Monday, May 30, 2011

TEKSI KITA, BUDAYA KITA

Gambar: amirizzat.com

Hari ini saya mencatatkan sejarah sekali lagi... menggunakan pengangkutan awam, TEKSI. Kali terakhir saya menggunakannya pada tahun 1993 kot... masa tu saya jalani latihan praktikal sebagai juruaudit dan kena travel satu Malaysia. Nak layan dengan motor Yamaha RXZ sampai Johor dan Kedah... tanggal rantai beb. Hari ni hantar kereta Mrs untuk service, macha centre bagitau kena tinggal kereta pulak sebab banyak benda nak kena buat. Nak mintak tolong kawan-kawan fetch sekejap, hari Isnin la pulak... masing-masing kureng sikit mood hari ni.

Dari Sungei Way ke Shah Alam di waktu pagi semasa semua orang sedang sibuk nak pergi kerja... alhamdulillah, kereta tak banyak sangat sebab cuti sekolah kot. Yup, teksi sebijik seperti di atas. Kelihatannya teksi yang saya gunakan tadi agak lama juga body dia tapi keramahan pemandu teksi tersebut yang berbangsa Cina Malaysia membuatkan perjalanan singkat menjadi menarik. Saya biasa berbual dengan beberapa pemandu teksi namun bukan di dalam teksi mereka.

Jika tidak silap nama pemandu teksi tersebut ialah Enche Chua, berasal dari utara dan bekas seorang kakitangan beruniform kerajaan. Setelah berhenti, beliau bekerja di sektor swasta untuk beberapa tahun sebelum mengambil keputusan berhenti dan bekerja sendiri. Agak tipikal kan cerita ni sebab begitu la juga cerita ramai lagi pemandu teksi yang pernah saya temui. Namun, saya benar-benar kagum dengan kesungguhan beliau mencari rezeki.

Sememangnya mengambil keputusan untuk berhenti kerja makan gaji dan cuba mencari rezeki dengan bekerja sendiri adalah berisiko dan memerlukan hati yang besar... dan itulah keputusan yang diambil oleh Enche Chua. Setelah berfikir semasaknya, beliau telah mengambil keputusan untuk berniaga kain baju di beberapa pasar malam. Saya ada ramai kawan berbangsa Cina tapi ini pertama kali saya dengar seorang daripadanya berkata... 'saya betul-betul segan buat kerja tu sebab selama ni makan gaji'. Tapi semangat beliau untuk menyara keluarga membuatkan semua perkara itu menjadi kecil. Dan hasil dari nasihat beberapa rakannya yang berniaga di tempat sama dan kesungguhan beliau yang kental, beliau kini mempunyai kedai sendiri malah ada pekerja sendiri... dan beliau masih lagi memandu teksi.

Sekarang beliau mampu memiliki 2 buah rumah malah sebuah MPV dan teksi sendiri. Dan kesemua asetnya itu digunakan sepenuhnya untuk beliau menambah pendapatan sedia ada. Saya kagum... benar-benar 'respect' dengan beliau yang mampu menjalankan beberapa perniagaan semata-mata 'hendak hidup' katanya. Benarlah kata orang tua... di mana ada kemahuan, di situ ada jalan... Enche Chua salah satu contoh terbaik dan terimakasih Allah kerana menemukan beliau dengan saya. Saya yakin ini adalah 'ilmu' yang Allah turunkan terus kepada saya... agak lama juga saya tidak menerima 'anugerah Tuhan' seperti ini..

Sepanjang perjalanan hampir 20 minit itu, sedikit pun saya tidak mendengar beliau mengeluh. Malah apabila ada kereta yang membunyikan hon kerana teksi ini agak perlahan apabila berjumpa simpang, beliau hanya mengatakan... 'takpe, mereka itu orang baik nak bagitau kita'. Hadoi, saya akan cuba selepas ini untuk tidak 'honk' teksi di depan saya kerana memang mereka amat berhati-hati memandu dan sentiasa memastikan perjalanan cepat dan selamat untuk pelanggan. Kalau saya, entahlah samada mampu atau tidak menjadi seperti Enche Chua... membayar permit teksi hampir RM17 sehari dan pendapatan yang tidak menentu... 'semuanya bergantung pada mata saya, kalau tak letih dan mengantuk bolehlah memandu sampai malam. Kalau ada pelanggan yang hendak ke KLIA atau panggilan tengah malam untuk ke destinasi, boleh la dapat pendapatan lebih sikit. Sakit badan duduk lama-lama memandu nih.' Begitulah jawaban dia bila saya tanya tentang pendapatan sebagai pemandu teksi.

Kepada diri saya sendiri... amat suka saya berpesan dan mengingatkan... ingatlah, Allah sentiasa ada di sisi. Semoga semua kawan-kawan juga gembira di tempat kerja masing-masing, dimurahkan rezeki, dipermudahkan segala urusan di dunia dan akhirat, dikurniakan kawan-kawan yang baik dan mulia, kesihatan yang baik dan berpanjangan... dan dilihat Allah dengan penuh kasih-sayangNya... amin.

... bukan lama pun hidup ni kan, takkan nak dihabiskan masa melayan kerenah ahli politik yang sibuk mengatakan mereka memiliki syurga atau neraka.
Read more

Monday, May 23, 2011

BUKAN PERKARA BARU TAPI SAYA MASIH TERTANYA-TANYA


Saya kerapkali menduga akal saya akan perkara-perkara yang sememangnya memberikan persoalan... macam Einstein pulak saya, ya memang benar kadang-kadang saya terlalu amat berfikir... hampir dalam semua perkara. Adakalanya perkara tersebut tidak perlu kot untuk difikirkan tetapi setiap kali saya baca apa saja tulisan atau semasa perbualan dengan sesiapa sahaja... beberapa persoalan baru tetap akan timbul.

Baru sebentar tadi saya berbual dengan orang rumah saya dan beliau mengutarakan satu persoalan yang amat mudah... 'Kenapa Allah jadikan China itu mempunyai penduduk yang paling ramai di dunia?'. Mungkin ianya tidak penting bagi sesiapa tapi memang amat menarik minat saya... ya, kenapa China? Mengikut data 2010, penduduk China adalah seramai 1,341,335,000... bilion tu beb. Mungkin ada yang akan kata Jepun dan Korea Selatan itu asalnya dari China juga... tapi pernah ke kita dengar Kesatuan China atau Liga China. Yang kita dengar hanyalah Kesatuan Eropah dan Liga Arab.

Dan saya juga tertanya-tanya, kenapa penduduk kedua teramai adalah India... 1,224,614,000... juga dalam angka bilion. Kita juga tidak pernah dengar ada kesatuan atau liga India... satu negara dengan penduduk bilion. Adakah ini satu kebetulan.

Kalau ada pun kita hendak berbangga sedikit adalah Indonesia... bukan negara kita pun tapi penduduknya hanya berjumlah 239,781,000... ratusan juga. Juga kita tidak pernah dengar kesatuan atau liga Indonesia.


Suatu ketika dulu saya pernah dengar ustaz menceritakan bahawa Islam akan naik dari sebelah timur, bermakna dari kawasan Asia Pasifik... negara-negara yang terdiri dari India hinggalah ke Australia. Saya cuba berfikir sendiri bagaimana perkara ini boleh berlaku sedangkan umum tahu Islam itu datang dari sebelah Arab. Namun apabila saya amati betul-betul, walaupun Islam datang dari Arab... Arab berpecah-belah dengan teruk... kenapa ini berlaku? Bukan sahaja semasa zaman Rasulullah tetapi sebelum itu juga mereka berpecah-belah. Saya pernah bertanyakan kepada kawan-kawan dari Iran dan Iraq tentang bangsa mereka namun mereka mengatakan bahawa mereka bukan Arab tapi bangsa Parsi... macam tu pulak.

Jumlah penduduk Islam negara Timur Tengah dan Utara Afrika adalah 325,322,000 iaitu mewakili 91.2% dari penduduk keseluruhan negara-negara itu. Manakala, jumlah penduduk Islam negara Asia Pasifik adalah 972,537,000 iaitu mewakili 24.1% dari penduduk keseluruhan negara-negara itu.

Mungkin inilah salah satu faktornya kot... penduduk Islam di Asia lebih besar dan penduduk Islam di China adalah seramai 21,667,000... beberapa juta lagi sama dengan keseluruhan penduduk Malaysia. Namun kita hampir tidak mendengar langsung adanya perpecahan agama di China... tiada perang saudara, tiada isu mazhab... tak tau la kalau memang ada tapi cuma saya belum tahu lagi. Dan apabila adanya statement yang mengatakan bahawa Malaysia menjadi jaguh dan juara negara-negara Islam... saya mengaru kepala sekejap. Kalau benar, memang tabik spring la tapi timbul lagi persoalan... mahu ke negara lain yang mempunyai penganut Islam yang lebih ramai mahu mendengar Malaysia yang hanya ada 16,581,000 orang muslim. Saya positif la sedikit... mungkin kot.

Sekarang saya ternanti-nanti timbulnya seorang 'jaguh Islam' dari timur... mungkin dari China atau India kot. Tapi siapa tahu orang itu mungkin muncul dari Malaysia... insan yang ustaz kata sebagai Imam Mahadi. Dan saya kira orang tersebut mestilah seorang yang bijak, pengetahuan tinggi dan terkehadapan dari zaman... bukan setakat pengkaji atau hidup dalam alam teori. Saya kurang percaya ianya akan muncul dari Arab... kerana saya pernah berkunjung ke Arab dan China... kerajinan rakyat China meninggalkan orang Arab jauh di belakang. Desakan dan getir hidup menjadikan penduduk China sebagai 'survivor' manakala kemewahan dan hasil minyak Arab menjadikan mereka sebagai 'big spender' atau negara pengguna.

Ya, persoalan dan berbagai macam pertanyaan dalam kepala saya membuatkan saya amat berminat untuk mengikuti perkembangan China dan India. Dan Malaysia berada di kedudukan terbaik untuk mengenali serta bersahabat dengan mereka.... janganlah di lawan ombak yang besar, tenggelam kita dipukul badai. Saya semakin bimbang kerana rakyat Malaysia semakin hilang banyak skil kemahiran membangunkan negara kepada rakyat Indonesia dan tak lama lagi Bangladesh dan Myanmar... mereka datang bekerja dan mengasah skil di negara kita untuk dibawa pulang. Kita cuma berminat duduk belakang meja, cuba menjadi seperti Singapura.

... ya, saya sedang memerhatikan China dan akan terus memerhatikan mereka.
Read more

Friday, May 20, 2011

ZAKAT MEMBAWA BERKAT KEPADA SEMUA MANUSIA


Beberapa tahun lalu, apabila pemerintahan kerajaan di Selangor bertukar tangan... suasana agak kelam kabut dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) tidak terlepas dari berbagai dugaan. Pada masa itu, timbul gesaan oleh beberapa pihak malahan dari orang Islam sendiri yang mahukan agar duit zakat yang dikutip oleh Kerajaan Negeri agar dibolehkan untuk dibelanjakan kepada golongan selain Islam secara terus. Kecoh masa tu... tiba-tiba tampuk kerajaan baru bertekad hendak mengubah hukum asnaf dan memang mendapat bantahan yang begitu keras dari umat Islam di Selangor. Kalau tak silap, sehingga menyebabkan campurtangan pihak Istana. Kan Sultan Selangor ni Ketua Agama Islam... dah tentu la orang Islam akan mengadu kepada Tuanku, apatah lagi bila ada suara-suara yang mahukan perubahan 'di luar norma'.

Saya tidak begitu faham sangat hal agama nih... cetek beb. Tapi pernah la belajar dulu, zakat dihukumkan pemberiannya kepada beberapa asnaf yang telah ditetapkan. Sekiranya ada hukum lain... saya tidak begitu pasti, kena tanya yang lebih arif. Saya pernah terlibat dengan urusan pembahagian zakat ini dulu secara tidak langsung... berurusan dengan LZS dalam beberapa aktiviti CSR syarikat. Saya akan cuba huraikan bagaimana zakat ini sebenarnya 'memberikan tempias' kepada bukan muslim juga di Malaysia nih. So, tak timbul la isu nak berikan zakat secara terus kepada bukan muslim buat masa nih. Mungkin kerajaan negeri ada sumber lain untuk menghulurkan bantuan... kan ke MB Selangor sekarang ni pakar ekonomi... tentu dia boleh fikir sebaiknya. Lagipun zakat ni memang hak kita kan... takkan kita saja-saja nak beri walau apa pun alasan yang dikatakan logik untuk membenarkannya.

Kerajaan Selangor ada menjalankan program Kerajaan Prihatin... satu program kerajaan lama yang masih diteruskan oleh kerajaan baru. Salah satu programnya adalah Rumah Prihatin. Di bawah program ini, rumah buruk penduduk termiskin akan dirobohkan dan didermakan dengan sebuah rumah yang baru. LZS juga terlibat dalam program ini dan sudah tentunya LZS hanya akan beri kepada penerima muslim sahaja. Pembinaan rumah tersebut juga diberikan kepada kontraktor Muslim malahan pekerja mereka juga orang Muslim. Begitu la indahnya aliran duit zakat. Dari pemberi kepada penerima dan dirasai nikmatnya oleh ramai pihak. Kata la rumah tersebut bernilai RM20,000 sebuah, maka LZS akan memberikan kerja tersebut dan apabila rumah telah siap dibina sepenuhnya, maka duit tersebut akan dibayar kepada kontraktor.

Sesungguhnya Allah itu Maha Pemurah dan Pemberi Rezeki. Untuk membina sebuah rumah, kita perlukan segala bahan seperti kayu, besi, konkrit dan berbagai lagi bahan binaan yang harus digunakan untuk terdirinya sebuah rumah. Dan di Malaysia yang penghuninya dari berbagai kaum, kita amat maklum majoriti atau 100% pembekal bahan binaan ini adalah orang bukan Muslim. Kos membina rumah ini juga bukanlah murah kerana lokasi tapak rumah tidaklah kesemuanya 'cost effective'. Mungkin 65-80% dari nilai rumah tersebut adalah kos binaan. Jadi, apabila seorang miskin muslim menerima sebuah rumah bernilai RM20,000, kontraktor Muslim mendapat keuntungan RM4,000 (untung 20% katakan)... pembekal bukan muslim mendapat nilai jualan kasar sebanyak RM16,000. Sekiranya ada pembekal bahan binaan Muslim, tentu segalanya mengalir di kalangan orang Muslim.

Begitu juga sekiranya LZS memperuntukan ratusan juta duit zakat yang mereka kutip setiap tahun untuk semua golongan asnaf... limpahan rahmatnya pasti terkena kepada yang bukan muslim juga. Ratusan juta bukanlah satu angka yang kecil dan harus diingat... duit zakat yang dikutip tahun ini, haruslah dibelanjakan segalanya tahun depan... tidak boleh dilewatkan, pesan Mufti.

Indahkan Islam itu... indahkan hukum Islam. Jadi agak janggal melihat seorang ahli politik beragama Islam tiba-tiba bangun meminta duit zakat dibelanjakan secara terus kepada bukan Islam semata-mata hendak meraih populariti dan undi. Walhal selama puluhan tahun lamanya... orang bukan Muslim sentiasa mendapat manfaat dari duit zakat secara tidak langsung. Dan sudah menjadi hukum ekonomi, semakin tinggi pendapatan penduduk, semakin tinggi juga pusingan perbelanjaan mereka. Dan semakin laju putaran itu, ekonomi akan menjadi rancak. Dan saya amat yakin, wang zakat yang diterima oleh fakir miskin setiap tahun... mereka pasti akan belanjakannya kalau tidak banyak sedikit di kedai Ah Chong atau sekurang-kurangnya di kedai gunting Ramasamy.




Secara jujur... saya rasa carilah orang miskin Muslim yang ada dulu, keluar la dari pejabat dan cari mereka. Bantulah semaksima mungkin untuk memenuhi keperluan semua asnaf mengikuti turutan kepentingan agar orang Muslim merasa segala nikmatnya sebelum kita berbicara tentang golongan di luar asnaf... takkan la jadi dosa pulak kan kalau kita buat begitu.

Percayalah... keberkatan zakat itu amat cukup untuk semua orang. Sesiapa yang dah jatuh wajib berzakat tu... usahakanlah agar dapat menunaikannya. Mana yang belum layak hukum... mudah-mudahan Allah murahkan rezeki dan berpeluang memberikan zakat. Saya amat yakin, sekiranya kita menjadi penganut agama Islam yang teguh... Malaysia akan kekal makmur.

Semoga Allah memberkati anda semua... dan memandang saya dengan kasih sayangNya... amin.
Read more

Monday, May 16, 2011

BELLY'S COTTAGE - NEW 'KEDAI' IN TOWN

Yup, ada sebuah kedai makanan segera baru dibuka di Bukit Jelutong Shah Alam... tak dapat nak ambil gambar dari luar tadi sebab hujan. Kedai ni jual 'western foods'... burger, sandwiches, garlicos, hot chick... itulah antara nama-namanya. Bagi sesiapa yang tak tau di mana Bukit Jelutong, ianya terletak di hujung Shah Alam hala ke jalan Bukit Cherakah dan Kg Melayu Subang... hahaha, takkan la korang tak tau mana haisss.



Inilah lebih kurang pintu masuk kedai nih... nampak macam cun je kan... hahaha tapi accelli biasa je kedai ni, lebih kurang macam Subway punya style je



Kaunter pun lebih kurang macam kaunter kedai makanan segera lain... ringkas. Malam ni tak berapa ramai orang, jadi laju la sikit bila order.







Inilah lebih kurang interior dalam kedai ni... ringkas. Tempat duduk tak banyak sangat tapi nampak macam selesa la. Lebih kurang macam konsep Pizza Hut Delivery.





Ini pula ada seksyen jual 'Soft Icecream'... jangan tanya aiskrim macam mana sebab belum cuba lagi. Harga pun nampak murah amat murah berbanding Tutty Frutti.



Waktu beroperasi... tengok sendiri :). 



Nak kata sedap burger ni... saya rasa Subway lagi best kot. Nak kata tak sedap... habis. Tapi size burger ni memang besar... sebesar burger yang saya pernah cuba di Gold Coast. Amat besar hingga boleh dikongsi dua orang. Malam nih saya order Baba Yaga (ciken burger) dan Beefy-Beefy (daging la). Ringkas je burgernya tapi lengkap la ada semua. Kalau nak macam Subway tu, kena order sandwiches... macam-macam ada.

............................. harga



Bab nih saya serahkan la pada pertimbangan masing-masing... hahahaha
Read more

Sunday, May 15, 2011

JIBAM


'Kalau kau menjadi aku, aku yakin kau mengerti'... itulah ayat yang tertera di kulit buku novel berjudul JIBAM yang ditulis oleh Ujang, seorang kartunis yang pernah melukis komik Aku Budak Minang dalam majalah humor GILA-GILA pada tahun 80an. Novel ini bukanlah karya baru, ianya telah lama ditulis dan saya pernah membacanya lama dahulu, buku tersebut saya pinjam dari seorang kawan. Adik saya telah memaklumkan tentang buku ini yang ada dijual di MPH dan kesempatan itu saya gunakan untuk memiliki sebuah... sebagai koleksi sudah tentunya.

Jibam ialah watak seorang remaja berusia 15 tahun yang agak terencat sedikit akalnya... kurang normal berbanding kanak-kanak biasa. Hidup di dalam keluarga yang susah... bapa mereka, Suman telah membawa keluarga ini berpindah ke kawasan pendalaman akibat desakan persekitaran yang begitu menjengkelkan... ya, Jibam adalah punca Suman membawa keluarganya berpindah akibat tidak tahan dengan ejekan dan tohmahan penduduk kampung. Watak-watak seperti Pak Ngah Sudin dan Usin Singai sebagai 'crook' kampung... Fakir dan Kadir, abang-abang Jibam... Piah, ibu Jibam... Usop Kidung dan beberapa lagi watak yang tidak kurang penting telah mewarnai tanah teroka baru yang dibuka oleh bapa Jibam, Suman. Penceritaannya berbentuk 'flashback'... situasi semasa berlaku sambil diselang-seli dengan kisah-kisah lalu.

Menarik... itulah yang boleh saya katakan tentang novel pendek 186 mukasurat ini. Hanya mengambil masa beberapa jam bacaan sahaja. Harga yang dijual di MPH adalah RM12.90... terlalu murah jika dibandingkan dengan buku-buku berbahasa Inggeris. Buku ini sarat dengan cara hidup masyarakat kampung di pendalaman... santai dan nilai kemasyarakatan yang tinggi... sesuatu nilai yang mungkin terlalu berharga di bandar-bandar. Terbitan ini adalah cetakan yang ke-10... maksudnya memang dapat sambutan hangat.

... mungkin benar juga kata pepatah 'what goes around comes around'... apa yang kita lakukan terhadap orang lain, selalunya akan dibalas sedemikian juga suatu hari nanti. Mungkin juga ada produser yang boleh mempertimbangkan untuk menerbitkan filem garapan novel ini suatu hari ni... siapa tahu dalam bentuk 3D.

Syor saya... beli saja buku ini dan baca.
Read more

Monday, May 9, 2011

KISAH 4 PAHLAWAN

Tiba-tiba seorang kawan saya hari ini bercerita tentang Hikayat 4 Pahlawan... memang menarik apabila beliau menghuraikannya dalam ertikata tersendiri... pahlawan yang beliau maksudkan adalah jenis-jenis bos yang terdapat di dalam sebuah syarikat. Walaupun saya tidak mampu hendak menceritakannya sebaik mungkin... tapi saya cuba la, kerana huraian beliau secara vokal adalah lebih menarik dari kata-kata berbentuk tulisan.



Bos pertama boleh diertikan seperti Laksamana Cheng Ho. Bos seperti ini selalunya bijak dan pengetahuan tinggi dalam hampir segala aspek. Beliau merancang, melaksanakan, memantau dan mampu bekerja bersama-sama dengan pekerja... dalam susah ataupun senang. Amat sukar bos seperti ini dilihat meninggalkan pekerjanya terkapai-kapai tanpa tujuarah. Dan segala kesusahan pekerjanya akan beliau amati dan bantu... memang terbukti Cheng Ho amat berjaya menerajui armada laut menjelajah dunia yang dikatakan paling besar pernah digerakkan dalam sejarah dunia. Bos seperti ini memang JARANG-JARANG kita temui.



Bos kedua ni... lebih kurang macam taraf Presiden la. Duduk belakang meja, panggil anak buah brief tiap-tiap pagi... baca laporan projek sana sini sikit... lepas tu bila mesyuarat, dia bantai bagi ceramah sampai 2,3 jam. Memang hebat bunyinya beb... tahap dewa tapi macam biasa... orang lain la yang kena buat. Kalau orang tu tersalah buat nanti, dia akan sambung kuliah subuh pulak. Pahlawan jenis ni memang BANYAK... kawan saya kata kerjanya mengipas je... macam pernah dengar. Macam Presiden Bush kata la... tak apa kalau askar mati, demi negara katanya. Dia senang-senang duduk dekat rumah ladangnya sekarang.



Bos ketiga... nampak macam kurang menonjol walaupun sebenarnya beliau seorang bos. Kejap dia timbul, kejap dia tak timbul. Bila ada isu atau perkara timbul... beliau akan bersuara di antara pekerja-pekerjanya... nampak seolah-olah dia tahu semua la tapi saja takmo tunjuk talent... katanya la. Jenis ni memang suka bukak cerita tapi bila orang tanya detail... dia sorong mikrofon kat pekerja dia suruh jawab. Macam biasa dengarkan... pahlawan ni sama macam taichi master la... ada hal je, dia tolak kat orang lain. Bila isu berjaya selesai... dia timbul. Cuba tengok gambar kat atas... agak-agak siapa boleh cam yang mana satu Chief Kadam?


Bos terakhir... jenis ni selalunya nampak macam konfiden. Macam ada keyakinan diri tapi dia kurang strategi. Gemar bertindak sendirian sebab dia rasa boleh handle... tapi takut-takut. Banyak kali kena tembak kalau masuk meeting... kira macam cedera parah la tapi bila balik bilik... reboot mana yang patut, cas bateri sikit... tenaga mari balik la. Bos jenis begini KADANG-KADANG muncul tapi pelik juga bila tengok bos sebegini tak kisah walaupun berkali-kali orang lawan. Pekerja pun macam antara yakin dan tidak terhadap bos sebegini tapi dah namanya bos... kena respect la kan.



Well... hakikatnya, kita jarang berpeluang untuk memilih siapa bos kita. Apa saja yang ditetapkan oleh syarikat... itulah bos kita. Dapat bos baik... tahniah. Dapat bos kureng... DAMAGE beb. Belum terlambat rasanya untuk saya ucapkan Selamat Hari Pekerja kepada semua kawan-kawan. Mudah-mudahan semua gembira di tempat kerja dan dapat bekerjasama dengan bos masing-masing. Saya pernah menjadi pekerja biasa dan pernah juga menjadi Bos... setiap jenis jawatan itu memang ada pengalaman dan cabaran yang tersendiri. Nobody is perfect but... we can always try to be better.
Read more

Sunday, May 8, 2011

IPHONE ATAU BLACKBERRY


Suatu ketika dulu apabila telefon mudahalih mula diperkenalkan di Malaysia, tidak ramai pengguna yang mampu memilikinya. Saya masih ingat pada tahun 1985, beberapa orang kawan saya yang lebih dewasa dan telah bekerja menggunakan telefon mudahalih sebesar beg. Telefon itu biasa dipanggil ATUR. Kalau tak silap nombornya bermula dari 011 kot dan menggunakan sistem satelit. Oleh itu masuk la di ceruk rantau mana sekalipun, line memang ada tapi yuran bulanan dan caj panggilan memang mahal la beb... berbelas ringgit dengarnya apabila bercakap untuk 5 minit. Bagi yang memakai kereta Alfa Romeo masa tu kira paling macho la, telefon ATUR ini akan dipasang dalam kereta... macam dalam cerita Knight Rider tu la, gagangnya lebih kurang macam gagang telefon Jabatan Telekom masa tu belum dikorporatkan sebagai Telekom Malaysia.

Sesuai dengan peredaran zaman, teknologi semakin diperbaharui dan telefon mudahalih menjadi lebih kecil. Pada masa dulu, memang MOTOROLA mendominasi pasaran, kira cool la sesiapa yang pakai masa tu, sebelum di'potong' oleh NOKIA, Agak lama juga kedua-dua jenama ni mendominasi pasaran sebelum IPHONE diperkenalkan. Selang beberapa tahun muncul satu kegilaan baru... BLACKBERRY. Memang ramai rakan-rakan yang meminta pandangan saya tentang kedua-dua jenama ni... sebab saya menggunakan kedua-duanya.



So... mana satu yang berbaloi untuk kegunaan. Secara peribadi, saya fikir masing-masing harus fikirkan terlebih dahulu tujuan penggunaan telefon kerana setiap satu mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri, selain nak bergaya la hahaha. Yea, memang saya akui, sesiapa yang memakai telefon ni nampak bergaya... apatah lagi kalau menggunakan kedua-duanya... memang langsi la hahaha.



Kita lihat dulu Blackberry. Saya tidak begitu menggemari camera BB ni... gambar agak kurang berkualiti, pantang goyang sikit je, gambar agak kabur. Mungkin kerana menggunakan sistem button, maka tangan kita memang bergoyang bila tekan button untuk ambil gambar. Dari segi applications, memang banyak pilihan dan percuma. Cuma saya kurang gemar sikit apabila penukaran dari satu skrin ke satu skrin agak lambat prosesnya. Contacts dan appointments boleh di'sync' dengan komputer, so siapa yang sibuk bekerja dan ada setiausaha, boleh minta dia untuk 'sync'kan semua tu ke BB apabila masuk pejabat pagi-pagi. Email juga secara realtime... setiap email yang masuk akan ada alert tapi ada beberapa format file jika dibuka agak kelam kabut susunannya. Beberapa orang rakan saya juga kerap komplen kadang-kadang BB mereka 'crashed', maksudnya BB tu kena format balik la dan ada juga data yang hilang. Masih ramai orang yang berebut hendak membeli BB ni disebabkan cerita yang digembar-gembur bahawa Blackberry Messenger apps menyediakan sistem pesanan ringkas percuma... memang benar la tapi kalau guna sepanjang masa... bateri cepat lemau la hahaha. Kalau nak berborak sepanjang hari... jumpa je la kat kedai mamak atau kopitiam je. Nak browse Facebook pun... tak puas sangat sebab kecik je skrinnya.



Rasanya kebanyakan anak muda lebih menggemari Iphone... mungkin kerana skrinnya seolah-olah sebuah komputer kecil. Sistem touch screen nyer memang hebat... just slide ur finger. Lebih user friendly berbanding BB dan skrinnya yang besar memberikan kepuasan apabila kita browse internet, lebih-lebih lagi Facebook. Gambar yang dihasilkan oleh kameranya juga lebih berkualiti... mungkin kerana sistem Mac yang digunakan. Mudah ambil gambar, just touch the screen. Storage nyer juga besar hingga ke 32GB. So, memang budak-budak cukup suka simpan video dan lagu mp3 yang beratus-ratus banyaknya. Kalau tak store pun takpe sebab dengan apps Youtube yang sediada, cuma on Wifi dan boleh ditonton di skrin besarnya. Agak jarang saya dengar sistem crashed tapi ada juga hang kadang-kadang. Cuma delete apps tersebut dan reinstall. Saya suka semak email dengan Iphone... mudah dan laju.

(*)_(*)

Secara peribadi. saya lebih selesa dengan Iphone... kerana kamera dan kualiti gambarnya memang menarik minat seorang photographer seperti saya. Click a photo, edit it with photo apps, save and post it to Facebook... mudah. Kadang-kadang malas nak bawak kamera yang berat berkilo tu dan bila ada peluang ambil gambar... Iphone pun jadi beb. Sekarang dok intai Iphone 4 dan kualiti gambar dari kamera 5mp nyer memang agak hebat. Dengar khabarnya Iphone 5 nak keluar tahun ni jugak... nak tunggu ke atau nak ambil Iphone 4... dok congak-congak lagi nih.

Jadi kepada kawan-kawan... beli la telefon ikut keperluan masing-masing. Kadang-kadang nak layan message kawan-kawan kat BB atau Whatsapp di Iphone tu agak malas gak... mana ada time. Bateri cepat habis, nanti nak browse internet atau check email pun tak dapat.

... dok tengok gak tadi Ipad 2... hehehe berkenan gak di hati bila tengok kualiti gambar di skrin... i loike :)
Read more

Monday, May 2, 2011

BERIRAMA SENANDUNG SEMALAM... MAKAN LA BEB


Saya berkunjung lagi ke pantai Bagan Lalang, Sepang... apa lagi, makan seafood la beb. Nak mandi laut... hahaha, rasanya last buat macam tu masa kecik-kecik dulu kot... masa pesta bulan Safar. Masa tu memang ada pesta tapi lepas ulama bersepakat pesta bulan Safar haram... tiada lagi acara sedemikian... syirik katanya. So, kita hormati la pandangan ulama... tak payah banyak soal, banyak la acara yang boleh kita jalankan.

Ramai juga kawan-kawan minta saya cuba makan di tempat yang satu nih... takde la baru tempat ni tapi saya lambat sikit sampai sini. Kawan-kawan lain dah repeat berkali-kali dah... so hari ni, saya layan.


Kata orang, gambar kalau nampak sipi-sipi ni... 'stim' dia lebih hahaha. Tapi ini la kedai Senandung Semalam... ayat 'Semalam' tu tak nampak. Ada nampak orang beratur panjang dalam tu... saya beratur pukul 6.30pm, tak sampai 10 langkah sebenarnya nak pusing sebelah untuk timbang dan ambil order... 1/2 jam dek non oi.


Pilihan boleh tahan la... ketam, siakap, kembung, cencaru, kerapu, kerang, kepah, lala, pepahat dan udang. Boleh dikatakan lengkap la seafood... pilih la ikut perut masing-masing. Dan rasanya saya yang pilih paling sikit kot... konon hahaha.

Lepas beratur 1/2 jam... saya pun order la. Rimas betul masa menunggu tu sebab brader tu la amik order, dia gak yang susun ikan, ambil stok baru, menimbang... lepas tu pergi kaunter bayaran dan datang balik tambah ikan... tu yang buat lambat tu, memang boleh mendatangkan marah la. Tapi sebab memikirkan dekat sejam memandu datang ke sini... sabar la sket.


Air tembikai sampai dulu, lepas 10 minit duduk, walhal saya dah duduk situ dari pukul 7pm.... saya bagitau orang rumah, pukul 8.15 kot baru sampai lauk. Pukul 7.30pm, orang makin ramai datang... saya dok terpinga-pinga je la tengok adik tu ke hulu ke hilir melintas depan saya bawak lauk... untuk meja orang lain... rimas tahap gaban sampai dah, perut lapar giler beb. Nak amik gambar pun mood sudah lari, hangin sudah sampai satu badan. 


Hari sudah makin gelap tapi lauk tak sampai-sampai. Meja-meja lain sebelah sana pun lebih kurang macam tu... ada air je. Sorang pandang ke langit, sorang tengok tanah, sebelah sana main henfon, sebelah sini dok sibuk kiri berapa banyak kelkatu kat lampu jalan... hadoi, memang lama tunggu beb.




Ikan cencaru bakar sama kuah kicap limau sampai dulu... air asam takde, hais... nasi tak sampai gak lagi. Kalau sampai nasi sekali boleh la layan ikan ni kejap... lapor beb. Amik gambar pun cuaca gelap dah... nampak legam je la gambar.


Lepas tu udang laut masak pedas sampai... nampak menarik tapi penuh minyak, agaknya tukang masak nak cepat masak kot... tu dicurahnya minyak banyak-banyak, sambal pedasnya entah ke mana... ada la se'cho et' je.


Lepas tu sampai sayur kailan ikan masin... yang tak berapa rasa ikan masinnya tapi panas lagi...sampai sekaligus dengan lauk-lauk selepas ikan bakar cencaru tu... nampak sedap tapi masin sket.


Saya ambil dua ekor je sotong... goreng tepung. Nampak keras sikit sotong ni masa pilih tadi, so takmo la ambil banyak-banyak... kurang kick sotong kalau keras tapi boleh tahan gak sotong celup tepung nih... tip top.


Ni dia... pepahat goreng halia... tapi tak rasa sangat halianya... halia tua kot haha. Memang besar pepahat ni beb dan sedap... kalau dekat Jaya Grocer nih, satu ikat lebih kurang segenggam ikatan la dekat RM25 tu. Sini siap masak... murah. Tapi makan pepahat ni atau pun kepah yang banyak di pantai berpasir... bila makan tu macam biasa la... mesti ada pasir kat dalam sikit-sikit. Nak komplen banyak... order lain la, bising je... haha.


Akhir sekali... siakap sweet sour. Besar ikan yang saya order ni, boleh makan 4 orang. Pun boleh tahan gak la masakannya. Tak habis... tapau sebelah bawak balik.


Dan inilah harganya... RM72 untuk semua lauk di atas termasuk nasi putih 2 pinggan. Semua lauk bila sampai memang panas lagi dan puas la bila makan. Bila tengok resit nih, yang saya faham... Siakap RM25.20. Yang lain-lain tu... kena tanya doktor sebab tulisan diaorang lebih kurang sama je chantek nyer. Saya pernah makan di sebuah lagi kedai sebelum nih... berdekatan situ gak tapi rasanya harga lebih mahal sikit berbanding lauk yang saya order.

Sekarang mari kita tengok rating berdasarkan jumlah markah penuh 10

Kebersihan........... 7
Service..................7 (Lambat bersih meja, lauk sampai lambat)
Masakan.............. 7
Tumpuan ramai.... 9
Harga................... 8 (Berpatutan)
Lokasi.................. Jauh/Sebelah pantai
Keselesaan.......... 7 (Nak aircond, pergi hotel)
Kesesuaian.......... 9 (Mandi laut, lepas tu boleh makan)

Lebih kurang itulah pandangan peribadi saya, kalau takmo sesak... datang awal dalam pukul 6. Lagipun memang elok kalau makan dinner sebelum pukul 7... perut tak boroi hahaha. Saya amat galakkan la kalau makan sini... datanglah beramai-ramai... meriah sikit beb, especially kalau makan kat meja atas padang berbumbungkan langit dan bau laut... apa lagi mau.

... janganlah mintak saya angkat sumpah pulak bagi membuktikan tempat ni best... hahaha, payah nak kumpul saksi beb, satu Malaya datang sini.
Read more
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...