Saturday, August 13, 2011

JUAL TASBIH DI TRAFIK LIGHT


Mungkin ramai yang tidak begitu memahami maksud gambar di atas jika saya tidak menceritakan gambaran sebenar tapi inilah antara pemandangan baru yang terdapat di Shah Alam... warga asing menjual tasbih di perhentian lampu isyarat. Kali pertama saya perasan 'pemastautin baru' ini ialah sehari dua selepas masuknya bulan Ramadan di waktu selepas zohor ketika saya dalam perjalanan ke pejabat. Dan selepas itu saya masih juga melihat kelibat warga asing ini pada hari-hari yang berikutnya.

Bertempat di 'cross-bridge' di Lebuhraya Persekutuan menghala ke kilang CSR Batu Tiga... beberapa kali saya melihat kelibat 2 lelaki dan seorang wanita warga asing yang tekun menunggu lampu isyarat bertukar merah untuk mereka memulakan 'operasi' menjual tasbih sambil memberi isyarat 'tapak tangan ke mulut' seolah-olah meminta belas ikhsan untuk makan. Dan beberapa kali juga saya cuba untuk mengambil gambar namun seringkali tidak berpeluang. Namun, beberapa hari lepas saya berjaya merakamkan seorang dari mereka sedang beraksi.


Beliau akan menunggu di hujung lampu isyarat sambil menunggu lampu bertukar merah, di mana deretan kereta akan berhenti... dan ketika itulah beliau akan berjalan dari tingkap ke tingkap kereta sambil meminta simpati pemandu untuk 'membeli' hasil jualannya. Macam tau-tau pulak dia lampu isyarat telah bertukar hijau dan dia akan ke tepi... dan perlahan-lahan beliau akan berjalan menuju ke lampu isyarat untuk memulakan 'aktivitinya'.

Dari satu sudut saya agak simpati juga... apatah lagi bila tengok muka kesian minta simpati, cair der jiwa macho hahaha. Tapi bila tengok mamat tu, rasanya macam sihat je. Kalau ramai lagi rakyat Malaysia boleh bersusah payah buat macam-macam kerja demi sesuap nasi untuk keluarga... hati kecil saya berdetik juga... mamat ni harus bekerja juga. Apatah lagi saya berasa agak kurang selesa melihat seseorang yang kelihatannya seperti muslim menjual tasbih sambil menadah tangan dari tingkap kereta ke tingkap kereta... mungkin kita yang muslim boleh memahami tapi bagaimana pandangan bukan muslim. Begitu jugalah sebagaimana kurang selesanya saya apabila ada budak-budak kita yang kelihatannya masih kanak-kanak menjual berbagai barangan di stesen minyak dan Komplek PKNS.

Aktiviti ini juga berlaku di perhentian lampu isyarat dari Giant Hypermarket menuju ke Bukit Jelutong. Warga asing yang berlainan tapi kelihatannya dari suku bangsa yang sama... sedang melakukan aktiviti yang sama. Bimbang juga saya bila lihat beliau dengan berani berjalan di celahan kereta dan diselang-seli dengan motorsikal yang tidak kurang lajunya.

Ada juga kedengarannya yang kurang senang dengan kehadiran warga asing ini dan pemandangan seperti ini. Dengar-dengarnya ada juga yang 'berselisih pendapat' laki bini... mana taknya sheikh, sorang kata bagi la... sorang kata tak payah bagi... boleh mendatangkan marah beb hahahaha. 

Apapun terpulang kepada diri masing-masing dan saya rasa mungkin ada pihak berwajib yang akan mengambil tindakan kot. Mudah-mudahan Allah permudahkan urusan warga asing ni... mungkin kaedah ini adalah biasa di luar negara malahan biasa juga saya lihat di Jakarta tapi kurang manis rasanya bila berlaku di Malaysia.

Selamat bersahur rakan-rakan sekalian... kadang-kadang 'hari sukar' kita tidaklah seteruk 'hari terbaek' orang yang kurang beruntung di dunia nih. Jadi sama-sama la kita mensyukuri nikmat yang kita ada sekarang ini dan terus berusaha demi masa depan diri dan keluarga. Doa saya buat semua... semoga Allah permudahkan urusan semua di dunia dan akhirat.... amen.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...