Tuesday, January 1, 2013

Selamat Tahun Baru 2013 Malaysia

Tahun baru menjelang lagi... 2013. Seperti biasa, saya hanya menyambutnya di rumah sambil menonton bungapi di tv haha. Dulu rajin juga sambut di luar... suasana yang begitu sesak memang agak melemaskan, rumah adalah tempat yang terbaik. Di kawasan perumahan ini iaitu Bukit Jelutong, Shah Alam juga agak meriah penduduk menyambut kedatangan tahun baru setiap tahun. Kami hanya perlu duduk di kawasan Jalan Birai untuk menikmati 'panoramic view' bungapi dari KLCC, The Surve Damansara, Sunway Pyramid dan juga Dataran Shah Alam... maklumlah kawasan bukit.

Usia bertambah seperti biasa namun ada juga terasa begitu banyak amalan yang ketinggalan di belakang... harap menjadi insan yang lebih beramal ibadat di tahun 2013. Tahun ini juga adalah tahun penting buat rakyat Malaysia... pilihanraya ke-13 akan diadakan. Kita yang layak akan memilih kerajaan yang bakal memerintah untuk 5 tahun yang akan datang.

Seperti biasa juga, saya akan terima beberapa 'wishes' dari nombor yang tidak dikenali hehe. Entah siapa yang buat wish kepada mata air masing-masing. Dah dimaklumkan salah nombor namun masih juga terima. Rakan-rakan juga ramai yang wish, kali ini banyak di facebook, twitter dan instagram.

Nampak meriah sungguh sambutan tahun baru kali ini. Di Putrajaya khabarnya penuh rakyat Malaysia dari Bangunan Kehakiman hingga ke Pejabat JPM. Di ICity Shah Alam juga sesak hingga terpaksa berjalan berkilometer jaraknya. Di Dataran Shah Alam juga ramai yang berkumpul sambil dengar ceramah... Ustaz Ismail Kamus dan Azhar Idrus khabarnya turut serta. Dan di Dataran Merdeka... tempat bersejarah ini juga dipenuhi orang Kuala Lumpur.

Di sebalik kemeriahan ini, terasa juga syahdu di hati apabila mengenangkan arwah abang sulung yang kembali ke rahmatullah pada 18hb September yang lepas. Begitu juga arwah abah yang meninggal pada 18hb November 2009. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas mereka berdua dan dikurniakan Ar-Raudhah bersama-sama dengan hambaNya yang beriman.

Harapan saya agar Malaysia menjadi negara yang lebih baik dari dahulu dengan rakyatnya hidup harmoni dan bertoleransi. Dan semoga saudara seagama saya semua bersatu hati dan terhindar dari pecahbelah.

Selamat Tahun Baru 2013 semua... semoga anda berjaya di dunia dan akhirat.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...