Saturday, January 16, 2010

Berapa Harganya?

Baru-baru ni terbaca di akhbar kisah seorang artis bergelar diva (maaf, nama rahsia) terima hadiah harijadi berupa sebuah beg tangan berharga RM40,000 (Ringgit Malaysia: Empat Puluh Ribu Sahaja). Hadiah tersebut untuk menambah kegembiraan sahaja katanya... apatah lagi ianya adalah koleksi terhad. Saya ada juga terbaca di blog kawan-kawan yang lain tentang hal ni... ada yang tumpang gembira, ada yang macam cemburu bunyinya dan tak kurang juga terus-terang kata... 'aku tak minat artis tu'. Gelihati pun ada bila baca komen-komen ni tapi saya rasa tak payah la marah artis tu... dah laki dia kaya.

Ada yang minta juga saya komen tentang hal hadiah ni... tapi saya tak begitu berminat sebenarnya memberi komen tentang 'hal rumahtangga' orang kerana secara peribadi saya merasakan apa pun kaedah atau cara yang digunakan oleh suami-isteri ni... kalau itu menggembirakan mereka, biarkanlah. Tak payah la kita 'too judgemental' sampai tuduh membazir la, menunjuk la... sampai ketap-ketap bibir pejam-pejam mata tulis blog... haha.

Jadi biarlah saya ceritakan apa yang boleh dilakukan dengan RM40,000... berdasarkan pengalaman saya menjalankan kerja-kerja 'Corporate Social Responsibilities' selama hampir 10 tahun semasa saya bekerja makan gaji di sebuah syarikat dahulu. Dan saya harap janganlah dibandingkan apa yang akan saya ceritakan ini dengan hadiah artis tu... dia takde kena mengena dengan bahagian cerita yang selanjutnya.

RAWATAN DIALISIS

Saya pernah menjalankan projek pembangunan sebuah pusat dialisis dahulu dan ianya merupakan sebuah pusat dialisis yang pertama di Malaysia menggunakan pendekatan pencucian darah untuk pesakit buah pinggang secara tapisan pakaibuang. (single used dialyzer). Secara ringkasnya, pesakit buah pinggang mengalami masalah kerosakan buah pinggang yang tidak dapat menapis segala kotoran darah dan seterusnya boleh merosakkan sistem badan. Pesakit terpaksa mendapatkan khidmant pencucian darah di pusat dialisis dan tabung dialyzer pada mesin dialisis berfungsi sebagai 'buah pinggang mekanikal'. Dan terbukti sistem tapisan pakaibuang ini jauh bermanfaat dari tabung dialyzer yang di gunasemula berulangkali 6-12 kali kerana kadar kemampuan tapisan kotoran dalam darah akan semakin berkurangan akibat kotoran yang semakin tersumbat di dalam tapisan di samping bahan kimia yang digunakan untuk mencuci tabung dialyzer gunasemula.

Kos rawatan pencucian buahpinggang ini amat mahal sebenarnya iaitu di antara RM150-RM250 untuk sekali cucian dan pesakit harus mendapatkan rawatan sekurang-kurangnya 3 kali seminggu, bermakna 12 kali dalam sebulan. Katakan la saya gunakan kos sekali rawatan pada kadar RM200, bermakna dengan RM40,000 itu... seorang pesakit boleh mendapatkan rawatan dialisis sebanyak 200 kali = rawatan selama 16.6 bulan. Dan jika anda hendak tahu bagaimana reaksi seorang pesakit buahpinggang yang dapat menerima rawatan dengan kaedah antara yang terbaik di dunia melalui sistem dialyzer pakaibuang... pergilah melawat pusat dialisis berhampiran.

KEDIAMAN 'MEWAH' WARGA MISKIN

Saya telah menjelajah hampir satu Selangor dengan satu misi... mencari seberapa banyak rumah yang berkeadaan amat uzur milik warga daif miskin malahan mencari seberapa banyak warga miskin yang mempunyai tanah namun tidak mampu langsung untuk memiliki kediaman sendiri... tanpa mengira bangsa. Saya telah mengunjungi rumah yang layak dipanggil pondok atau reban ayam... rumah yang menunggu masa hendak roboh... rumah yang tiada bilik namun diduduki hampir 12 orang sekeluarga... 'rumah' yang ditampal-tampal dengan berbagai bahan di bawah jambatan malahan sebuah 'rumah' yang diduduki bersama-sama dengan kambing, ayam dan itik. Ingin sekali saya paparkan semua gambar yang saya ambil untuk tatapan semua namun saya bimbang niat baik kelak hanya mengundang aib kepada abang, kakak, pakcik dan makcik yang pernah saya kunjungi dan sekarang tinggal di rumah yang jauh lebih selesa.

Rumah-rumah buruk yang sempat saya lawati dulu telah dirobohkan dan digantikan dengan sebuah rumah 3-bilik yang jauh lebih selesa. Dengan duit RM40,000 itu, saya dapat membina 2 buah rumah untuk warga daif dengan nilai RM20,000 untuk sebuah rumah (... agaknya berapa banyak barang yang boleh diisi dalam beg tu?). Program ini masih lagi berjalan sekarang... berkat doa semua orang miskin yang menunggu peluang mereka untuk menerima bantuan sebuah rumah di masa hadapan... amen. Banyak pihak yang terlibat dalam program ini sebenarnya dan saya hanya salah seorang yang terlibat dengan sedikit peranan kecil.

... dan saya juga telah mendapat penghargaan yang berulang-ulang kali tiada tara nilainya jika nak dibandingkan dengan RM40,000 malahan jauh lebih menggembirakan hati saya hingga airmata saya kerap mengalir... pelukan mesra dari warga miskin yang terlalu gembira menerima rumah itu apabila saya mengunjungi mereka.

BANTUAN PELAJARAN

Bukan semua pelajar bernasib baik ada duit poket yang mencukupi apabila mereka pergi sekolah. Saya diberitahu oleh sebilangan guru di sekolah-sekolah yang saya kunjungi, masih ada pelajar yang minum dari air paip dan makan roti benggali bersapu mentega untuk makanan waktu rehat. Saya telah menjalankan program bantuan pelajaran kepada pelajar miskin di Selangor berbentuk bantuan kewangan sebanyak RM30 sebulan. Bayangkan dengan RM40,000 itu, saya boleh membiayai bantuan kepada hampir 1333 pelajar untuk sebulan. Atau pun jika saya hendak membiayai mereka untuk setahun dalam tahun mereka akan menghadapi peperiksaan PMR atau SPM... saya boleh membiayai bantuan untuk hampir 111 orang pelajar.

... mendapat panggilan telefon dari guru mereka yang menyatakan bahawa pelajar biayaan syarikat saya mendapat keputusan yang cemerlang untuk peperiksaan merupakan 'hati istimewa' buat saya dan rakan-rakan sekerja yang terbabit di dalam program ini. Rasa macam kitaorang pulak yang dapat 8A dalam SPM... haha.

BANTUAN MAKANAN UNTUK WARGA MISKIN

Orang tua selalu berkata... anak-anak kalau perut mereka kenyang, hati ibubapa akan selalu senang walau sesusah mana pun mereka mencari rezeki. Percayalah dalam zaman ini pun masih ada keluarga yang tidak mampu memberikan makanan lengkap atau hampir sempurna kepada anak-anak mereka lebih-lebih lagi keluarga ibu tunggal. Saya telah berjumpa, mendengar kisah malahan melihat sendiri hampir kesemua mereka mengalirkan airmata apabila menceritakan kisah kehidupan mereka kepada saya. Alhamdulillah banyak pihak sudi menghulurkan bantuan sekali-sekala malahan pusat zakat juga memberikan bantuan bulanan namun apalah daya bagi ibu tunggal yang mempunyai anak-anak yang lebih dari 4 orang. Sememangnya bantuan bulanan tersebut agak terbatas penggunaannya.

Dan kami telah menyatakan kesudian menghulurkan bantuan makanan bulanan kepada mereka. Berdasarkan kiraan dari pusat zakat yang menganggarkan keperluan makanan sekitar RM138 sebulan bagi barangan makanan ruji yang hampir lengkap... kami telah memenuhi sedikit keperluan makanan mereka berupa beras, tepung, gula, minuman dan beberapa jenis makanan lain. Berapa ramai keluarga miskin yang boleh kita bantu dengan RM40,000... 289 keluarga miskin. Jika kita ambil secara kasar sebuah keluarga ada 4 orang... bermakna 1,156 perut yang dapat dikenyangkan.

AKHIR KISAH...

Banyak lagi sebenarnya program yang boleh saya lakukan dengan RM40,000... bukan sekadar program di atas malahan program pembangunan sosial yang lain. Masih ramai memerlukan perhatian dan masih ramai lagi di luar sana yang tidak bernasib baik. Yang membuatkan kita penat apabila menjalankan program-program seperti ini bukanlah orang-orang miskin itu... tapi 'cita-cita politik' seseorang yang berkuasa selalunya akan 'mematahkan semangat' sukarelawan. Dek kerana mereka bergaduh pendapat di atas, kita yang bekerja di bawah selalunya jadi mangsa. Dan pada masa tu... RM40,000 hanyalah satu angka yang tiada nilai sama sekali.

6 comments:

  1. Ya saya setuju... yg dpt hadiah berharga itu hal rumah tangga... cuma mungkin kita tak tau entah berapa juta org tu dah sedekah pada rakyat @ pusat zakat (bersangka baik). Lagipun itu tahap org yg berada kat situ... kat siapa lagi nak berbuat baik terlebih dahulu kalau buakan kat isteri-anak-keluarga.

    Pasal... buat kebajikan...
    Kita lihat keluarga terlebih dahulu... Saya dikurniakan seorang ibu yg berhabis menanggung anak-anak... sampai dah kahwin ni pun kalau sesak ... ngadu kat ibu jua.

    Yang saya nak kongsi adalah ayah saya... dulu sepanjang saya dan adik beradik membesar sering bertanya kenapa ayah asyik hulur duit kat nenek tiri? Kenapa bagi duit kat adik-adik ayah (kira mak n bapak saudara saya lah)... sedangkan adik-beradik ayah tidak pernah menghargai dan menghormati ayah apabila mereka membesar...

    Tapi ibu kata... adik-beradik ayah telah dihasut oleh nenek tiri agar jangan menerima dan menyukai ayah.

    Tapi saya begitu terharu dgn ayah yang bergaji RM250 sebulan menghulurkan RM100 kepada nenek tiri... melihat adik-adik tirinya...

    Saya sedih ... sebab ketika adik tiri ayah yang bongsu dapat keputusan SRP (dpt agreget bawah 10) dihulurkan RM50... tapi adik itu pabila dewasa mengata pula ayahku...

    Tak pe ayah... ayah telah menjalankan tanggungjawab yang terbaik menjaga anak-anak yatim... walau tak mengenang budi... tetapi saya tahu ayah lakukan demi keluarga... InsyaAllah balasan di hari muka.

    Semua adik-beradik tiri ayah telah berjaya, dalam pendidikan dan kehidupan tetapi yang membalas jauh sekali, yang datang jumpa lagi lah liat... saya tahu ayah bukanlah nak balasan duit tetapi saya percaya kalau datang melawat diapun dia akan menitikkan air mata... sentiasa bertanyakan perkembangan adik-beradik melalui orang ... kalau senang dan berjaya... dia pun suka, kalau yang masih bermasalah... diapun runsing tetapi semua adik-beradik nya dah ada suami dan isteri masing-masing... pandai-pandailah menyelesaikan ...

    Saya percaya Allah S.W.T jadikan semua orang ada kaya dan miskin... cuma malas rajin sahaja yang membuatkan manusia itu hadap dunia macamana... sebab tu konsep sabar-usaha-syukur tu penting...

    Bro... saya percaya sabar dalam apa jua dugaan keranaNya. Usaha dalam apa jua rintangan keranaNya. Syukur kepadaNya dengan cara menolong, titik berat, berkongsi, menulis, menjenguk, sesama Islam dan saudara itu balasannya di sana....

    Semoga usaha bro dapat diteruskan hingga ke akhir hayat... ada rezeki buat bro jika tidak sekarang di hari kemudian... ini semua dugaan Allah S.W.T...

    Sama-sama kita mendukung membuat amal demi Agama, Bangsa dan Negara... InsyaAllah... Allahhuakhbar!

    ReplyDelete
  2. Itulah namnya kehidupan, lagi sedar lagi rasa muhasabah diri.

    ReplyDelete
  3. Memang zaman sekarang, orang yang berjuang utk rakyat akan difitnah... tetapi org yg berlagak dan hidup mewah akan disanjung tatang!

    ReplyDelete
  4. Adakalanya mempunyai 100 orang sahabat dan kawan, belum tentu lagi kesemuanya akan membantu kita semasa kita susah (begitu juga halnya dengan adik beradik atau saudara mara)... tetapi cukuplah mempunyai seorang musuh atau yang membenci kita sebab seorang musuh tu sudah cukup ramai bilangannya hinggakan tindakannya benar2 boleh menyusahkan hidup kita.

    Memang mudah untuk saya menyuruh orang untuk bersabar ataupun redha dengan segala dugaan dan kesusahan... tapi cuba kena batang hidung sendiri?

    Tapi demikianlah yang Allah tetapkan dunia ni seperti yang diterangkan banyak kali dalam Al-Quran... dunia ni bukanlah tempat untuk bersenang-lenang.

    Orang tua-tua selalu pesan pada saya...

    ... berkawanlah dengan orang yang cara hidup dan amalannya hampir sama dengan kita... tidak kira samada mereka senang atau susah. Agar kita merasa tenteram sedikit dengan keadaan kita.

    ... berkawanlah dengan bijak pandai agar ilmu mereka dapat kita manfaatkan

    ... berkawanlah dengan si kaya agar kita berjaya di dunia.

    ... berkawanlah dengan si miskin agar kita rendah hati.

    ... tetapi ingatlah, jangan berkawan dengan seorang yang memang terbukti kejahatan dan angkuhnya kerana cukuplah dengan seorang kawan seperti ini... kita pasti sesat selamanya. Bukankah Iblis itu dibuang kerana keangkuhannya namun Iblis bukanlah kafir kerana dia sememangnya mengenal Allah... jadi berhati-hatilah.

    Tak apalah kita susah sedikit di dunia ni... mudah2an Allah letakkan saudara semua di tempat yang mulia di akhirat kelak... dan sekiranya pada masa tu saudara nampak saya sedang kesusahan... sudilah mohonkan syafaat untuk saya sekeluarga :)

    ReplyDelete
  5. .....mudah-mudahan insyaallah sebagai peringatan untuk semua, Rasulullah SAW bersabda 'Barangsiapa yang Allah mahukan kebaikan untuknya, nescaya Dia akan mengujinya dengan kesusahan (Riwayat Al Bukhari)

    ReplyDelete
  6. Ya saya setuju sebagai ingatan kita semua... hari ini kisah bapa ditinggalkan kat hentian bas oleh anaknya amat menyentuh hati... macamana boleh jadi macam tu ya? Rakyat Malaysia semakin menjadi-jadi mementingkan diri sendiri... secara menyeluruh baik yg memerintah, mentadbir, orang atasan, orang bawahan... apa nak jadi? Semoga kita semua menjadi manusia yang prihatin dan contoh teladan yang baik.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...