Friday, June 28, 2013

RESTORAN 'IKAN MENARI'

Beberapa rakan-rakan ada bercerita tentang restoran ini... makanan Malay-Indo kata mereka. Saya mati-mati ingatkan kedai makanan Cina... Dancing Fish. Rupanya ada satu hidangan ikan tak perasan ikan apa yang disiang dan digoreng serta dibentukkan seolah-olah seekor ikan emas yang sedang menari.

... macam-macam cara tarikan rasa ikan juga, takkan rasa ayam kan haha.

Kami disambut mesra oleh seorang waiter... telo bahasanya tak macam orang Indonesia, Mynmar pun bukan rasanya. Tapi yang pasti dia tak panggil saya 'Sar' la... itu konfem Bangladeshi macam di Teh Tarik Place, Setia City Mall. Di meja, beliau hidangkan sambal belacan dan 'keropok' lupa nama jenis keropok tu... sambal belacan itu memang sedap apatah lagi diperah limau takkan nak cicah dengan keropok yang tak jadi ambil tu kan, hish tak pernah dibuat dek orang hahaha...


Orang rumah saya yang cadangkan tempat makan ni boring katanya saya asyik nak makan sushi... di Setia City Mall. Takmo makan nasi kata saya... nanti gemuk hahaha. So, order lauk... kerabu mangga Mrs order ini memang tidak menghampakan. Memang sedap walaupun diratah begitu saja... habis :)


Yang ini saya order... tekak Jawa sori Bugis hahaha. Tempe dan tauhu goreng... ada sambal belacan yang dicampur sedikit kicap, tak pasti kicap apa pekat sikit. Sedap beb... rasa tempe hahaha. Kalau tak silap RM5.60 je nih. Puas makan... alhamdulillah sedap.


Mrs order satay... diaorang bakar atas batu kot. Takde kesan 'karbon'... takde kesan hangit. Daging lembut dan besar-besar... tapi kuah kacang tak cukup kick. Sedap...


Selalunya bila saya rasa kurang sihat atau letih sangat... mesti nak makan yang bersup-sup. Saya minta Sup Ekor... diaorang sebut Sup Buntut. Memang la ekor tu letaknya dibuntut... tapi lain maknanya bai hahaha. Tak kisah la... kuahnya tak sama macam sup ekor yang kita makan di kedai mamak atau kedai-kedai makan lain... agak light sedikit. Dan... ADA 2 BUNTUT JE. Haishhh... kurang-kurang 3 ketul kalau di kedai makan orang Kelantan.

Tapi... habis juga hahaha. Kena perah limau tu... sebabnya, dia dah letak limau tu di situ.

 

Saya suka kedai makan yang ada decor yang menarik... kedai ini tidak terkecuali, agak menarik walaupun simple. Ye la, kalau nak dibandingkan dengan kedai-kedai Pece Lele... nampak 'class' sikit la restoran ni... haha. Bolehlah kalau nak datang makan ramai-ramai di sini.



Untuk semua lauk di atas tanpa nasi... dan air, harganya lebih kurang RM74. Hmm, agak mahal sedikit... mungkin sewa di sini mahal. Ye la... kena try juga kan. Jangan dikunun dek kaum nanti... haha.

Selamat mencuba.




Read more

Tuesday, June 25, 2013

REBUNG... YA, RESTORAN ITU.

Restoran milik Chef Selebriti Dato Ismail ini dah lama ada... saya selalu tidak berkesempatan hendak menjamu selera di sini, walaupun agak kerap juga lalu di kawasan Bangsar di mana restoran ini terletak. Macam-macam komen tentang restoran ini yang saya dengar... ada kata sedap, ada kata tak sedap... ada kata lauk-pauk dinner lebih banyak dari lauk-pauk lunch.

Tekak masing-masing ada selera sendiri... kan.

Kalau nak buat reservation... call sini
Saya cuba lunch di sini... di waktu jerebu sedang melanda Lembah Klang. Kebetulan ada geng makan orang rumah... dan kebetulan baru pukul 12pm... ada parking kosong. banyak alasan haha


Saya pilih makan di dalam... untuk kurangkan kesan jerebu dan mungkin kereta di luar tu betul-betul bersebelahan dengan jalan. Agak kurang senang makan di tepi jalan utama yang agak sibuk dengan kenderaan. Terasa suasana seperti rumah saya semasa kecil dulu... binaan restoran ini seperti quarters lama JKR di Klang, seperti rumah pegawai-pegawai kerajaan dulu... dah ianya mengembalikan sedikit nostalgia semasa saya tinggal di Klang dulu.

Saya lihat di bahagian belakang ada ruang jika hendak mengadakan majlis makan dalam bilangan yang ramai malahan disediakan pentas kecil untuk berpentas musik... tentu menarik.

 

Terdapat cermin besar dan anda dapat melihat lauk-pauk yang disajikan dari meja saya. Saya sertakan gambar-gambar di bawah untuk tatapan semua. Bila masuk bab makan ni, tak perlu tulis panjang-panjang... kan.




















Anda boleh memilih samada hendak makan di luar atau di dalam. Mungkin anda perlu membuat booking terlebih dahulu jika hendak makan di ruang dalam kerana saya lihat semua 'RESERVED' di atas meja.

RM40 seorang untuk makan tengahari... tekak saya mengiyakan kelazatan makanan di sini. Dan kopi itu... memang sedap dan sentiasa panas tak tahu jenis kopi apa tapi memang sedap. Mungkin saya akan berkunjung lagi ke sini dan pastinya perut kena betul-betul lapar jika hendak menikmati bufet bernilai RM40 itu.

Adakah ianya berbaloi... sudah tentu. Kita kerja keras mencari rezeki, sesekali kita nikmati makanan untuk kepuasan sendiri... seperti juga orang memanjakan diri dengan shopping. Saya pilih makanan... itu je yang sedap kan. Saya baru sekali berkunjung ke sini... agak tidak adil hendak memberikan komen panjang lebar kerana saya tidak berkesempatan menjamah semua makanan yang ada... dan cendol itu juga tidak sempat untuk dinikmati haha. Perut makin kecil mungkin... bufet agak kurang sesuai buat saya sekarang ini... tidak seperti dulu.

Orang agak ramai ketika itu... agak kurang selesa mengambil gambar kerana masing-masing 'merenung' saya akibat kelaparan lunch hahaha. Mungkin berpeluang di lain kali untuk mengambil gambar mee kari, laksa, asam pedas, lemak rebung, lemak daging, ulam, roti jala, rojak buah, ikan bakar, goreng pisang, kuih-muih Melayu dan macam-macam lagi.

Mungkin dinner di sana nanti kot...

Read more

Friday, February 22, 2013

IKLAN DI TIANG ELEKTRIK


Cuba anda lihat iklan di tiang lampu ini. Dari jarak sedekat mana anda boleh melihat segala tulisan yang ada terpapar di atas plastik itu? Bayangkan anda sedang memandu di jalan yang paling sibuk... pada saat semua orang bergegas ke tempat kerja, kebetulan keluar lambat dan nak kejar 'punch card'. Ataupun semasa semua orang bergegas hendak pulang bertemu ahli keluarga yang ditinggalkan selama 12 jam. Dah memang 'habit' kita... mesti nak jeling apa yang diiklankan. Kita perlahankan kelajuan kereta dan... tu dia, jem beberapa kilometer di belakang. Itu tidak termasuk bermacam-macam lagi iklan 'haram'... bukan sahaja di tiang lampu malah di segala laluan utama boleh disangkutkan iklan. Tak percaya... cuba pergi ke Puchong ok, sekarang saya akan dituduh pembangkang di Selangor.


Cuba lihat ini pula... anda fikir ianya tidak membahayakan keselamatan pengguna jalanraya? Saya pernah melihat sendiri bagaimana 'iklan terbang' ke jalanraya dek 'hentaman' angin kuat dan menimpa kenderaan yang sedang dipandu laju. Pemandu boleh terkejut dan jika nasib tidak baik... kemungkinan kemalangan. Tapi kalau digantung di tiang ni... mana Majlis Perbandaran nak dapat pendapatan, ye tak?


Haha... rupanya iklan Le Tour De Langkawi 2013. Gambar ini sempat saya rakam semasa kereta sedang berhenti di lampu isyarat gila nak ambil gambar sambil memandu. Yup... mari kita sama-sama meraikan kedatangan pelumba-pelumba basikal bertaraf dunia. 25hb Februari 2013, para pelumba akan berlepas dari Proton Sek 25 Shah Alam dan akan menuju ke Genting Highlands rasanya la, kawan bagitau.

Selamat berlumba dan semoga tiada kemalangan dan tidak ada banner iklan yang tercabut dan menimpa para pelumba.
Read more

Wednesday, January 2, 2013

TAHUN BARU YANG LEMBAB

Hujan lebat bukan main sekarang ni di kawasan Pusat Bandar Shah Alam. Pagi ni juga agak 'lembab'... budak-budak sekolah dah mula sesi, beberapa sahabat gomen (dan swasta) terpaksa ambil cuti untuk menguruskan persekolahan anak-anak. Beberapa urusan saya dengan jabatan kerajaan terpaksa ditangguh sementara hingga ke minggu hadapan. Namun di beberapa jabatan kerajaan lain saya lihat keadaan agak 'ceria'... masing-masing bersemangat untuk memulakan kerja di tahun baru. Kelihatan juga beberapa 'bos jabatan' yang baru berpindah masuk kot... bukan main ramai pegawai pengiring jadi 'escort' tunjuk jalan dan perkenalkan kakitangan.

Kakitangan Jabatan Penguatkuasaan MBSA juga begitu giat menarik kereta yang di'parking' sesuka hati di bahu-bahu jalan. Sempat saya menegur salah seorang sahabat yang sedang 'tow' sebuah kereta '3 Bintang'... 'jaga-jaga bro, kereta VIP tu. Jadi isu politik nanti'. Tersengih dia... dah biasa dah katanya. Tak puashati pergi jumpa Pengarah Penguatkuasa. Tabik der... macam tu la jalankan tanggungjawab. Tapi takde la diaorang ni kejam sangat (kejam haha). Saya lihat diaorang puas pandang keliling cari tuan punya kenderaan, manakala seorang lagi rakannya di kedai mamak berhampiran (sedang saman kereta), bermurah hati menunjukkan jari ke arah kereta yang hendak disaman sambil memandang orang yang sedang minum di dalam kedai mamak. Seriously, kalau kita patuhi undang-undang... MBSA tak dapat kutip hasil saman (sama macam AES).

'Mie... belanja teh tarik!!' jerit diaorang. Wa ok je... settle dulu kerja, then kita minum. Saya pernah disaman beberapa kali oleh MBSA... memang panas hati masa tu. Tapi bila Datuk Bandar MBSA dulu tegur 'Engkau ni kawan aku dah lama. Sepatutnya ko jadi contoh ikut undang-undang... bukannya memalukan aku kena saman'. Hahaha bisa beb kena sound dek Dato Ramli masa tu... sampai sekarang tak kena saman lagi dah.

Tapi hairan juga... hujan hari-hari macam nak runtuh langit tapi ada juga beberapa kawasan di Selangor takde air.

Banyak juga jalan di sekitar Shah Alam yang rosak dan berlubang dek hujan nih. Report pun banyak juga dibuat... mungkin tunggu dekat-dekat nak pilihanraya baru nak repair kot. Malas nak tegur dah... itupun diaorang jadikan bahan politik nanti. Sensitif tak bertempat, dia ingat seolah-olah kita sindir diaorang. (Siap korang pilihanraya nanti hahaha)

Awal tahun ni kena buat 'Public Relations' lebih sikit... ramai kawan-kawan dah naik pangkat (Tahniah sheikh). Kena 'berkenal mesra' dengan pegawai-pegawai baru... baru kerja lancar sedikit. Mereka ni bukan la hadap sangat kat duit kita seperti yang orang sangka... gaji mereka pun tinggi sekarang ni. Tapi kunjungan kita membuatkan mereka rasa dihargai dan dihormati... walaupun atas sekecil-kecil urusan. Entah macam mana pula swing mood diaorang lepas pilihanraya nanti... harap-harap kemesraan berpanjangan (saya bukan ahli pada mana-mana parti politik).

Ada orang kata Shah Alam is the best place to stay... tak sesibuk bandar-bandar lain. Cuma 'aktiviti pecah rumah' agak naik tahun lepas katanya. Harap Kerajaan Selangor prihatin perkara ni... janganlah lepas tangan kat polis je. Dan tolonglah jangan sibuk ceramah dan gantung banner sampai macam semak kat Shah Alam ni.

Semoga Shah Alam sejahtera selalu.

Read more

ESOK DAH MULA SEKOLAH...

Dianti Zainal
Gambar: Dianti Zainal
Esok 2hb Januari 2013, musim persekolahan akan bermula 1Malaysia. Teringin pula nak menulis tentang pengalaman masa mula-mula bersekolah di darjah satu. Sekolah Rendah Methodist ACS Klang... arwah Abah masukkan saya ke sekolah yang terletak di Jalan Melawis, Klang ini dengan harapan agar SAYA BOLEH BERBAHASA INGGERIS DENGAN BAIK seperti arwah Along... yup, arwah abang sulung saya memang amat fasih berbahasa Inggeris. Namun saya ada sangkaan lain... kebetulan kot sebab abang saya yang kedua juga bersekolah di sini. Takut kot kalau letak di sekolah lain... siapa yang nak tolong tengok-tengokkan hahahaha kot la. Namun jarak umur saya dan arwah Along agak jauh... semasa saya berada di darjah satu, beliau sudah pun berada di Tingkatan 5 rasanya. Manakala abang kedua saya pula sudah pun berada di Tingkatan 1. Yup... hari ini saya amat berterimakasih kerana arwah Abah memasukkan saya di sekolah ini.

Tiada siapa yang menunggu saya pada hari pertama di sekolah, arwah Abah hantar dan apabila selesai pendaftaran... beliau pulang untuk bekerja. Terkulat-kulat saya di sekolah sebab hampir semua murid-murid bertutur di dalam Bahasa Inggeris... malahan cikgu-cikgu juga demikian. Balik dari sekolah.. arwah Along berikan saya sebuah buku... baca hari-hari katanya... OXFORD DICTIONARY ENGLISH-ENGLISH. Serious tergamam masa tu tapi arwah Along kata... 'baca dan belajar, tak tau tanya'. Dan sejak hari itu juga beliau beberapa kali membawa balik 'suratkhabar omputeh' dan beberapa buku dalam Bahasa Inggeris... memang sampai lunyai saya ulang membacanya.

Minggu pertama dah dapat 'homework'... CITA-CITA SAYA. Hahahaha benda ni jadi lawak sampai sekarang. Masa tu bila saya bagitau abang-abang pasal 'homework' ni mereka jawab... 'kitaorang dulu pun macam tu masa darjah satu'. Entah sekarang ada lagi 'homework' macam tu atau tidak... bila dikenang semula memang melucukan. Dan lebih lucu bila dalam satu kelas yang ada hampir 30 pelajar... kerjaya yang dipilih adalah DOKTOR, 'PILOT' dan POLIS. Saya tak pasti samada ada di antara kami yang berjaya menjadi seperti 'karangan' kami dahulu... hampir sebahagian besar bekerja makan gaji, kedengarannya begitu.

Bilik air sekolah adalah antara tempat yang paling menakutkan selain dari bilik store menyimpan buku dan laluan belakang sekolah yang digunakan untuk aktiviti pertanian. Serious beb... sekolah ni agak uzur sebahagian binaannya. Bilik air yang agak kecil tu memang menakutkan... selain agak kotor dan berbau, kita sentiasa merasa 'macam diperhatikan oleh aliens' hahaha. Kadang-kadang ajak kawan tolong temankan... dan kadang-kadang minta cikgu temankan haha. Dewan sekolah juga memang menyeramkan... budak-budak senior selalu cerita yang dewan tu pernah digunakan oleh tentera Jepun sebagai markas dan 'tempat pancung leher' zaman Perang Dunia Ke-2. What do you expect guys... we were in Standard 1... memang la menakutkan untuk juniors macam kami.

Selang beberapa minggu, kami diminta beratur... seorang demi seorang diminta masuk ke bilik rehat guru. Rupanya ada 'medical check-up' percuma... DAN KENA CUCUK LENGAN. Hantu betul, cikgu tak cakap awal-awal... tau-tau dah kena cucuk lengan, keras semacam lepas tu meleleh gak airmata. Dan tak lama selepas tu... datang bas besar warna kuning air... KLINIK PERGIGIAN BERGERAK. Hadoi... masa tu juga kena cabut gigi yang rosak beb. Mungkin agaknya cikgu tahu yang kami 'stress' hahaha... selang beberapa hari, van besar warna hijau pula masuk ke sekolah... van MILO. Itulah pertama kali saya minum air milo sejuk... sampai kena tangkap dek cikgu sebab beratur 3 kali semata-mata nak air milo tu lagi. Tidak lama selepas tu... van perpustakaan bergerak juga tiba ke sekolah. Dan waktu yang paling 'happening' adalah bila ada tayangan wayang di dewan sekolah... memang acara tahunan tu. Saya masih ingat filem pertama yang saya tonton adalah cerita samurai Jepun... lupa dah tajuk filem tu. Best sebab dapat tengok wayang dengan bayaran RM1 dan keduanya... takde kelas hahaha. Pada masa tu... itulah kegembiraan kami di sekolah.

Banyak lagi kenangan manis semasa di Darjah Satu dan mungkin terlalu panjang untuk saya tuliskan di sini. Kapur kasut... pensil kaler Lunar... 'peraut'... rumah sukan... BCG... Hari Sukan... Merentas Desa... semuanya yang begitu 'baru' bagi kami.

Kepada adik-adik dan anak-anak sekalian... selamat bersekolah. Nikmati sepenuhnya zaman persekolahan ini kerana kami yang dah dewasa ini kadang-kadang ingin sungguh kembali ke zaman sekolah... memang mustahil tapi begitulah kehendaknya sesekali.

Hidup ACS :)


Read more

Tuesday, January 1, 2013

Selamat Tahun Baru 2013 Malaysia

Tahun baru menjelang lagi... 2013. Seperti biasa, saya hanya menyambutnya di rumah sambil menonton bungapi di tv haha. Dulu rajin juga sambut di luar... suasana yang begitu sesak memang agak melemaskan, rumah adalah tempat yang terbaik. Di kawasan perumahan ini iaitu Bukit Jelutong, Shah Alam juga agak meriah penduduk menyambut kedatangan tahun baru setiap tahun. Kami hanya perlu duduk di kawasan Jalan Birai untuk menikmati 'panoramic view' bungapi dari KLCC, The Surve Damansara, Sunway Pyramid dan juga Dataran Shah Alam... maklumlah kawasan bukit.

Usia bertambah seperti biasa namun ada juga terasa begitu banyak amalan yang ketinggalan di belakang... harap menjadi insan yang lebih beramal ibadat di tahun 2013. Tahun ini juga adalah tahun penting buat rakyat Malaysia... pilihanraya ke-13 akan diadakan. Kita yang layak akan memilih kerajaan yang bakal memerintah untuk 5 tahun yang akan datang.

Seperti biasa juga, saya akan terima beberapa 'wishes' dari nombor yang tidak dikenali hehe. Entah siapa yang buat wish kepada mata air masing-masing. Dah dimaklumkan salah nombor namun masih juga terima. Rakan-rakan juga ramai yang wish, kali ini banyak di facebook, twitter dan instagram.

Nampak meriah sungguh sambutan tahun baru kali ini. Di Putrajaya khabarnya penuh rakyat Malaysia dari Bangunan Kehakiman hingga ke Pejabat JPM. Di ICity Shah Alam juga sesak hingga terpaksa berjalan berkilometer jaraknya. Di Dataran Shah Alam juga ramai yang berkumpul sambil dengar ceramah... Ustaz Ismail Kamus dan Azhar Idrus khabarnya turut serta. Dan di Dataran Merdeka... tempat bersejarah ini juga dipenuhi orang Kuala Lumpur.

Di sebalik kemeriahan ini, terasa juga syahdu di hati apabila mengenangkan arwah abang sulung yang kembali ke rahmatullah pada 18hb September yang lepas. Begitu juga arwah abah yang meninggal pada 18hb November 2009. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas mereka berdua dan dikurniakan Ar-Raudhah bersama-sama dengan hambaNya yang beriman.

Harapan saya agar Malaysia menjadi negara yang lebih baik dari dahulu dengan rakyatnya hidup harmoni dan bertoleransi. Dan semoga saudara seagama saya semua bersatu hati dan terhindar dari pecahbelah.

Selamat Tahun Baru 2013 semua... semoga anda berjaya di dunia dan akhirat.

Read more

Monday, September 10, 2012

CERITA KEPALA

Pada hujung 70-an dulu, agak kecoh di Bandar Klang apabila cerita orang dibunuh dan KEPALAnya dipenggal untuk tujuan 'penyembahan' bagi membina jambatan baru Klang yang terletak betul-betul bersebelahan dengan Jambatan Kota, Klang.  Kononnya banyak KEPALA diperlukan untuk ditanam bersama-sama dengan cerucuk tiang jambatan... jika tidak, jambatan akan roboh. Sungguh tidak saya ketahuan hingga hari ini... siapa punya angkara yang 'mensensasikan cerita ini. Memang rasa takut masa tu... nak ke mana-mana mesti ajak kawan, hantu betul. Tak tahu la kot sebab orang tua-tua tak suka kami selalu balik rumah hampir waktu Maghrib atau selalu keluar merayau-rayau. Sehingga sekarang apabila saya bertanyakan beberapa orang... masih ada juga cuba 'memejamkan mata sungguh-sungguh' mengiyakan bahawa perkara tersebut 'mungkin' berlaku. Pengalaman saya bekerja di bidang pembinaan dan hartanah selama lebih berbelas tahun... menidakkan 'dongeng' tersebut. Temberang je diaorang nih... walaupun kadang-kadang cuak tengok tokpekong kecil warna merah yang didirikan di tapak-tapak pembinaan tertentu... cheh.

Tak percaya...? Sudahlah korang... memang perkara ni tak pernah berlaku dalam sejarah peradaban manusia yang telah berkurun membina berbagai bangunan. Tapi ada juga dengar cerita dari beberapa pekerja tapak binaan yang mengatakan ada pokok atau bukit yang susah hendak dipotong atau diratakan... lepas 'semayang semelih ayam' baru boleh... katanya la.

KEPALA juga berada di tempat tertinggi dalam struktur tubuh manusia... di situ juga terletaknya otak manusia. Itu sebab bila ada orang yang melakukan sesuatu yang di luar adab... 'otak ko letak kat lutut apa ke'. KEPALA juga diberikan beberapa 'kemuliaan' dalam beberapa situasi...

KEPALA yang membawa maksud ketua. 

KEPALA surat yang menjadi posisi tanda nama sesebuah syarikat, didahulukan di bahagian paling atas mana-mana urusan surat-menyurat.

KEPALA yang dicukur rambutnya apabila selesai melakukan ibadat umrah atau haji.

Rambut yang dikatakan sebagai mahkota wanita juga terletak di KEPALA...

Tanjak atau destar yang dipakai oleh Sultan, Pembesar Negeri atau Panglima... juga dipakai di KEPALA. Arwah abah saya memang terkenal di istana dulu dalam kemahirannya mengikat tanjak. Beliau amat memandang tinggi seni tersebut hinggakan akan menegur sesiapa juga yang 'salah ikatan' atau 'lekuk' tanjak tersebut. Saya sendiri pernah mendengar beliau menegur seseorang... 'maafkan saya, ikatan dan lekuk tanjak tu salah... itu tanjak panglima hendak pergi perang sedangkan encik hendak menghadap untuk terima pingat kebesaran dari Sultan' Boleh kita bayangkan kalau tanjak dipakai di perut... kan dah macam bengkung rupanya, hodohkan?

Cuba kita tidur lunjur kaki hala ke KEPALA orang lain... dulu-dulu, boleh kena libas dengan mak bapak. Tak payah nak tunggu orang lain tegur dan ajar betapa biadapnya perlakuan sedemikian.

Kadang-kadang kita tidak perlu berkata sepatah perkataan pun untuk menyatakan rasa hormat kepada orang lain. Kita cuma perlu menundukkan sedikit KEPALA kepada seseorang dan kita akan perasan wajah gembira mereka apabila diberikan pernghormatan sedemikian.

Dan semulia-mulia merendahkan kedudukan KEPALA kita ialah apabila kita merapatkan dahi sujud kepada Yang Maha Mencipta... tanda kita mengakui bahawa kita makhluk dicipta yang mempunyai 'expiry date'. Ada tarikh kelahiran dan sentiasa bersifat sementara... jangan percaya cerita omputeh tentang manusia boleh hidup selamanya tu, pembohong taik kucing.

Demikianlah kita orang Melayu Islam... diajar tentang nilai, adab dan budi-bahasa. Kita patut merasa amat marah apabila ada orang meletakkan gambar seseorang... yang ada muka dan KEPALA... dicampak ke atas jalan, dipijak-pijak sambil menunjukkan rasa kepuasan, ditunjukkan punggung yang dilondehkan seluar ke gambar tersebut. Walau apa jua alasan yang diberikan... perbuatan itu amat biadab. Kita boleh gunakan akal sendiri dan tak perlu nak tunggu mana-mana ustaz keluarkan berbagai ayat untuk buat ulasan.

Bagaimana jika gambar itu gambar bapa atau ibu kita... orang tua yang menyuapkan makanan ke mulut kita semasa kita belum kenal apa itu hidup. Sungguh benar politik sekarang ini... sesat lagi menyesatkan dengan prinsip matlamat menghalalkan segalanya.

Saya fikir kita ada KEPALA yang sihat dan cukup matang untuk buat pilihan... 

dan SAYA PILIH MENGUNDI
Read more

Sunday, September 9, 2012

JAUH PERJALANAN LUAS PENGALAMAN

Tepat pada 8hb September 2012... meningkat lagi angka usia saya. Merenung ke belakang bilangan tahun yang telah saya tinggalkan... betapa jauh sudah perjalanan saya di dunia ini walaupun hati sentiasa merasa muda hahaha. Kata orang tua-tua dalam bahasa ibunda... Life begins at 40. Sepatutnya fikiran dan geraklaku sudah begitu matang untuk sesiapa jua pada usia ini... mereka mula mengira sisa hidup yang tinggal yang seharusnya diisi dengan perkara-perkara yang baik.

Memang benar... persepsi banyak berubah apabila seseorang mula melepasi 40. Mungkin disebabkan faktor pengalaman yang dilalui... banyak makan garam barangkali, bak kata pepatah Melayu. Kadangkala ketawa sendirian bahkan menggelengkan kepala apabila terkenang perkara-perkara yang pernah dilakukan dulu... sesekali kenangan bertindak seperti 'pembangkang' di dalam minda sedangkan akal hendak melupakan dan teruskan hidup ke hadapan. Biar sahaja kenangan itu dijadikan sandaran agar laluan di hadapan ditempuhi dengan penuh hemah dan matang.

Adakalanya juga 'iklan minda' menerjah secara tiba-tiba... 'kan bagus kalau kita tidak menjadi dewasa dan kekal sebagai kanak-kanak'. Harap tiada mana-mana 'ustaz online' sekolahkan saya tentang hal ini... nanti dituduh pula saya menolak hukum Allah tentang 'sifat kekal'.

Suatu masa dahulu, pada tarikh ini... saya membelek sebuah kamera kompak KODAK. Hadiah dari arwah abah semasa saya di Tingkatan 3 ingat-ingat lupa. Pada masa itu, semua kamera menggunakan filem... 200, 400... 24, 36... bagi sesiapa yang biasa 'bermain' dengan kamera tentu faham angka-angka tersebut. 200 atau 400 mewakili ISO filem tersebut manakala 24 atau 36 adalah jumlah gambar yang dapat diambil dengan filem tersebut... kadang-kadang dapat lebih sekeping dua. Agak 'mahal' hobi ini dan terpaksa dimanipulasikan dengan mengambil gambar rakan-rakan yang kemudiannya akan membeli gambar-gambar yang saya ambil. Sekeping antara RM1-RM2... haha, balik modal dan ada lebih lagi. Alhamdulillah, mak juga memberikan sokongan penuh... mungkin lebih rela anaknya yang agak 'kreatif tak bertempat' ini bermain dengan kamera dari berbuat perkara-perkara yang tak masuk dek 'akal tinggi moral' golongan dewasa hahaha. Ya, hobi ini berterusan hingga ke hari ini dan sekiranya arwah abah masih ada... beliau pasti menggelengkan kepala jika mengetahui harga kamera digital sekarang ini... setahun gaji beliau.

Suatu masa dahulu, pada tarikh ini... saya mendapat 'teman' baru. Sebuah radio 'mini-compo dengan equalizer'... mungkin agak panjang deskripsi betul ke ejaan ni radio ni tapi pada masa tu... COOL giler. Radio saya yang pertama adalah sebuah mini-transistor berwarna putih yang dibeli oleh arwah abah semasa kunjungan kerja beliau ke Sabah. Mini-compo ini menjadi teman setia setiap hari ketika belajar atau duduk termenung tak tau nak buat apa sementara tunggu pukul 5 petang nak main bola. Pada masa ini jugalah saya kenal maksud 'cetak rompak' hahaha. Ye la mana mampu beli kaset original beb... student. Jadi, kaset di pasar malam yang berharga RM3-RM5 menjadi pilihan... seriously, memang berkualiti juga dan tahan bertahun-tahun. Mini-compo ini masih saya simpan hingga sekarang dan masih boleh digunakan. Untunglah korang sekarang ni... bila-bila boleh muat turun lagu dari laman sesawang.

Suatu masa dahulu, pada tarikh ini... saya masih mempunyai seorang datuk yang begitu banyak ilmunya. Beliau selalu bercerita tentang salasilah keluarga yang berasal dari Bugis... moyang-moyang yang bergelar ulama... pendekar-pendekar... dan kepandaian mereka. Datuk seorang yang begitu mahir membuat keris dan barang perhiasan khusus untuk Kesultanan Selangor. Dalam perjalanan ke rumahnya... saya kerap mengutip buah-buah pinang untuk pelbagai kegunaannya. Ajaib sungguh apabila beliau dapat membuat tongkat yang diperbuat dari buah pinang. Pada tarikh ini juga... di kala ini... terasa sedikit kesal kerana tidak belajar sungguh-sungguh skil membuat keris yang diajarnya dahulu.

Suatu masa dahulu, pada tarikh ini... saya berjaga malam menolong mak tolong menyemak dan mengacau membuat sendiri kuih-kuih raya. Yup... semuanya gara-gara biskut Ovaltine yang memang sentiasa ditunggu setiap kali hari raya. Berjaga malam hingga ke subuh... menguli dan menggelek tepung lalu ditekap dengan berbagai bentuk rangka kuih untuk persiapan hari raya. Tiada dapur gas... hanya dapur minyak tanah dan oven hitam cap Butterfly untuk memasak biskut raya. Siang harinya pula setelah kena jerit dan marah tugasan wajib setiap tahun... basuh tingkap kayu yang berbilah-bilah yang berkeledak dek debu. Cuci setahun sekali... itupun komplen bagai nak rak. Bulan puasa beb... alasan letih adalah yang paling konkrit sekali hahaha. Sesungguhnya istiqamah dan ketekunan mak menjaga hal-hal rumah dan keluarga... amat sukar untuk diikuti oleh kaum lelaki. Korang tersengih kan... korang ingat korang rajin sangat ke... pigidah!!

Pada tarikh ini... sekarang dan pada masa akan datang, saya memohon kepada Allah agar dikurniakan akal yang sihat dan minda yang matang. Semoga perjalanan hidup mendatang dilalui dengan petunjuk dan hidayahNya jua... bersama-sama isteri tercinta dan keluarga. Bersyukur di atas segala kurniaanNya dan mudah-mudahan dibekalkan dengan kekuatan rohani dan jasmani.

Pada tarikh ini juga, saya memohon agar Allah permudahkan segala urusan sahabat sekalian. Dikurniakan ketabahan akal dan fizikal sebagai 'gadgets' dalam mengharungi kehidupan yang semakin mencabar dewasa ini. Dan kepada semua umat Islam... agar kita mengenali satu sama lain sebagai bersaudara.

Dan harapan juga agar... Malaysia menjadi tempat hidup yang molek untuk kita semua.

Selamat harijadi kepada diri sendiri... :)
Read more

Saturday, August 18, 2012

SELAMAT HARI RAYA 2012

Kepada semua muslimin dan muslimat saudara seagama khususnya juga kepada pembaca blog saya yang sederhana ini... saya ingin menyusun sepuluh jari memohon maaf sekiranya terkhilaf bahasa. Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua.

Kepada yang masih belajar dan berada di perantauan menimba ilmu serta pengalaman hidup... semoga dipermudahkan Allah segala urusan dan kembali ke negara untuk menabur bakti suatu hari nanti.

Diharap saudara semua berhati-hati di jalanraya di musim perayaan ini... semoga selamat tiba ke destinasi masing-masing.

Semoga kita semua (yang beragama Islam) dapat bertemu lagi dengan Ramadhan di tahun hadapan.

Sesungguhnya perpaduan dan sikap bertolak-ansur di antara kita semua amat penting dalam apa jua urusan.

Sekali lagi... Selamat Hari Raya Aidilfitri 2012. Maaf Zahir Dan Batin.

Read more

Friday, August 17, 2012

JUMAAT TERAKHIR DI BULAN RAMADHAN

Solat Jumaat di bulan Ramadhan tidak akan sama suasananya di bulan-bulan lain. Selamat tinggal Ramadhan... semoga bertemu kembali tahun hadapan.

Syukur alhamdulillah.

Read more
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...