Saturday, March 27, 2010

PERIHAL GRADUAN BERKUALITI DAN PEKERJA MAHIR

1. Saya agak ragu-ragu dengan kualiti graduan yang dihasilkan oleh sebilangan besar IPTS yang tumbuh macam cendawan. Dahulu, untuk memasuki universiti, kita harus mendapatkan keputusan yang terbaik di dalam peperiksaan SPM atau STPM demi untuk bersaing mendapatkan tempat yang amat terhad di IPTA.

2. Sekarang, untuk memasuki IPTS amatlah mudah malahan setiap pelajar baru diumpan dengan komputer riba percuma sekiranya berdaftar dengan IPTS tertentu. Pinjaman dengan PTPN juga akan diuruskan oleh pengurusan IPTS termasuk mendapatkan kemudahan tempat tinggal.

3. Pihak pengurusan IPTS juga tidak pernah memberikan secara terperinci kelayakan para pensyarah yang ada kerana kualiti pensyarah akan menentukan kualiti pembelajaran dan seterusnya graduan yang akan dihasilkan. Saya juga amat meragui jika pensyarah tersebut mampu memberikan ilmu yang terkini dan terbaik.

4. Kita juga telah menghadapi masalah apabila kebanyakan pelajar-pelajar terbaik rakyat Malaysia lebih berminat bekerja di luar negara kerana tertarik dengan gaji yang ditawarkan. Selain dari tawaran gaji, syarikat di Malaysia juga lebih berminat membuat keuntungan yang berlipat-ganda dengan mengupah pekerja-pekerja yang sekadar... 'boleh bekerja' dan bukan membangunkan ekonomi untuk jangkamasa yang panjang.

5. Dan apakah rating kebanyakan IPTA kita sekarang? Khabar angin banyak kedengaran mengatakan universiti di Malaysia sekarang sekadar boleh menghasilkan graduan yang 'bertaraf pekerja'. Apakah kita berupaya melihat munculnya seorang graduan tempatan yang mampu menjadi pemimpin organisasi di masa depan?

6. Perkara ini akan menjarakkan lagi jurang kekayaan di masa akan datang apabila hanya segelintir masyarakat mempunyai kemahiran dan pengetahuan tinggi yang akan memonopoli kuasa ekonomi manakala sebahagian besar masyarakat akan kekal sebagai kelas pekerja yang akan sentiasa bergantung harap dan rezeki (... satu bentuk penghambaan moden?).

(p/s: tulisan berbentuk 'point' sebab ada masa amat terhad untuk menulis)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...