Thursday, December 8, 2011

KITA TIDAK DILAHIRKAN UNTUK HIDUP SELAMANYA

Alhamdulillah, di Malaysia ini jika kita ke pelusuk mana sekalipun... apabila tiba waktu solat, kita masih boleh mendengar laungan azan yang menandakan wajibnya kita meninggalkan segalanya sebentar untuk kita dirikan solat. Bukan lama pun tempoh untuk melakukannya, dalam 10 minit sahaja. Dan di Shah Alam ini, di beberapa tempat tertentu... kita boleh mendengar azan yang adakalanya dari 2,3 tempat sekaligus. Maklumlah, hampir setiap taman perumahan mempunyai surau... kita boleh saksikan sendiri bersusun kereta di bahu jalan apabila pemandunya berhenti sebentar untuk solat.





Ada yang memilih untuk solat berjemaah dan ada juga yang lebih selesa solat bersendirian... ikut masing-masing la, jangan solat 'takyah' sudah.





Sejuk hati melihat anak-anak ini membaca Al-Quran sementara menunggu tibanya waktu solat. Teringat di zaman kanak-kanak dulu apabila saya sering ikut arwah abah ke surau di quarters Istana Klang. Dan saya perhatikan didikan agama peringkat awal ini amat subur di Shah Alam... alhamdulillah.

Pernah juga saya melihat di Masjid TUDM Subang, semasa solat Jumaat... seorang lelaki yang kudung kedua-dua kakinya, datang untuk bersolat Jumaat dengan menaiki 'skateboard'. Sama seperti skateboard yang digunakan oleh budak-budak skater boys di Extreme Park, Shah Alam. Beliau menggunakan kedua-dua tangannya untuk menggerakkan skateboard tersebut dengan bag sandang di belakang.

... rasa sedih ada, bangga pun ada melihat saudara seagama yang begitu menghargai solat Jumaat.

Dan banyak kali juga saya lihat di Masjid Negeri Shah Alam, beberapa lelaki yang cacat penglihatannya... jalan berpimpinan satu sama lain menuju ke dewan solat. Dan agak terharu menyaksikan apabila mereka berada di antara 7 saf hadapan.

Itu juga yang saya saksikan hari ini semasa solat Asar di Masjid Negeri Shah Alam, dua orang pemuda yang rabun/cacat penglihatan bersolat di saf paling hadapan. Perasaan saya agak bercampurbaur apabila melihat mereka... cuma mampu berdoa agar saya bersyukur dengan sepasang mata yang dipinjamkan untuk sementara waktu ini. Tak dapat saya bayangkan jika kehilangannya di waktu saya sudah amat terlalu selesa memilikinya, ditambah pula dengan hobi saya yang amat meminati fotografi.

Namun kelebihan mata yang saya miliki ini kadangkala 'menyeksa diri'. Setibanya saya ke tempat letak kereta setelah selesai solat asar tadi, sebuah kereta yang cuma terletak selang beberapa buah kereta... pecah cermin pintu belakangnya. Amat jelas ianya seperti dipecahkan oleh seseorang yang mahu mengambil barang di tempat duduk belakang.

MALU kerana ianya berlaku di tempat letak kereta di dalam kawasan masjid.

MALU kerana ianya berlaku di kala umat Islam sedang menunaikan solat.

MALU kerana ianya pasti dilakukan oleh seseorang yang ada mata celik seperti saya... yang boleh melihat dan menikmati pemandangan sebaliknya digunakan untuk 'rekki' kereta orang kot-kot ada barang berharga yang boleh disonglap.

... bukan lama pun hidup ni kan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...