Wednesday, August 11, 2010

1001 NOSTALGIA RAMADHAN - HARI PERTAMA PUASA

Hari ini sempurna sudah hari pertama berpuasa di tahun 2010... alhamdulillah. Cuaca pun tidak begitu panas, tiada sebarang cubaan dan godaan... rasa berpuasa itu takat biasa-biasa sahaja. Mudah-mudahan Allah kurniakan kita semua kenikmatan berpuasa yang tidak terhingga kerana sesungguhnya ini adalah satu-satunya karnival ibadat terbesar dunia yang berlangsung untuk sebulan selain dari bulan Zulhijjah semasa semua umat Islam mengerjakan ibadat haji.

Beberapa tahun yang lalu... ok la, puluhan tahun yang lalu hahaha... semasa rambut masih lebat, perut masih kempis dan suara pun tidaklah semacho sekarang... hari pertama berpuasa amatlah penting kerana ianya menentukan kualiti puasa untuk hari-hari yang berikutnya... pada masa itu, ianya memang amat mencabar.

Sekiranya hari pertama berpuasa jatuh pada hari bersekolah, amalan berpuasa tersebut tidaklah begitu terasa kerana agak sibuk dengan kelas. Bila loceng tengahari berbunyi, perjalanan pulang dengan basikal terasa amat jauh sekali walaupun ianya cuma mengambil kayuhan selama 15-20 minit. Kalau sekolah petang takpe... sampai rumah je dah nak berbuka. Tapi kalau sekolah pagi... isu besar beb. Sampai rumah je kadang-kadang tak sempat tukar baju... berlenggeng je tidur di ruang tamu yang berlantai papan... sah lena 2-3 jam.

Bila sayup je dengar mak jerit suruh pergi kedai beli barang... hadoi, lembik je bangun. Padahal panas siang tu dah biasa hari-hari sebelumnya tapi bila bulan puasa... lain macam la pulak panasnya. Kena kuat semangat jugak menghadapi puasa sebab... suara mak lebih 'panas' dari cuaca hahaha.

Pukul 5.30pm... bila cecah je 'time' ni, tenaga rasa pulih sikit sebab dalam kepala dah 'set' nak beriadah... kalau tak bola... ada je aktiviti lain yang bersesuaian... galah panjang, konda kandi, polis sentri... apa saja asal dapat isi masa sebelum buka puasa.

Namun ada beberapa perkara yang lebih menarik yang memang menjadi kenangan hingga kini bila hampir tiba waktu berbuka puasa... pertama, kena naik ke pejabat istana sebab nak ambil 'air batu blok'. Dulu peti ais tak besar-besar macam sekarang dan tak semua rumah ada peti ais sebab benda tu dikira barang mewah pada masa tu. Dan bila tiba waktu berbuka... siren di dome istana akan bergema... nyaring dan panjang bunyinya, macam satu bandar Klang boleh dengar sambil diselang-seli dengan bunyi beduk dari surau di Bukit Hospital berhadapan dengan istana. Dan sekarang... kedua-duanya telah tiada.

Jika diimbas kembali, banyak perkara yang dianggap kecil dahulu sebenarnya mendatangkan kegembiraan yang tidak terkata walaupun ianya tidak berbentuk material. Mungkin peristiwa itu bersesuaian dengan suasana dan waktu ketika itu... dan sesungguhnya kita tidak memerlukan perkara yang hebat sangat untuk menikmati kegembiraan.

Apa cerita pula tarawikh pada malam kedua setelah habis puasa hari pertama... mungkin esok hari yang sesuai untuk bercerita...

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...