Monday, January 24, 2011

APA CERITA SIDANG KHAS DUN SELANGOR HARI NI


Terkejut juga pagi ni bila lihat ramai orang berhimpun di Dataran Shah Alam yang terletak hanya 1km dari Dewan Undangan Negeri Selangor berhampiran Bangunan SUK, Shah Alam. Tak begitu pasti jumlahnya tapi mungkin dalam angka ribu... penuh Dataran Shah Alam. Hajat hati nak ke Lembaga Perumahan Hartanah Selangor di Bangunan SUK terbantut kerana polis trafik dah tutup jalan. Saya cuba juga jenguk kiri kanan kot-kot terjumpa la mana-mana artis... mana la tau ada event ke. Tapi kebanyakannya berpakaian dari parti UMNO dan ternampak juga rakan-rakan dari PERKASA. Ada demo rupanya... macam mana saya orang Shah Alam boleh tak tau nih.

Sempat juga saya telefon beberapa rakan di SUK bertanyakan hal ni... rupanya ada Sidang Khas DUN Selangor... sidang yang dikatakan akan mengembalikan kuasa Sultan Selangor. Saya memang ada terbaca mengenai perkara ni. Pakatan Rakyat kata nak kembalikan kuasa Sultan dan nampak macam UMNO tentang... memang ramai orang berhimpun dan nak berarak ke arah bangunan Annex DUN Selangor. Hairan juga apabila kedua-dua pihak mendakwa hendak mempertahan dan mengembalikan kuasa Sultan... kenapa bergaduh pulak? Sedangkan perkara yang dituntut adalah sama... politik.

So, terpaksalah saya 'konar' stereng kereta ke kedai mamak di Seksyen 3... pekena apa yang patut sambil borak dengan kawan-kawan yang memang jadi penunggu setia kedai mamak di waktu pagi. Nampaknya tenghari la baru dapat ke SUK... itupun kalau takde 'road block' la sebab khabarnya persidangan dewan akan berlanjutan hingga ke petang.

Sempat belek akhbar Sinar Harian di kedai mamak... satu-satunya akhbar yang saya rasa agak neutral dalam melaporkan berita sekarang ni.  Muka depan melaporkan 'Perhimpunan Bantah Khusrin Suram'. Isu perlantikan SUK Selangor ni la yang membawa kepada sidang khas DUN ni sebenarnya. Dari gambar di Sinar Harian... jumlah yang hadir di perhimpunan semalam di Stadium MPPJ Kelana Jaya lebih kurang 500 orang walaupun penganjur mengatakan boleh mengumpulkan 10,000 orang.

Akal orang marhaen seperti saya ni tidak dapat tidak... mesti nak congak-congak sendiri keadaan ini menggambarkan apa sebenarnya... apatah lagi ianya berlaku di negeri yang saya adalah pengundi tegar. Tanpa perlu saya ambilkira persoalan yang tersurat dan tersirat secara terlalu mendalam, saya lebih gemar memberi sekilas pandangan sahaja... ia sudah tentu tidak mencerminkan pendapat berpihak tapi sekadar 'itu la agaknya kot'.

Saya yakin penyokong dan para simpati la yang akan menentukan halatuju sesebuah gerakan, baik parti politik, NGO malahan apa jua perkumpulan. Hanya 500 orang yang hadir di perhimpunan membantah lantikan Khusrin bukanlah satu petanda yang baik kepada Pakatan Rakyat. Dan apabila DUN Selangor bersidang di mana YB dari Pakatan Rakyat akan membentangkan pindaan... saya tertanya juga adakah ianya benar-benar kehendak rakyat atau kehendak pemimpin politik sendiri yang mementingkan 'survival'. Sebab parti politik ni laju je keluar 'statement' berbunyi 'itu adalah pandangan peribadi YB tersebut yang tidak menggambarkan pandangan parti' setiap kali mana-mana YB mengeluarkan 'statement' yang menaikkan kemarahan rakyat atau merugikan parti. 

Dan kehadiran ribuan penyokong yang membantah sidang khas DUN Selangor hari ni juga harus diberikan perhatian oleh Kerajaan Negeri kerana angka tersebut mungkin menggambarkan hasrat sebenarnya penduduk Selangor walaupun ianya datang dari pihak yang bertentangan.

Hampir pukul 12.00, saya pun bergerak ke SUK Selangor dan memang banyak kenderaan di kiri kanan bahu jalan menghala ke bangunan itu. Dari pos pengawal ada sebuah trak polis dengan anggotanya kelihatan sedang berkemas... demo dah habis kot. Namun kelihatan beberapa anggota polis beruniform yang sedang berkawal di sana-sini memerhatikan keadaan sekeliling... alhamdulillah tiada perkara yang tidak diingini berlaku. Belum sempat saya naik ke atas, kawan di SUK dah sms nak jumpa di tempat lain... baik boss. Dalam perjalanan ke SACC Shah Alam, sempat saya lalu di depan Quality Hotel dan di seberang jalan... kedai mamak Syed Bistro (Bangunan Alam Sentral) agak sesak dengan orang yang berpakaian ada logo UMNO dan PERKASA.

... politik oh politik.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...