Thursday, March 11, 2010

Apa Sudah Jadi?

Seorang demi seorang wakil rakyat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) keluar dari parti dan yang terbaru saudara Zulkifli Nordin (Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru)... apa sudah jadi ni? Setelah Pakatan Rakyat (PR) berjaya menawan beberapa buah negeri pada pilihanraya yang lalu, rakyat biasa seperti saya ini amat mengharap suatu 'penampilan istimewa' yang mampu mengekalkan perhatian pengundi terhadap kebolehan sebenar PR, lebih-lebih lagi PKR di Selangor. Sayang sungguh rasanya, setelah bertahun-tahun mereka bersama berjuang dari zaman reformasi kini seorang demi seorang meninggalkan parti tersebut.

Banyak perkara yang dibangkitkan oleh YB-YB yang keluar parti tersebut dan saya tidak terbaca sebarang kenyataan yang meyakinkan yang menjawab semua persoalan yang ditimbulkan. Sebaliknya saya lebih banyak terbaca jawapan balas seperti 'PKR bukan lubuk harta', 'ahli-ahli yang bermasalah', 'firaun kecil firaun besar' dan berbagai lagi kenyataan yang bersifat 'cerita tak sudah'... persoalan yang menimbulkan lebih banyak persoalan. Saya yakin bukan hal-hal begini yang diharapkan oleh pengundi dari ahli-ahli politik yang mendakwa mereka memperjuangkan bangsa dan negara.

Malahan, bagi rakyat biasa seperti kita ni, hendak menegur atau memberi sedikit kritikan terhadap PKR juga umpama 'cakap siang pandang-pandang'... takut dituduh pulak ahli parti lawan. Takkan la bercakap sedikit pun tak boleh sheikh... sensitif sungguh bak ada taman dalam hati... kuntum jiwanya.

Ramai juga rakan-rakan yang mengadu kepada saya bahawa mereka marah dengan kerajaan PR sekarang. Dan ramai juga yang mengadu bagaimana mereka merasa 'kecil hati dan terhina' setiap kali menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Selangor. Saya tidak tahu sejauh mana kebenarannya sebab bagi saya adakalanya dalam sesuatu mesyuarat pasti ada yang 'sentap'. Cuma mereka 'amat marah' kerana dilayan umpama 'marah anak sindir menantu'. Dan saya agak sedih juga apabila mendengar cerita tentang beberapa rakan yang pernah terbabit dengan reformasi dahulu hidup dalam keadaan yang agak susah sekarang ini... takde kerja tetap dan buat banyak kerja sambilan. Takde seorang pun YB-YB PKR sekarang yang bertanya khabar berita mereka... cukup ke makan pakai. Nak dapat kerja dengan kerajaan jangan haraplah sebab dengar khabarnya nama mereka telah 'di blacklist' terutamanya mereka yang pernah ditahan reman sebab menghadiri perhimpunan haram... dakwa mereka la kan.

Saya hanya mampu mendengar keluhan mereka kerana 'Aku Bukanlah Superman'. Kalau setakat nak belanja minum teh bolehlah sheikh... boleh la kalau nak order roti canai sekali. Doa saya mudah-mudahan Allah gantikan rezeki rakan-rakan semua dengan sesuatu yang lebih baik, dikurniakan kesihatan yang sempurna dan dikelilingi oleh manusia yang boleh dipanggil sebagai SAHABAT.

... singkat sungguh sisa hidup ni untuk dihabiskan dengan bertelagah kerana sudahnya ke kubur jugak kita.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...