Wednesday, June 30, 2010

POLITIK BARU?



Perkataan 'Politik Baru' ini telah lama kedengaran sejak zaman saya sebagai seorang mahasiswa dulu. Seingat saya, ianya timbul hasil dari 'ketidakpuashatian' terhadap perangai dan kerenah pelaku-pelaku dunia politik yang kerap kali kelihatannya menjadikan bidang politik sebagai mata pencarian dan punca rezeki ataupun 'Political Businessman'. Begitu juga, harapan politik baru ini berputik apabila ahli politik dilihat cuma bekerja apabila 'Big Boss' turun padang atau 'itu hal sudah keluar tv'... barulah nampak kelibat 'bush jacket' YB.

Saya agak kurang mengikuti secara rapat perkembangan politik di Selangor, sekadar membaca sepintas lalu di akhbar harian. Namun perkataan tersebut tiba-tiba disebut oleh orang kuat sebuah parti politik dan ianya menarik minat saya untuk mengetahui 'politik baru' apakah yang dimaksudkan oleh beliau. Beliau berkata partinya mengamalkan dasar politik baru, tidak seperti amalan politik yang diamalkan oleh parti politik seterunya. Hanya sekadar retorik bagi menjawab soalan wartawan atau ianya adalah dasar yang telah dibincangkan oleh partinya... wallahualam kerana keesokan harinya, saya tidak terbaca apa pun tentang politik baru seperti yang dikatakan oleh beliau disokong oleh mana-mana kawan beliau di dalam parti. Ahli politik yang saya kenali kebanyakannya gemar 'panjang lidah dari bibir'... main sebut saja bagi menyedapkan butiran tuturkata.

Saya juga sebenarnya masih agak kabur tentang politik baru... mungkin kerana masih tidak cukup membaca dan bermuzakarah dengan rakan-rakan yang lebih 'otai' dalam sains politik. Bagi saya, jika 'agama politik baru' ini dibawa oleh sesiapa jua yang berkepentingan di dalam arena politik negara, saya yakin kalaupun tidak amat yakin, pasti mengikut acuan kepentingan masa hadapan parti politik beliau... 'demi memegang kuasa dan mendapatkan pengaruh'. Kalau mereka kata demi masa hadapan rakyat Malaysia... saya katakan, jual semua harta kekayaan beliau dan berikan semua hasil jualan tu kepada semua rakyat Malaysia yang hidup melarat. Tunjukkanlah keikhlasan sehingga beliau tiada walau sebutir pun harta berharga... berdirilah di atas pentas tanpa sebarang gelaran atau pangkat dan laungkanlah... 'saya sanggup berkorban demi politik baru negara yang bakal menjanjikan kesejahteraan kepada semua rakyat'.

Apa yang saya amati, sekiranya kita tidak ikhlas terhadap diri sendiri atau jujur terhadap tujuan hidup di dunia ni... apa saja kata-kata hanyalah sekadar retorik dan lakonan. Laungan meminta politik baru disuburkan di Malaysia haruslah bermula dari diri sendiri, keluarga sendiri dan parti sendiri... maksudnya, jagalah rumah sendiri dulu barulah ajar orang lain jaga rumah mereka. Politik ala 'CGI actor' ni sesungguhnya amat memualkan... rupa wajah mereka berubah mengikut 'green screen'... mereka boleh kelihatan sebagai 'apa jua watak' di depan penonton.

Saya tidak pasti samada ahli politik sekarang perasan atau tidak... mereka sebenarnya lebih banyak mengelirukan daripada 'being accommodative'. Satu suara yang sepatutnya keluar dari parti politik telah bergema-gema dengan suara hampir kesemua orang kuat politik tersebut yang tidak mahu melepaskan peluang 'melalak di copong-copong media'. Pada mereka itu adalah bukti kebebasan bersuara dalam politik baru mereka namun mereka harus tahu bahawa suara mereka sekadar menghingar-bingarkan 'sound box' rakyat Malaysia... bingit beb.

Harapnya agar laungan politik baru itu haruslah jujur dan ikhlas... rakyat sesebuah negeri itu menggambarkan pimpinan negeri. Sekiranya rakyat semakin keliru dan bercelaru fikirannya tentang halatuju negerinya... saya sedang mengelamun seketika, apa rupa agaknya 'orang di atas sana'. Mudah-mudahan Allah menyayangi kita semua agar kita tidak tersesat jalan... amin.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...