Saturday, August 28, 2010

1001 NOSTALGIA RAMADHAN - BILA NUZUL QURAN MENJELANG

1980an - saya masih bersekolah menengah pada masa tu. Ramai rakan-rakan saya di luar bandar Klang mengatakan... 'apa ada kat Klang tu? Tempat jin bertandang banyak la kot...'. Selalunya kami akan bertekak apabila isu ni ditimbulkan namun... di situlah tempat lahirnya saya. Bagi budak sekolah yang meminati sejarah dan seni seperti saya (... saya pelajar aliran sains), Klang adalah satu elemen sejarah penting di samping Kuala Selangor dan Jugra. Tapi tulisan ini bukan berkenaan sejarah Klang dan juga bukan berkenaan orang Klang. Ada cerita-cerita menarik apabila tibanya Nuzul Quran bagi budak sekolah seperti saya pada masa itu di samping sejarah Nuzul Quran itu sendiri... biarlah tok-tok lebai cerita pasal tu.

Bila tibanya Nuzul Quran bermakna sekolah cuti... bukan setakat itu je, itu bermakna malam tujuh likur akan berlaku tidak lama lagi... mercun dan bunga api. Apabila qunut mula dibacakan semasa solat tarawikh, kami mula tersengih... dah dekat dah masa untuk bermain bunga api dan mercun. Malahan ramai juga antara kami yang mula jarang ke surau istana untuk bersolat jemaah terawikh kerana agak sibuk menyusun jadual menyusur jalan di quarters istana... takde buat apa pun tapi seronok berlonggok ramai-ramai di luar rumah sambil berbasikal... basikal BMX... kira 'cool' masa tu.

Selalunya beberapa hari sebelum malam tujuh likur, kami akan lebih kerap berlonggok beramai-ramai... tak kira la mana tempatnya... court badminton, garas (garage kereta tuanku), tepi bukit, tangga rumah... mana saja. Masing-masing dah mula bukak cerita pasal kasut raya baru, baju baru dan tak kurang juga rancang nak jalan raya rumah mana dulu... penting strategi serbu rumah masa raya ni sebab ianya akan menentukan 'kutipan duit raya'.

Kami juga agak sibuk masa tu cari kayu-kayu untuk dibuat tiang pelita... benda wajib tu. Hampir semua rumah akan pasang... dari mula 'gate' masuk quarters istana hinggalah hujung jalan sebelah makam diraja. Memang cukup meriah bila semua pelita dipasang sepanjang satu-satunya jalan utama di quarters tu. Kadang-kadang tu duduk ramai-ramai sambil tengok pelita tu pun dah cukup menyeronokkan.

Sebelah siangnya kami agak sibuk 'cuci rumah'... lap papan rumah, mengecat mana yang patut, bersihkan bawah rumah, potong rumput, susun pasu... tak banyak kerenah sangat masa tu sebab kami semua seronok sebab raya dah dekat. Beberapa jiran juga dah mula buat kuih raya... masa tu lebih kepada untuk kegunaan sendiri tapi bayangkan biskut 'homemade'... memang tak pernah ada tandingan. Tak ramai pakai dapur gas masa tu... kebanyakannya dapur minyak gas atau dapur kayu... sebab tu kalau diperhatikan rumah-rumah yang ada di quarters tu... dapurnya mesti ada 'chimney'.

Demikianlah yang terjadi setiap kali Nuzul Quran menjelang tiba dan sebelum mulanya malam tujuh likur... kini jadi kenangan. Dan agak sedih juga apabila melihat kesemua rumah di quarters tersebut dirobohkan beberapa tahun yang lalu untuk dibina apartmen bagi menampung bilangan pekerja yang meningkat... namun ianya takkan pernah sama dengan suasana dahulu. Kadang-kadang terasa agak terkilan kerana tidak terfikir untuk merakamkan setiap sudut quarters tersebut apatah lagi aktiviti yang pernah kami lakukan kerana pada masa tu takde kamera digital... kamera guna filem agak mahal bagi kerluarga kami yang purata pendapatannya di bawah RM500 sebulan.

... namun apabila telah meningkat dewasa, saya maklumi bukan wang yang menentukan kegembiraan kita... ianya lebih kepada bagaimana kita menjalani kehidupan ini, kadang-kadang kita tidak perlukan banyak duit untuk merasa seronok.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...