Monday, May 30, 2011

TEKSI KITA, BUDAYA KITA

Gambar: amirizzat.com

Hari ini saya mencatatkan sejarah sekali lagi... menggunakan pengangkutan awam, TEKSI. Kali terakhir saya menggunakannya pada tahun 1993 kot... masa tu saya jalani latihan praktikal sebagai juruaudit dan kena travel satu Malaysia. Nak layan dengan motor Yamaha RXZ sampai Johor dan Kedah... tanggal rantai beb. Hari ni hantar kereta Mrs untuk service, macha centre bagitau kena tinggal kereta pulak sebab banyak benda nak kena buat. Nak mintak tolong kawan-kawan fetch sekejap, hari Isnin la pulak... masing-masing kureng sikit mood hari ni.

Dari Sungei Way ke Shah Alam di waktu pagi semasa semua orang sedang sibuk nak pergi kerja... alhamdulillah, kereta tak banyak sangat sebab cuti sekolah kot. Yup, teksi sebijik seperti di atas. Kelihatannya teksi yang saya gunakan tadi agak lama juga body dia tapi keramahan pemandu teksi tersebut yang berbangsa Cina Malaysia membuatkan perjalanan singkat menjadi menarik. Saya biasa berbual dengan beberapa pemandu teksi namun bukan di dalam teksi mereka.

Jika tidak silap nama pemandu teksi tersebut ialah Enche Chua, berasal dari utara dan bekas seorang kakitangan beruniform kerajaan. Setelah berhenti, beliau bekerja di sektor swasta untuk beberapa tahun sebelum mengambil keputusan berhenti dan bekerja sendiri. Agak tipikal kan cerita ni sebab begitu la juga cerita ramai lagi pemandu teksi yang pernah saya temui. Namun, saya benar-benar kagum dengan kesungguhan beliau mencari rezeki.

Sememangnya mengambil keputusan untuk berhenti kerja makan gaji dan cuba mencari rezeki dengan bekerja sendiri adalah berisiko dan memerlukan hati yang besar... dan itulah keputusan yang diambil oleh Enche Chua. Setelah berfikir semasaknya, beliau telah mengambil keputusan untuk berniaga kain baju di beberapa pasar malam. Saya ada ramai kawan berbangsa Cina tapi ini pertama kali saya dengar seorang daripadanya berkata... 'saya betul-betul segan buat kerja tu sebab selama ni makan gaji'. Tapi semangat beliau untuk menyara keluarga membuatkan semua perkara itu menjadi kecil. Dan hasil dari nasihat beberapa rakannya yang berniaga di tempat sama dan kesungguhan beliau yang kental, beliau kini mempunyai kedai sendiri malah ada pekerja sendiri... dan beliau masih lagi memandu teksi.

Sekarang beliau mampu memiliki 2 buah rumah malah sebuah MPV dan teksi sendiri. Dan kesemua asetnya itu digunakan sepenuhnya untuk beliau menambah pendapatan sedia ada. Saya kagum... benar-benar 'respect' dengan beliau yang mampu menjalankan beberapa perniagaan semata-mata 'hendak hidup' katanya. Benarlah kata orang tua... di mana ada kemahuan, di situ ada jalan... Enche Chua salah satu contoh terbaik dan terimakasih Allah kerana menemukan beliau dengan saya. Saya yakin ini adalah 'ilmu' yang Allah turunkan terus kepada saya... agak lama juga saya tidak menerima 'anugerah Tuhan' seperti ini..

Sepanjang perjalanan hampir 20 minit itu, sedikit pun saya tidak mendengar beliau mengeluh. Malah apabila ada kereta yang membunyikan hon kerana teksi ini agak perlahan apabila berjumpa simpang, beliau hanya mengatakan... 'takpe, mereka itu orang baik nak bagitau kita'. Hadoi, saya akan cuba selepas ini untuk tidak 'honk' teksi di depan saya kerana memang mereka amat berhati-hati memandu dan sentiasa memastikan perjalanan cepat dan selamat untuk pelanggan. Kalau saya, entahlah samada mampu atau tidak menjadi seperti Enche Chua... membayar permit teksi hampir RM17 sehari dan pendapatan yang tidak menentu... 'semuanya bergantung pada mata saya, kalau tak letih dan mengantuk bolehlah memandu sampai malam. Kalau ada pelanggan yang hendak ke KLIA atau panggilan tengah malam untuk ke destinasi, boleh la dapat pendapatan lebih sikit. Sakit badan duduk lama-lama memandu nih.' Begitulah jawaban dia bila saya tanya tentang pendapatan sebagai pemandu teksi.

Kepada diri saya sendiri... amat suka saya berpesan dan mengingatkan... ingatlah, Allah sentiasa ada di sisi. Semoga semua kawan-kawan juga gembira di tempat kerja masing-masing, dimurahkan rezeki, dipermudahkan segala urusan di dunia dan akhirat, dikurniakan kawan-kawan yang baik dan mulia, kesihatan yang baik dan berpanjangan... dan dilihat Allah dengan penuh kasih-sayangNya... amin.

... bukan lama pun hidup ni kan, takkan nak dihabiskan masa melayan kerenah ahli politik yang sibuk mengatakan mereka memiliki syurga atau neraka.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...