Sunday, November 21, 2010

KAABAH KU... MASJIDIL HARAM KU

Sudah hampir selesai umat Islam menunaikan haji tahun 2010, semoga memperolehi haji yang mabrur... mudah-mudahan suatu hari nanti saya akan menyusul... insyAllah sekiranya berkemampuan segala-galanya. Saya masih ingat semasa kecil dulu, ketika ada saudara-mara yang hendak mengerjakan haji dengan pengangkutan kapal... hampir berbulan-bulan lamanya mereka meninggalkan Malaysia... itupun ramai juga yang meninggal dunia semasa di dalam perjalanan pergi dan balik.

Saya yakin setiap insan muslim seramai hampir 1.7 bilion umat Islam di dunia ini menyimpan hasrat untuk menunaikan haji suatu hari nanti... setidak-tidaknya sekali seumur hidup. Namun agak mustahil jika semua hendak melaksanakannya sekaligus kerana tempat ibadah yang paling suci itu hanya boleh menampung seramai 2.5 juta jemaah sekaligus... dan bagi kita di Malaysia, lebih kurang 25,000 orang sahaja yang diberikan visa untuk menunaikan ibadah itu setiap tahun.

Sememangnya dugaan untuk menunaikan salah satu rukun Islam ini amatlah besar, namun kali ini saya hanya berminat dengan satu perkara sahaja... tempat penginapan semasa menjalankan ibadah haji. Saya pernah menunaikan ibadah umrah pada tahun 1992 dahulu, pada masa itu kos menunaikan umrah hanya lebih sedikit dari RM4,200 melalui pakej Tabung Haji dan tempat penginapan amat dekat... betul-betul berhampiran masjid samada di Madinah mahupun di Mekah. Hotel pun agak sederhana namun kerana inginkan keberkatan kedua-dua tempat suci yang pernah dijejaki oleh Rasulullah ini, itu semua tidak langsung menjadi persoalan kerana sebahagian besar masa dihabiskan di dalam masjid.

Namun saya merasakan agak kurang senang dengan perkembangan 5 tahun kebelakangan ini. Saya pernah berkunjung ke Mekah sekali lagi sebelum rancangan pembesaran masjid dijalankan oleh kerajaan Arab Saudi. Pada masa itu masih banyak lagi hotel-hotel berhampiran masjid. Namun sekarang ini hampir kesemua hotel-hotel lama dan mampu didiami oleh majoriti umat Islam telah dirobohkan. Ianya telah digantikan dengan hotel yang bertaraf 5 bintang... dan kita sudah tentu maklum kos penginapan yang dikenakan. Terdapat beberapa hotel yang mengenakan kos penginapan sehingga USD1,000 untuk satu malam. Bayangkan kos untuk dua malam sahaja bersamaan dengan kos pakej mengerjakan umrah untuk 12 hari. Dan hotel-hotel murah yang dahulunya jauh lebih murah kini bersamaan dengan hotel yang dahulunya pernah berada berhampiran dengan masjid. Dan hotel-hotel murah ini terletak agak jauh dari masjid. Bayangkan betapa susahnya warga emas nanti kerana sememangnya ramai warga emas yang mengerjakan haji dan umrah.

Perniagaan hotel di Mekah dan Madinah kini telah menjadi satu komoditi yang lebih mementingkan keuntungan sehinggakan orang berebut-rebut hendak memiliki pajakan hotel tersebut... demi mengaut untung. Saya terfikir juga nikmat ibadah apakah yang kita akan perolehi nanti apabila kita terpaksa membelanjakan kos yang terlalu mahal untuk menunaikan ibadah dan dalam masa yang sama... ada umat Islam yang lain mengaut keuntungan berlebihan... namun mungkin itulah hukum permintaan dan penawaran dalam ekonomi moden. Apabila terlalu kurang kemudahan dan terlalu tinggi permintaan... kos yang naik macam roket terbang ke bulan.

Dahulu kita amat terpikat dengan Kaabah dan Madinah kerana ianya mempunyai tarikan dan keindahan yang tersendiri... dan saya yakin ianya akan kekal sedemikian hingga kiamat. Namun naluri manusia... siapa tahu kan. Apabila hotel mewah disediakan dengan berbagai kemudahan yang memenuhi keperluan badan... kita mungkin goyah jiwa. Telah kedengaran apabila ada jemaah yang solat di bilik hotel menghadap ke Kaabah kerana katanya... nampak Kaabah dengan jelas melalui tingkap hotel mewahnya. Sememangnya bilik menghadap Kaabah amat mahal harganya... dan amat mahal sewanya. Bila dah bayar mahal sangat... takkan nak tinggalkan bilik hotel kan. Kita mungkin boleh menafikannya namun tidak mustahil ianya berlaku... kerana ianya telah berlaku.

Semoga Allah menerima segala ibadah ikhlas kita... di mana jua kita berada dibumiNya... amen.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...