Sunday, January 10, 2010

Masih Ada Yang Sayang


Sudah agak lama rasanya saya tidak menghadiri program kemasyarakatan yang dianjurkan oleh rakan-rakan yang masih lagi aktif di dalam pertubuhan bukan kerajaan, baik di pihak kerajaan maupun di pihak pembangkang. Baru-baru ini saya berpeluang menghadirinya atas jemputan dan pada hari Jumaat lepas, saya 'dibawa khas' dari Shah Alam dengan segala pengangkutan serta makan-minum ditanggung... saya harap selepas ni akan dijemput selalu.

Sebuah NGO iaitu Yayasan Aman telah mengadakan satu program khas untuk penduduk setempat di Permatang Pauh (... tengok gambar tu tau la tempat siapa) bagi menyampaikan sumbangan cermin mata khusus untuk penduduk kawasan itu yang telah dtemuduga, diperiksa dan layak untuk mendapat sumbangan cermin mata. Saya difahamkan pada awalnya, Yayasan Aman hanya menyediakan sumbangan sebanyak 200 pasang sahaja namun sumbangan dari beberapa pihak yang bersimpati telah memungkinkan sumbangan tersebut dinaikkan melebihi dari 200 pasang.

Saya berpeluang berada di sana untuk keseluruhan program... agak sederhana acaranya tapi memberi makna yang besar kepada penduduk yang amat memerlukan bantuan cermin mata. Terharu juga mendengar cerita beberapa warga emas menyatakan rasa syukur yang tidak terhingga kerana... sekarang mereka boleh membaca Al-Quran dengan lebih mudah. Dan bagaimana terusiknya hati saya apabila mendengar seorang ibu yang terpaksa membiarkan anaknya hidup dalam kerabunan kerana tidak mampu membeli sepasang cermin mata. Pada hari pemeriksaan barulah mereka sedar bahawa tahap kerabunan anak mereka adalah 1000 mata. Saya yang baru tahap 350 mata kerabunan pun menggagau cari barang bila tak pakai cermin mata.

Ucapan yang disampaikan oleh Pak Sheikh Anwar pun agak santai tanpa menggarap isu-isu besar negara terlalu mendalam. Cuma semasa sidang akhbar yang agak santai di tangga luar dewan, beliau agak kritikal mengulas tentang kejadian membakar gereja setelah diasak dengan soalan dari pemberita.


Saya dimaklumkan bahawa program seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dan pihak Yayasan Aman juga mengharapkan agar mana-mana individu atau sektor korporat juga sudi menghulurkan sumbangan.

Kepada rakan-rakan di pihak sebelah satu lagi... sudi-sudilah jemput saya menghadiri program kemasyarakatan dan janganlah tetapkan sangat protokol. Saya memang tidak pernah menghadapi masalah protokol apabila menghadiri majlis rakan-rakan dari Pakatan Rakyat namun dari Barisan Nasional... agak sukar untuk saya mendekati pemimpin agung mereka, nak bersalam pun setakat melambai dari jauh. Kepada semua pun saya harapkan, hentikanlah menggunakan pendekatan 'brandising' orang lain semata-mata kerana kita baik dengan sesiapa jua yang tidak baik dengan anda kerana sebagai seorang Muslim... kita harus mendekatkan ummah. Orang yang tidak begitu gemar 'berparti' macam saya ni tak pernah peduli apa pun bendera yang anda pakai.

Selamat berjuang kepada semua rakan-rakan NGO... percayalah, umat Islam dan Melayu amat memerlukan kamu semua sekarang ni... lebih dari mereka memerlukan kamu dahulu. Tak payahlah kita jadi bertelagah dan bersyak-wasangka sesama kita semata-mata nak senangkan hati 'bos' masing-masing.

2 comments:

  1. Salam. Bravo Yayasan Aman!

    Semoga usaha murni Yayasan ini akan terus mendapat pertolongan & keberkatan drpd Allah swt. Diharapkan program2 kemasyarakatan seperti ini akan diteruskan di masa2 akan datang & dilakukan dengan penuh ikhlas, tanpa mengharapkan sebarang balasan untuk memancing undi daripada penerima sumbangan Yayasan ini.

    Special thanks to En. Lanun Darat for sharing this information with us. Keep up your excellent work!

    Wassalam..

    ReplyDelete
  2. Syabas ... war-warkan lah kerja amal orang Melayu yg bantu orang Melayu yg tidak dikeluarkan oleh 'akhbar' patut!

    Bykkan lah jugak menulis dan melaporkan kerja-kerja mcm ni walaupun kadang kala diselitkan berita meletup, menelan, menyelam, membakar...

    Ingat ... hakikatnya... kerana fitnah ... ianya bukan merugikan seorang tetapi masyarakat ... bangsa dan kaum...

    Tengok gambar hamba Allah di atas... menginsafkan aku, bro... bahawa dunia ini fana...

    Alam yg kekal akan terbalas secara adil... sebab tu hamba Allah tu terus bangkit...

    Kita? Kita kat mana? Kat mana nak bantu? Bagi....

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...