Thursday, October 27, 2011

MERPATI DUA SEJOLI

Ini bukan cerita chinta... masih lagi cerita tentang makan. Bagi mereka yang pernah tinggal di kampung atau pinggir bandar semasa kecil di tahun-tahun 70an dan 80an, pasti biasa dengan suasana di mana ramai yang membela burung merpati. Di kebanyakan bandar kecil, terdapat ramai juga pemilik kedai yang membina rumah/sarang burung merpati yang agak unik binaannya di atas bumbung kedai yang selalunya rata. Rumah kecil itu dibina di antara 2-4 tingkat dengan bilangan pintu kecil yang begitu banyak yang selalunya boleh memuatkan 2-4 ekor burung dalam satu ruang. Dan selalunya satu rumah itu boleh memuatkan hampir 20-40 ekor burung merpati. Mereka yang mempunyai tanah pula akan membinanya berhampiran dapur di belakang rumah.

Yup, saya pernah membina rumah burung merpati ini semasa kecil dulu... tidaklah sepenuhnya, sekadar membantu memperkemaskan binaannya :). Adakah ianya seronok... di zaman itu, tiada tolok bandingnya kerana kemahiran pertukangan melambangkan kejantanan... hahaha. Setidak-tidaknya saya terbabit dengan orang dewasa melakukan kerja-kerja 'orang yang dah bersunat'... kerja orang lelaki.

Satu kepuasan yang sukar diucapkan membela burung merpati. Ianya haiwan yang jinak dan apabila terlalu biasa... ia akan makan beras yang kita hulurkan di tapak tangan. Namun jangan haraplah ianya mudah ditangkap kerana sedikit sahaja gerakan kita yang dirasakannya mengancam... ia akan terbang lari. Mungkin itulah sebabnya kot muncul kata-kata... 'Jinak-jinak merpati'.

Merpati ini cuma diam masa makan. Tapi apabila malam menjelang dan semua masuk ke sarang... kita akan dengar sayup-sayup burung itu berketur (betul ke bahasa ni?)... kurrrrr, kurrrr. Begitulah kot kurang lebih bunyinya... hahaha. Ia berketur hinggalah ke subuh. Dan bunyinya agak kuat sedikit sekiranya sarang didekati oleh binatang lain... atau 'benda'. Haha... begitulah kata arwah datuk setiap kali saya tanya. Dan kalau di kampung, statement sedemikian amatlah mengganggu jiwa apatah lagi bilik air terletak di luar rumah... tahan kencing beb sampai pagi.

Pada masa itu jugalah saya dapat tahu merpati boleh dimakan... kena sembelih macam ayam. Dan saya tahu dengan cara yang agak tragik. Suatu hari datuk memanggil saya untuk tangkap beberapa ekor burung merpati. Tanpa mengesyaki apa-apa, seorang budak yang cukup inesen masa tu (hahaha) berjaya menunjukkan skil menangkap beberapa ekor sekaligus. 'Ha, pegang kuat-kuat kaki dan kepak tu'. Zasss, tak perasan bila masa arwah keluarkan pisau dan sembelih merpati tu. 'Ha, lepaskan dulu, kejap lagi lepas mati ambil balik'. Memang terkedu beb... MELELEH AIRMATA. Merpati yang kita bela berbulan-bulan macam pet... hilang nyawa dah dan bakal jadi lauk. Dekat 4 ekor 'tumpas' di tangan saya... menung tengok merpati tu menggelupur dan pelan-pelan mati. Padahal dah banyak kali tolong pegang ayam untuk disembelih. Come on... cute merpati tu beb.

Sedih tak lama... bila mak goreng merpati yang dah siap dibuang pelepahnya, kena pulak dengan nasik panas, sambal tumis dan sikit sayur... air kopi panas. Rasa macam nak repeat balik esoknya... haha. Betul juga kata atuk... 'kita bela ayam dan merpati ni sebab itu sumber makanan berkhasiat untuk kita. Bukan taraf kita bela binatang untuk hobi'. 'Nasib baik kucing tu tak boleh makan kan Tok?' Sengih arwah... risau gak beb kucing-kucing liar yang rajin datang ke rumah saya jadi lauk hahaha... teman lepak tu.

Yup, daging burung merpati memang sedap... manis dan lembut. Mana nak dapat lagi sekarang... kadang-kadang geram juga tengok burung merpati (tah sapa punya) kat Restoran Syed, Seks 3 Shah Alam tu... hahaha. Boleh juga dibuat masak lemak cili api. Adalah sebesar saiz puyuh kot atau kecil sedikit. Selalunya digoreng kunyit je.

... mana nak cari daging burung merpati sekarang ni?

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...