Saturday, June 25, 2011

MALAYSIA DAN MEGI MEE BERPISAH TIADA


Tajuk macam takbleh blah... hahaha. Hari ni saya nak bercerita pasal makanan segera yang boleh dikatakan menjadi kegemaran ramai penduduk Malaysia... mungkin kot, tiada statistik yang dibuat tentang ini tapi saya andaikan sedemikian la berdasarkan kawan-kawan di sekeliling saya yang kedengarannya pernah makan... setidak-tidaknya sekali. Saya sendiri akui menggemari makanan segera ini terutamanya perisa kari dan asam laksa, terutamanya bila dah lapar sangat tengah-tengah malam.

Lemme see, bila saya mula mengenali makanan ini. Kalau tak silap di hujung tahun 70-an kot. Masa tu ada 3 jenis kilang yang dibuka di Shah Alam berskala besar... Nestle, Motorola dan National. Nestle dengan produk makanannya dan National ialah kilang elektronik dari Jepun. Manakala Motorola pula lebih kepada sistem telekomunikasi... kalau tak silap saya masa tu produk telefon sebesar beg sekolah... ATUR. Ramai anak-anak jiran saya yang bekerja di ketiga-tiga kilang ini kerana gaji yang ditawarkan agak lumayan berbanding kakitangan kerajaan.

Hampir setiap bulan, jiran saya yang bekerja di Nestle akan membawa balik berkotak-kotak Maggi Mee (kami panggil Megi) berperisa kari. Amat murah pada masa tu, kalau tak silap antara RM0.40-RM0.50 sebungkus. Sekarang seringgit lebih beb sebungkus. Pertama kali saya cuba, terus jatuh cinta. Cuma masa tu saya gemar memakannya dengan meletakkan sedikit kicap dan kadang-kadang dicampurkan dengan telur. Jadi, apabila tiba hari gaji, ada juga yang mengirim beli terus dari kilang... dan kebanyakannya akan beli berkotak-kotak sebab memang murah. Kalau tak silap masa ni cuma ada perisa kari dan ayam... selepas tu ada perisa udang.

Takde la kerap sangat makan Megi masa tu... kadang-kadang je. Mak lebih gemar sekiranya kami semua makan masakannya... yang sememangnya sentiasa berzat dan sedap. Tapi dah nama pun budak-budak kan... bila berduit sikit, beli la sebungkus dua Megi. Bukan susah pun nak masak... katanya cuma 2 minit la tapi cuba la buat macam tu... memang keras la Megi tu hahaha. Selalunya dengan 5 minit juga la atas dapur, barulah lembut sikit Megi tu.

Apabila saya sambung pelajaran ke ITM dan berkesempatan tinggal di Kolej Jati (sepenuh masa dan kadang-kadang jadi setinggan hahaha), Megi ni memang jadi stok makanan tetap la untuk hanpir kesemua pelajar. Mana taknya, Kolej tutup pagar pukul 11pm dan masa tu la perut lapar nak giler... Megi la jadi mangsa. Tapi macam mana budak-budak kolej ni masak Megi... pakai heater air tu je yang digantung dalam bekas apa pun... asalkan boleh masak Megi tu. Tapi ada juga yang dah desperate sangat lapar... perisa kari Megi tu diaorang bukak dan campur je dalam Megi tu... makan mentah-mentah. Habis beb... hahaha, kadang-kadang sampai 2 bungkus. Cuma pengalaman paling 'menakutkan'... hahaha... bila kawan-kawan mintak saya masak sampai 5 bungkus Megi sekaligus sebab semua dah lapar sangat dan leceh nak masak satu-satu. Saya suruh diaorang cuci baldi yang selalu diaorang buat basuh baju tu bersih-bersih... takung air dan saya gantung heater. Memang la macam geli... baldi buat basuh baju tu hahaha. Tapi dah letak telur, buat air kopi kaw-kaw, biskut satu tin... esoknya diaorang request satu round lagi beb... hahaha.

Sekarang ni masih layan lagi Megi ni... terutamanya Megi kari. Tapi rasanya Megi perasa udang memang dah takde lagi kot... maybe la takde sambutan sangat berbanding perisa kari, ayam dan tomyam. Takut la juga nak makan selalu sebab banyak cerita yang kurang enak tentang Megi ni. Paling sensasi bahan perisa tu boleh buat rambut gugur. Kalau saya jadi spesimen, mungkin betul kot... hahaha tapi saya tengok ramai gak kawan-kawan makan... lebat semacam je rambut cam muda-muda dulu. Cuma ada dua cerita la yang saya rasa patut diambil perhatian... Megi ni kenyal dan keras sebab ada sejenis bahan yang dikatakan seperti plastik yang menyaluti Megi tu. So bila masak, air yang pertama tu buang dan ganti dengan air yang baru... then masak balik. Memang ada perbezaan rasa... dulu mana sempat nak buang air tu dan ganti... nak cepat. Bimbang beb bahan plastik masuk usus... lambat nak hancur tu, bahaya. Dan satu lagi, jangan makan Megi sebelum beriadah... angin banyak, memang senak perut nanti dan stamina boleh berkurangan. Lemau kang asyik sendawa angin je bila main besi kat gym.

Saya dengar ada juga orang masak Megi yang dicampur-campur seperti kari dan asam laksa... sedap katanya tapi saya belum pernah cuba la. Ada yang buat Megi goreng... kat kedai mamak cukup famous nih. Yang paling biasa... Megi kari campur sayur dan telur. Pernah juga sorang kawan sekolah saya buat bekal ke sekolah... masak Megi dari rumah. Bila tiba waktu rehat, Megi tu dah sebesar mee kuning dan kuah pun takde... sejat tapi habis gak dibedalnya. Sekarang ni mudah, dah ada Megi dalam mangkuk... cari air panas je curah, tunggu dalam 5 minit dan soru. Mahal la sikit tapi kalau boleh alas perut... apa ada hal kan bila dah takde benda nak gasak.

Tak tau la samada Megi ni boleh dikategorikan sebagai makanan berkhasiat atau tidak. Apa pun jenis makanan, saya rasa berpada-pada la bila makan tu... takkan la nak makan hari-hari macam zaman student dulu.... hahaha. Rajin-rajin la belajar masak makanan Melayu... rasanya ada banyak juga jenis masakan Melayu yang boleh dihidangkan dalam masa satu jam (satu hari nanti insyAllah saya akan tulis pasal nih).

... sekarang ni memang banyak jenis jenama mee segera namun kerapkali bila orang nak makan, dia sebut... nak makan Megi. Memang susah nak pisahkan Malaysia dan Megi.
Read more

Saturday, June 18, 2011

SAHAM WAKAF SELANGOR... HARTA DUNIA BERMANFAAT

Gambar: internet

Pada Jumaat lepas, khutbah di Masjid Negeri Shah Alam berkisar tentang wakaf dan sumbangannya kepada ekonomi umat Islam di Selangor. Elok juga khutbah ni, tahu juga la ada program seumpama ini di Selangor... daripada minggu sebelumnya, tak habis-habis soal Qazaf yang nampaknya seolah-olah 'nak cover' isu video. Pada saya, lantak la pasal hal video tu... hal peribadi yang terlalu dimanipulasikan oleh ramai pihak hinggakan rakyat biasa seperti kita ni ikut terkena tempias pertengkaran politik yang tidak kesudahan.

Sori la beb, emo sket... hahaha. Berbalik kepada Saham Wakaf Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menawarkan unit-unit saham wakaf pada kadar minimum RM10 seunit. Tiada jumlah maksima ditetapkan. Bezanya dengan saham-saham amanah yang lain, peserta saham tidak akan menerima sebarang bentuk dividen atau keuntungan kerana ianya bersifat wakaf kekal. Sesiapa jua boleh 'melabur' bagi pihak atau mana-mana individu yang telah meninggal dunia. MAIS akan bertindak sebagai pemegang amanah dan mewakafkan unit-unit saham tersebut selama-lamanya kerana Allah s.w.t dengan tujuan demi kepentingan dan kebajikan ummah.

Kurang lebih macam ni la, kata la kita melabur sebanyak RM1000 (Ringgit Malaysia: Satu Ribu Sahaja). Duit ini akan dikumpulkan dengan pelaburan yang lain dalam satu tabungan wakaf. Kononnya la kan, ada keperluan di Selangor untuk menubuhkan sebuah pusat tahfiz... MAIS boleh samada membiayai sepenuhnya atau sebahagian dari pembangunan pusat tahfiz tersebut dan duit tabungan wakaf akan digunakan. So, secara logiknya... insyAllah saham wakaf yang kita lakukan juga akan turut terbabit. Bayangkan... pusat tahfiz tu beb, tempat anak-anak belajar Al-Quran. Nak harap kita baca Al-Quran hari-hari... harap je la kan. Setidak-tidaknya kita tumpang la sekaki kat budak-budak tahfiz tu bila mereka baca Al-Quran dan gunakan lain-lain kemudahan di pusat tahfiz tersebut... bagitau saya beb, apa yang lebih baik dari itu.

Secara spesifiknya, Saham Wakaf Selangor ini akan disalurkan untuk program pembangunan tanah-tanah wakaf yang berdaya maju... pembelian hartanah yang berpotensi bagi manfaat masyarakat Islam seperti lot hartanah, komersial, perumahan dan sebagainya... untuk pembangunan perladangan, ternakan dan perkilangan... untuk pembiayaan pembinaan dan penyelenggaraan pembangunan prasarana ibadah dan institusi keagamaan seperti masjid, surau, sekolah agama dan sebagainya. Best tu beb... kita ada 'saham' dalam pembinaan surau yang hari-hari orang datang beribadat... pahala freeflow sampai kiamat.

So... macam mana nak participate nih. Ada banyak cara beb... pergi kaunter Baitulmal MAIS, pejabat agama Islam daerah, kaunter Lembaga Zakat Selangor, skim potongan gaji (ni kena bincang la dengan majikan), E-MAIS (www.mais.gov.my)... online tu sheikh, di Bank Simpanan Nasional pun boleh. Dan semua sumbangan kita boleh tuntut pengecualian cukai pendapatan di bawah Seksyen 44(6). Kalau nak lebih kepastian dan penerangan, boleh hubungi Unit Wakaf, Bahagian MAL MAIS di talian 03-55143600 atau masuk website www.mais.gov.my dan buat carian Pejabat Agama Islam daerah.

Selepas sahaja saya dengar khutbah tersebut, rasa macam bertuah pun ada... setidak-tidaknya seruan sampai kepada saya tentang peluang membuat pahala yang Allah hendak berikan kepada hambaNya. Dan yang penting, Allah berikan saya kekuatan untuk memulakan tapak pertama... berkunjung ke kaunter wakaf dan buat sumbangan... hahaha, langkah besar untuk orang yang tak berapa rajin seperti saya... insyAllah. Dan begitu jualah doa saya buat kawan-kawan... semoga Allah permudahkan usaha semua untuk beramal jariah dengan memberikan rezeki yang melimpah-ruah.

... siapa yang tidak mahu syurga.... kan.
Read more

Thursday, June 16, 2011

MAKAN-MAKAN DI BANDAR KLANG... RESTORAN MAS MERAH

Nama restoran ni agak retro sedikit... macam nama watak dalam filem 60an, walaupun kadang-kadang konpius sikit apakah ianya ada kena mengena dengan Mas Joko. Haha... untuk pengetahuan, restoran milik penuh orang Melayu Muslim ini memang amat dikenali di bandar Meru dan kawasan yang berdekatan dengannya... some say Shah Alam too... Mohd Haizulim 'Mas Joko' Jarkasi. Bangga beb, seorang kawan yang berani membuka sebuah restoran makanan Melayu Johor dan Selangor di bandar Klang. Jika tak silap... hampir tiada restoran milik orang Melayu tapi kalau kedai dan gerai kecil memang ada. Usaha anak muda yang tak berapa muda lagi nih memang sesuatu yang patut dibanggakan... dan harus DISOKONG.

Jadi mari kita lihat dulu exterior kedai nih. Memang chanteq dan terletak di corner lot, terletak di hujung blok selepas simpang Jalan Taiping... jalan di mana semua orang Klang suka shopping sebelum Hari Raya.






Tempat letak kereta agak terhad di kawasan ini sebab terlalu banyak kenderaan yang lalu di kawasan tumpuan perniagaan ni. Kawasan ini juga memang dikenali antara kawasan perniagaan paling sibuk di Bandar Klang. Di belakang blok kedai ini ialah pesisir Sungai Klang  di mana terletaknya Masjid di atas tebing sungai dan Jambatan Kota Klang yang terkenal itu. Tempat letak kereta di sini menggunakan sistem tiket... kena isi duit la kat meter beb dan beli tiket untuk display di dashboard kereta. Takmo bayar pun boleh tapi kalau kena saman... jangan pulak merapu-rapu kat Facebook kutuk gomen. Kerusi meja mencukupi tapi rasanya bila ada duit lebih sikit... tukar la pinggan gelas tu bro... hahaha... nanti-nanti la kan.

Sekarang mari kita lihat lauk... ye, fakta yang paling penting yang membezakan status kedai makan.


Brader ni dikhabarkan sebagai pembakar ikan terhebat...  so, kalau nak makan ikan bakar, time lunch ke dinner ke... this is the place, panas-panas beb dengan air asam dan kicap pedas.


Err... ini bukan pulut panggang dan saya pun tak pasti ikan apa dalam tu sebab tak sempat nak tengok. Ambil gambar sambil pilih lauk... lapor beb. Tapi ikan kembung kot...


Pelanggan bernama Zul Mael Lambung ni bukan nama sebenar enggan membenarkan saya menemuduganya bagi menanyakan samada lauk di sini sedap atau tidak.  Dia kata takut lauk habis nanti kalau lambat ambil, so dia minta saya tanya kemudian selepas makan... dan selepas habis makan, pun saya tak sempat nak temuduga sebab dia nak pergi tengok seluar Wrangler di kedai depan.


Kami sampai tepat pukul satu... dan asam pedas Muar ni dah tinggal suku. Saya dah try, memang sedap kalau layan panas-panas beb. Jadi kalau sesiapa ke Klang dan ingin singgah di restoran ni... sila datang awal.


Mee goreng, mee hun... lontong pun ada beb dengan bergedil sekali. Tapi tak sempat nak makan sebab datang time lunch... kena cari nasi gak.


Beberapa jenis sayur, sambal belacan, air asam, kicap pedas dan ulam... apa lagi mau.


Ni dia... ayam goreng kampung berempah... memang sedap dan maintain panas.


Ni pun tak sempat nak merasa... maybe next round nanti.


Soto dan bakso... pun tak sempat try.


Roti canai pun ada... sepanjang hari. Dan dengar khabarnya tokeh Mas Merah akan jual satay muar... dalam masa beberapa minggu lagi kot. So, jika ada sesiapa nak minta kerja sebagai tukang bakar... sila hubungi saya. Tokeh nak pakai sorang... dan juga orang jaga kaunter waktu malam. Gerai ini dibuka dari pukul 7 pagi - 12 malam.

Nak tengok ramai ke tidak orang datang time lunch... ni dia. Orang datang silih berganti.


Inilah tetamu kehormat time lunch tadi dan juga seorang lagi di belakang kamera... yang dibawa khas dari bandaraya Shah Alam. Membukit beb nasi dan lauk diaorang bedal.




... dan ada big screen beb

Akhir kalam... bagi sesiapa yang berkunjung ke Bandar Klang dan ingin mencari restoran Melayu... inilah tempatnya... Jalan Nanas.

... selamat menjamu selera.
Read more

Wednesday, June 15, 2011

KADANG-KADANG KITA BUAT PERKARA YANG TIDAK DIDUGA

Sudah agak lama juga saya tidak menulis... sibuk beb. Banyak benda keje nak kena follow up, kawan-kawan pun ramai pulak yang ajak jumpa teh tarik. So, hari ni tiba-tiba teringin nak menulis, selepas borak-borak dengan kawan tadi yang meriah sungguh cerita pasal aktiviti outdoor. Teringat pulak beberapa tahun yang lalu, pernah organized satu 'troop' daki Gunung Bunga Buah... gunung macam bukit je yang terletak sebelah Genting Highlands dan di situ juga la helikopter terhempas setelah beberapa bulan kami daki.


Niat untuk mendaki gunung ni agak lama juga dipendam tapi pada masa itu saya tidak berani untuk memulakan kerana bilangan yang hendak turut serta agak ramai dan hampir kesemuanya tidak mempunyai pengalaman mendaki gunung yang mengambil masa berjam-jam lamanya kecuali seorang kawan. Jadi setelah kami lakukan beberapa siri jungle trekking jarak berskala kecil dan sederhana... barulah saya berani untuk memulakannya walaupun dalam kepala, macam-macam perkara yang saya risaukan. Apa nak buat kalau ada yang terseliuh nanti, atau pitam sebab udara agak nipis di puncak, tercedera, patah semangat separuh jalan... kerana saya jangkakan masa tu perjalanan ke puncak tentu mencabar dan perlu berjalan berjam-jam lamanya. Apatah lagi saya tidak begitu pasti apakah kami sempat untuk turun semula sebelum matahari tenggelam. Tapi disebabkan semuanya begitu bersemangat... saya nekad juga untuk melakukannya.

Kami sampai di pinggir bukit agak awal pagi. Namun saya tidak jangkakan bahawa, perjalanan dari tempat parking kereta hingga ke laluan masuk pertama bukit mengambil masa hampir satu jam... mak ai, jauh tu beb dan sebenarnya kami belum pun mula mendaki. Sampai di kaki bukit itulah baru kawan saya beritahu... 'kita akan daki gunung yang pertama'. Rupanya kami akan mendaki 2 gunung... gunung pertama agak rendah tapi curam... dan gunung kedua tidak begitu curam tapi sayup tinggi.


Gambar di atas baru separuh perjalanan dari tempat letak kereta ke laluan masuk gunung pertama... dan tempat kami bergambar ini masih lagi jauh dari laluan masuk tersebut. Masa pergi memang la semangat beb, tenaga tengah full lagi. Dan pemandangan memang amat menarik. Laluannya takde la bersemak sangat kerana dah ramai yang daki gunung ini sebelumnya... kami yang lambat sket... hahaha.

Laluan di gunung pertama agak basah... kebanyakannya laluan tanah. Saya hampir-hampir terjatuh kerana kasut mendaki yang saya gunakan agak keras, jadi tidak begitu terasa tanah yang kita pijak tu samada tanah atau akar kayu. Di gunung pertama ini kami harus mendaki dan kemudiannya harus menuruni curam... agak tinggi curamnya, hampir 70% tegak. Penat beb bila sampai bawah... rehat sebentar dan kawan saya beritahu... 'sekarang kita akan daki Gunung Bunga Buah yang tingginya hampir 2 kali ganda gunung yang kita baru lepas tadi'. Serious beb... luruh jantung masa tu gak. Tiba-tiba boleh terfikir... 'apesal la aku buat aktiviti bodoh nih. Dok rumah tengok tv lagi best'... mental memang pecah. Tapi bila difikirkan dah separuh jalan... teruskan jugalah.

Masa mendaki ni, memang banyak kali berhenti... beg berat pulak tu ada macam-macam benda. Peha jangan cakap la... panjat 5-7 meter, berhenti rehat. Macam tu la gayanya sampai la ke puncak... mental macam nak pecah, lutut sakit, peha tegang, tumit perit... macam-macam. Nak komplen malu... pompuan pun ada ikut daki sama... hahaha aksi macho je la. Kalau tak silap, dekat 3 jam baru sampai atas kot... amatur beb, camtu la. Terhegeh-hegeh berjalan. Dan di beberapa laluan kalau tak silap saya, kami berjalan di atas rimbunan akar-akar pokok yang silang menyilang. Saya perasan sebab kayu yang saya pegang kadang-kadang menerobos ke bawah seolah-olah ianya lompong... memang nampak lubang yang gelap je... suspen betul. Tak tau la kalau terjatuh ke dalam, entah apa ada kat dalam tu dan berapa dalam lompong tu. Beberapa orang kawan saya telah jauh ke hadapan dan di belakang juga ramai lagi yang perlahan-lahan berjalan. Laluannya agak mudah dilalui... seolah-olah denai yang dibuat.


Yes... kami pernah sampai di sini. Dengan bangganya saya boleh katakan demikian kerana hanya sebilangan kecil penduduk Malaysia yang pernah sampai di sini. Saya diberitahu banyak juga kumpulan pendaki sebelum ini yang bermalam di sini... mengikut kata trackers yang guide kami. Masing-masing ingin merasai tidur di puncak yang sejuk ini. Tapi saya tak berani la nak buat demikian... kebanyakannya tidak mahu bermalam kerana soal keluarga. Apabila sampai di puncak ni... segala rasa menyesal, pecah mental, penat... hilang begitu sahaja. Memang susah hendak digambarkan betapa bangga dan gembiranya saya. Kami berehat tidak lama... kurang dari sejam kot kerana saya tidak mahu terlewat untuk turun nanti, bimbang hari gelap dan takut tersesat jalan nanti. Terlalu banyak pokok-pokok di atas ni, jadi pemandangan sekeliling tidak begitu menarik kerana terlindung.

Namun dalam perjalanan turun, kami sempat juga mengambil gambar di beberapa laluan yang memang amat menarik pemandangannya. Tidak ada bunyi bising manusia dan kenderaan... yang ada hanya bunyi angin menderu ke arah pokok-pokok dan bau udara yang amat segar. Malahan binatang juga sukar ditemui di atas ni sebab tak banyak sumber makanan kot.


Inilah satu daripada pemandangan yang ada... di beberapa kedudukan, kami berada di atas awan dan ianya memang amat menyegarkan. Sambil bergambar, sambil menghilangkan lelah berjalan. Namun disebabkan berkobar-kobar hendak pulang, agak laju juga kami berjalan.


Inilah wajah-wajah lega dan gembira dalam kepenatan, apabila kami telah berjaya sampai ke laluan masuk sebelum hari gelap. Sempat berehat agak lama di sini kerana menunggu beberapa rakan yang masih di belakang. Puas dan bangga... namun dari sini ke tempat letak kereta... masih ada hampir 1 jam perjalanan yang memang amat memenatkan walaupun laluannya landai. Cuma sesekali berjalan mendaki... tapi memang letih.


Hahaha... yes, tepat pukul 7pm dan hari hampir senja... kami telah berjaya sampai dan masanya untuk pulang. Puas tapi saya putuskan... selepas ini tiada lagi pendakian seperti ini. Rasa bersyukur kerana semuanya selamat, tiada yang tercedera atau 'tersampuk' hahaha. Semua rasa penat tapi gembira dan bangga. Cuma saya tidak pasti, setelah saya meninggalkan syarikat lama... apakah kelab ada membuat aktiviti lagi seperti ini. Namun yang pasti, aktiviti seperti ini mengeratkan lagi persahabatan yang sekian lama terjalin.

... terima kasih kepada semua kawan-kawan terutamanya Bro Yousman kerana memberikan pengalaman yang tidak boleh dibeli ini. Semoga Allah merahmati rakan-rakan semua dan sentiasa dipandang dengan kasih sayangNya.
Read more

Wednesday, June 1, 2011

BAHASA MALAYSIA, BAHASA DUNIA


Sekiranya saya berpeluang untuk putar masa ke belakang ke era umur saya belum mencecah 12 tahun... salah satu keinginan saya ialah belajar berbagai jenis bahasa. Setidak-tidaknya saya tahu berbahasa Mandarin, Cantonese, Arab dan French. Memang amat rugi rasanya tak mahir berbagai jenis bahasa... bayangkan sekarang ni Malaysia semakin maju, pengangkutan udara semakin murah, industri pelancongan semakin galak dan hubungan penduduk dunia semakin erat hasil dari kemajuan teknologi... kelebihan mengetahui lebih dari Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris amatlah berguna dan menyeronokkan.

Saya pernah berjumpa dengan seorang kawan dulu, pada masa itu beliau masih belajar di UIA. Dan sungguh menakjubkan apabila beliau mahir dalam hampir 12 jenis bahasa termasuk Bahasa Rusia dan Urdu. Saya yang belajar bahasa Mandarin dan Cantonese ni pun terkial-kial. Kalau lama tak bukak buku... lupa balik. Cuma mungkin dapat mahir Cantonese dengan lebih baik kot sebab environment kerja.

Saya pernah berkunjung ke China tahun lepas, penduduk Mainland ini bertutur dalam bahasa Mandarin... saya tahu la sedikit sedikit bahasa ni dan mereka suka bila saya bertutur dalam bahasa ini dan dapatlah harga barang kurang sedikit apabila kita bargain dalam Mandarin. Dan tahukah anda Mandarin adalah bahasa yang dituturkan oleh hampir 1.2 bilion penduduk dunia. Dan berdasarkan kekuatan ekonomi China, saya jangkakan dalam beberapa tahun lagi bahasa ini mampu mengatasi Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di kebanyakan negara terutama negara yang banyak urusan ekonomi dengan China.

Mandarin adalah salah satu dari enam bahasa yang diiktirafkan penggunaannya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu selain dari Bahasa Inggeris, Arab, Perancis, Rusia dan Spanish. Minta maaf, Bahasa Malaysia atau Bahasa Indonesia tidak ada... mungkin suatu hari nanti. Secara peribadi saya kira mungkin Malaysia patut jadikan pelajaran bahasa ini sebagai matapelajaran pilihan atau tambahan. Berguna suatu hari nanti... saya sendiri seperti saya katakan tadi, andaikata saya boleh putar masa... saya akan pelajari, insyAllah.

Sebut pasal bahasa juga, saya agak terkejut juga apabila masih ada rakyat Malaysia yang tidak mahir atau hampir tidak tahu bertutur dalam Bahasa Malaysia. Walaupun dah duduk hampir berpuluh tahun di Malaysia dan bergelar warganegara... bijik butir Bahasa Malaysia memang kelam kabut. Dan agak menyedihkan menyampah accelli juga apabila ada orang Melayu sendiri yang tidak begitu lancar pertuturan bahasa sendiri... tak tau la mungkin tak 'cool' agaknya bertutur dan dikenali sebagai orang Melayu. Bunyi seperti prejudice kan tapi... saya kira sesiapa jua pernah bertemu dengan orang Melayu seperti ini. Tapi mungkin la kot dia nak mahirkan skil Bahasa Inggeris... kot.

Saya berpeluang juga menonton beberapa video Youtube yang memaparkan kepetahan rakyat Amerika, UK dan Australia bertutur dalam bahasa Melayu. Walaupun dibuat dalam suasana bernyanyi dan santai, namun saya harus berterimakasih kepada mereka kerana sudi mempelajari Bahasa Malaysia. Malahan kemunculan banyak pemuzik dan penyanyi yang memartabatkan Bahasa Malaysia dalam muzik moden Barat sedikit sebanyak mempromosikan lagi bahasa kita. Mereka nampak memang Barat-stylo dengan fesyen pakaian namun tebal jatidiri Bahasa Malaysia... terimakasih juga.

... bahasa kita, budaya kita.


Read more
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...