertarik dengan pembangunan di kawasan Mont Kiara dan Sri Hartamas. 30 tahun yang lalu kawasan ini tidak begitu diminati namun hasil pembangunan infrastruktur yang tumbuh melata di sekelilingnya telah memungkinkan beberapa 'senior' saya yang telah lama berada di dalam pembangunan hartanah... memaksimakan pengetahuan dan modal untuk membangunkan kawasan itu sekaligus mengaut keuntungan yang bukan sedikit nilainya. Banyak perkara yang saya renungkan sejak zaman persekolahan dahulu kini satu persatu menjadi kenyataan. Setelah berbelas tahun lamanya berkhidmat dengan anak syarikat kerajaan negeri yang juga terbabit di bidang hartanah... saya telah mengambil keputusan untuk memenuhi impian... menjadi seorang ahli perniagaan. Dan syukur alhamdulillah... ada rakan-rakan yang sudi menerima saya walaupun saya la satu-satunya pengarah berbangsa Muslim Melayu di dalam syarikat.

Namun ini bukanlah cerita berkenaan dengan saya. Ini adalah berkenaan dengan 'kebolehan tulang empat kerat' yang mungkin dipandang sepi oleh segelintir anak muda walhal di situlah letaknya sumber rezeki yang paling besar. 

Begini ceritanya...

Tahun 80an dahulu, saya ada juga melihat segelintir anak muda yang bekerja di sektor pembinaan. Memang agak comot kerja ni dan tak glamer langsung. Oleh kerana pada masa tu, industri perkilangan begitu hebat berkembang... ramai anak muda lebih berminat kerja kilang. Saya enggan komen tentang kerja kilang ni kerana itu juga satu pekerjaan mulia. Namun, ramai anak muda masa tu tidak minat dengan kerja pertukangan. Masa tu, ramai anak-anak Cina bekerja sebagai buruh binaan bertahun-tahun lamanya sehinggalah ke satu tahap mandur yang juga berbangsa Cina harus bersara atas faktor umur dan kesihatan. Ramai anak-anak Cina itu naik pangkat jadi mandur kerana bidang kerja ini memerlukan pengalaman 'tulang 4 kerat', tidak seperti kerja pejabat. Jadi, bertuahlah mereka yang ada pengalaman dan skil.

Apabila anak-anak Cina itu telah menjadi mandur, mereka memerlukan pekerja untuk menggantikan mereka... oleh kerana anak Melayu tidak begitu berminat, pekerja dari Indonesia terpaksa dibawa masuk dan bukan sedikit bilangannya. Maka beralihlah kepakaran dan pengalaman tersebut dari mandur Cina ke pekerja Indonesia.

Hari ini, saya saksikan sendiri... pekerja-pekerja Indonesia yang dulunya hanya buruh binaan, sekarang bukan sahaja sebagai mandur... tapi sudah ramai  jadi sub-kontraktor. Kalau dulu buruh binaan itu terima upah harian, sekarang mereka menerima habuan yang lebih berbentuk 'total sub'... mereka sudah 'demand' sebagai kontraktor, bukan lagi sebagai pekerja. Inilah kelebihannya apabila mereka ada skil dan pengalaman kerja sebagai buruh dulu... kami tidak ada pilihan selain harus memilih mereka sebagai sub-kontraktor akibat dari permintaan pelanggan yang mahukan kualiti dan tempoh kerja yang singkat... takkan la kami nak upah orang yang keluar dari universiti yang cuma ada sijil tapi tak pernah pegang tukul besi... kan. Kerja binaan bukan seperti kerja pejabat apatah lagi syarikat swasta seperti kami.

... saya cuma terfikir, kalaulah sub-kontraktor itu adalah anak Melayu yang ada skil dan pengalaman 'tulang 4 kerat'. Memang ada sub-kontraktor Melayu sekarang... cukup ramai tapi mereka juga 'total sub' pada orang Indonesia yang ada pengalaman 'tulang 4 kerat'. Memang benar, renungan saya dulu kini telah jadi kenyataan. Rugilah kita dan tak usahlah kita nak salahkan orang yang tak mahu tolong kita.

Hari ini perkara itu juga berlaku di sektor yang lain... lihat berapa ratus ribu warga asing yang datang ke Malaysia yang dapat pekerjaan. Walaupun bergaji agak kecil tapi mereka 'develop' skil dan pengalaman teknikal malahan di sektor perkhidmatan seperti di restoran, kedai makan mahupun hotel. Dan apabila ada peluang naik pangkat... saya lihat kebanyakan bos sekarang ni gemar melantik orang yang ada pengalaman 'tulang 4 kerat'... bukan sekadar di atas kertas sahaja kerana perniagaan memang bermotifkan 100% untuk membuat keuntungan. Bekas pekerja Indonesia saya sendiri beritahu, apabila mereka cukup pengalaman kerja di Malaysia... mereka boleh pulang dan lebih mudah mendapat pekerjaan di sektor binaan di Indonesia dengan gaji yang lebih lumayan kerana antara syaratnya ialah... PENGALAMAN BEKERJA DI SEKTOR BINAAN DI MALAYSIA.

Saya hanya seorang yang amat kecil di dalam dunia pembinaan hartanah... sedang mendapatkan pengalaman 'tulang 4 kerat' dari rakan-rakankongsi saya yang telah puluhan tahun berada di sektor ini. Mudah-mudahan anak muda yang sebangsa saya menyedari perkara ini sekarang... masih belum terlewat. Saya enggan memberi kata-kata manis kepada mereka kerana bimbang manis itu memberi penyakit kemudian hari... saya memberitahu mereka akan realiti hidup. Saya sedar ada yang agak marah bila saya katakan... 'janganlah terlalu emosi tentang bahasa kerana Bahasa Inggeris itu amat penting'... tapi itulah hakikatnya.

... memang saya agak bimbang tentang masa hadapan bangsa saya ni. Kelak jika masih selesa hidup dalam dunia 'subsidi, kasihan, tahu satu bahasa sahaja dan ini adalah tanah Melayu'... masa depan kita akan ditentukan oleh orang lain. Masa tu sudah terlambat... bahkan sekarang pun kadang-kadang saya rasa menyesal kerana tidak tahu Mandarin, Arab dan Tamil.

 
Moto ini saya dapat dari image search Google... mungkin boleh kita renungkan bersama... sepertimana saya renungkan di awal 80an dulu. Sekarang, saya masih seorang Muslim Melayu yang sedang memerhatikan ramai bangsa Pakistan, India, Tibet dan Vietnam telah mula mendapat kepercayaan bos mereka untuk dilantik sebagai Pengurus di tempat kerja masing-masing... dahulunya mereka datang ke Malaysia dan bekerja dengan tekun serta sabar... datang dengan hanya satu beg pakaian. Agak-agak anak muda kita boleh terima ke apabila mereka hadir untuk temuduga kerja, penemuduga itu adalah warga asing yang datang ke Malaysia 10 tahun dulu?

... kita masih lagi berbalah dan saling 'mengurangkan keIslaman' di antara satu sama lain.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...