Thursday, August 12, 2010

1001 NOSTALGIA RAMADHAN - SOLAT TARAWIKH

Alhamdulillah sehingga ke hari ini saya perhatikan solat tarawikh semasa di bulan Ramadhan amat diraikan. Cuba pergi ke mana saja surau dan masjid di bulan ini, begitu hidup. Tempat letak kereta juga penuh dan saf memenuhi ruang dewan solat. Dan bagi mereka yang lebih gemar bersolat berjemaah dengan keluarga di rumah... saya dengar pun amat meriah.

Begitu juga dahulu... semasa era Tun Hussain Onn masih lagi Perdana Menteri Malaysia... semasa kebanyakan rumah hanya memiliki tv hitam putih... pada era di mana untuk memiliki tv kena beli lesen tahunan, sama macam cukai taksiran rumah. Semasa hiburan di tv hanyalah siaran TV1 dan TV2... kami amat meraikan solat tarawikh. Disebabkan surau istana hanya di belakang rumah, jadi ada pilihan samada hendak berbuka di surau atau di rumah... tapi selalunya buka di rumah dulu dan 10 minit kemudian bergegas ke surau.

Macam mana suasana di surau istana yang agak sederhana besar tu? Hampir separuh dari jemaah adalah budak-budak di bawah umur... penting diaorang ni. Dari bentang sejadah, sediakan juadah berbuka, juadah selepas solat tarawikh... hinggalah mengemas. Dan ada ketikanya, kami akan menerima tetamu paling hebat pada masa itu... Almarhum Tuanku Sultan Salahuddin yang akan turut serta bersolat tarawikh. Solat tarawikh selalunya lebih meriah apabila esoknya adalah hari Sabtu dan Ahad sebab cuti sekolah... jadi ada lebih masa nak luang untuk 'settle'kan kerja sekolah.

Selalunya 2 minggu pertama bulan Ramadhan, jemaah surau agak penuh... dan selepas itu agak berkurangan apabila budak-budak (... dan sebahagian bapak budak) sibuk 'meraikan malam tujuh likur'... layan bunga api beb, tiap-tiap malam dam dum. Apatah lagi dua tiga hari nak raya... ramai jiran yang balik kampung.

Kadang-kadang lepas solat tarawikh ni kami tak balik rumah terus... lepak la dulu kat mana-mana 'port' biasa... court badminton, padang garage kereta istana atau depan tangga rumah... bulan puasa orang tua kata hantu kena ikat, jadi kitaorang tak takut sangat la duduk luar rumah lama-lama. Takde la apa-apa sangat hal dunia yang kitaorang bincangkan masa tu... sekadar cerita tentang sekolah dan sukan.

Pada masa tu, kami amat menghormati bulan Ramadhan... bunga api pun hanya dimain bila malam 7 likur menjelang... tapi itu adalah satu cerita lain... mungkin di tulisan akan datang.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...