Tuesday, November 24, 2009

Apa Yang Kita Bantah Dulu... Kita Lakukan Sekarang

Saya hanya mampu tersengih bila baca kenyataan Tok Guru Nik Aziz tentang anak menantunya yang memegang jawatan di dalam Perbadanan Menteri Besar (Kelantan). Kesian dekat dia pun ada... marah dekat penasihat dia pun ada. Saya kira tentulah beliau melantik anak menantunya setelah mempengerusikan mesyuarat yang turut dihadiri oleh Penasihat Undang-Undang Negeri... Tok Guru kata penasihat tu tak komen apa-apa. Saya amat yakin Tok Guru berniat baik semasa melantik anak menantunya.

Biarlah saya berikan sedikit cerita kepada Tok Guru tentang 'hidup orang bawahan' yang berstatus 'hanya mengikut perintah'. Mungkin cerita ini tidak pernah Tok Guru dengar tapi... cerita ini berdasarkan pengalaman saya yang telah bekerja berbelas tahun di syarikat yang berkaitan dengan kerajaan.

Memang mudah untuk menyuruh orang lain bekerja dengan ikhlas demi agama dan bangsa... semudah hantar sms je. Boleh himpun rakyat satu stadium untuk mendengar ucapan keras kita yang lantang menuding jari ke sana-sini... dan mendapat sorakan yang cukup hebat. Tahukah Tok Guru... siapa yang berani membantah pengerusi mesyuarat yang kebetulannya seorang MENTERI BESAR. Apakah Tok Guru tidak pernah terfikir sekiranya penasihat undang-undang menolak atau membantah cadangan Tok Guru yang hendak melantik anak menantu... beliau sudah tentu bimbang dengan kedudukan beliau. Memang benar Tok Guru boleh kata... tegurlah sekiranya salah. Katakanlah maklumat mesyuarat bocor keluar... dan saya tak nampak kenapa tak boleh bocor... mau satu Kelantan kutuk penasihat undang-undang satu keturunan sebab tolak cadangan Tok Guru nak lantik anak menantu. Tok Guru sendiri amat maklum bahawa ramai orang di Malaysia lebih-lebih lagi di Kelantan yang amat menyanjungi Tok Guru. Agak-agak senang dia nak hidup di Kelantan? Sampai bila agaknya dia sanggup pekakkan telinga bila orang mengata? Tok Guru sendiri pun tak sanggup hingga arahkan anak menantu letak jawatan... mulut orang ni Tok Guru... tau je la.

Begitu jugalah keadaannya dalam mana-mana pun mesyuarat... sudahnya pegawai-pegawai akan kata... 'kita ikut je la, lawan kang kena balik'. Lebih-lebih lagi jika Pengerusi syarikat tersebut adalah MENTERI BESAR atau sesiapa yang ada kuasa hampir kepadanya. Ianya pasti akan mewujudkan sindrom 'hanya menurut perintah' demi menjaga periuk nasi masing-masing. Tok Guru tentu ingat kisah penyapu di Selangor.... dakwa Khir Toyo, semua pegawai tidak membantah cadangan tersebut. Siapa yang berani membantah? Tok Guru sudah tentu amat maklum... ahli politik memang mahir dan amat cepat menuduh orang lain yang tidak 'sebulu' dengan mereka. Dan setiap kali mereka menuduh, sudah pasti mereka akan 'kirimkan' sekali berbagai bentuk tindakan susulan bagi memuaskan hati mereka. Saya pernah mengikut... banyak kali juga saya membantah malahan sekali-sekala melawan... dan saya amat tahu apa akibatnya. Bukan sahaja lawan akan mengasak kita sesedap rasa mereka... kadang-kadang kawan sendiri pun boleh tikam di belakang.

Berlambak lagi orang yang boleh jadi Ketua Eksekutif syarikat... berebut-rebut orang nak sebenarnya. Tapi pada saya perkara yang lebih penting adalah... gunakan la pendekatan baru bagi mewujudkan suasana pekerjaan yang lebih 'aman dan selamat' terutamanya bagi orang bawahan. Mereka tidak merasa tertindas dan pandangan mereka didengar. Lantik la sapa pun jadi ketua syarikat, saya amat pasti syarikat akan maju.

... ahli politik datang dan pergi... kita rakyat Malaysia 'will stay forever'.
Read more

Berita Besar Dan Berita Kecil

Agak tersentuh sedikit dengan berita hari ini di Sinar Harian... 'SULTAN SELANGOR TITAH LAPOR PADA BAGINDA RINTIHAN RAKYAT'. Banyak yang boleh ditafsirkan dari titah Tuanku ini lebih-lebih lagi ianya sudah tentu akan dimanipulasikan oleh segelintir ahli politik. Suka hati mereka la... dah memang macam tu cara hidup mereka semata-mata untuk kekal hidup dan jadi tumpuan media.

'Beta harap semua YB-YB yang dipilih oleh rakyat ni... buatlah kerja dan jaga rakyat'... agaknya begitu mungkin Tuanku akan titah... ampun Tuanku, patik sekadar 'buat skrip'. Sesekali dengar berita seperti ni... sejuk hati rakyat macam saya ni. Sibuk la lepas ni semua OBD, Penghulu, Ketua Kampung... lepas ni pun ramai la berebut-rebut nak jawatan ni... dah tentu la ada desakan agar jawatan tu semua mesti ada pilihanraya gak. Takyah berebut la... buat je keje dulu. Mudah-mudahan selepas titah Tuanku ni... semua berita adalah berita besar di mata YB sekalian, walau sekecil mana pun rakyat tu. Harap la kan... harap.

Satu lagi berita besar yang menarik perhatian saya... 'Nik Aziz arahkan anak menantu letak jawatan'. Berkompang la seluruh panglima Tok Guru ni... tindakan bijak la, berintegriti tinggi la... maklum la kata Tok Guru ni kata keramat bagi mereka... lebih-lebih lagi geng yang selalu memakai t-shirt dan sticker kereta gambar Tok Guru. Saya pun setuju jugalah dengan arahan Tok Guru mereka ni... anak menantu kena siasat je, terus arahkan anak menantu letak jawatan walaupun tidak terbukti kesalahan lagi... demi menjaga maruah dan mengelakkan fitnah. Saya juga suka nak tengok Tok Guru gunakan pendekatan yang sama terhadap 'big boss' dia... Ketua Umum Pakatan Rakyat. 'Arahkan' la jugak agar Pak Sheikh tu letak jawatan dia agar segala siasatan ke atasnya selesai... asyik tangguh kes je. Kalau dah Tok Guru sendiri yakin Pak Sheikh tak salah, peguam pun handal-handal belaka... Pak Sheikh sendiri pun tak mengaku salah (... takmo sumpah Quran ke macam budak Saiful tu buat?)... pergi je la bicara tu... susah betul sampai diajaknya satu Malaysia ikut dia pergi mahkamah.

... tengah tunggu berita ekonomi ni... bila la agaknya nak baik.
Read more

Sunday, November 22, 2009

Kehendak Diri Dan Tuntutan Undang-Undang

Sehingga ke hari ini, saya masih diasak dengan berbagai soalan mengenai Dr. Asri oleh beberapa orang kawan-kawan. Saya amati agak samarata bilangan penyokong dan bukan penyokong Dr. Asri di kalangan mereka namun apa yang kurang saya gemari adalah perbezaan pendapat tentang isu Dr. Asri ini rupa-rupanya sedikit merenggangkan kemesraan persahabatan di kalangan mereka. Isu yang cuma tentang permit telah menjangkau dan bercampur-baur dengan persoalan-persoalan lain hinggakan perdebatan mereka entah ke mana halanya.

Nak kata bagus sangat saya ni beri pendapat, memang takde la tapi ada la sedikit pandangan peribadi yang bersarang dalam kepala saya ni... mau tak mau, kena juga saya menulis agar kurang sikit 'skrip' yang menerawang dalam kepala ni bila dah ramai sangat kawan-kawan dok tanya.

Apabila JAIS kata penceramah bebas mesti ada permit untuk beri ceramah di Selangor... pada saya 'clear cut'... itu adalah kehendak undang-undang yang telah diluluskan. Sama je macam kita nak memandu... mahir macam mana sekalipun atau mampu beli kereta apa sekalipun... mesti ada lesen memandu... itu undang-undang yang ditetapkan oleh JPJ. Jadi apabila kita persoalkan... permit itu hanya menyekat kebebasan menyampaikan ilmu... itu adalah persoalan moral. Memberikan ceramah tanpa permit adalah 'LEGALLY WRONG'... boleh didakwa di mahkamah. Dan apabila kita hentam JAIS di akhbar, di tempat ceramah... malahan di Dewan Undangan Negeri.... saya nampak ianya bertambah menjadi 'MORALLY WRONG'.

Sebenarnya secara peribadi saya mengharapkan kerendahan hati Dr. Asri agar memohon maaf kerana kesilapannya memberi ceramah tanpa permit dan tauliah... rupanya perbuatan tersebut amatlah susah buat orang terkenal seperti beliau. Mungkin beliau ada alasan tersendiri... cuma akal nakal saya terfikir juga nak beri cadangan kepada beliau... apa kata bila lesen memandu (jika ada la) beliau tamat nanti, jangan 'renew' lesen memandu tu... pandu je kereta sebab dia mampu pakai kereta dan boleh memandu. Beri peluang JPJ atau polis saman beliau dan kita lihat samada kehebatan beliau berhujah boleh melepaskan beliau dari undang-undang sivil. Minta maaf la Dr. Asri dengan cadangan nakal saya ni... bukanlah menghasut tapi sebagai rakyat biasa, saya nampak kalau undang-undang sivil ni mudah je orang semua ikut tapi bila nak kuatkuasakan undang-undang syariah rupa-rupanya susah... amat kompleks. Saya sebenarnya takut jugak la nak komen lebih-lebih sebab ramai peguam handal khabarnya nak jadi peguambela Dr. Asri secara percuma... rakyat biasa macam saya ni memang tak mampu upah peguam.

Saya tertunggu jugak la samada kawan-kawan dari PAS akan mempertahankan tindakan JAIS ni... ye la, dulu masa kempen pilihanraya lepas bukan main kuat bunyinya nak menguatkuasakan undang-undang Islam di Malaysia. Harap-harap isu permit dan tauliah berceramah ni ditangani dengan baik dan berhemah... malu kat orang nanti. Tak payah la buruk sangka tuduh orang JAIS buat tindakan melulu la... ada 'old remnants' dalam JAIS la nak menjatuhkan Pakatan Rakyat. Buat rakyat biasa seperti saya ni... apa yang 'LEGALLY WRONG' tetap akan salah walaupun guna alasan 'not guilty until proven'. Kadang-kadang memang dah salah pun... tapi boleh lepas gak sebab kesalahan teknikal... itulah kata kawan-kawan peguam saya.

Saya amat berharap kesan dari kes ini tidak akan menjadikan ianya sebagai 'rujukan' bagi tindakan akan datang. Esok tau-tau orang pacak tiang depan bangunan SUK Selangor buat gerai guna alasan... ada modal cukup dan kemahiran serta ditambah dengan bilangan orang ramai yang memberangsangkan berurusan di bangunan tu... tak payah mohon lesen atau permit sebab dah ada rujukan kes sedemikian. Bilangan rumah urut dan karaoke pun naik macam cendawan tumbuh sebab pengusaha yakin mereka 'LEGALLY RIGHT' boleh berniaga di mana-mana kerana ada modal dan permintaan tinggi... sudah. Semuanya dilakukan atas alasan... hak kebebasan.

Bagi menjawab soalan cepumas kawan-kawan tentang merokok... perbuatan itu adalah 'MORALLY WRONG' sebab ianya membahayakan kesihatan sendiri dan orang lain... nak hisap... hisaplah... tak kena dakwa. Masih nak mempertahankan alasan korang? Boleh tapi cuba bayangkan kalau suatu hari nanti... orang bersin kat muka korang... dia tak 'LEGALLY WRONG'... cuma 'MORALLY WRONG'. Agak-agak kalau korang nak bedal atau dakwa orang yang bersin tu... ingatlah pulak, asap rokok yang korang hembus tu... hala ke mana? Untuk makluman... Majlis Fatwa Selangor telah wartakan... kalau tak silap la... merokok tu haram... bermakna samalah perbuatan tu dengan perbuatan yang ditegah oleh Islam. Ustaz ada kata... jangan kita berkekalan berbuat perkara yang ditegah oleh Islam... ianya menipiskan iman, menebalkan kesombongan... jangan marah haaa... ustaz la kata... saya sampaikan je kat sini.

Selamat pagi Shah Alam... di mana juga anda berada.
Read more

Friday, November 20, 2009

Kepulangan Ayahanda Ke Rahmatullah

Al-Fatihah.

Pada 18hb November 2009 bersamaan dengan 1 Zulhijjah 1430, ayahanda saya Haji Ibrahim B. Sulaiman atau lebih dikenali Pak Brahim @ Ibrahim Besar telah kembali ke rahmatullah di waktu maghrib menjelang tiba. Ianya suatu kehilangan besar bagi saya dan juga keluarga. Jenazah beliau telah selamat dikebumikan pada hari ini di Tanah Perkuburan Seksyen 21, Shah Alam dan bagi pihak keluarga saya ingin merakamkan jutaan penghargaan terima kasih kepada DYMM Baginda Sultan Selangor yang telah mencemar duli mengutuskan pegawai-pegawainya yang diketuai oleh Setiausaha Sulit, Y. Bhg. Dato' Munir Bani serta Komander Ramli, sanak-saudara, rakan-rakan dari Istana Alam Shah, Klang... rakan-rakan ahli keluarga, teman-teman sepejabat dan tidak lupa kepada jawatankuasa khairat kematian Surau Seksyen 20, Shah Alam yang bertungkus lumus menguruskan jenazah untuk dimandikan, dikapankan dan disolatkan. Semoga Allah merahmati anda sekalian dan semoga sumbangan dan doa-doa semua memberikan manfaat yang tidak terhingga kepada Allahyarham. Syukur kepada Allah segala urusan pengkebumian berjalan dengan baik dan selesa. Tidak lupa juga kepada pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Seksyen 20, Shah Alam yang telah menyediakan sebuah khemah percuma berserta dengan semua kelengkapan... syukur Alhamdulillah.

Saya memohon kepada sesiapa yang mengenali Allahyarham semasa hidupnya agar dapat mengampun beliau sekiranya ada tersilap, kesalahan atau terkasar bahasa... minta agar segala makan-minumnya dihalalkan. Sekiranya terdapat sebarang hutang yang belum dilangsaikan oleh Allahyarham... hubungilah saya. insyAllah akan saya uruskan seadanya.

Saya tidak begitu bersedia menghadapi kehilangan ini namun ketentuan illahi ini harus saya redhai. Perjuangannya menghadapi ujian Allah semasa sakit tidak akan saya ceritakan di sini kerana sememangnya beliau dahulu sentiasa menegah saya dari menceritakan kesusahan hidup kepada orang lain. Sehingga ke saat saya menyambut jenazah beliau semasa di dalam liang lahad, saya masih tidak mahu mempercayai bahawa beliau sebenarnya telah meninggalkan saya buat selama-lamanya.

Saya juga berdoa agar Allah memberikan kekuatan kepada kami sekeluarga terutamanya bonda saya yang juga belum begitu bersedia menghadapi ujian ini. Semoga Allah memberikan rahmatNya kepada kami agar mampu menjaga bonda dengan baik sepertimana semasa Allahyarham masih hidup.

Semoga Allahyarham sekarang berada begitu hampir dengan Allah dan semoga beliau ditempatkan di perkampungan Rasulullah s.a.w.... bersama-sama para anbia, sahabat dan kaum yang beriman... pada saat jenazahnya terbaring di liang lahad hinggalah selesainya Hari Pengadilan... amin.

... dan hari ini airmata saya mengalir tanpa saya sedari dan saya masih menangisi pemergian ayahanda saya hingga ke saat ini.
Read more

Tuesday, November 17, 2009

1 + 1 = TIGA?... HAISSS

Kerajaan Selangor mengumumkan perlantikan Anwar sebagai Penasihat Ekonomi Negeri dengan bayaran imbuhan sebanyak RM1 sebulan... tu dia. Selepas keluar berita ni, bertalu-talu sms kawan-kawan masuk ke henfon saya minta ulasan ringkas. Saya menjangkakan tentu ramai yang akan menyatakan rasa syukur atau yakin dengan perlantikan ni... tapi semua sms dan email yang saya terima seperti... '... ni apehal pulak tiba-tiba lantik Anwar jadi Penasihat Ekonomi?'. Ramai yang tak berpuashati rupanya... sama la macam tak yakin. Pandangan ringkas saya... bagi la dia peluang 100 hari ke apa ke, kita tengok la kesan jangkapendek dan jangkapanjang... siapa tau kan... 'super hero' ni mampu membawa Selangor sebagai kuasa ekonomi terbesar negara. Ye la kan... Sheikh sorang ni dipotretkan oleh hulubalang-hulubalangnya sebagai salah seorang yang amat berpengaruh di kalangan pemimpin-pemimpin dunia... untung rakyat Selangor.

Saya rasa ramai yang dah komen pasal imbuhan RM1 dan kenapa Sheikh ni dilantik... Che Det pun ada bagi komen. Terlalu awal untuk saya berikan tahniah atau pujian di atas lantikan Sheikh ni... sebab dah nak masuk 2 tahun Pakatan Rakyat (PR) memerintah Selangor... dok lagu tu gak, tak terbukti apa pun lagi. Jadi biarlah saya berfikiran 'buruk' terlebih dahulu sehingga terbukti kebolehan mereka.

Soalan kawan-kawan saya yang pertama: Kenapa lantik Anwar? Sebenarnya saya tak peduli pun kalau Khalid ni nak lantik sapa pun dan tak payah la buat press conference semata-mata nak bagitau bayar imbuhan Penasihat Ekonomi sebanyak RM1 sebulan... buat malu rakyat Selangor je. Macam la kita tak mampu bayar 'the bestest consultants in the world'. Cuma saya percaya dengan satu prinsip... SATU CAMPUR SATU MESTI SAMA DENGAN LEBIH DARI DUA... 1 + 1 = >2. Tak paham jugak? Macam ni... Menteri Besar Selangor (MB) ni sapa tak kenal, hebat sungguh bunyinya sebagai ahli korporat dulu... dulu la. Sheikh ni pulak... dah keliling satu dunia dah jumpa berbagai pemimpin dunia dalam macam-macam bidang... kata dia la kan. Kalau MB boleh buat untung RM1 dan Sheikh juga boleh buat untung RM1... bermakna apabila dua-dua kepala ni digabungkan segala bagai kecekapan ekonomi dan pengalaman mereka yang hebat-hebat belaka... saya amat mengharapkan keuntungan yang akan dihasilkan mesti lebih dari RM2. Kalau hasilnya takat RM2 gak atau kurang... sama je macam tak payah bergabung. Tapikan... sampai sekarang kita tak tau berapa banyak dah MB bawak masuk pelaburan ke dalam Selangor, hasil dari inisiatifnya sendiri. Tak boleh la dia ambil kredit bila pegawai-pegawai ekonomi Selangor bekerja keras buat promosi pelaburan asing dan berjaya bawa masuk syarikat asing tapi bila macam-macam hal yang tak berjaya, dia kata... 'ini adalah disebabkan masih ada old remnants di dalam pentadbiran Kerajaan Negeri. Dan kalau setakat Sheikh ni bawak masuk pelaburan yang sememangnya dah jadi kerja MB dan exco-exconya... rugi je bayar RM1 sebulan tu... duit gak tu.

Soalan ke-2: Bayaran imbuhan sebanyak RM1 sebulan. Kalau dah kata ikhlas tu... suruh MB bayar sendiri la, bayar je untuk 3 tahun sekali... baru RM36. Jangan pulak nanti berjela tuntutan elaun perjalanan dan tempat tinggal bagai... jangan pulak nanti bila orang tanya, MB jawab... 'saya cuma kata bayaran imbuhan RM1 sebulan tapi Penasihat Ekonomi berhak mendapat segala tuntutan perjalanan dan lain-lain bayaran yang berkaitan dalam usahanya menaikkan ekonomi Selangor'. Saya juga mahu SELCAT pantau perbelanjaan Penasihat Ekonomi ni nanti... kalau kata lawatan perniagaan ke luar negara... kena pastikan itu lawatan ekonomi sahaja, bukan lawatan politik, bukan lawatan berjumpa pemimpin luar bagi memburukkan nama baik Malaysia atau bersembang segala macam keburukan orang... MESTI BINCANG HAL EKONOMI SAHAJA. Dan kalau platform ni digunakan oleh Sheikh ni untuk berceramah tentang keburukan orang lain... SELCAT mesti dakwa dia kerana membazirkan dana kerajaan dan masa rakyat. Kalau dia buat juga... tarik balik 'permit tauliah' dia, walau keluar sepatah perkataan yang memburukkan orang lain. Tapi kan... tahun lepas 2008, ada keluar berita kata Sheikh ni dengan MB pergi ke Dubai bagi menarik pelabur asing ke Selangor, dah setahun dah lawatan tu... senyap je, apa cerita?

Soalan terakhir: Kenapa baru sekarang lantik? Saya pun tak tau macam mana nak jawab soalan penghabisan ni... baru sampai ilham kot, dah memang hak eksklusif dia agaknya sukahati bila dan siapa dia nak lantik. Mungkin la agaknya dia dah buat macam-macam approach dulu dengan barisan exco yang ada tapi hasilnya tak begitu memberangsangkan secara ekonomik. Bukan senang pun nak membangunkan ekonomi yang kukuh dalam sekelip mata apatah lagi dengan urustadbir ekonomi Selangor yang dikatakan amat korup dan huru-hara dulu. Bukan sedikit 'task-forces' yang ditubuhkannya dan bukan calang-calang exco dipilih... dengar khabar mesyuarat exco pun dalam bahasa omputeh dek kerana nak menunjukkan betapa professionalnya barisan exco yang rata-rata berkelulusan tinggi. Tapi sudahnya selepas setahun 8 bulan... kena lantik jugak Penasihat Ekonomi. Bila dah lantik, dah tentulah Sheikh ni pun nak barisan exco ekonominya sendiri bagi memantapkan ekonomi Selangor. Dan saya rasa, siapa yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga ekonomi Selangor selama ni... 'you are fired' sebab KPI teruk sehingga orang luar terpaksa dibawa masuk. Betul la kat YB Azmin dulu... ada exco yang harus ditukar kerana prestasi teruk dan ada YB mereka juga kata... MB juga boleh ditukar.

Kepada MB Selangor... saya suka la jugak usaha beliau ni semata-mata hendak menaikkan ekonomi Selangor. Biar bangga sikit orang Selangor sebab nampak bagus disebabkan kekuatan ekonominya, walaupun terpaksa ambil 'super hero' luar... bukan nampak kuat dan bagus sebab bagitau 'kentut orang busuk'. Buktikan kekuatan mereka bukan setakat 'politik tuding jari', memanipulasikan perkataan dan simbol agama bagi menarik perhatian dan simpati orang... dan juga 'berbaiah' bagi memastikan ukhwah terjamin tanpa mempedulikan sama ada sesuatu tindakan itu kadang-kadang mungkin salah. Dan janganlah juga menutup kelemahan dan kekurangan sendiri dengan membuka pekung orang semata-mata... muak dah dengar. Kerja dan bekerja la... sepertimana dia dok hentam orang lain sebab buat kerja salah. Ini adalah masa untuk beliau 'walk the talk'... kerana itulah rakyat Selangor hendak lihat... dan saya doakan kejayaan beliau kerana ianya juga akan menjadi kejayaan Selangor... amin.

... larat ke Pak Sheikh ni nak buat semua keje... Penasihat PKR dia, Kepala Pakatan Rakyat pun dia, Ketua Pembangkang dia. Ahli Parlimen lagi... tu belum lagi dengan macam-macam kes dia di mahkamah... hais, risau nih.
Read more

Saturday, November 14, 2009

Cerita 1001 Malam... Cerita Tak Berkesudahan

Semasa di sekolah rendah dulu, saya pernah baca sebuah buku bertajuk... Kisah 1001 Malam. Ringkasnya buku itu menceritakan tentang seorang gadis yang berkahwin dengan sang Raja yang suka membunuh kesemua gadis yang pernah dikahwininya setelah berakhirnya malam pertama. Gadis terakhir yang dikahwininya itu cukup bijak... beliau bercerita tanpa henti dan bersambung-sambung hingga sang Raja tidak dapat membunuh isterinya tu sebab sentiasa ada sambungan cerita. Dan tak sangka pulak saya... di zaman moden ni pun... kisah 1001 malam masih ada.

Tidak seperti kisah-kisah di dalam cerita 1001 Malam, rakyat biasa seperti saya ini amat mengharapkan keadaan ekonomi yang bertambah baik di Selangor khususnya dan Malaysia amnya. Benar-benar kehilangan wajah rakan-rakan yang ceria tersenyum kerana semua projek berjalan lancar. Apatah lagi Selangor sekarang ni diperintah oleh watak-watak yang hebat belaka... korporat, professional, pejuang keamanan dan kebebasan serta berbagai watak yang ditonjolkan semasa pilihanraya umum yang lalu. Pendek kata, watak 'superhero' segala. Dek kerana gegak-gempitanya suara mereka menikam dan menerjah watak-watak yang didakwa jahat, korup, sombong... maka berbondong-bondong la orang memangkah mereka kerana percaya bahawa mereka itu 'superhero' yang boleh membawa perubahan drastik. Dan selepas dari detik itu... bermula la Kisah 1001 Malam.

Bukan sedikit orang yang berbual dengan saya tentang kerajaan 'superhero' ini... Pakatan Rakyat (PR). Hampir setiap hari... saya terima email yang bertanyakan pendapat tentang PR... saya pun tak paham kenapa pendapat saya diminta walhal saya bukanlah ahli berdaftar dengan mana-mana parti politik... jauh sekali pengalaman berpolitik. Tapi bolehlah kalau setakat politik kedai kopi tu... kalau setakat nak menghentam dan menuding jari kat orang... boleh la sikit-sikit. Itupun saya belajar dari orang gak... dari ahli politik sekarang ni.

Dek kerana panjangnya cerita 1001 malam ni... saya ringkaskan la. Terbaca saya di Sinar Harian hari ni... seorang 'superhero' dilantik sebagai Penasihat Ekonomi. Kata Bapak Menterinya, pengalaman 'superhero' itu yang memungkinkan perlantikan itu. Saya juga ambil maklum la... memang Sheikh sorang ni banyak hubungan baik dengan negara luar dan doa saya juga agar Selangor akan menjadi lebih baik kedudukan ekonominya.... BERMULA DARI HARI PERTAMA BELIAU MENJADI PENASIHAT EKONOMI. Saya pasti beliau ini dilantik kerana watak 'superhero' yang bisa memungkin segala-galanya dibuat lebih berkesan dan cepat. Kalau beliau pun kerja dan hasilnya sama je macam exco-exco kerajaan yang ada... memang naik hangin kita semua nanti. Dan tak payah la nak kena tunggu 1001 malam baru nak naik ekonomi Selangor ni... kita pegang KPI dia dan kalau tak bagus gak dalam 3 bulan pertama ni... YOU ARE FIRED. Tak payah la war-warkan gaji beliau cuma RM1 sebulan... saya rasa Bapak Menteri yang sememangnya kaya-raya tu patut gaji RM1 sebulan je... elaun kat anak-anak syarikat tu... sedekah je la kat badan amal... kannn.

Tapi nanti dulu... cerita ni saya pasti takkan habis takat tu je... percaya la. Tengok la nanti bila Sheikh ni takleh perform... ada la pulak puak-puak seberang yang komen nanti. Saya gerenti, Bapak Menteri pun macam biasa la akan buat statement... akan buka segala macam 'rahsia' orang lama bagi 'menutup' kisah malam pertama... panjang berjela la nanti dia buat cerita malam ke-2. Dan kita rakyat pun terhegeh-hegeh la mendongak nak dengar cerita malam berikutnya. Dek kerana asyiknya nanti kita dengan kisah malam ke-3, lupa sungguh nanti kita akan kisah malam pertama yang takde kesudahan. 'Tagline' kegemaran mereka... tak boleh dilaksanakan sebab 'masih ada saki-baki orang lama dalam kerajaan'... pendek kata, orang lain jugak la yang buat hal. Kita yang duduk kat kedai kopi ni kalau asyik dengar tagline tu je pun lama-lama menyampah gak.

Belum pun sempat pujian dan tahniah diberikan kepada Sheikh ni.... dah keluar pulak cerita Bro Zaid kata... Nik Aziz patut jadi Kepala PR... pulak. Kan kata dah... belum pun sempat nak tau detail pasal Penasihat Ekonomi yang 'super hebat' ni... dah Bro Zaid kata kalau nak rakyat masih terus menyokong PR... lantik la Tok Guru jadi kepala. Tok Guru pun belum sempat menangkis buruk sangka orang yang dengki sebab ada insan yang nak 'sponsor' Tok Guru ke Mekah. Ni dah kira cerita malam ke-3 pulak ni... panjang cerita ni. Kalau dah Bro Zaid kata camtu... bermakna kalau lantik Pak Sheikh jadi Penasihat Ekonomi, orang Selangor akan lari dari memberi sokongan terhadap PR? Ni dah jadi cerita dalam cerita malam pertama ni... pening Yusof Haslam kalau baca skrip ni. Kalau betul la semua setuju dengan cadangan Bro Zaid... nak ke YB PKR dan DAP buat 'baiah'? Draft baiah pun ada 2 version... boleh pilih... isteri atau parti.

Tup-tup... Bro Azmin pecah lubang la pulak pasal 'orang dalam' syarikat pasir Selangor 'curi dan jual' pasir... cerita cadangan jual pasir Selangor ke Singapura bagi menjana pendapatan negeri pun masih hangat di pasaran. Kalau dah permintaan dalam negeri pun hebat sampai curi-curi pasir... apahal la pulak nak jual ke Singapura... ish. Tapi ada dengar jugak la cerita kata... jual pasir juta-juta tapi royalti ke kerajaan tempatan sikit... apa cerita? Dah berlonggok la pulak orang kat kedai sebelah nak dengar cerita malam ke-4... machaaa, teh tarik satu lagi.

Panjang kalau nak bercerita ni... sama panjang la macam cerita Harry Potter. Harap-harap kalau nak 'cover line' cerita pun... tak payah la asyik bukak pekung orang je semata-mata nak harapkan sokongan dan simpati pengundi-pengundi seperti kami ni... baik orang seberang sini atau orang seberang sana. Muak sebenarnya bila tengok kerenah kamu semua ni... asyik menepuk air dalam dulang. Itulah... dulu korang sendiri yang melukiskan watak korang macam 'super hero' masa nak raih undi dulu... jadi tak keterlaluan jugak la kalau rakyat mengharapkan perubahan ala 'superhero' kan... 'you asked for it' kata orang kampung saya. Tiba-tiba bila tak boleh nak buat. olah pulak cerita lain nak 'cover line'... tak bagus la macam tu kawan... haisss.

Seronok la pulak tengok Bro Najib akhir-akhir ni... tu hari Bapak Presiden Indonesia datang ke Malaysia lepas dipilih semula sebagai presiden. Lepas tu, Taipan China pulak datang jumpa Najib... tup tup hari ni... Najib dengan semua taiko-taiko ekonomi. Sungguh-sungguh betul nampaknya Bro Najib ni jaga Malaysia... tapi dengar ada la pulak arahan suruh serang dan burukkan peribadi Bro Najib. Ala tak best la macam ni kan... orang dah kerja kuat tu, kita nak naya dia pulak. Kalau dah dikatakan teruk sungguh Bro Najib ni... tak nampak pulak apa-apa yang hebat berlaku di negeri-negeri PR... macam tu gak dengan cerita 1001 malam yang tak berkesudahan.

... apa pulak agaknya cerita malam ke-5?
Read more

Saturday, November 7, 2009

Permit Oh Permit

Seorang peguam tidak akan dapat menjalankan firma guamannya jika tidak mempunyai sijil guaman dari Majlis Peguam. Seorang berkelulusan perakaunan tidak boleh menggunakan nama jawatan Akauntan jika tidak mempunyai sijil tauliah dari Institut Perakaunan Malaysia... dan begitu juga profession profesional yang lain di Malaysia... perlu ada tauliah... perlu ada permit. Jika tidak ada... TIDAK BOLEH. Gunalah apa alasan sekalipun... memang begitu peraturannya dan kita perlu akur... walaupun kita ada pandangan sendiri dan menggunakan alasan paling terkenal di dunia untuk melanggar segala undang-undang... KEBEBASAN DAN HAK BERSUARA.

JAIS dah kata... nak ceramah kena ada permit. Terpulanglah kepada bidang kuasa yang ada pada JAIS nak beri tauliah atau tidak... kuasa itu telah diperuntukkan, diluluskan dan diperkenan oleh Sultan Selangor. Langgar peraturan itu sama la seperti menderhaka terhadap Sultan. Mula-mula saya agak simpati dengan Dr. Asri ni... tapi selepas tengok habis 'dihogahnya' sana-sini, tuduh semua orang... sampai tak pasal-pasal kawan-kawan pun boleh bergaduh sama sendiri dek menyokong dan menentang dia... naik menyampah pulak. Dah Selangor kata kena ada permit... mohon je la, apa payahnya sangat sampai merapu sana-sini buat bising. Kalau kena reject sekali... mohon la sekali lagi. Kata pejuang Islam... takkan sekali dua kena reject... terus langgar undang-undang. Kalau macam ni semua orang tak boleh buat kerja seperti yang tertulis dan termaktub... dek kerana Dr ni bekas mufti, Dr saja la yang betul... orang lain silap. Isunya pasal permit je... PERMIT!!

Saya agak terkilan juga la dengan tindakan Dr. ni. Memang kalau nak lawan hujah... confirm saya kalah... ye la, saya bukannya pelajar Kolej Islam Klang yang terkenal melahirkan ramai ilmuwan Islam. Cuma kebetulan je rumah saya amat berdekatan dengan kolej tersebut. Penyokong saya pun cuma ada la dua tiga kerat... itupun kaki kamera. Tapi tindakan Dr. ni mengajar orang... takpe langgar undang-undang kalau kita rasa kita benar. Tahniah juga la kepada Dr. kerana berjaya membuatkan orang lebih membenci JAIS... membuatkan JAIS semakin hilang kredibiliti. Esok kalau Dr. masuk politik, boleh la buat agensi sendiri... buat undang-undang version Dr. Dan saya amat yakin pada masa itu, akan muncul 1000 orang lagi seperti Dr. yang akan menentang Dr. pula kerana mereka juga mempunyai version tersendiri tentang pelaksanaan undang-undang syariah Islam.

Selangor juga ada EXCO Agama, Ustaz Hasan Ali... Dr fikir buta agama ke Hasan Ali ni sampai tak tau undang-undang syariah. Bukankah PAS sekarang salah satu pemerintah dalam Kerajaan Selangor. Mereka dulu paling banyak jadi mangsa bila tidak dibenarkan memberi ceramah di Selangor... dan mereka akur dahulu. Dan PAS masih mengekalkan peraturan itu kerana mereka yakin peraturan itu masih perlu. Sedikit sebanyak sebagai rakyat Selangor, saya terasa juga dengan tindakan 'menghogah' Dr ni. Bermakna juga JAIS tidak pilih bulu dalam tindakan walaupun Dr bekas mufti... kena juga ikut undang-undang syariah di Selangor... derhaka pada Sultan namanya kalau main suka hati langgar... haissss.

Bukan sikit Menteri yang terpaksa tinggalkan kerja mereka dek kerana nak melayan kerenah Dr ni... macam nak kiamat dibuatnya Malaysia. Dari isu yang cuma pasal permit... jadi kusut masai dah dengan sijil palsunya, konspirasi, tangan ghaib, jawatan... haru biru. Dah tau masuk tempat orang... faham-faham la... masuk kandang kambing mengembek. Esok kalau ada orang berniaga haram takde permit guna alasan Dr... macam mana? Agak-agak Menteri nak layan ke sorang brader jual burger kalau brader tu mengadu kat Menteri? Dr nak tolong brader tu jumpa Menteri?

Sudah-sudah la tu... belajar la ikut peraturan dan undang-undang agar jadi tauladan pada rakyat... bukan susah pun... ambil borang, isi, mohon... kena reject... mohon lagi. Ramai lagi orang yang mohon lesen meniaga dan macam-macam permit. Kena reject, mereka istiqamah mohon lagi sampai dapat, takde mereka bising sana sini. Takkanlah ulama tersohor macam Dr baru kena reject permit ceramah... dah melatah bagai nak rak. Ramai orang suka dengar ceramah Dr ni... ramai sungguh. Boleh bikin parti politik baru la gamaknya.

Kepada rakan-rakan di JAIS, bersabar la seperti biasa... seperti selalu. Kepada Dr. Asri, saya tiada niat buruk dengan tulisan saya ini... mintak maaf la kalau kurang sopan sikit... Selangor ni negeri saya... dulu, kini dan selamanya walau siapapun yang memerintah.

Ampun Tuanku.
Read more

Wednesday, November 4, 2009

Talent Scout, Head Hunter... Dan Dr Asri.

BAKAT... inilah ciri yang dicari oleh semua pencari bakat yang dikenali sebagai talent scout dan head hunter. Kerja mereka adalah mencari bakat-bakat terbaik yang ada di pasaran untuk 'dijual' kepada mana-mana organisasi maju di dunia yang begitu menghargai bakat dan kebolehan. Bukanlah satu kerja mudah mencari personaliti yang mempunyai 'satu package' untuk dimanipulasi oleh mana-mana organisasi berasaskan keuntungan bagi menarik perhatian umum dan media. Khabarnya juga, bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair dibayar sebanyak 100,000 pound sterling (macam cerita 3 Abdul pulak... pound sterling) untuk sekali 'appearance' memberikan ucapan di khalayak ramai. Dan kebiasaannya personaliti seperti ini sememangnya amat bagus di dalam bidang mereka.

Tapi entah mengapa di Selangor, seorang yang mempunyai 'ilmu dan bakat' seperti bekas mufti Perlis, Dr. Asri dilabelkan sebagai 'orang yang melanggar undang-undang dan membawa fahaman sesat'. Sedangkan beliau memang dikenali sebagai ulama yang pernah menjadi seorang mufti negeri... ulang suara!!!... BEKAS MUFTI. Saya amat tidak berminat untuk menyindir atau menyinggung sesiapa dalam perkara ini tapi apa yang berlaku baru-baru ini menimbulkan kekeliruan. Saya kenal Pengarah JAIS, Dato Kushrin malahan beberapa orang kakitangan JAIS dan sesungguhnya mereka yang saya kenal benar-benar menjalankan tugas dengan ikhlas. Dan bukan juga 'tebiat' JAIS saja suka-suka ambil tindakan tanpa siasatan dan alasan munasabah. Namun, tindakan 'menangkap' Dr. Asri ketika sedang beri ceramah agama dan dihadiri juga oleh YB-YB dari kerajaan negeri yang memerintah membuatkan saya tercengang. 'Takde permit!!'... takkan la YB-YB ni 'bangang sikit' (sori bahasa kasar YB... figure of speech), bagi ceramah takde permit.... HARAM di Selangor. Bukankah MB Selangor selalu bertempik kata YB-YB mereka 'well educated'. Terlebih 'emo' la pulak... tapi jangan marahkan saya, 'emo' saya tidak memerlukan permit.

PAS di Selangor selalu menjerit mahukan Islam subur di Selangor, harus ramaikan masjid, ajak rakyat ke majlis ilmu... walaupun terpaksa sediakan bas dan keluarkan surat minta semua kakitangan kerajaan turun ke dewan bagi 'memakmur dan memenuhkan' dewan. Takpe apa cara sekalipun... pendek kata... majlis ilmu itu penting... walaupun yang bagi ceramah tu entah hapa-hapa tah cakapnya... balik-balik itu haram ini haram. Sekiranya orang yang pernah menjadi mufti hendak bagi ceramah di Selangor, sepatutnya pegawai JAIS bertindak pro-aktif... pergilah merendah diri dengan sifat-sifat pejuang Islam... bincang dengan Dr. Asri bagi memungkinkan beliau dapat permit... SEBAB DIA BERCERAMAH AGAR ORANG MENDEKATI AGAMA. Jadilah seperti 'talent scout'... cari bakat-bakat terbaik dalam menyebarkan syiar Islam dengan pergi kejar orang tu dapat pujuk mereka bagi ceramah di Selangor. Tapi tidak boleh rupanya untuk Dr. Asri yang dikatakan mendapat perhatian PM Malaysia untuk dijadikan abang besar di YADIM... malahan dikatakan seorang WAHABBI. Selepas ni tentu orang 'branding' saya pulak sebagai wahabbi... agak-agak la.

Tapi apehal pulak JAIS tak pernah tangkap walau seorang pun perokok di Selangor yang merokok di tempat awam sedangkan Selangor telah mewartakan rokok adalah haram. Dah bertahun fatwa tu diwartakan. Takde pulak JAIS tangkap orang perempuan yang tak pakai tudung sedangkan ustaz-ustaz JAIS sibuk dok ceramah kata menutup aurat itu wajib. Apa dia... kalau tak berdaya nasihat dengan tindakan, cukuplah dengan hati... pulak. Takde pulak JAIS dakwa YB-YB bukan Islam yang berceramah sambil memetik ayat-ayat Quran... apa dia... tak salah la pulak rupanya... hek eleh. Ya, JAIS boleh berceramah memarahi saya tapi ianya takkan menyelesaikan masalah kekeliruan. Lebih-lebih rakan-rakan di JAIS akan kata... ikut arahan.

Yang bestnya, EXCO Agama, Hasan Ali pulak kata... 'itu kena tanya JAIS'. Dulu orang boleh mengadu pada pakcik sorang ni dan seperti selalu, beliau sentiasa mendengar dan bercakap. Tapi sejak beliau menolong kakitangan di Selangor dalam bidang tugasnya yang diundi oleh rakyat... pakcik ni pulak kena 'sound' dengan parti dia... TOLONG SENYAP. Tak hangin ke kita dibuatnya bila seorang yang kita undi untuk bersuara bagi pihak kita... tak boleh buat apa-apa sebab parti dia kata tak boleh cakap... kita bukan undi parti dia. Rupanya dah jadi satu dosa bersuara untuk rakyat yang mengundi dia kalau tak dapat 'green light' dari 'big bos'. Sampai nak dipecatnya pakcik ni. Nampaknya soal syiar Islam dah tak penting dah... yang penting... KUASA. Sapa tak nak jadi Perdana Menteri kan. Siang-siang dah keluar 'statement'... pada pilihanraya akan datang, hanya yang boleh bekerja dan berkhidmat sahaja layak jadi calon... haisss.

Atau mungkin sebenarnya Selangor lebih mementingkan duit, duit dan hanya duit. Ye la kan, Dr. Asri tak bagi duit... orang datang dengar ceramah dia pun free. Lebih baik bagi permit pada pusat-pusat hiburan di Selangor agar dilanjutkan tempoh operasi hingga pukul 3 pagi. Takpe la kan mabuk-mabuk sampai pagi... memakmurkan ekonomi. Apa salahnya anak-anak Melayu berseronok sampai pagi... takde la diaorang sibuk nak menggugat keamanan politik, ye la dah jalan pun senget. Walaupun ustaz-ustaz dok sibuk kata... semakin orang mendekati agama, dunia akan aman makmur... takpe la kan... nasihat kat hati je.

Kepada Dr. Asri, dah tau nak bagi ceramah kena ada permit... pergi je la mohon. Kalau nak borang, saya pun boleh ambilkan. Kan dah susah macam ni, macam mana orang nak dengar ceramah dah? Nak gaduh dengan JAIS... jangan buang masa la. Memang nak bagi ceramah kena ada permit. Agaknya Dr Asri ni terlupa dia bukan lagi mufti... dulu boleh la ada 'lesen besau'... takde sapa berani tahan mufti. Kalau Dr. Asri masih juga berdegil dan kata berceramah tu hak kebebasan bersuara... Dr. ni tinggal kat planet mana?

... ayniiiiii angkat kain ujannnnnn... jemuran dah turunnnnn.
Read more

Tuesday, November 3, 2009

Kerajaan Tempatan - Antara Cukai Dan Perkhidmatan

Majlis Kerajaan Tempatan dan Pihak Berkuasa Tempatan... itulah istilah yang mungkin menimbulkan satu pertanyaan balas spontan... apa tu? Tetapi kalau saya sebut Majlis Bandaraya Shah Alam atau Pejabat Daerah Petaling... 'ohhhhhh'... itulah yang akan terkeluar dari mulut masing-masing. Dan bila sebut kedua-dua pihak kerajaan tempatan ni... semua orang akan teringat... cukai tanah dan cukai taksiran. Ramai juga yang tak tau tentang cukai ni sehinggalah mereka memiliki rumah sendiri.

Bayar cukai ni memang wajib, setiap 6 bulan kita akan dapat notis yang memaklumkan tarikh akhir cukai harus dibayar dan kalau lewat bayar... kena denda lewat. Bab hantar notis... bab denda lewat... memang cekap sungguh majlis ni... 'computerised' kata diaorang. Takkan nak salahkan kakitangan pulak kan... dah memang itu skop kerja mereka.

Apa perkhidmatan yang kita akan terima dengan jumlah cukai taksiran yang kita bayar kepada majlis? Rasanya majlis tidak pernah mengeluarkan perincian tentang setiap bayaran cukai... berapa kos perkhidmatan pembersihan parit, potong rumput, angkat sampah dan lain-lain perkhidmatan yang sepatutnya diterima oleh penduduk. Saya dah boleh agak apakah jawapan yang akan diberikan oleh majlis sekiranya saya meminta agar mereka memberikan perincian kerja untuk setiap cukai yang saya bayar dalam setahun... berbelas tahun lamanya bidang pekerjaan yang pernah saya lakukan membabiitkan majlis.

Selama ini majlis amat popular di media dengan tindakan merobohkan bangunan haram, gerai haram dan segala yang berkategori 'tanpa permit'. Malahan suatu ketika dulu salah seorang pegawai kanan di Hulu Selangor pernah dihadiahkan sebatang penyapu kerana dikatakan mempunyai rekod paling buruk dalam kutipan cukai di kalangan semua majlis. Bertempiklah sebuah parti politik menagih simpati dan sokongan orang ramai atas alasan itu... kurang ajar katanya (... tapi bila pegawai kerajaan mengadu pada seorang YB mereka, YB tersebut pulak diminta meletakkan jawatan kerana dituduh menimbulkan kacau-bilau dalam pakatan... hek eleh). Dan sekarang saya masih menunggu satu anugerah hendak diumumkan oleh kerajaan baru ini bagi memartabatkan majlis yang paling efektif memberikan perkhidmatan kepada penduduk... atau mungkin penantian saya ini tidak lebih dari mengharapkan buah yang takkan gugur kerana mereka terlalu sibuk bermain jari telunjuk.

Biarlah kita dikenali sebagai memberikan perkhidmatan terbaik... berbaloi dengan apa yang penduduk bayar setiap tahun. Harmoni bukanlah setakat membuka pekung orang lain atas nama keadilan dan kebenaran... malahan ianya akan memberikan makna lebih besar sekiranya penduduk dapat hidup dengan selesa dalam satu kawasan perumahan yang mereka laburkan duit hasil dari seumur hidup bekerja... samada sebagai kuli atau bos.

Janganlah sampai rumput di kawasan perumahan sampai harimau pun boleh menyorok atau longkang tersumbat sampai bah satu kawasan perumahan... marah orang nanti... turunlah ke bawah tengok kontraktor buat kerja ikut jadual ke tidak.

Patut-patutlah kan...
Read more
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...