Saturday, June 19, 2010

Peminta Derma Atau Peminta Sedekah

Saya yakin ramai akan bersetuju dengan saya bahawa menderma dan bersedekah adalah satu amalan mulia malah dituntut. Islam juga menuntut penganutnya agar menunaikan zakat sekiranya telah cukup syarat yang mewajibkan zakat dilakukan. Senang cerita, janganlah kita kedekut hendak memberikan sedikit dari harta yang kita ada samada secara sukarela atau mengikut hukum yang telah ditetapkan dan disepakati oleh alim ulama.

Tapi saya tidak ingin menyuruh orang memberi sedekah atau derma, saya kira itu adalah kehendak masing-masing... sendiri fikirlah. Namun saya merasa sedikit 'terganggu' dengan beberapa 'pemandangan' yang saya kira secara peribadi agak kurang bersetuju dengan kaedah yang digunakan oleh pemungut derma. Saya tidak ingin berfikiran 'menjuih bibir bercekak pinggang' atau menuduh kaedah memungut yang digunapakai oleh sebilangan 'pemungut profesional' namun mungkin ada kaedah lain yang lebih molek.

Marilah datang ke Shah Alam dan anda akan saksikan sendiri. Keluar sahaja dari bilik ATM bank, dah tercegat orang siap duduk ada kerusi meja sekali dengan satu karung yang biasa digunakan untuk letak pakaian. Pandu la kereta anda ke mana-mana stesen minyak dan anda akan disambut oleh seorang budak laki-laki atau perempuan yang memberi salam sambil minta derma amal jual kalendar atau minyak gosok. Pergi la makan di mana-mana kedai makan dan anda akan didatangi oleh orang yang siap bersalam dengan anda sambil memberitahu mereka tidak menjual barang tapi menerima sedekah ikhlas. Mungkin niat mereka baik namun pendekatan yang mereka gunakan memberikan gambaran yang salah tentang agama yang dianutinya.

Kenapa perlu guna kanak-kanak yang sepatutnya berada di sekolah keluar memungut derma dengan suara yang lemah dan tidak berdaya? Kenapa perlu pakai ketayap dan berbaju Melayu sambil duduk depan pintu bilik ATM?

Saya amat pasti mereka boleh melakukan yang lebih baik dari ini... bekerja sama seperti orang awam... seperti kita orang Islam yang lain. Jika mereka katakan itu adalah derma untuk sekolah pondok... saya yakin jika mereka ada alasan kukuh kenapa sekolah mereka harus menerima bantuan, jabatan agama negeri pasti akan memberinya. Malahan ada orang korporat yang sudi menghulurkan bantuan jika mereka yakin dengan usaha pengurusan sekolah itu.

Saya amat kasihan melihat adik-adik yang sepatutnya belajar di sekolah datang berjumpa saya sambil mengatakan mereka mengutip derma untuk anak yatim dengan muka sedih dan keadaan yang 'mereka merasa malu dan aib'. Saya yakin kita sendiri pun tak sanggup berjalan ke sana-sini menadah tangan meminta simpati, sama seperti saya tidak bersetuju papantanda diletakkan sebesar-besarnya bagi memberitahu dunia... 'RUMAH ANAK YATIM'. Niatnya nampak baik namun tidak ada sesiapa yang mahu orang melihat kekurangan diri mereka.

Tapi apa nak buatkan... kita rakyat Malaysia ni memang pemurah. Kita hulur la juga seringgit dua, derma ikhlas katanya sekadar mengurangkan rasa 'tak sedap kalau tak bagi' dalam hati. Kalau la kita semua boleh bersama-sama lakukan sesuatu... kalau la kita mahu...

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...