Wednesday, April 13, 2011

'BUKU' YANG BERTUTUR DENGAN SENDIRI


Saya pernah menerima sebuah kitab Injil dari seorang kawan penganut ajaran Kristian beberapa tahun yang lalu... pada masa tu beliau kerap datang ke pejabat lama saya atas urusan kerja dan beberapa tahun berkawan dengan beliau, kami lebih banyak bertukar cerita tentang agama dan sosial berbanding membincangkan hal-hal kerja pembangunan hartanah yang diceburinya. Adakalanya perbincangan kami agak tegang apatah lagi bila berbangkit soal kitab itu sendiri... beliau dengan Biblenya dan saya sudah tentu dengan kitab Al Quranul Karim. Hinggalah pada suatu hari beliau memberitahu bahawa akan bertukar ke syarikat hartanah yang akan ditubuhkan sendiri dan sempat juga beliau 'menghadiahkan' sebuah Bible... untuk bacaan saya katanya. Dan dia agak terkejut apabila akhirnya saya beritahu bahawa saya pernah membaca beberapa versi Bible sebelum itu... dan Bible bukanlah sesuatu yang asing kerana saya pernah bersekolah di mana pengetua sekolah itu adalah seorang Mubaligh Kristian dan saya pernah juga 'tumpang sekaki' mendengar 'ceramah' tentang Kristian yang disampaikan oleh pendakwah Kristian yang datang ke sekolah.

Zaman sekolah dulu, bahan bacaan dan rujukan tentang Kristian ni agak sukar diperolehi... saya banyak bergantung dari ustaz di kawasan perumahan dan rakan-rakan yang bergerak aktif di dalam kumpulan tabligh... rakan-rakan di dalam ABIM juga pada masa tu agak rajin memberikan maklumat bertulis kepada saya. Pada masa sekolah dulu, perdebatan lebih banyak terfokus untuk merendahkan lawan masing-masing... tak pandai sangat berhujah pada masa tu sebab kekurangan maklumat.

Namun apabila saya sambung pelajaran di ITM Shah Alam... pendedahan terhadap maklumat amat meluas apatah lagi di situ jugalah bertembungnya segala pemikir-pemikir muda dari berbagai lapisan masyarakat. Saya masih ingat lagi apabila suatu hari saya 'terjumpa'  buku karangan Ustaz Harun Din bertajuk Manusia Dan Islam... berkali-kali saya ulangi membacanya.

Berbalik kepada rakan saya tadi... beliau minta saya baca Bible tersebut dengan hati yang terbuka... tanpa prejudis katanya. Saya beritahu beliau insyAllah saya akan buat demikian dengan syarat beliau dengar apa yang hendak saya katakan tentang Al-Quran... dan beliau terima. Saya ceritakan kepada beliau tentang sudut yang berbeza tentang Al-Quran dan kenapa ianya begitu bertaraf mukjizat pada mata manusia biasa seperti saya hinggakan tiada satu pun yang dapat menandinginya. Saya akui kepada beliau bahawa saya bukanlah seorang yang 'religious' atau pakar bahasa Arab dan huraian tentang mukjizat Al Quran itu lebih elok diterangkan sendiri oleh pakar agama... namun 'keajaiban' Al Quran itulah yang selalu 'bercakap dengan sendirinya' kepada saya.

MUDAH DIHAFAL

Saya bertanya kepada beliau namakan hanya seorang sahaja paderi yang pernah menghafal setiap perkataan di dalam Bible... hanya seorang sahaja yang ada di Malaysia. Beliau kata tidak pernah bertemu dan agak mustahil Bible itu boleh dihafal dengan tepat namun itu bukanlah alasan Bible itu tidak benar. Saya katakan kepada beliau... saya telah baca beberapa versi Bible dan apabila saya tanya tentang beberapa kisah di dalamnya... paderi Kristian harus melihat dulu kitab tersebut. Dan saya katakan kepada beliau... saya bertanyakan perkara yang sama tentang Al Quran kepada beberapa ustaz di Selangor dan ramai di antara mereka mampu membacakan dengan tepat setiap bait dan patah perkataan di dalam Al Quran tanpa perlu membukanya. Malahan sejarah tentang turunnya setiap ayat itu juga diceritakan secara konsisten.

Saya setuju dengan beliau, bila dia kata kalau diulang baca setiap hari sesiapa juga boleh menghafalnya. Tapi, ada sesiapa ke nak hafal sebuah buku sekiranya buku tersebut hanyalah sekadar seperti novel atau biografi namun bukanlah saya berniat menuduh Bible itu seperti novel... hanya satu perumpamaan. Sudah tentu sebab buku itu terlalu istimewa hinggakan orang hendak menghafalnya. Dan jika mengikut turutan sejarah... Bible diturunkan jauh terlalu awal dari Al Quran. Penganut agama Kristian sudah tentu ada terlalu banyak masa untuk menghafalnya.

TIADA PAKSAAN HAFAL AL QURAN

Saya katakan juga kepada beliau... tidak ada mana-mana negara yang paksa atau bayar upah supaya rakyatnya hafal Al Quran. Hampir semua negara Arab tu kaya dengan minyak... terlalu kaya hinggakan mereka boleh upah berjuta rakyatnya supaya hafal Al Quran tapi itu tidak pernah berlaku. Malahan bukan sedikit hartawan beragama Islam yang menderma sejumlah dana yang besar untuk hadiahkan berjuta-juta naskah Al Quran setiap tahun.

DIHAFAL OLEH BERBILANG BANGSA

Saya katakan kepada beliau... pergi la ke mana jua pelusuk dunia... dari timur ke barat... Al Quran ini dihafal oleh semua jenis bangsa walhal bahasa Arab bukanlah bahasa ibunda mereka. Dari semuda-muda manusia hinggalah setua-tua manusia... mereka hafal Al Quran.

BOLEH DIBACA SECARA BERLAGU

Saya terangkan kepada beliau industri muzik adalah antara industri hiburan berorientasikan keuntungan yang paling berjaya di dunia. Disebabkan keuntungan material itulah maka begitu ramai artis muncul setiap hari dan penyanyi adalah salah satu darinya. Apabila beberapa perkataan dicantumkan menjadi bait-bait lagu yang begitu puitis... ianya akan diminati jutaan peminat dan memberikan keuntungan. Saya akui dan bersetuju dengan beliau banyak lagu-lagu ketuhanan Kristian begitu mahsyur... salah satunya dibawa oleh Raja Reggae, Bob Marley. Tapi lagu itu dicetuskan hasil dari bacaan Bible. Sebaliknya bagi Al Quran... setiap barisan ayat itu sendiri dibacakan secara berlagu dengan lenggok yang begitu indah tanpa perlu ditambah atau dikurangkan walau satu huruf. Bukankah itu satu keajaiban. Saya tidak bersetuju apabila beliau kata alunan Al Quran hanya sedap telinga mendengar untuk penganut agama Islam dan saya minta beliau rujuk kepada begitu banyak bukti yang menunjukkan ramai orang Eropah mengakui lunak bacaan Al Quran sehingga ada yang berminat untuk mendalami Islam... itu tidak pernah berlaku di dalam Kristian.


.... demikianlah serba sedikit pengalaman lalu saya. Namun tulisan ini bukanlah bertujuan untuk merendahkan sesiapa. Hak beragama itu adalah pilihan masing-masing. Kalau nak berdebat tentang kedua-dua agama ni... memang takkan sudah... dan saya sudah tentulah bukan orangnya untuk diletakkan di barisan hadapan untuk berdebat... hahahaha. Tiba-tiba sahaja saya teringat cerita ni bila bertemu dengan beberapa rakan lama yang begitu aktif di dalam kumpulan tabligh. InsyAllah saya akan ingat pesan mereka agar... 'patah balik seperti dahulu walaupun sekarang dah agak ok' hahahaha... doakan la segala kebaikan dan kekuatan untuk saya.

... mungkin juga jika saya berkesempatan bertemu dengan rakan lama itu... mungkin kali ini perdebatan akan 'berlainan wajahnya' sebab saya kerapkali dengar bahawa kerapkali juga ungkapan 'Kristian dan Islam ada tuhan Allah yang sama' dimainkan sejak kebelakangan ni... bukanlah suatu perkara yang baru namun konsep ketuhanan di dalam Islam dan Kristian memang berbeza... bimbang juga nanti ada yang buat tatu 'ALLAH' kat lengan bagi menzahirkan 'religious'nya hati mereka kerana ini telah lama berlaku apabila salib ditatukan di badan... semoga ianya tidak terjadi di kalangan penganut Islam.

... assalamualaikum dan selamat malam kepada semua... di mana jua anda berada.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...