Friday, November 20, 2009

Kepulangan Ayahanda Ke Rahmatullah

Al-Fatihah.

Pada 18hb November 2009 bersamaan dengan 1 Zulhijjah 1430, ayahanda saya Haji Ibrahim B. Sulaiman atau lebih dikenali Pak Brahim @ Ibrahim Besar telah kembali ke rahmatullah di waktu maghrib menjelang tiba. Ianya suatu kehilangan besar bagi saya dan juga keluarga. Jenazah beliau telah selamat dikebumikan pada hari ini di Tanah Perkuburan Seksyen 21, Shah Alam dan bagi pihak keluarga saya ingin merakamkan jutaan penghargaan terima kasih kepada DYMM Baginda Sultan Selangor yang telah mencemar duli mengutuskan pegawai-pegawainya yang diketuai oleh Setiausaha Sulit, Y. Bhg. Dato' Munir Bani serta Komander Ramli, sanak-saudara, rakan-rakan dari Istana Alam Shah, Klang... rakan-rakan ahli keluarga, teman-teman sepejabat dan tidak lupa kepada jawatankuasa khairat kematian Surau Seksyen 20, Shah Alam yang bertungkus lumus menguruskan jenazah untuk dimandikan, dikapankan dan disolatkan. Semoga Allah merahmati anda sekalian dan semoga sumbangan dan doa-doa semua memberikan manfaat yang tidak terhingga kepada Allahyarham. Syukur kepada Allah segala urusan pengkebumian berjalan dengan baik dan selesa. Tidak lupa juga kepada pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Seksyen 20, Shah Alam yang telah menyediakan sebuah khemah percuma berserta dengan semua kelengkapan... syukur Alhamdulillah.

Saya memohon kepada sesiapa yang mengenali Allahyarham semasa hidupnya agar dapat mengampun beliau sekiranya ada tersilap, kesalahan atau terkasar bahasa... minta agar segala makan-minumnya dihalalkan. Sekiranya terdapat sebarang hutang yang belum dilangsaikan oleh Allahyarham... hubungilah saya. insyAllah akan saya uruskan seadanya.

Saya tidak begitu bersedia menghadapi kehilangan ini namun ketentuan illahi ini harus saya redhai. Perjuangannya menghadapi ujian Allah semasa sakit tidak akan saya ceritakan di sini kerana sememangnya beliau dahulu sentiasa menegah saya dari menceritakan kesusahan hidup kepada orang lain. Sehingga ke saat saya menyambut jenazah beliau semasa di dalam liang lahad, saya masih tidak mahu mempercayai bahawa beliau sebenarnya telah meninggalkan saya buat selama-lamanya.

Saya juga berdoa agar Allah memberikan kekuatan kepada kami sekeluarga terutamanya bonda saya yang juga belum begitu bersedia menghadapi ujian ini. Semoga Allah memberikan rahmatNya kepada kami agar mampu menjaga bonda dengan baik sepertimana semasa Allahyarham masih hidup.

Semoga Allahyarham sekarang berada begitu hampir dengan Allah dan semoga beliau ditempatkan di perkampungan Rasulullah s.a.w.... bersama-sama para anbia, sahabat dan kaum yang beriman... pada saat jenazahnya terbaring di liang lahad hinggalah selesainya Hari Pengadilan... amin.

... dan hari ini airmata saya mengalir tanpa saya sedari dan saya masih menangisi pemergian ayahanda saya hingga ke saat ini.

2 comments:

  1. al-fatihah....

    bukan mudah menghadapi pemergian org yg kita sayangi..ujian yg amat berat tp pasti ujian ini akan menjadikan kita semakin kuat menghadapi hari2 mendatang, mengetuk hati kita mengenal diri, memikirkan tujuan apa kita didatangkan ke dunia ini...mudah-mudahan...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...