Wednesday, January 28, 2009

Tahun Ini Tahun Lembu


Mengikut kalendar masyarakat cina, tahun ini adalah tahun lembu dan pada sambutan Tahun Baru Cina semalam dan kelmarin, kita dapat saksikan masih ada kemeriahan sambutan hari perayaan ini walaupun ramai 'taukeh' sedang pening kepala akibat keadaan ekonomi semasa. Saya ada juga menerima jemputan namun tidak berkesempatan memenuhi undangan akibat komitmen lain yang agak mendesak.

Namun sambutan 'Tahun Lembu' tahun ini di negeri kelahiran saya, Selangor Darul Ehsan lebih meriah kerana ianya disambut 'lebih awal'. MB Selangor telah didakwa oleh mantan Menteri Besar dan GERAK, telah melakukan rasuah dalam isu pemberian lembu-lembu sempena Hari Raya Korban. Saya tidak ingin mengulang apa yang telah dilaporkan oleh media tetapi pendedahan ini telah membuka kepada lebih banyak persoalan yang lain:-
  1. Lembu yang disedekahkan (dakwa kerajaan) adalah untuk orang ramai, bukannya untuk peribadi atau kepentingan politik (dakwa pembangkang). Betul ke atau mungkinkah dulu semasa pemerintahan mantan Menteri Besar, perkara yang sama pernah berlaku?.
  2. Kita tidak boleh sedekahkan lembu itu kepada orang luar tetapi kepada rakyat Selangor sahaja. Bukankah penduduk di Parlimen Bandar Tun Razak juga ramai yang beragama Islam dan tidak mustahil ramai di antara mereka yang lahir sebelum tahun 1972 iaitu tahun pengisytiharan Wilayah Persekutuan. Semasa itu Kuala Lumpur adalah sebahagian negeri Selangor.
  3. Jika isu pemberian bantuan kepada orang luar ditimbulkan, bukankah kita pernah beri bantuan kepada mangsa tsunami di negeri lain malahan hingga ke Acheh. Macam rombongan Cik Kiah kita hantar orang ke sana. Kalau hendak dikirakan isu orang luar, jangan diberi bantuan walau apa bencana sekalipun sehingga tiada seorang pun orang miskin di Negeri Selangor.
  4. Yang bising sangat tentang pemberian ini adalah orang Melayu, bangsa saya. Yang menerima sedekah lembu ini juga orang Melayu, ada 'bin' di dalam kad pengenalan seperti saya juga. Yang memberinya pun sama kulitnya seperti saya. Yang mendedahkannya adalah kawan-kawan lama saya yang sekarang telah 'berpartikan' GERAK, juga asalnya seperti bangsa saya. Saya tertanya-tanya juga... siapakah yang sedang bertepuk tangan?
  5. Tiba-tiba Menteri Besar Selangor minta OSA dimansuhkan dan beliau mendedahkan ada bukti-bukti penyelewangan semasa pemerintahan dulu yang lebih memerlukan perhatian. Dah jadi macam cerita bekas seorang reformis dulu pulak, ada berkotak-kotak bukti rasuah, sampai sudah senyapnya sebab sibuk isu lain. Nampaknya persidangan dewan undangan negeri Selangor akan datang ini lebih menarik sebab MB dah kata akan didedahkan di dewan bagi mengelakkan beliau dikenakan tindakan OSA.
  6. Saya kira jika GERAK berani mendedahkan dokumen rahsia tanpa takut risiko dikenakan tindakan OSA, sudilah kiranya buat 'appointment' jumpa MB Selangor dan dedahkan semua penyelewangan yang didakwa berlaku oleh MB tersebut. Pak Sheikh GERAK pun orang Melayu dan MB Selangor pun orang Melayu, rasanya masalah komunikasi dalam Bahasa Kebangsaan akan berjalan dengan lancar.
  7. Rupa-rupanya tidak lancar juga pertuturan orang Melayu berbahasa Melayu, sekejap cakap macam ni, esok cakap macam tu. Kejap kata arahan, kemudian kata sumbangan. Kejap kata sumbangan, rupa-rupanya sedekah. Ingatkan niat sedekah dah kira baik, rupanya sekarang dah jadi 'dosa'.
Jika masyarakat Cina menafsirkan Lembu dengan berbagai perkara yang baik, kita pula lebih banyak menggunakan perkataan 'lembu' untuk hal-hal yang lebih menarik:-

Bagai lembu dicucuk hidung
Lembu punya susu, sapi dapat nama
Busuk macam lembu
Bodoh macam lembu

Tahun ini siapa pulak agaknya yang akan 'handle' hal-hal lembu korban ni... mari kita lihat siapa yang kena!!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...