Saturday, November 13, 2010

CHINA: DARI KACAMATA SEORANG PENIAGA MELAYU

Dahulu dan sekarang, apa sahaja barangan yang berlabel "Made in China" amat sinonim dengan kualiti yang rendah, mudah rosak dan amat murah. Sebut la apa jua jenis barangan, kalau ianya dari China... kita agak berbelah bagi samada hendak beli atau tidak. Macam kebetulan pulak... kebanyakan barangan dari China memang amat mudah rosak... takde gerenti langsung.

Saya pernah berkunjung ke Beijing pada tahun 2003 dulu... sebagai seorang pelancong. Mungkin disebabkan jadual lawatan yang amat ketat, saya hanya berkesempatan berkunjung ke 'tourist spots'. Langsung takde peluang untuk meninjau kehidupan sebenar di Beijing. Satu-satu tempat yang amat saya kagumi adalah Tembok Besar China. Dan pada masa itu saya masih melihat kebanyakan barangan buatan China agak rendah kualitinya.

Pada pertengahan tahun 2010 ini, saya berkesempatan sekali lagi berkunjung ke China namun bukan sebagai pelancong tetapi sebagai seorang usahawan etnik Melayu Musim Malaysia yang telah membuat perkongsian bersama dengan rakan-rakan etnik Cina Malaysia. Kami telah melakukan siri lawatan ke pusat-pusat perniagaan dari Shenzen hinggalah ke Guangzhou selamat hampir 7 hari.

Kali ini saya benar-benar kagum dengan perkembangan pesat di tempat-tempat yang saya kunjungi. Barangan yang mereka hasilkan amat berkualiti. Saya tahu masih ada yang tidak bersetuju dengan kenyataan saya ni... tapi saya boleh katakan kepada sesiapa jua yang ingin membeli barangan di China... berapa banyak duitkah yang anda ada untuk membeli kualiti? Mereka amat mampu menyediakan barangan yang amat berkualiti bersesuaian dengan harga yang kita tawarkan. Soal samada urusan perniagaan ada unsur penipuan... saya rasa itu akan saya tulis di tulisan yang lain.

Bayangkan produk lampu LED dijual di seluruh bandar. Contohnya, satu bandar Shah Alam hanya menjual lampu dan produk LED... begitulah perumpamaannya. Berpuluh-puluh blok bangunan perniagaan dan mereka hanya menjual produk barangan LED... ya keseluruhannya sebelah menyebelah. Kalau di Malaysia digunakan pendekatan sedemikian... saya rasa tak sampai sebulan bangkrap kedai sebelah atau setidak-tidaknya ramai yang guna 'ubat pelaris tok moh'. Pemandangan ini saya saksikan dalam perjalanan dari Shenzen ke Guangzhou. Satu bandar menjual hanya perabut, satu bandar hanya menjual produk berasaskan seramik dan batu dan satu bandar yang menjual barangan elektronik.

Saya agak tersentuh juga apabila taukeh-taukeh di sini secara terbuka menerima kunjungan seorang peniaga etnik Melayu Muslim Malaysia seperti saya... terima kasih daun keladi.

Bandar-bandar di sana... bersih dan kemas. Di Shenzen, saya saksikan sendiri kawasan perniagaan seperti sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Sultan Ismail dalam gandaan yang banyak dalam jarak perjalanan sejauh hampir 30-50km... di kiri dan kanan jalan. Bayangkan hanya bangunan besar di kiri kanan jalan sepanjang hampir 50km perjalanan kereta. Saya diberitahu bangunan setinggi belasan tingkat disiapkan binaannya dalam beberapa bulan sahaja dan tapak pembinaan mereka bersih dan kemas jika dibandingkan dengan Malaysia. Di pertengahan perjalanan barulah saya sedari rupa-rupa lanskap jalan ditanam dengan pokok mangga... beratus bilangan pokoknya dengan buah yang masih muda.  Dan saya juga diberitahu terdapat bandar lain di mana landskap jalannya ditanam dengan pokok lychee.

Panjang sungguh cerita kalau hendak saya tulis segalanya selama 7 hari saya berada di Shenzen hingga Guangzhou.. belum cerita di Guangzhou lagi. Mungkin di lain kali saya akan bercerita panjang lebar mengenainya.

Namun melihat perkembangan ekonomi dan politik di Amerika serta Eropah sekarang ini membuatkan saya sedikit gusar. Kedua-dua blok negara ini amat terkenal dengan tindakan yang tidak bermoral setiap kali negara mereka dihimpit masalah ekonomi dan politik yang direka oleh mereka sendiri. Saya bimbang mereka akan menyerang China... bukan peperangan senjata. Saya pasti mereka tidak akan menang dalam peperangan senjata. Saya amat bimbang jika Amerika menggunakan kelicikan mereka memanipulasi sistem kewangan sesebuah negara yang mereka rasakan akan memberikan ancaman. 

Benar, saya jangkakan Amerika akan menyerang matawang Yuan atau Remninbi China. Dengan kekuatan tenaga buruh dan bahan mentah murah, China amat berupaya menghasilkan barangan yang berkualiti dan murah. Saya hampir pasti Amerika yang berusaha menaikkan matawang Yuan semahal yang boleh agar segala kos tenaga buruh dan bahan mentah yang China miliki menjadi mahal hinggakan mereka tidak berupaya lagi menghasilkan produk yang berkualiti dan murah yang mampu dimiliki oleh negara-negara yang penduduk mereka amat ramai seperti India dan Indonesia malahan gugusan Asia Tenggara.

Kasihan China... kasihan sungguh sekiranya mereka menjadi mangsa. Namun apa pun... saya pasti akan berkunjung lagi ke China... mungkin untuk seberapa kerap sebagai seorang peniaga dan juga pelancong. Selamat berniaga kepada semua rakan-rakan 'bisnesman'... di benua jua anda berada. Walaupun kita jarang berjumpa namun Blackberry Messenger sentiasa menjadi kita sentiasa dekat.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...