Saturday, December 18, 2010

DUA ALAM

Kali pertama saya dengar perkataan ini ialah semasa di sekolah rendah. Pada masa itu dua alam lebih merujuk kepada binatang bernama katak yang dikatakan boleh hidup di dalam air dan daratan sepertimana ketam. Dan apabila ia dirujuk kepada seorang manusia, kami lebih merujuknya sebagai pondan atau bapuk. Namun tidak pernah terlintas pada masa itu untuk merujuk perkataan tersebut menjangkau ke perbuatan atau perlakuan seks... hanya dari segi gerak-geri yang lembut semata-mata.

Namun sekarang ini, perkataan dua alam telah diluaskan skop pemahamannya. Seseorang yang 'gemar' terhadap kaum sejenis, seseorang yang 'gemar' terhadap sejenis atau tidak sejenis dengannya, seseorang yang bersifat berlawanan dengan lahiriahnya dan berbagai penjenamaan yang diberikan terhadap perkataan 'Dua Alam'. Kalau dahulu perlakuan 'luar tabii' ini mendapat tentangan namun sekarang ianya mendapat pembelaan sewajarnya oleh orang Islam sendiri yang menggelar diri mereka sebagai LIBERAL.... tidak salah mengakui perbuatan songsang itu atas nama 'hak kebebasan peribadi'.

Hari ini saya merasa agak kurang senang apabila terbaca di satu blog yang menyiarkan video Youtube seorang Melayu Islam yang terang-terangan mengakui beliau seorang gay. Mungkin beliau merasakan dengan pengakuan tersebut... ianya menegakkan kebenaran kerana tidak mahu menjadi seorang yang hipokrit. Akal waras saya sebagai seorang Muslim amat sukar menerima 'pengakuan ikhlas kata kan tidak kepada hipokrit' ini... menjadi buntu dari segala sudut untuk merasionalkan pengakuan berani budak ni. Kalaupun dia mungkin (agaknya la) teringin hendak mengatakan kepada dunia bahawa dia sebenarnya terperangkap di dalam badan yang kebetulan sejak lahir mewarisi Islam namun pemahaman saya tentang semua fahaman agama yang ada di dunia ni... hubungan sejenis sememangnya bukan amalan yang diterima.

Hari ini juga saya terbaca seorang produser yang penuh kontroversi hendak menerbitkan sebuah filem bertajuk Anak Ikan... sebuah filem gay kata media tersebut, yang bakal mengundang kontroversi... seperti hampir semua filem terdahulu yang pernah ditayangkan oleh produser tersebut. Katanya filem tersebut berbentuk realiti dunia gay dan ada unsur pengajaran kepada masyarakat. Terus-terang saya katakan... saya sangsi maksud tersebut akan tercapai... sepertimana jua paparan berbagai jenis gambar dan berita yang berunsur seks, kononnya untuk menyedarkan masyarakat. Saya amat sangsi kerana budaya murni dalam masyarakat makin hilang walaupun bertahun lamanya alasan seperti ini digendangkan setiap hari di media. Saya mungkin prejudis namun hakikat bercerita sendiri.

Dan hari ini, sepertimana hari semalam... saya lihat semakin ramai anak lelaki muda yang berpakaian ala-ala heteroseksual katanya... dengan aksesori yang digemari perempuan... dengan jalan lenggang-lenggok mengalahkan anak dara. Dan si anak dara pula... tegap jalannya mengalahkan jantan... jalan berkepit dengan seorang anak dara dengan lagak seperti pasangan kekasih. Ada juga yang menegur saya supaya tidak prejudis atau buruk sangka... kononnya saya seperti seorang fundamentalist agama... semuanya serba tidak boleh. Hairan juga apabila tafsiran saya bahawa seorang lelaki harus seperti lelaki begitu juga sebaliknya... dianggap sebagai fanatik agama.

Dan yang paling mendukacitakan saya apabila hingga ke hari ini... puak-puak yang begitu kuat memalukan gendang agama lebih berminat menyuruh anak muda berdemonstrasi tapi begitu sepi terhadap isu-isu gay dan lesbian di kalangan umat Islam di Malaysia. Mereka hanya hebat terhadap isu yang boleh mendapatkan perhatian berskala besar... demi mendapatkan tempat tinggal mewah di Putrajaya (Puakaville).

Hari ini seperti hari yang lalu, saya yakin tiada siapa jua yang mahu hidup 'Dua Alam' kerana hampir semua 'penganutnya' mengatakan mereka telah dilahirkan dengan naluri sedemikian. Namun hati saya kerap mengatakan... 'takkan Allah tersilap dalam penciptaanNya?'. Dahulu hal ini tidak begitu ketara, hanya sejak akhir-akhir ni... sejak dunia tanpa sempadan diperkenalkan di Malaysia, sejak Islam Liberal di Malaysia mengatakan, biar anak muda tentukan hala hidup mereka, sejak tiada tapisan filem di media, sejak ada NGO mengatakan kesalahan peribadi tidak harus dihukum, sejak media di Malaysia disuruh supaya tidak 'double standard' terhadap penyiaran bahan tatapan umum atau dengan lebih tepat lagi... SEJAK KITA BERKAWAN KARIB DENGAN PERALATAN ELEKTRONIK.

... mungkin agaknya apabila muncul satu kaum Luth yang dominan suatu hari nanti, barulah kita terhegeh nak bertindak sambil menyalahkan satu sama lain. Itupun kalau sempat la... kalau terselamat dari malapetaka banjir besar... kalau ada lagi kapal seperti di zaman Nabi Nuh. Itupun kena berebut-rebut dengan segala bagai binatang yang tidak pernah mengamalkan seks sejenis.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...