Friday, November 12, 2010

AHLI POLITIK VERSION 3.0

Macam cerita drama pulak bila baca kisah terbaru dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR). Belum sempat nak memahami babak episod yang lepas, muncul pulak babak baru... macam cerita Madu 3. Kawan-kawan dalam PKR jangan la pulak marah bila saya tulis ni... kang kata pulak saya tak ada hak bercakap tentang PKR sebab bukan ahli... haram katanya. Dah PKR memerintah Selangor setelah rakyat Selangor menunjukkan kemarahan kepada BN pada pilihanraya yang lepas... so saya kira, tentu la saya ada suara kan.

Gatal la juga mulut saya bertanya kawan-kawan dalam PKR nih... 'ni apa cerita Zaid Ibrahim ni Sheikh?'. 'Ala bang, UMNO lagi teruk krisis macam-macam'. Macam tu la pulak jawabannya... sama je sejak dulu, persoalan yang timbul tak dijawab tapi cerita lain timbul. Come on Sheikh... lapuk dah taktik lari topik ni. Kena ingat, kamu semua sedang dinilai oleh rakyat Selangor... kita nak lihat apa kamu buat, bukan apa kamu cakap. Ikut la macam yang lain tu.. buat kerja, bukan tukang bodek.

Saya sebenarnya tertunggu-tunggu... bila PKR nak pecat Zaid Ibrahim ni. Dulu Zulkifli Nordin kena pecat (... kalau tak silap la) sebab dia amat bertegas isu kalimah Allah. Ni Zaid Ibrahim dah terang-terang suruh orang kuat PKR berundur... saya ulang... Zaid suruh orang yang tubuhkan PKR berundur. Ye la, saya pasti Zaid ada niat yang baik sebab dia kata rakyat harus diutamakan. Tapi siapa pun tahu, kalau lawan bos... harus kena tindakan displin beb. Kalau tak ambil... nanti rakyat akan fikir lain. Hari ni Zaid ada kata ura-ura menubuhkan parti baru... pun masih tiada tindakan displin diambil terhadap beliau. Apa yang agaknya mereka takutkan dengan Zaid ni... saya amat musykil.

Kawan-kawan dalam UMNO bertepuk sorak... mereka kata ini suatu petanda Pakatan Rakyat (PR) sudah amat lemah. Ketawa besar mereka sambil pegang Blackberry Torch baru (... handphone baru lagi tapi guna untuk sms dan call je. Lebih-lebih pun untuk update Facebook... hek eleh). Yakin sungguh mereka akan dapat rampas kembali Selangor pada pilihanraya akan datang.

Sekali lagi... tak tahan sungguh mulut saya nak bercakap dan macam bertih la patah ayat keluar dari mulut bila mereka tanya... '... ko rasa macam mana?'. Oleh kerana mereka ramai masa tu, semangat pun tengah berkobar-kobar sambil masing-masing dok sibuk tukar-tukar no pin Blackberry, saya cuma kata 'no komen'. Rupanya ada yang tidak puashati dan perbualan selanjutnya bersambung setelah sebahagian kawan-kawan yang lain pulang.

Saya fikir ahli politik yang ada sekarang ni kebanyakannya tidak begitu 'berbudi bahasa' atau menghormati pengundi. Mereka anggap pengundi ni macam takde jiwa. PR menang di Selangor bukanlah kerana mereka kuat. UMNO tidak pernah menyedari bahawa pada pilihanraya yang lalu pertandingan adalah di antara Rakyat Selangor vs BN.... dan rakyat sudah beritahu mereka marahkan BN malahan ada yang benci BN. Mereka benci tindakan ahli politik BN dan mereka meluat lihat keangkuhan sebilangan orang BN. Namun alhamdulillah sekarang ramai yang telah sedar. Mereka tidak lagi melatah apabila kita menegur walaupun masih ada yang 'eksyen' macam rakyat hadap sangat kat mereka... sori bro, pergi aksi tempat lain. Mereka juga kena ingat pada hakikat bahawa ada juga pemimpin PR yang memberikan perkhidmatan yang baik di Selangor dan mereka benar-benar turun ke padang tanpa sambutan karpet merah, tanpa paluan kompang, tanpa bergerabak kakitangan kerajaan yang mengiringi... dan mereka turun bukan hanya bila nak pilihanraya.

Saya juga tertanya-tanya... selepas BN kalah dulu, ke mana hilangnya bekas wakil rakyat yang berpenggal lamanya jadi ADUN di Selangor. Takkan la kalah terus merajuk hilang kot... seolah-olah mereka kata kat kita rakyat Selangor... 'lantak korang la'. Langsung tak nampak batang hidung. Kalau semak pasport diaorang mungkin kita tahu kot ke mana mereka ni merantau.

Namun apa yang lebih merisaukan saya adalah sikap ahli politik Melayu. Sudah-sudah la bertelagah sesama sendiri demi orang Melayu. Sampai sejarah pun hendak ditulis semula sedangkan tiada siapa pun boleh mengubah fakta. Hendak mengangkat keris pun tak boleh sedangkan itu adat. Mengharamkan jualan arak secara terbuka bagi kebaikan anak-anak remaja Islam pun menjadi kesalahan. Semuanya kerana hendak menjaga undi... apa jenis fatwa yang hendak dipakai juga harus mengambikira undi. Sekarang pun rasanya macam susahkan hendak mengaku sebagai seorang Melayu... orang akan pandang serong kot.

Kepada kawan-kawan yang bakal jadi wakil rakyat yang berkhidmat pada pilihanraya akan datang... pada penamaan calon nanti, pada masa pengumuman pemenang nanti... sudikanlah pakai baju Melayu dan bersongkok. Kalau ye pun sampai nak jadi seorang yang liberal atau seorang yang mewakili semua rakyat... tunjukkan pada semua orang bahawa anda adalah seorang MELAYU.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...