Wednesday, January 21, 2009

Kedai Kopi Politik En. Ahmad - PRK Kuala Terengganu

Takbirrrrrr.

Itulah sms yang saya terima dari beberapa rakan penyokong PAS dan beberapa rakan 'atas pagar' serta ramai dari rakan-rakan yang 'non-partisan'. Rakan-rakan UMNO saya seperti 'merajuk' dan menjauhkan diri. Pening layan kawan-kawan terutama apabila ada isu-isu hangat sedang 'dialunkan' oleh media nasional yang kata, 'kami adalah media bebas'.

Berikut adalah beberapa fakta pilihanraya yang agak menggetarkan saraf jari saya:-
  1. Terdapat sebanyak 1,125 undi pos. Walaupun BN kalah secara total tetapi mendapat sebanyak 1,039 undi pos, lebih kurang 92.36% dari jumlah undi pos. Tetapi pada hari pengundian, BN hanya mendapat 47.27% iaitu 30,252 dari 63,993 pengundi yang keluar pada hari itu. Untung meniaga ada 'fixed deposit' macam ni.
  2. Keesokkan harinya, hampir semua media utama negara menyiarkan berita sensasi muka depan tetapi tidaklah berapa nak tunjuk tentang keputusan PRK. Gambar tentang pengeboman di Gaza terpampang besar sedangkan dalam tempoh berkempen sebelumnya, hari-hari keluar cerita Kuala Terengganu. Hanya akhbar Sinar Harian yang sudi menyiarkan tulisan besar ' KT milik PAS'.
  3. Pengerusi SPR kali ini juga merupakan bekas ahli Lembaga Pengarah PNSB.
  4. Media kata sokongan pengundi bangsa Cina menurun tetapi Presiden MCA, Ong Tee Kiat kata sokongan meningkat berbanding pilihanraya dulu.
  5. Ada kalangan rakan-rakan wartawan komen jentera BN lambat menjalankan aktiviti kempen perang saraf dan mengedarkan risalah. Takkanlah pulak sebab BN paling awal mengumumkan calon dan hari-hari buat promosi tentang calon BN di media.
  6. Rakan-rakan dari PAS kata masih ada pengundi hantu. Mana boleh, tak ada siapa pun yang buat aduan rasmi.
  7. PAS kata polis halang kempen parti. Betul ke? Bukankah Menteri KDN berkali-kali kata polis menjaga keamanan. Yang bertanding pun timbalan menteri, kena la jaga.
  8. Daripada 36 tempat mengundi, BN dikatakan hanya menang 13 tempat mengundi iaitu 36.11%. Tapi undi pos dapat 92%, nampak pelik pulak pola pengundian undi pos ni.
Tidak boleh tidak, BN masih lagi menjadi tajuk penting kerana telah memerintah negara selama lebih 50 tahun, Namun perkembangan politik dewasa ini mengundang persoalan, adakah BN tidak memahami pola pengundi sekarang atau pengundi sebenarnya semakin tidak memahami dan menjauhi BN. Berbagai-bagai kalimah telah diutarakan, 'post-mortem', 'peribadi calon', 'jentera pilihanraya lemah', 'faktor pengundi muda' dan berbagai lagi. Sesekali 'camera phone' yang ada tu, ambillah gambar sendiri. Takkan nak simpan gambar anak dara je.

Bagi golongan kebanyakan di Malaysia seperti saya ini (kalau di Eropah saya adalah penting kerana status 'Pengundi'), saya cukup matang dan waras untuk mempertimbangkan erti sombong, angkuh, tulus, jujur dan pembohong. Seorang pemandu teksi yang pernah saya temui pernah berkata... 'berita sokkabor yang abang percaya... tu haa... berita sokan dengan nombor ekor tu je'. Sekiranya ahli-ahli politik ada masa, selain membelek jam dengan kasut, bacalah buku karangan Al Gore... The Assault On Reason. Itupun kalau mereka kenal Al Gore, bukan jenama jam seperti Patek atau Rolex.

Mungkin pengamatan akal saya tidaklah sehebat penganalisis politik, tetapi sejarah peradaban manusia telah membuktikan apabila pemerintah boleh memanipulasi kehakiman, kepolisan, pentadbiran dan undang-undang, tidak dapat tidak, pasti penyelewangan dan salahguna kuasa akan berlaku kerana corak pemerintahan seumpama itu bisa mencipta kelompok yang merasakan mereka adalah 'golongan elit di atas undang-undang'. Bukan sedikit penduduk Malaysia yang menjawat jawatan awam dan bukan semuanya 'bergembira' dengan gelagat meloyakan sebahagian pemimpin dan 'orang kuat' pemimpin. Sedikit sebanyak tentu ada 'soalan bocor', tidak gitu Kementerian Pendidikan?

Ustaz-ustaz beritahu saya, halal adalah di sebelah sudut dan haram berada di sudut lain. Umpama air tawar dan air masin yang tidak akan dapat bersatu, umpama siang yang tidak pernah dapat mengejar malam... amat jelas perbezaannya. Perkara yang di tengah-tengah selalunya diklasifikasikan sebagai... was-was, ragu-ragu, cacamerba, bercelaru, berkecamuk... wajib dijauhi. Yang di tengah-tengah ni selalunya dikatakan kerja syaitan, umpama apabila bukan muhrim berdua-duaan di tempat sunyi, maka di tengah-tengahnya... Red Devil (jangan marah Manchester United). Taktik politik menerjah akal fikiran rakyat agar keliru dan celaru, bukanlah satu pendekatan jangkapanjang sahsiah politik yang baik. Memanipulasikan fikiran rakyat dengan cara ini, memainkan fikiran mereka, adalah kerja-kerja pemimpin yang gemar bermain ilusi, sama seperti David Copperfield. Mereka kerap dan secara berterusan memanipulasikan fikiran rakyat agar terus memilih mereka sebagai Yang Berhormat sedangkan apa yang mereka hajatkan hanyalah untuk mengekalkan 'lifestyle' elit mereka, agar mereka tidak menjadi orang kebanyakan... ye la, siapalah nak pandang mereka kalau mereka tidak berharta dan berkedudukan. Mereka mengilusikan diri mereka sebagai pejuang bangsa dan pembela rakyat, kalau tidak dipilih mereka maka akan hancurlah ketuanan bangsa. Hapusnya mereka maka hapuslah bangsa maka dikeluarkannyalah merpati dari topi dan berteriak... 'inilah bangsa kita'. Tepuk tangan dan semua orang akan gembira. Tidaklah juga saya tuduh mana-mana pemimpin macam Red Devil, sungguh tidak.

Mungkin pemimpin seperti itu tidak ramai sebenarnya dan kita harap pun begitulah. Kesian sungguh kepada rakan-rakan yang ikhlas berjuang, turut menerima 'kebencian' rakyat. Janganlah dimarah rakyat, apalah daya mereka yang lemah itu, setakat dapat menyuarakan pendirian mereka sekali setiap 5 tahun. Nak mengadu dengan YB pun, susah nak dapat 'appointment'.

Akhir kata, kalau tak dapat pemimpin cemerlang dalam ekonomi seperti Che Det pun tak apa la., mungkin harapan itu akan kekal dalam mimpi. Dan mungkin juga mengharapkan seorang pemimpin umpama 100 orang paling berpengaruh dalam sejarah seperti yang ditulis oleh Michael H. Hart, tidak akan juga muncul dalam masa terdekat. Dapat seorang 'Yang Berkhidmat' seperti Hamid Gurkha seperti dalam cerita 'Aku Yang Berhormat' pun jadilah.

1 comment:

  1. Agak-agak la....yang macam Hamid Gurkha dalam cerita 'aku yang berhormat tu' wujud lagi ke dalam BN?.....Tajak Sumbing

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...