Cuti sekolah datang lagi dan kali ini tempohnya agak panjang... cuti penggal ketiga (istilah kami semasa sekolah dulu). Dan saya berada di kedai mamak Pelita, Seksyen 9 Shah Alam... sarapan sambil menunggu kawan untuk berbincang tentang perniagaan. Di kawasan ini memang banyak kedai dan pejabat, terdapat juga beberapa pejabat agensi kerajaan di bangunan Shah Alam Mall ni. Pagi Isnin, tak banyak kakitangan awam berada di kedai mamak ni, mungkin masing-masing sedang sibuk menyusun kerja untuk hari-hari berikutnya.
Lagu-lagu Hindustan era 70-an dulu sedang berkumandang... saya memang meminati lagu-lagu sebegini tapi... pada hari Isnin yang lembab ni, hadoiii... lemau sikit la. Tak boleh nak buat apa, malas nak ke kedai makan lain sebab harus berjumpa dengan beberapa rakan yang ada berdekatan sebentar lagi.
Takde niat hendak menulis sebenarnya tapi ada satu pemandangan yang agak mengusik jiwa sedikit... pemandangan yang biasa saya lihat setiap kali cuti sekolah. Waktu sebegini, saya pasti akan terserempak dengan makcik atau 'aci' (panggilan kami di waktu kecil untuk wanita India yang sudah berumur, maaf kiranya kurang sesuai) menuju ke tempat kerja masing-masing sambil membawa cucu yang mungkin masih bersekolah rendah. Ada juga yang saya amati mereka sebenarnya bekerja sebagai cleaner di pejabat. Dari raut wajah mereka, saya kira pasti agak susah hidup mereka hinggakan terpaksa bekerja di usia emas sebegini. Dan cucu mereka, begitu gembira mengikut nenek mereka seolah-olah hendak pergi membeli-belah. Demikianlah selalunya, cucu mana yang tidak gembira dapat bersama datuk nenek mereka... saya dulu suka juga mengikut atuk saya tapi ke kedai kopi la, layan minum kopi susu dalam piring :).
Mungkin si kecil itu belum mengenal erti mencari rezeki. Harap mereka dapat pengajaran dan pengalaman berguna bersama nenek mereka... mudah-mudahan kehidupan mereka semakin baik dan lebih murah rezeki di masa hadapan. Kegembiraan yang mereka rasakan sekarang semasa mengikuti nenek mereka bekerja, adalah salah satu dari hidup getir nenek mereka mencari rezeki halal. Bagi kita yang mungkin lebih bernasib baik, jangan pula dipandang hina mereka ini... kita cuma cukup bernasib baik kerana ditakdir Allah sedikit bertuah dari orang lain.
Selalu saya mengingatkan diri sendiri dan anak-anak saudara saya, apa saja kerja yang halal adalah pekerjaan mulia... yang membezakan hanyalah pendapatan dari kerja tersebut. Jangan sesekali dipandang hina pekerjaan sesiapa jua tapi perhatikan betul-betul... apakah kita sanggup untuk bekerja sebagai cleaner atau pemandu lori atau apa saja pekerjaan yang dikatakan orang sebagai 'tak glamer'? Tidak ada salahnya langsung dengan pekerjaan sedemikian namun kalau kita memang jenis kurang kuat menggunakan tulang empat kerat... belajarlah rajin-rajin dan carilah pekerjaan yang sesuai dengan mental dan kudrat kita. Saya kenal dengan beberapa pemandu lori kontena dulu... sekarang mereka adalah towkeh lori dan mempunyai pekerja sendiri. Saya juga kenal dengan ramai kawan-kawan yang mempunyai 'big business import export'.... dahulunya mereka banyak mengorbankan usia muda untuk belajar dan mencari pengalaman dengan melakukan berbagai pekerjaan yang amat memenatkan.
Pemilik kedai mamak ini dulunya juga hanya pendatang ke Malaysia, bersusah payah bekerja mencari rezeki di sini. Sekarang ramai antara mereka memiliki berbelas cawangan seluruh Lembah Klang... dahsyat bila dengar mereka menderma dalam jumlah yang amat besat setiap bulan Ramadhan.
Kita semua bagaimana... harapnya janganlah berpecahbelah dan bercekau semasa kita. Jangan dijadikan perbezaan politik sebagai pemangkin untuk bermusuh kerana musuh kita yang sebenar adalah KEMISKINAN DAN KEMELARATAN. Saya yakin kita boleh duduk semeja... dan saya yakin kesudahannya kita menuju ke tempat yang sama suatu masa nanti... KUBUR.
Selamat bekerja rakan-rakan sekalian. Semoga Allah memandang kalian semua dengan penuh kasih sayang dan rahmat. Mudah-mudahan Ar-Raudhah jua diperolehi di dunia dan akhirat kelak.
Al-Fatihah buat ayahanda Ibrahim Sulaiman yang telah meninggalkan kami 2 tahun yang lalu. Semoga Allah mengurniakan syurga kepada beliau. Sesungguhnya seorang abah yang amat hebat.
amin ...
ReplyDelete