Friday, July 2, 2010

KHALID ATAU AZMIN? YANG MANA SATU IDAMAN KALBU... ANWAR.




Sejak berita Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid meletakkan jawatan sebagai Kepala Politik PKR di Selangor... sampai hari ni kawan-kawan dok minta pendapat saya. Tidak seperti dahulu, kali ni setiap kali saya jawab, ada saja hujah balas yang diberikan oleh kawan-kawan... terus-terang memang saya kurang senang dengan pergolakan politik di negeri tercinta saya ini namun saya agak gembira kerana kawan-kawan saya kali ini buat banyak 'homework' tiap kali berhujah dengan saya... hebat beb.

SIAPA MENTERI BESAR SEBENAR

Terima la hakikat bahawa Khalid adalah secara perlembagaannya Menteri Besar Selangor yang sebenar. Semua orang boleh berspekulasi kononnya Azmin adalah orang yang berkuasa sebenarnya di Selangor... memang itu pun kegemaran kita, amat bergantung benar pada bayang-bayang sedangkan hakikatnya jelas di depan mata. Saya yakin Azmin cukup sedar sekiranya beliau keterlaluan mengganggu urusan Menteri Besar, ianya akan mudah dikesan oleh rakyat Selangor dan beliau sudah tentu tidak mahu rakyat Selangor merasa terhina kerana mempunyai Menteri Besar boneka.

PENGAGIHAN KUASA BERKEPENTINGAN

Apabila Khalid menyatakan bahawa tindakan meletak jawatan sebagai Pengerusi PKR Selangor bertujuan untuk menumpukan kerja-kerja pentadbiran bagi memacu ekonomi Selangor dengan lebih hebat... saya agak ternganga seketika. Dan apabila beliau menyatakan agar tiada 'conflict of interest' apabila memegang jawatan Menteri Besar dan Pengerusi PKR Negeri sekaligus... saya langsung terkedu. Bermakna sesiapa sahaja dari PKR yang bakal menduduki sebarang jawatan dalam Kerajaan Negeri harus meletakkan jawatan dalam parti... begitu? Jika demikian, dua orang EXCO Negeri iaitu Xavier dan Yaakob Sapari harus meletakkan jawatan di dalam parti juga.... namun hingga ke tarikh ini, tiada sebarang pindaan dibuat ke atas laman web PKR di mana Khalid masih kekal Pengerusi. Tapi kan... apa hal pulak kalau Menteri Besar tiada kuasa politik? Siapa pulak secara hak berkuasa mengagihkan harta kekayaan negeri? Menteri Besar kah atau Pengerusi PKR Selangor kah... (gaya Hang Tuah bercakap bila tertanya dia atau Jebat yang benar)

KPI MENTERI BESAR DAN EXCO KERAJAAN NEGERI

Saya kira tindakan perletakan jawatan Azmin di PKNS dan juga Nik Nazmi sebagai Setiausaha Politik kelihatannya seperti 'mendesak' Khalid meletak jawatan. Saya kira juga sudah tentu kedua-dua orang kuat PKR ini telah meneliti laporan KPI Khalid... buat-buat lupa pulak, KPI tersebut pernah dinyatakan oleh Khalid yang harus dipatuhi oleh beliau dan semua EXCO... setiap 2 tahun katanya prestasi akan dinilai... jika tidak 'perform', kena tukar. Kebetulan pula, 'desakan' ini dibuat setelah 2 tahun berlalu... agaknya masing-masing buat lupa, lalu Azmin mengingatkan kembali dengan caranya.

APAKAH AZMIN LAYAK JADI MENTERI BESAR

Secara umumnya, sesiapa sahaja (Melayu Islam...?) layak menjadi Menteri Besar. Malahan pernah juga terdengar khabar angin mengatakan sekiranya PKR memegang Putrajaya, mereka akan memberikan jawatan Menteri Besar kepada bukan Melayu Islam... cerita di kedai kopi la begitu. Mereka kata tiada masalah sebab di Pulau Pinang dan Melaka boleh... kata mereka di kedai kopi la. Tapi kalau Azmin jadi Menteri Besar, siapa pula akan dilantik jadi Pengerusi PKR Selangor? Apakah Azmin mampu menjalankan tugas sebagai Menteri Besar Selangor sebaik mungkin... saya tiada komen kerana saya langsung tidak mengenali beliau. Cuma saya boleh katakan... mengikut 'resume', beliau tidak pernah jadi menteri atau timbalan, tidak pernah jadi CEO di mana-mana syarikat gergasi malah saya tidak pernah nampak beliau pernah melakukan perkara-perkara besar untuk negara. Selangor memerlukan seorang yang berpengalaman luas dan hebat sebagai Menteri Besar kerana Selangor adalah negeri hebat. Lihat dahulu apabila BN melantik orang tiada pengalaman langsung jadi Menteri Besar... orang Selangor kata huru-hara beb, buktinya rakyat pangkah orang lain sebab 'kebencian telah mencapai tahap gaban'. Kalau bukan kerana 'mass campaign' BN pusat... Selangor pasti tiada di atas peta Malaysia.

'BLESSING' SULTAN SELANGOR

Semua orang kata kalau nak pilih Menteri Besar mesti ada perkenan Istana Selangor... kalau Baginda Tuanku tidak setuju maka tak jadi la... kata orang la. Tapi saya lihat, Sultan Selangor tidak begitu gemar mencampuri urusan pentadbiran atau politik negeri. Cuma saya rasa jika ramai rakyat Selangor membantah, Tuanku pasti akan mengambilkira pandangan rakyat. Namun saya yakin rakyat Selangor juga menyimpan hasrat agar Menteri Besar juga haruslah sehebat Sultan Selangor yang pernah meredah lautan mengelilingi dunia dengan kapal layarnya... Jugra. Setidak-tidaknya, kita nampak la kehebatan dan pengalaman bakal Menteri Besar yang bukan setakat... banyak cakap je.

BUKTI BAHAWA PKR SELANGOR BERGOLAK

Saya bukan ahli parti PKR... jadi, no komen. Setakat boleh mengagak, berprasangka dan berspekulasi. Parti baru, memang sedemikianlah lakunya... namun yang pasti, mereka masih tidak sepakat tentang pelaksanaan polisi yang telah mereka sepakati. Setiap individu ada tafsiran tersendiri tentang polisi dan cara pelaksanaannya... bila kata-kata tidak sekata, jawabannya ialah huru-hara. Apatah lagi apabila mereka sesama mereka juga saling berprasangka dan agresif mendapatkan pengaruh untuk diri sendiri agar kelihatan penting di dalam parti... maklumlah mereka sedang 'mempromosi' diri agar dipilih oleh Anwar sebagai calon pilihanraya akan datang... dan saya yakin Anwar memang sedang menyenaraipendek calon-calon berpotensi... kempen beb, kempen.

Akhir kalam, secara peribadi saya yakin apa jua kerajaan yang ada, mereka hanya mempunyai 3 harta utama yang harus dijaga dan dihargai iaitu tanah, rakyat dan kerajaan. Sekiranya mereka meletakkan apa jua perkara lain di atas ketiga-tiga harta utama tersebut, yakinlah mereka pasti akan binasa... kerana kombinasi ketiga-tiga harta itulah yang membentuk KEHIDUPAN ASAS SEBUAH NEGARA. Harapan saya agar pemimpin meletakkan kuasa dan kepentingan peribadi di belakang... supaya tindakan mereka kelak tidak menyusahkan kita... RAKYAT.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...