Wednesday, September 9, 2009

Kisah Durian

Semasa saya kecil, raja buah ini amat diminati dan ditunggu musimnya kerana pokoknya hanya berbuah pada waktu tertentu. Tak banyak jenis durian pada masa tu. Tak macam sekarang, dah macam-macam kacukan dan hampir sepanjang tahun ada... Siam mali. Tapi baru sekarang saya tahu rupanya ada orang Melayu tak makan durian... busuk katanya. Ayah saya sendiri dulu ada kebun di Jugra, Banting. Dapatlah merasa setiap tahun durian sebesar kepala kera.

Saya cuma ingin bercerita kisah pembeli durian pada bulan Mac 2008 yang lalu. Musim kemuncak durian berbuah dan masing-masing berebut memborong. Tunjuk saja, hulur duit... dah dapat durian. Ada seorang pembeli dari Kuala Selangor ni, datang ke Sabak Bernam nak beli durian. Dia datang berjumpa tuan punya kebun, hajat awal nak beli satu raga. Bila ditengok, dinilai kebun tu, rupanya lebih elok beli kebunnya sekali. Maka ditawarnya la sampai tuan kebun tak mampu nak tolak... dan bertukar tanganlah kebun durian tu.

Tuan kebun baru ni pun jamulah semua orang makan durian, maklumlah tengah musim. Kalau dulu dia asyik komen durian orang sedap tak sedap, sekarang ramailah pulak yang komen durian dia. Dek kerana egonya yang bijak laksana dalam bisnes, jenuhlah dia nak menjawab bagi mempertahankan tindakannya beli kebun durian tu. Malamnya pulak tak tidur malam dia nak menjaga kebun dari pencuri dan binatang. Esoknya pulak bila dia pusing keliling, baru dia perasan semak tak ditebas, longkang rosak, putik durian gugur sebab hujan... pendek kata, macam-macam lagi dia kena tengok untuk pastikan kebun terjaga.

Lama kelamaan orang keliling tengok tuan kebun baru ni makin tak terurus. Pakai kain pelikat pun asyik tergulung-gulung sampai dah singkat macam skirt dek pening memikir nak jaga kebun.

Satu hari datanglah tuan kebun lama berjumpa tuan kebun baru. Mengeluh dia pada tuan kebun lama... 'hajat dulu tu nak beli makan durian je, terbeli kebun pulak'. Kata tuan kebun lama... 'dah 50 tahun kebun durian tu, sejak dari arwah datuk saya. Penat kami menjaga, hasilnya memang la hak kami menikmatinya. Sekarang kamu baru setahun memiliki kebun yang kami penat lelah usahakan selama 50 tahun, kamu dah merungut macam-macam dan kata pula seolah-olah kami tak pandai jaga kebun.'

'Lain kali kalau nak makan durian, beli sajalah. Tak payahlah beli kebun orang dan canang kamu ada buah durian yang baik. Sekarang baru kamu tahu macam mana susahnya menjaga kebun durian dan pembeli tak peduli semua itu kerana meteka hanya mahu durian yang baik' kata tuan kebun yang lama sambil tersenyum simpul.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...