Wednesday, January 26, 2011

10 PERKARA YANG AKAN DITUNAIKAN DALAM 100 HARI JIKA MENANG PRU-13


Saya terima banyak juga email dari kawan-kawan dan kawan-kawan kepada kawan-kawan berkenaan dengan Buku Jingga yang dilancarkan oleh Pakatan Rakyat. Buku ini dikatakan sebagai program yang akan dilancarkan oleh Pakatan Rakyat sekiranya mereka memenangi PRU-13. Semua kawan-kawan saya mahu saya berikan ulasan ringkas tanpa berpihak dan dalam tulisan ringkas ini saya akan cuba memberikan pandangan ringkas saya bersesuaian dengan janji Pakatan Rakyat yang akan melaksanakan beberapa perkara asas yang saya kira 'harus diberikan perhatian' sekiranya hendak dilaksanakan dalam 100 hari. Cuma saya tidak menemui sebarang 'sumpah' atau 'akujanji' bertulis yang mereka berikan bahawa 'tanpa sebarang alasan atau dalih, segala 10 perkara asas tersebut wajib dilaksanakan selengkapnya dalam masa 100 hari'. Bukan apa, takut bila sampai masanya nanti... tiba-tiba mereka tunjukkan atas tulisan kecil di bawah sekali... 'TERTAKLUK KEPADA SYARAT DAN PERATURAN'. Mari kita lihat satu persatu 10 perkara tersebut.

MEMANSUHKAN AKTA KESELAMATAN DALAM NEGERI

Memang tak adil rasanya kalau seseorang ditahan tanpa dibicarakan sewajarnya. Apatah lagi bila seseorang ditahan atas sebab politik atau agama. Cuma bagaimana dengan kes dadah, kongsi gelap, gangsterisme dan segala bagai jenayah terancang. Rasanya mereka perlu mendapatkan maklumbalas dari pihak keselamatan dan nasihat perundangan tentang perkara ni kerana dah banyak kali kedengaran beberapa 'ketua penjenayah' terlepas begitu sahaja kerana tidak cukup bukti walhal polis dikatakan memang mempunyai bukti namun tidak lengkap sebagai 'bukti mahkamah' disebabkan perkara teknikal. Dari sudut ini saya kira agak kurang adil kepada orang ramai seperti kita yang bimbangkan keselamatan.Memang la sesiapa juga boleh berikan ulasan panjang lebar tentang perkara ni tapi kalau perkara tak selesai dan kes asyik tangguh sampai bertahun-tahun... saya kira jenayah sifar tidak akan tercapai kerana itulah matlamat keamanan.

AMBILALIH KONSESI DAN ASET LEBUHRAYA UNTUK HAPUSKAN TOL

Saya sangat bersetuju la dengan usul ni sebab bagi sesiapa yang tinggal di Shah Alam... inilah bandar yang dikelilingi oleh lebuhraya NKVE, KESAS, Persekutuan, NPE dan Shah Alam-Kemuning... ada 5 lebuhraya bertol tu. Nak keluar kena tol, nak masuk kena tol. Kerajaan Selangor sekarang bolehlah mulakan usaha ni dengan mengambilalih semua pengurusan tempat letak kereta yang diselenggara oleh swasta dan dikutip oleh pihak majlis... letak di bawah Menteri Besar Incorporated dan umumkan pada 1hb Februari... 'SEMUA TEMPAT LETAK KERETA DI SELANGOR ADALAH PERCUMA'. Jadi bila dah memang PRU-13 nanti, tak payah la baru nak set berbagai jawatankuasa untuk melaksanakan janji. Jadi saya sokong la usaha ni.

MENGURANGKAN SUBSIDI SWASTA DAN ALIHKAN KEPADA SUBSIDI RAKYAT

Saya kira ini merujuk kepada subsidi yang kerajaan berikan kepada penjana bebas.  Kalau benar subsidi tersebut hanya menguntungkan swasta dan TNB dipaksa untuk membeli tenaga dari penjana swasta tersebut walaupun ianya tidak diperlukan... memang molek rasanya usul ni. Kerajaan Selangor juga boleh la pasang semua jalan yang ada di Selangor ni dengan lampu jalan yang terang... rasanya tokeh I-City boleh bagi cadangan kot. Banyak lampu LED kat I-City Seksyen 7 Shah Alam tu... tiap-tiap malam pasang tapi kena bayar la kalau nak masuk kawasan tu. Takkan tak boleh free kot... untuk rakyat.

IMBUHAN RM500 KEPADA GURU

Takkan guru je kakitangan kerajaan yang ada... lain-lain jawatan pun kakitangan kerajaan kan, mereka juga memainkan peranan yang begitu penting di dalam pembangunan negara. Cuma tak diterangkan adakah RM500 tu je la untuk seumur hidup atau setiap 100 hari atau setiap tahun atau setiap kali pilihanraya umum. Untung jadi cikgu ni... rezeki masing-masing. Kita di bidang lain ni tak payah la irihati terutamanya yang bekerja di swasta sebab memang takde imbuhan untuk pekerja swasta.

MENJADIKAN HAK AIR SEBAGAI HAK RAKYAT

Benar, air di Selangor telah diberikan subsidi. Tapi apabila MB Selangor seorang ahli korporat yang terhandal di Malaysia ditambah dengan Penasihat Ekonomi negeri yang terkenal seantero dunia... saya rasa air patut percuma sekarang di Selangor walau apa pun alasannya... mesti percuma sekarang. Tapi bila percuma.. tentu ada pihak yang kena bayar untuk rakyat kan... siapa agaknya dan berapa dah dibayar... guna duit rakyat gak tu rasanya walaupun dikatakan dari anak syarikat kerajaan negeri.

INTERNET DAN WIFI PERCUMA

Saya masih kena bayar untuk internet dan wifi di Shah Alam. Saya masih sukar mendapatkan perkhidmatan jalur lebar yang amat laju dan tidak semua bangunan kerajaan negeri di Selangor yang memberikan wifi percuma. So, bila nak buat di Selangor dulu? Takkan kena tunggu PRU-13.

MEMBATALKAN FELDA PLANTATIONS DAN BUKA LADANG-LADANG BARU KEPADA GENERASI KEDUA DAN KETIGA FELDA

Habis kita yang bukan dari FELDA ni tak boleh dapat tanah ladang percuma ke? Kalau sampai ke generasi ke-3 Felda pun boleh dapat tanah... habis kita yang bekerja swasta dan memang anak Selangor ni takkan tak boleh dapat tanah sekangkang kera di Selangor kot. Kenapa sampai sekarang Kerajaan Negeri tak umum langsung pemberian tanah 1 ekar seorang untuk setiap penduduk Negeri Selangor? Bukanlah kita dengki tapi tidakkah kita juga patut berpeluang menerima anugerah tanah? Jadi buat la di Selangor dulu... sebelum janji akan beri kelak. Tapi apa cerita Perbadanan Pertanian Negeri Selangor (PKPS) sekarang ni? Dengar ceritanya ramai betul kakitangan lama yang berhenti atau dipaksa berhenti secara terhormat. Takkan takde tanah-tanah PKPS yang boleh dianugerahkan kepada semua penduduk Selangor.

MENAIKKAN ROYALTI MINYAK KEPADA SABAH DAN SARAWAK

Saya tak tau nak komen la pasal hal ni sebab Selangor takde minyak... taik minyak dan naik minyak banyak di Selangor ni. Jangan lupa pulak Kelantan dengan Terengganu nanti... banyak minyak gak tu. Agak-agak pantai belah Selangor ni ada minyak kot... kena buat research ni.

MENUBUHKAN SURUHANJAYA DIRAJA UNTUK PULIH BADAN KEHAKIMAN

Ini pun saya kena dapatkan pandangan rakan-rakan peguam... mereka tentu lebih arif. Dan kalau boleh. jangan la benarkan langsung tangguh kes... bertahum-tahun tangguh tak elok, bazirkan duit rakyat, mana nak cover pulak nanti.  Tapi kalau kes Teoh Beng Hock pun sampai ditubuhkan Suruhanjaya DiRaja... kes liwat contohnya boleh gak kot... ahaks, jangan marah... tanya je. Rasanya kalau ditubuhkan suruhanjaya seperti ni... kena la samarata kan, barulah rakyat rasa ada keadilan.

MENUBUHKAN SURUHANJAYA DIRAJA UNTUK PENDATANG ASING DAN KERAKYATAN DI SABAH

Sama la seperti di atas... suruhanjaya seperti ini jangan la bermotif politik je. Rumah urut haram, pusat judi haram, karaoke haram, GRO, kedai makanan tak halal tapi pamer logo halal dan apa jua yang seperti ini juga merupakan ancaman kepada rakyat dan negara. Kena la buat Suruhanjaya DiRaja dan mesti diselesaikan dalam masa 100 hari.  Janganlah pulak nanti suruhanjaya seperti ini hanya digunakan sebagai senjata 'character assasination' orang-orang tertentu yang 'tidak sebulu' dengan kita... mintak dijauhkan kerana ianya amat mengimarahkan fitnah dan buruk sangka.

Jadi selepas menang PRU-13 nanti, sekiranya segala perkara di atas tidak dapat dilaksanakan dalam masa 100 hari, parti pemerintah tersebut harus meletak jawatan beramai-ramai... boleh dimasukkan ke dalam akujanji bertulis sebelum PRU-13... boleh kot?

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...